Setiap hari orang-orang beriman di ajak untuk menyucikan hati. Hati perlu dijaga dan dipelihara untuk menjamin kesejahteraan amalan untuk menuju ke akhirat. Tanpa kesucian hati yang menyeluruh, semestinya amalan yang dilakukan tidak akan sempurna. Kalau sempurna pun hanya pada luaran tidak pada dalamannya.
Seruan menyucikan hati adalah seruan yang amat dituntut terhadap semua umat Islam yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Penulis bukanlah orang yang terbaik untuk menyatakan tuntutan ini. Penulis sendiri banyak melakukan kesalahan dan kesilapan. Iman manusia itu kadangkala naik, kadangkala turun. Segalanya memerlukan pemerhatian kita untuk memperbaiki iman supaya sentiasa berada dalam keadaan stabil meningkat dan terus meningkat.
Perutusan para Nabi dan Rasul SAW ke muka bumi ini selain dari mengajak manusia kembali kepada agama mentauhidkan Allah, ianya juga menyeru manusia untuk menyucikan diri dan hati dari kekotoran. Perkara ini dapat kita perhatikan melalui seruan Allah SWT di dalam firmanNya melalui surah Al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud :
"Sebagaimana kami (Allah SWT) menghantar kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu untuk menunjukkan kepada kamu tanda-tanda kebesaran Allah dan untuk menyucikan kamu, dan mengajarkan kamu kitab yang diturunkan dan hikmah, dan mengajarkan kamu apa yang kamu tidak ketahui."
Di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW juga ada menyebut mengenai tuntutan ini yang bermaksud :
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada segumpal daging, sekiranya baik ianya, maka baiklah keseluruhannya. Sekiranya rosak maka rosaklah keseluruhannya. Tidak lain ia adalah hati."
Melalui firman Allah tersebut menyatakan bahawa tuntutan membersihkan hati ini bukanlah sestuatu yang baru. Malahan ianya merupakan satu gesaan semenjak dahulu lagi supaya manusia segera kembali kepada Allah dengan hati yang penuh suci. Para utusan Allah SWT sememangnya mempunyai amanah yang amat berat dalam memastikan misi untuk mengembalikan manusia kepada fitrah yang sebenar ini.
Andai diamati sabda Nabi SAW melalui maksud hadith di atas pula menunjukkan bahawa betapa peri pentingnya hati itu kepada manusia seluruhnya. Bukan mudah untuk menjernihkan hati dari anasir-anasir luar yang sentiasa berusaha membawa pencemaran kepada mesin utama bagi diri manusia itu. Melihat kepada situasi ini memberikan isyarat kepada kita bahawa perlunya menjaga kesucian hati itu dari dinodai dengan kemaksiatan kepada Allah.
Umum yang bergelar umat Nabi Muhammad SAW mengetahui betapa sayangnya Baginda SAW kepada umatnya sehingga di kala menghembuskan nafasnya yang terakhir, diulang-ulang kalimah ummati, ummati, ummati (umatku, umatku, umatku). Baginda SAW meninggalkan banyak panduan untuk dirujuk oleh seluruh umatnya dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Meneruskan kehidupan dalam menegakkan kalimah Allah dengan melaksanakan tuntutan syariatnya disamping mengukuhkan akidah dihiasi kecantikan akhlak terpuji lahir dari hati putih bersih.
Kelahiran perutusan Nabi Muhammad SAW ke atas muka bumi selaku penutup sekaligus penghulu para Nabi dan Rasul melengkapkan ajaran yang terdahulu termasuk gesaan menyucikan hati. Kesucian hati yang terbaik mampu memimpin diri ke arah yang diredhai Allah sehingga mencapai kemuncaknya. Memiliki hati yang suci bersih itulah yang sepatutnya diimpikan oleh orang-orang yang beriman. Banyak cara yang telah digariskan oleh Quran dan Rasulullah SAW untuk merebut 'cabutan bertuah' ini.
Antara yang boleh dikongsikan bersama kalian berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang (suci dan bersih)."
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila mendengar akan nama Allah bergetar hati mereka. Sekiranya dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah akan bertambahlah keimanan mereka dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah diri." Al-Anfal : 2
Bahkan melalui Nabi SAW juga banyak aktiviti-aktiviti yang diajar untuk membersihkan hati kita supaya sentiasa terpaut kepada Allah dan bergantung hanya kepadaNya. Itulah kemuncak kepada segalanya yang perlu dikejar dan diperolehi oleh setiap muslim. Usah menoleh ke belakang seandainya ianya akan menganggu gugat usaha baik pulih. Akan tetapi jadikanlah ianya sebagai pemangkin untuk mengenggam sebuah kejayaan dalam mengharungi ranjau yang amat hebat itu.
Dikesempatan entri kali ini penulis mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua kerana sudi mengundi untuk 'peti undian' yang penulis buka selama 2 minggu berkaitan dengan tajuk 'PEPERIKSAAN' menurut pandangan peribadi anda dan berikut natijahnya menunjukkan kematangan kalian menerima tuntutan 'peperiksaan' yang dijalankan:
- Buang masa, tenaga dan minda. [0%]
- Membosankan sebab lama sangat. [0%]
- Untuk menguji tahap kefahaman. 14 orang [100%]
- Okla dari terbiar macam tu. [0%]
Kata Muthaqqaf : 'Hati suci jiwa murni' (pinjam tema blog abg apai)adalah sasaran untuk memastikan perjalanan teori dan amali seiring, sejajar dengan tuntutan Ilahi. Jangan biarkan sahabat kesayangan kita terumbang-ambing keseorangan menongkah lumrah kehidupan yang berduri. Pimpinlah tangannya supaya mampu bersama menuju ke gerbang impian. Jangan di lupa diriku ini jua yang memerlukan pimpinan kalian. Diriku ini masih lemah, jauh dan samar-samar untuk menggapai impian itu. Salam jihad mendidik diri buat semua disamping jihad menegakkan Islam!
No comments:
Post a Comment