Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Monday, 13 December 2010

Virus Cinta Virus Benci

Tersebutlah sebuah kisah, di sebuah bangunan syarikat pengendalian urusniaga, seorang General Manager Azmi M Karim, sedang memeriksa portfolio yang baru sahaja disiapkan oleh seorang berjawatan Manager, Ahmad Kasim. Kebetulan pada hari itu, pendingin hawa bilik milik Azmi rosak. Maka dia meminta Ahmad untuk membuka tingkap pejabatnya yang berada di tingkat 11 sementara dia memeriksa portfolio Ahmad.
Ahmad begitu yakin bahawa Azmi akan terpukau melihat hasil kerja yang begitu mantap, kerana ini kali kedua Ahmad yang baru sahaja naik pangkat menghantar portfolionya. Tapi keyakinannya mula rapuh bila melihatkan bosnya membulatkan mata dan mengerutkan dahi. Azmi dengan serta merta menghentam fail ke arah meja dihadapan Ahmad. Ahmad menundukkan kepala dan membongkokkan badan. Dia takut dan hairan.
" Eh, apa yang aku salah buat? Aku dah buat ikut format, aku hantar sebelum deadline, aku dh susun maklumat dengan kemas? "
Sejenak berfikir, timbul prasangka bahwa maklumat yang diperolehinya untuk portfolio itu salah.
" Ini mesti salah diorang ni! Maklumat semua aku dapat dari diorang, " bisik Ahmad.
Fikiran Ahmad terhenti, terdengar suara umpama ngauman singa yang ingin menyerang.
" Apa ini!!? Mana kamu dapat maklumat ini!!? Sejak bila syarikat kita membeli barangan ini sebanyak tiga puluh ribu unit!!? "
" Ini!!, Ini!, Ini! Semuanya salah! "
Jari telunjuk Azmi melompat-lompat di atas kertas portfolio tadi.
" Buat balik semua! Dan saya nak tengok dokumen ini diatas meja saya hari Khamis nanti! "
Ahmad keluar selepas meminta maaf atas kesilapannya dan keluar dari pejabat Azmi. Dia berjalan dengan langkah yang laju dan hentakan yang kuat. Dia berasa begitu malu dan marah.
" Celaka, siap korang. Memang nak sabotaj aku. Ah! "
Sampai saja di pejabatnya, dia terus menuding-nuding jari sambil berkata dengan jelas dan lantang,
" Salim! Kamsah! Mana kamu dapat maklumat yang kamu bagi hari itu!!? Kamu dua sengaja beri maklumat palsu ke apa!!? Dengki aku naik pangkat ke apa!!? "
" Aku nak korang check balik dan bagi aku maklumat tu by pagi esok!! Dan aku nak korang pastikan kali ni maklumat tu semuanya betul!! "
Sebaik saja suara Ahmad senyap, terdengar dentuman kuat pintu biliknya dari luar pejabat. Mulalah mereka yang terdengar membuat andaian masing-masing.
Salim dan Kamsah saling berpandangan, kedua-dua berasa hairan. Dan masing-masing mula merasa kurang selesa kerana kedua-duanya mula menuduh selain diri masing-masing kerana kesalahan maklumat.
Keadaan menjadi suram....
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Petang itu Ahmad hendak pulang ke rumah dan menuju ke arah tempat letak kereta. Masih lagi menyimpan rasa marahnya terhadap orang bawahannya. Terkumat-kamit bibirnya tentang kesalahan Kamsah dan Salim. Perasaannya semakin "panas" kerana dia tersekat dalam kesesakan lalu lintas yang hampir setiap hari dilalui olehnya.
Di rumah, isteri Ahmad, Salwa merasa letih dan sedikit malas. Dia duduk di sofa di kawasan ruang tamu sambil melihat skrin televisyen yang hitam. Anak perempuan kecilnya berasa aneh melihat ibunya melihat televisyen yang belum dibuka.
" Ummi tengok apa tu? Kenaae ummi tak on tv? Ummi sedih tak jumpe remote ke? " anak comel itu bertanya.
Salwa senyum dan memeluk dan bertanya kembali kepada anaknya,
" Nisa nak pegi makan di luar tak malam ni? Nak makan kat KFC? Atau kedai Mak Teh? Kan Nisa suka makan nasi goreng di kedai Mak Teh? "
Anak kecil itu senyum tanda setuju, dan berlari masuk ke bilik untuk bermain dengan patung kura-kuranya dan kucing yang dibelanya.
Salwa senang hati melihat gelagat anaknya. Salwa bercadang untuk menonton televisyen sementara menunggu kepulangan suaminya dari kerja. Baru saja tangan Salwa mencapai remote control, terdengar bunyi deruman enjin dihadapan rumah. Salwa membatalkan niatnya tadi dan terus berjalan menuju ke pintu. Salwa senyum sambil menyandarkan bahu kanannya di pintu sementara menunggu suaminya keluar dari kereta. Melihatkan suaminya menghampirinya, Salwa ingin menyampaikan hajatnya untuk makan malam di luar.
Tapi Ahmad, dari pintu keretanya lagi sudah merasa hairan kenapa isterinya dalam keadaan baju tidur berdiri menyandar di pintu hadapan rumah. Terus lantang suaranya bagai menjerit
" Kenapa ni dok tercegat dekat pintu dengan baju tidur!? Tak malu ke jiran semua tengok!? Masuk! Pergi masak! Abang dah lapar ni! Jangan banyak cakap! "
Salwa tergamam dan terus memalingkan badannya berjalan ke arah dapur tanpa berkata apa-apa. Hatinya merajuk.
Nisa keluar dari biliknya dan terus mencari Salwa di dapur. Nisa menarik baju Salwa di paras pinggangnya dan bertanya dengan nada suara yang comel,
" Ummi, malam ni Nisa nak makan di kedai Simpang Tigalah, dah lama Nisa tak makan mee sup. Mee sup situ sedaaaap"
Salwa menjawab dengan nada suara tegas, tanpa melihat ke arah mata si kecil yang comel,
" Tak jadi, duduk diam-diam, ummi sibuk, jangan main di dapur, main kat luar "
Nisa melepaskan jarinya dari kain ibunya dan memeluk erat patung kura-kuranya. Nisa takut, dia dapat merasakan aura kemarahan ibunya. Dia berjalan ke ruang tamu, dan melihat ayahnya, dia juga takut melihat muka ayahnya, secara tidak sedar, dia dapat membaca hati ayahnya yang tidak tenang. Nisa hampa dan berjalan kembali ke dalam bilik.
Dalam perjalanannya, kucingnya menggesel-geselkan kepalanya di kaki Nisa. Nisa membalas geselan kucing itu tadi dengan menghasilkan bunyi seperti kucing yang marah. Nisa mengendahkan kucing itu tadi dan terus baring di atas katilnya dan tidur.
Tamat Cerita
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Lihatlah, bagaimana perasaan benci dan marah boleh berjangkit-jangkit. Bagaimana perasaan benci dan marah boleh menyebabkan fi tnah. Bagaimana perasaan benci boleh mempengaruhi seorang anak kecil.

