Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Saturday, 27 July 2013

Waris Kesultanan Melaka, Johor - Riau dan Siak di Brunei Darussalam.

Waris Kesultanan Melaka, Johor - Riau dan Siak di Brunei Darussalam. (Asal - Usul keturunan Dayang Tun Zaida)

DENGAN pesaing takhta Siak iaitu Raja Ismail melarikan diri, maka Belanda dengan mudah bersetuju Sultan Muhammad Ali menjadi pengganti ayahandanya Raja Rabiul Alam. Dalam Riwayat Siak dinyatakan bahawa kemenangan Belanda menakluk Siak pada tahun 1761 berkait sedikit sebanyak dengan tindakan Tengku Muhammad Ali dan isterinya Tengku Ambang Besar yang menyiram dengan air serbuk meriam-meriam Siak dan membocorkan kapal-kapal Siak.


Tindakan mereka berdua ini terpaksa dilakukan atas dua sebab utama :
1. Raja Rabiul Alam diancam untuk dibuang negeri ke Ceylon [Sri Lanka] jika penaklukan Siak gagal.
2. Mereka tidak mahu nyawa rakyat yang tidak berdosa hilang begitu sahaja akibat peperangan.


Perkahwinan Tengku Muhammad Ali dengan Tengku Ambang Besar tidak direstui oleh Raja Rabiul Alam disebabkan oleh tindakan Raja Mahmud, ayahanda Tengku Ambang Besar, yang bermati-matian ingin menyingkirkannya dari menaiki takhta Siak. Tetapi setelah kemangkatan Raja Mahmud, Tengku Muhammad Ali diterima kembali ke pangkuan Raja Rabiul Alam.


Takhta Kesultanan Siak Bertukar Tangan Setelah Raja Rabiul Alam mangkat pada tahun 1779, Raja Ismail dengan panglima dan tenteranya dari Pulau Tujuh menyerang Siak. Walaupun ada tentangan dari pihak tentera Sultan Muhammad Ali, Siak akhirnya jatuh ke tangan Raja Ismail. Seperti juga yang berlaku terhadapnya setelah kemangkatan Raja Mahmud [diterima oleh Raja Rabiul Alam], Sultan Muhammad Ali dimaafkan oleh Raja Ismail. Pemerintahan Raja Ismail, yang bergelar Sultan Ahmad Syah, hanya berusia dua tahun. Baginda mangkat pada tahun 1781.


Suasana politik Siak bergolak lagi setelah anakanda Raja Ismail iaitu Raja Yahya menaiki takhta. Raja Yahya, yang dilahirkan pada tahun 1760, menjadi Sultan Siak ketika berusia 21 tahun. Dalam usia yang begitu muda, baginda menjadi sasaran gangguan Sayid Ali, seorang cucu Raja Rabiul Alam. Sayid Ali adalah anak lelaki Tengku Embung Badariah, anak perempuan Raja Rabiul Alam dengan seorang puteri Bugis. Bapa Sayid Ali bernama Sayid Uthman berketurunan Arab.


Sayid Ali terkenal sebagai seorang cucu sultan yang berperangai keras, kasar dan suka mengganggu orang. Sultan Muhammad Ali, ayahanda saudaranya, tidak dapat mengawal tindakan dan perwatakannya yang seolah-olah tiada tandingan itu. Pada tahun 1784 kedua orang putera raja tersebut terlibat dalam percubaan menakluk Selangor dan Sultan Muhammad Ali menjadi Sultan Selangor dalam tempoh singkat sahaja. Oleh kerana tidak ada manfaat dari penaklukan Selangor, Tengku [Sultan] Muhammad Ali balik ke Siak. Sayid Ali tinggal di Selangor tetapi akhirnya diusir keluar.


Menyedari bahawa Raja Yahya tidak dapat bertahan sebagai Sultan Siak dan Sayid Ali semakin bersemangat untuk berkuasa, Tengku Muhammad Ali terpaksa berfikir dan membuat sesuatu bagi mengelakkan dirinya terheret sama ke dalam satu lagi perebutan kuasa yang boleh melemahkan Siak. Baginda sudah bosan dengan karenah ahli-ahli kerabat diraja Siak yang mementingkan diri mereka sendiri tanpa berusaha sedaya upaya untuk melepaskan Siak dari cengkaman penjajahan Belanda.


