Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Saturday, 3 April 2010

Kaya dan Miskin

HIDUPLAH kita dengan bersederhana. Kalau orang biasa, maka buatlah kita gaya orang biasa. Bukannya gaji seorang pegawai bawahan, lagak seperti seorang jutawan!


Kemewahan yang dilihat daripada mata kasar.
Terkadang itu ramai yang tersalah tafsir. Tertipu sebenarnya dengan gaya hidup manusia seperti ini. Jangan ingat manusia kaya ‘spesis’ ini tidak ada ya?

Sesetengah itu, sekali pandang pada cara hidupnya, tidak kalah gaji seorang yang berpendapatan puluhan ribu. Menaiki kereta yang mewah, rumah banglo berhawa dingin dan mungkin anak-anak kesemua bersekolah di sekolah aliran swasta. Namun, benarkah orang seperti ini yang diertikan kaya?


Kaya dan mewah itu terlalu subjektif untuk didefinisikan. Lebih banyak sumber pendapatan, maka lebih banyak juga perkara yang ingin dibeli dan dibelanjakan. Maka tidak pernah-pernah cukup dengan wang yang ada. Benar bukan?
Dua orang yang berbeza. Saya namakan Azlan dan Budin. Azlan ini setiap hari ke tempat kerja dengan pakaian yang ‘smart-smart’. Maknanya itu, lengkaplah berkemeja dan tali leher di dada. Keretanya pula sebuah mercedes keluaran terbaru.

Si Budin pula hanyalah pekerja biasa. Ke tempat kerja juga hanya dengan memakai kemeja-T. Pekerja bawahan katakan. Rumah juga hanya dikategorikan sebagai rumah kos sederhana.

Namun, Budin yang hanya bekerja sebagai pekerja bawahan ini tidak pernah mengalami masalah kewangan. Setiap bulan, apabila datang sahaja surat bayaran bil elektrik, air dan sebagainya, Budin pasti berjaya menyelesaikan kesemua bayaran tersebut. Tidak pernah tertunggak.

Setiap hujung minggu juga, Budin pasti akan membawa anak-anak dan isterinya untuk keluar makan bersama-sama, shopping dan sebagainya. Hidup mereka tenang dan bahagia, walaupun tidak mewah.


Hidup mewah, namun penuh dengan bebanan hutang dan masalah.
Azlan pula yang setiap hari ke tempat kerja bersama kereta mewahnya, tinggal pula di rumah banglo yang besar. Siapa pun yang melihatnya akan menganggap bahawa Azlan adalah seorang yang sangat mewah dan kaya.

Namun, tiada siapa pun yang tahu bahawa setiap bulan juga isterinya akan merungut. Segala bayaran ansuran bulanan rumah dan sebagainya pasti tertunggak. Azlan sentiasa dibebani dengan pelbagai hutang yang perlu diselesaikan.

Berbanding dengan Budin, Azlan juga tidak pernah sama sekali membawa keluarganya untuk shopping atau makan malam di luar setiap minggu. Makan di rumah juga belum tentunya cukup seperti yang diperolehi oleh keluarga Budin.

Percayakah anda jika saya katakan bahawa Budin adalah jauh lebih berharta berbanding Azlan?
Ya, kaya atau miskin itu bukannya dihitung dengan wang ringgit semata. Kita perlu memandang ke seluruh genap hidup. Ada orang sudah bahagia dan tenang tinggal di rumah 3 bilik. Ada orang pula berada di rumah 5 bilik juga masih belum puas.


"Aku adalah jutawan bendang!"
Justeru, kayakah kita atau miskinkah kita bukanlah keutamaan. Kita akan kaya kalau kita sendiri yang merasakan bahawa kita ini kaya. Seorang yang tinggal selesa dan bahagia di kawasan bendang mungkin akan mengatakan bahawa mereka itu telah kaya kerana memiliki puluhan atau mungkin ratusan relung sawah padi.

Seorang tukang jahit boleh juga mengaku bahawa dia itu mewah kerana dia tidak pernah merasa susah untuk menjalani rutin-rutin hidupnya. Segalanya sudah cukup. Tiada apa yang tidak pernah diperolehinya selama ini.

Jadi, apa ertinya sebuah kekayaan andai ianya sentiasa digelangi dan dibebani dengan pelbagai hutang yang menyempitkan?

Hiduplah kita dengan bersederhana. Moga-moga dengan kesederhanaan dan ketabahan kita itu, akan hadir juga kekayaan buat kita suatu hari nanti, insyaAllah.

Salam kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment