Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Monday, 15 August 2011

Ke Gereja Untuk ke Masjid




Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah!” saya melafazkan syahadah.


Laura mengulang bilah-bilah kesaksian itu dengan penuh kesungguhan.


“Alhamdulillah. Welcome back, sister!”, saya menadah tangan mengucap syukur.


Laura menangis.


Bukan sedih.


Tetapi riak wajahnya menampaknya suatu kelegaan yang besar.


Pagi itu Laura telah mengisytiharkan keIslamannya di hadapan saya dan beberapa warga masjid, termasuk beberapa muslimat yang saya jemput untuk meraikan Laura.


Thank you, Imam. I feel so blessed that no word can describe my feeling right now. I can’t believe that I am now a Muslim. Finally!” kata Laura.


Saya sendiri berasa sebak dan terharu.


Selepas beberapa kali berutus soal jawab melalui telefon, pagi itu Laura nekad untuk melafazkan syahadahnya. Saya mengalu-alukan ‘kepulangan’ beliau dengan ucapan ‘Welcome back‘, kerana mahu mengangkat hakikat yang diterangkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bahawa setiap insan itu dilahirkan fitrah.


Muslim by nature.


JALAN DATANG KEPADA ISLAM


“Izinkan saya bertanya, apakah yang mengundang nekad kamu untuk memeluk Islam pagi ini?” saya cuba mendapatkan cerita. Ia perkara biasa setiap kali ada saudara baru yang memeluk Islam. Saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia berguna untuk muhasabah dakwah saya.


“Imam pun tahu yang saya memang sudah agak lama cenderung kepada Islam, bukan?” tanya Laura kepada saya.


Saya mengangguk.


Semenjak lebih 6 bulan, Laura sudah berhubung dengan saya. Beliau merupakan pelajar Biologi di universiti berdekatan. Kajian-kajian Laura tentang hal-hal berkaitan evolusi membawa beliau dekat kepada Islam. Beliau terperangkap di antara peperangan Creationist Christian dan Evolutionist yang sering bernada Atheist.


Tetapi Laura tidak punya kekuatan untuk melakukan hijrah.


Banyak perkara yang dipertimbangkannya, terutamanya aspek sosial. Sanggupkan dirinya melakukan perubahan dan bagaimanakah penerimaan keluarga dan rakan… ini merupakan isu besar buat Laura.


Saya mengambil inisiatif menemukan Laura dengan Hannan, iaitu isteri kepada majikan saya yang juga merupakan seorang Irish Muslim. Lanjutan daripada itu, Laura ditemukan dengan beberapa orang lagi Irish Muslim, yang meyakinkan beliau bahawa beliau tidak bersendirian dengan hijrah yang bakal dilakukannya nanti.


“Tetapi, saya mendapat kekuatan itu akibat peristiwa malam tadi!” kata Laura.


“Apa yang berlaku?” saya ingin tahu.


“Malam tadi kami sekeluarga ke gereja untuk menghadiri mass bersempena dengan Hari Ibu. Ajaib sekali, ceramah yang disampaikan oleh paderi di gereja itu sungguh mengesankan. Saya asyik mendengarnya malah ahli gereja yang lain juga begitu mengaguminya” cerita Laura.


“Selepas selesai majlis, seperti biasa paderi berdiri di pintu gereja, bersalaman dengan kami semua. Apabila tiba giliran, saya mengucapkan tahniah kepadanya atas ceramah beliau yang sungguh hebat” sambung Laura.


“Wah bagus begitu. Jarang sekali Imam masjid menghargai mereka yang hadir ke masjid sedemikian rupa. Saya juga harus mengamalkannya!” saya mencelah.


Laura dan hadirin yang lain ketawa.


“Apa isi ceramahnya?” saya mahukan kepastian.


“Oh, ceramah malam tadi ialah tentang hubungan ibu dengan anak, dari kandungan hingga penyusuan dan kepentingan menyusukan anak sendiri” kata Laura.


Saya mengangguk. Jemaah yang lain juga khusyuk mendengar.


“Lalu saya beritahu paderi tersebut: tahniah, kerana ceramah awak yang sangat bagus. Cuma, saya ingin tahu, pernahkah tuan membaca apa-apa dari Quran, buku orang Islam, tentang tajuk yang dibentangkan tadi?” cerita Laura lagi.


Saya khusyuk mendengar cerita Laura. Beliau memang pengunjung setia gereja. Tetapi aturan Allah sedikit berbeza. Setiap kehadirannya ke gereja, menjadikan beliau semakin hampir kepada masjid.


“Paderi itu membisikkan ke telinga saya bahawa sebenarnya beliau mengambil keseluruhan inti ceramahnya daripada al-Quran! Beliau tidak bertemu dengan keterangan sebaik keterangan al-Quran tentang topik tersebut” tegas Laura.