Pada satu pagi di tahun 1791 tersebar berita bahawa Tengku Muhammad Ali telah mangkat di sebelah malam dan dimakamkan sebelum menjelang pagi, di waktu yang sama isteri baginda bersama seorang anak lelakinya [Tengku Berahim ] juga hilang tanpa kesan. Turut hilang ialah tiga orang anak lelaki Tengku Berahim, masing-masing bernama Tengku Asmad, Tengku Astar dan Tengku Saad yang berusia di antara 12 hingga 15 tahun. Dengan kemangkatan Tengku Muhammad Ali dan hilangnya isteri, anak dan cucu-cucu lelakinya, maka waris Kesultanan Melaka, Johor - Riau dan Siak hanya tertumpu kepada Raja Yahya. Itu pun jika Raja Yahya boleh bertahan sebagai Sultan Siak dengan Sayid Ali semakin bermaharajalela mengacaunya.

Betulkah Tengku / Sultan Muhammad Ali Mangkat ?

Dalam kesibukan rakyat Siak terkejut dengan kemangkatan Tengku Muhammad Ali dan kehilangan ahli-ahli keluarganya, sebuah kapal sedang belayar mengharungi Laut China Selatan dengan haluannya menuju ke Pulau Siantan iaitu salah satu pulau di Pulau Tujuh. Di dalam kapal tersebut berdiri seorang lelaki berusia lewat 50-an. Di sebelahnya juga berdiri seorang lelaki dalam usia pertengahan 40-an. Di buritan kapal seorang lelaki muda berusia awal 30-an sedang berdiri bersama tiga orang pemuda belasan tahun. Sementara itu seorang wanita pertengahan umur memerhatikan enam orang lelaki tersebut dengan penuh rasa kesedihan.


Lelaki berusia 50-an itu ialah Tengku Muhammad Ali. Baginda masih hidup. 'Mayat' yang dimakamkan itu hanyalah sebatang kayu. Hanya dua orang rakyat Siak, yang menguruskan 'mayat' itu, mengetahui rahsia tersebut dan mereka jugalah yang menyebarkan berita kemangkatan itu dan kehilangan isteri, anak lelaki dan tiga orang cucunya. Lelaki 30-an itu ialah Tengku Berahim dan tiga orang pemuda belasan tahun itu ialah Tengku Asmad, Tengku Saad dan Tengku Astar. Isteri Tengku Berahim sudah meninggal dunia. Wanita pertengahan umur itu ialah Tengku Ambang Besar, isteri Tengku Muhammad Ali. Tetapi siapakah lelaki berusia 40 tahun itu?


Lelaki 40-an itu ialah Raja Akil yang dikatakan mati dibunuh pada tahun 1780 setelah merampas takhta Siak dan menjadi Sultan dalam beberapa hari. Raja Akil ialah adinda Tengku Muhammad Ali yang berani menentang Raja Ismail, yang menurunkan Tengku Muhammad Ali dari takhta setelah kalah di dalam perang 1779. Kedua-dua Tengku Muhammad Ali dan Raja Ali memiliki ilmu kekebalan yang hanya mereka kedua ketahui. Apabila mayat Raja Akil diambil sendiri oleh Tengku Muhammad Ali, telah disediakan sebuah rumah di pedalaman Siak untuk menempatkan mayatnya. Setiba mayat itu di sana, Tengku Muhammad Ali menepuk badan 'mayat'. Serta-merta Raja Akil bangun. Bagi mengelakkan rahsia itu dari bocor, Raja Akil menukar namanya menjadi Kasim dan bekerja menjadi petani. Kedua-dua beradik itu berjanji akan lari dari Siak apabila tiba masanya.


Persinggahan pertama Tengku Muhammad Ali dan keluarganya ialah Pulau Siantan, salah sebuah pulau yang terkandung di dalam Pulau Tujuh. Pulau ini merupakan pulau yang sering menjadi kubu ahli-ahli keluarga diraja Melayu yang melarikan diri sebelum mengumpulkan kekuatan untuk menyerang balik musuh-musuh mereka. Oleh kerana Pulau Tujuh merupakan bekas kubu kuat Raja Ismail, maka Tengku Muhammad Ali tidak selesa tinggal di situ dan mengambil keputusan meninggalkan pulau itu menuju ke Pulau Natuna. Di sana pun baginda tidak selesa.