Cuba bayangkan bagaimana jalan cerita ini jika setiap perasaan benci ditukarkan menjadi sayang. Iaitu saling memaafkan, saling memahami, dan saling bersikap lembut.
  •  Sudah tentu Ahmad tidak ditengking oleh Azmi.
  •  Sudah tentu Kamsah dan Salim ditegur akan kesalahan mereka dengan tidak meninggikan suara serta tuduhan dan andaian.
  •  Sudah tentu Salwa dipeluk erat suaminya sebaik saja masuk ke rumah.
  •  Sudah tentu Nisa dapat merasakan mee sup di kedai makan di simpang tiga.
  •  Dan sudah tentu kucing Nisa dibelai-belai sehingga tertidur manja.
Lihatlah. Bagaimana perasaan sayang juga boleh berjangkit-jangkit! Bagaimana perasaan sayang boleh menghentikan perjalanan kitaran benci.
Rasulullah ada bersabda:
" Awasilah diri kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. "
[HR Abu Said Al-Khurdi ]
" Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah ia mengikis agama. "
[HR Al-Baihaqi]
Pilihan sentiasa ditangan kita. Sama ada untuk marah atau tidak. Apa gunanya melantangkan suara seperti hilang kewarasan? Cukuplah dengan suara yang tegas. Contohilah sikap para Rasul, para para Nabi, dan para Sahabat. Beringat-ingatlah kita, perasaan marah dan benci itu datangnya dari syaitan, dan perasaan sayang itu adalah dari rahmat Allah.
Contoh dari Hadis (kisah) untuk dijadikan teladan
Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan:
" Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya. Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.
Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ. Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: "Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi."
Rasulullah lantas menjawab: "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan."
Rasulullah kemudian bersabda lagi: "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredhaan Allah. "
Sesungguhnya Allah dan juga rasulnya juga yang lebih mengetahui.
Bersama kita beramal seperti seorang muslim sehingga kita layak untuk melaungkan tanpa keraguan:
" Saksikanlah, aku seorang Muslim!

No comments:

Post a Comment