Semasa dalam pelayaran ke Pulau Natuna, isteri Tengku Muhammad Ali jatuh sakit disebabkan oleh kerinduannya terhadap kaum kerabatnya yang ditinggalkan di Siak. Oleh kerana Pulau Natuna sebuah pulau yang terletak jauh di tengah-tengah Laut China Selatan, Tengku Muhammad Ali membawa kapalnya menuju ke Kuching dan mendarat di sebuah kampung yang dipanggil Kalaka. Baginda terpaksa berbuat begitu kerana baginda yakin isterinya pasti mangkat bila-bila masa sahaja dan baginda tidak mahu mayatnya dikebumikan di kawasan tanah yang tidak banyak penghuninya. Di Kampong Kalaka inilah isteri Tengku Muhammad Ali menghembuskan nafas terakhirnya dan jasadnya dikebumikan.


Oleh kerana Tengku Muhammad Ali memerlukan seorang wanita untuk menjaga makan minum baginda dan ahli keluarganya, baginda memutuskan untuk belayar ke Johor bagi melawat kaum kerabatnya di sana dan seterusnya mengajak anak perempuan baginda yang ditinggalkan di Johor pergi bersamanya merantau ke negeri yang bersesuaian. Anak perempuan baginda ini bernama Daeng Pingai yang beribukan perempuan Bugis. Daeng Pingai bersetuju mengikut ayahandanya belayar dengan membawa seekor burung kakak tua peliharaannya yang pandai berkata-kata.


Tengku Muhammad Ali berhijrah ke Brunei dan Menukar Nama.


Sebelum meninggalkan Johor, Tengku Muhammad Ali mendengar berita mengenai Sultan Omar Ali Saifuddien I, Sultan Brunei Ke-18 yang berusia lanjut dan memerintah dengan adil. Dengan mengamalkan pepatah orang tua-tua 'Untung sabut timbul, untung batu tenggelam', Tengku Muhammad Ali mengambil keputusan membawa kapalnya dan ahli-ahli keluarganya ke Brunei. Pelayaran mereka tidak menghadapi banyak rintangan, malah tidak seorang pun kaum keluarganya di Johor mengetahui ke mana mereka.


Dalam pelayaran, Tengku Muhammad Ali dan ahli-ahli keluarganya bersetuju menukar nama mereka bagi membolehkan orang-orang Brunei mengetahui bahawa mereka ahli perniagaan yang ingin menetap di Brunei. Tengku [Sultan] Muhammad Ali mengambil nama Nakhoda Khamis, Raja Akil menjadi Nakhoda Kasim, Tengku Berahim menjadi Nakhoda Samad. Tengku Asmad, Tengku Astar dan Tengku Saad membuang gelaran "Tengku" di pangkal nama mereka. Daeng Pingai mengubah namanya menjadi Dayang Pingai.


Kapal Nakhoda Khamis memasuki Sungai Brunei dan berlabuh di satu kawasan di hulu sungai, tidak begitu jauh dari Jong Batu. Kawasan di mana kapal Nakhoda Khamis berlabuh itu masih tidak berpenghuni dan masih dipenuhi oleh hutan bakau. Dayang Pingai tertarik hati dengan kawasan itu dan meminta ayahnya membina rumah di kawasan itu. Setelah mendapat kebenaran dari pihak isatana untuk membina rumah di kawasan berkenaan, Nakhoda Khamis mengupah beberapa orang tukang kayu Brunei untuk membina rumah. Apabila rumah siap, mereka sekeluarga berpindah dari kapal mereka dan mendiami rumah tersebut.


Nakhoda Khamis dan ahli-ahli keluarganya memulakan penghidupan mereka di Brunei dengan berniaga. Mereka menjual kain, alat keperluan rumah dan seumpamanya. Sebahagian besar pelanggan mereka ialah pembesar-pembesar Brunei dan kaum padian dari Kampong Saba.

Oleh kerana perniagaan Nakhoda Khamis dan keluarganya bertambah maju, maka kawasan yang dahulunya hutan bakau bertukar menjadi sebuah perkampungan. Burung kakak tua Dayang Pingai menjadi tarikan orang-orang yang berurusan dengan mereka. Kerana terlalu disukai ramai, burung itu dipanggil burung pingai [burung kepunyaan Dayang Pingai]. Akhirnya kampung itu dipanggil Kampong Burung Pingai yang disempenakan dengan nama burung yang dipunyai oleh Dayang Pingai.


Sebagai orang pendatang yang ingin bermastautin di Brunei, Nakhoda Khamis terpaksa menyesuaikan dirinya dengan adat resam orang-orang Melayu Brunei ketika itu. Beliau juga perlu mencari asas kukuh untuk membolehkan namanya akan kekal disebut oleh generasi-generasi akan datang. Dengan mengambil kira hal tersebut, Nakhoda Khamis bertawakal menggalakkan Nakhoda Samad [Tengku Berahim] berkahwin lagi. Akhirnya Nakhoda Samad berkahwin dengan seorang wanita Saba keturunan Sulu. Nakhoda Kasim [Raja Akil] yang masih bujang berkahwin dengan seorang wanita dari Kampong Saba yang susur galur keturunannya sampai kepada Sultan Ahmad [Sultan Brunei Kedua].


Perkahwinan kedua-dua Nakhoda Samad dan Nakhoda Kasim dengan wanita-wanita Kampong Saba tersebut menurunkan zuriat keturunannya yang akhirnya berkembang menjadi satu keluarga besar.


Perkahwinan Nakhoda Samad dengan wanita Saba keturunan Sulu melahirkan anak-anak yang bernama Mahat, Suma, Angsa dan Pengarah Cheteria. Hanya keturunan tiga orang anak Nakhhoda Samad iaitu Astar, Pengarah [Tengku] Saad dan Pengarah Cheteria, yang mewarnai senario politik dan pentadbiran Brunei di kurun ke-19 [1800 hingga 1847]. Pengarah [Tengku] Saad mempunyai 10 orang anak, masing-masing bernama Badar, Haji Saman, Untak, Pengarah Digadong Laman, Abdul Kahar, Mailamah, Nurifah, Kajibah, Laminah dan Zainaf. Badar, Haji Saman dan Pengarah Digadong Laman terlibat secara langsung di dalam pergolakan perebutan kuasa di kalangan kerabat diraja Brunei di kurun tersebut.


Anak Nakhoda Samad yang bernama Astar melahirkan dua orang anak, Mohd. Hassan dan Aminah. Mohd. Hassan melahirkan hanya seorang anak lelaki yang kemudiannya bergelar Pehin Khatib Mohammad, sementara Aminah berkahwin dengan sepupunya Abdul Kahar iaitu anak Pengarah [Tengku] Saad. Dari perkahwinan Aminah dengan Abdul Kahar ini lahirlah lima orang anak, masing-masing bernama Dayang Buntar, Apong, Kilali, Budin dan Bariah.


Salah seorang anak Nakhoda Samad yang menyerlah ketokohan dan perwatakannya ialah Pengarah Cheteria. Selain abangnya Pengarah Digadong Laman, yang berkhidmat semasa pemerintahan tiga orang Sultan [Sultan Muhammad Jamalul Alam I, Sultan Muhammad Kanzul Alam dan Sultan Muhammad Alam], Pengarah Cheteria dikurniakan tugas dan tanggungjawab sebagai ketua pegawai istana [sama dengan jawatan Grand Chamberlain].


Adik Nakhoda Khamis iaitu Nakhoda Kasim melahirkan beberapa orang anak. Salah seorang anak lelaki Nakhoda Kasim yang dianggap alim ulama di zamannya ialah Mudim Jamal. Di segi pertalian darah, Mudim Jamal adalah bapa saudara kepada Astar, Pengarah Saad dan Pengarah Cheteria. Anak saudara dan ketiga cucu Nakhoda Khamis yang disebutkan hidup di zaman Sultan Muhammad Jamalul Alam I [1804], Sultan Muhammad Tajuddin [1795 - 1804 dan 1804 - 1807 ] dan Sultan Muhammad Kanzul Alam [1807 - 1826].


Mudim Jamal berkahwin dan melahirkan beberapa orang anak. Di kalangan anak-anaknya terdapat seorang anak beliau yang mempunyai ketokohan dan kewibawaan seperti cucu-cucu Nakhoda Samad yang diceritakan terdahulu [Badar, Haji Saman dan Pengarah Digadong Laman]. Anak Mudim Jamal yang dimaksudkan ialah Pateh Rahim.


Cucu perempuan Pengarah Saad [anak Pengarah Digadong Laman] yang bernama Dayang [Tun} Zaidah berkahwin dengan Sultan Omar Ali Saifuddien II. Perkahwinan tersebut melahirkan Pengiran Anak Hashim, yang kemudiannya diangkat dan ditabalkan menjadi Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin, Sultan Brunei Ke-25.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Naja Sophie.Saya berminat dengan komen tuan/puan. Saya ingin mengetahui lebih lanjut lgi.

    Boleh hubungi saya +6738222689 (GM) atau lawati blog saya www.sunnahbidara.wordpress.com

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Ini mirip dgn petuturan dri datok nenek kami d Kg Burong Pingai... syabas

    ReplyDelete