“Allah!” saya mengurut dada.

alanaam114.jpg


“Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu” [Al-An'aam 6: 114]


“Saya sangat terkejut dengan statement beliau. Hampir rebah saya dibuatnya. Apabila saya kembali ke rumah, emak dan ayah masih lagi bercerita tentang kehebatan ceramah paderi di gereja tadi. Saya beritahu mereka apa yang paderi itu sendiri nyatakan kepada saya” sambung Laura.


“Bagaimana reaksi keluarga anda?” saya bertanya.


“Mereka sangat terkejut dan emak saya ketakutan kerana dia tahu kecenderungan saya kepada Islam” jawab Laura.


“Saya sudah lama meyakini kebenaran Islam. Kata-kata paderi itu malam tadi telah memberikan satu-satunya yang saya perlukan untuk menjadi Muslim, iaitu kekuatan. That’s it. I am now a Muslim and I will declare my faith tomorrow!” kata Laura dengan penuh yakin.


Beliau menganggap dirinya telah menjadi Muslim semenjak malam tadi. Tetapi beliau datang ke masjid agar keIslamannya disaksikan oleh pihak masjid untuk maslahah-maslahah yang sedia maklum.


SECEBIS KISAH


Itulah kisah daripada siri peristiwa saya menguruskan proses menerima Islam oleh warga Ireland selama saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland.


Kebanyakan mereka yang memeluk Islam di Ireland, melakukannya hasil kajian dan pembacaan sendiri. Lazimnya, saya hanya membantu menyelesaikan beberapa isu berbaki sebelum mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam.


Sebagai seorang Muslim yang juga Imam di masjid tersebut, tentu sahaja saya bergembira dan bersyukur dengan perkembangan ini, khususnya selepas insiden 11 September 2001. Namun apa yang lebih menggembirakan saya, ialah hakikat integrasi, keterbukaan dan komitmen kepada dialog menjadikan usaha dakwah subur di bumi Eropah.


Saya yakin, jika umat Islam di negara ini memperbaiki identiti mereka agar lebih mudah didekati, bercakap dengan rasional tanpa dikaburkan oleh sentimen dan emosi, maka jalan untuk penyebaran Islam akan terbuka dengan lebih luas.


Kita tidak perlu terlalu terburu-buru mahu mengIslamkan sesiapa, sebaliknya harus banyak menumpukan perhatian kepada menerangkan tentang Islam secara baik kepada mereka yang mencari. Tumpuan kepada berhujah dan berdakwah untuk menyebarkan kebaikan serta kebenaran adalah lebih sejahtera daripada usaha mengIslamkan non Muslim secara tergesa-gesa seolah-olah urusan itu demi kepentingan kita, dan bukannya dia, dan ALLAH.


Malah kita juga harus memberi galakan agar masyarakat Kristian kembali ke gereja. Biar Buddha dan Hindu kembali rajin ke kuil mereka. Selain mengembalikan fungsi agama pada membaikkan manusia, menghargai agama, menjadikan mereka semua setapak lebih hampir kepada Islam. Materialisma yang menjadi anutan manusia hamba duit dan harta, sangat membutakan kehidupan seperti kisah Sahib al-Jannatain di dalam Surah al-Kahf ayat 32 hingga 46.


Jika mereka menerima Islam dan terbuka hatinya untuk memeluk Islam, maka setinggi-tinggi syukur kita lafazkan.

albaqarah256.jpg


“Tiada paksaan di dalam agama” [Al-Baqarah 2: 256]


Jika mereka tidak memeluk Islam, penerangan dan hujah yang disampaikan melalui dakwah dan pendidikan tetap berguna menjauhkan mereka daripada permusuhan membuta tuli terhadap Islam dan seterusnya lebih ‘dekat’ dengan kita, biar pun tidak atau belum bersama.


Kira-kira sebulan selepas memeluk Islam, Laura telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan Ali, seorang sahabat yang berasal dari Libya. Saya telah mengurus dan mengakadkan nikah mereka dengan nasihat agar Ali terus membimbing Laura dengan nasihat agama dan wasiat iman.


Berikan komitmen kepada dakwah, itu tugas yang kita warisi daripada Rasulullah..


Wa saLlallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘alaa aalihi wa sahbihi wa sallam. Walhamdu liLLaahi Rabb al-’Aalameen.

source: http://zharifalimin.blogspot.com/2010/04/ke-gereja-untuk-ke-masjid.html

Friday, 12 August 2011

KISAH NABI SULAIMAN DENGAN SEORANG PEMUDA YANG BERBAKTI KEPADA IBU DAN BAPANYA.


Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud a.s Sejak kecil lagi Nabi Sulaiman sudah pandai memberi pendapat yang adil dalam satu-satu hal.Dalam al_Quran pada ayat 78 hingga ke ayat 82 ada menyebut tentang kelebihan Nabi Sulaiman.Pada suatu hari Nabi Daud bersama anaknya Nabi Sulaiman sedang duduk di serambi mahligainya, kemudian datang seorang petani membuat pengaduan bahawa tanam-tanamannya telah dimusnahkan kambing seorang gembala, setelah Nabi Daud meneliti dengan teliti akan keputusan yang hendak dibuatnya, maka ia pun memberitahu petani tersebut katanya:"Orang yang mengembala kambing itu hendaklah memberikan kambing tersebut kepada kamu sebagai gantirugi".Apabila Nabi Sulaiman mendengar keputusan bapanya, maka Nabi Sulaiman berkata:"Hukuman yang dibuat oleh ayahanda adalah kurang tepat." Nabi Daud berkata:"Kalau kurang tepat apakah hukuman yang lebih baik dari ini?".

Nabi Sulaiman yang baru berusaha 11 tahun pun berkata:"Yang baiknya pada pendapat anakanda ialah, pengembala kambing hendaklah memberikan kambingnya kepada petani ini buat sementara waktu saja, dengan ini petani dapat mengambil susu dan bulunya, dan dalam pada itu pengembala kambing itu hendaklah memperbaiki semula tanaman petani ini.Setelah tanaman itu kembali seperti asalnya, maka petani ini hendaklah memulangkan semula kambing tersebut kepada tuannya."Kagum Nabi Daud mendengar kata-kata yang diucapkan oleh anaknya yang masih mentah itu, maka ia pun berkata:"Hukuman anakanda itu lebih baik dan adil."

Allah swt. Telah meganugerahkan buah fikiran yang baik kepada Nabi Sulaiman dan Allah swt. Juga telah memudahkan angin untuk berkhidmat kepada Nabi Sulaiman a.s. Menurut riwayat, ahli tafsir mengatakan Nabi Sulaiman menggunakan angin untuk menuju ke suatu tempat, seperti mengguna kapalterbang di masa sekarang.Ia duduk diatas tikarnya atau kursinya, lalu angin menerbangkannya ke negeri yang dikehendakinya. Selain daripada itu Allah swt. Juga telah menundukkan syaitan-syaitan kepada Nabi Sulaiman sebagai kuli untuk menyelam ke dalam laut untuk mengambil mutiara-mutiara dan begitu juga untuk membuat kerja-kerja lain, seperti membuat kota, mahligai dan sebagainya.

Setelah wafatnya Nabi Daud, Nabi Sulaiman membesarkan kerajaan dibawah pimpinannya. Pada suatu hari Nabi Sulaiman mengadakan perjalanan bersama rombongannya yang terdiri dari Manusia dan Jin, Nabi Sulaiman mempunyai banyak mukjizat, tujuan Nabi Sulaiman mengaturkan perjalanan ini ialah untuk mengembara ke tepi laut dan untuk mengetahui kebesaran Allah swt.

Setelah sampai ditepi laut, tiba-tiba Nabi Sulaiman terpandang kedalam laut sesuatu benda yang menakjubkan.Ia memerintahkan pada Jin Iprit:"Wahai Ifrit, cuba kamu lihat kedalam laut, ada suatu benda yang menakjubkan aku, oleh itu kamu bawakan ia ke mari!".Jin Ifrit tidak banyak bercakap sebab ia takut akan murka Nabi Sulaiman maka ia pun turun ke laut, setelah Jin Ifrit menyelam begitu dalam ke dalam laut ia pon kembali dengan tangan kosong sambil berkata:"Tuanku, hamba telah menyelam sampai begitu dalam ke dalam laut, tapi hamba tidak berjumpa dengan barang yang tuanku katakan."

Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh Jin yang lain menyelam ke dalam laut untuk mendapatkan benda ajaib yang dikatakan oleh Nabi Sulaiman, tapi malangnya Jin yang ditugaskan itu pun gagal mendapatkan benda tersebut.Setelah mendapatkan penjelasan dari jin-jin tersebut maka Nabi Sulaiman pun berkata kepada Ashif bin Barkhiya yakni orang yang mendapat ilmu terus dari Allah swt." Sekarang aku perintahkan kepadamu, pergilah kamu ke dalam laut dan bawakan benda ajaib yang kukatakan" Ashif bin Barkhiya pun menyelam kedalam laut, apabila ia sampai pada dasar laut maka ia pun terpandang suatu benda yang berupa Kubah yang diperbuat dari kapur putih dan mempunyai pintu, lalu ia berkata didalam hatinya:" Wah, benda apakah ini, bersinar-sinar pula, aku mesti mengeluarkan dengan segera," Ashif ialah seorang manusia yang mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Ashif dapat membawa benda tersebut naik keatas dan mempersembahkan kepada Nabi Sulaiman, apabila Nabi Sulaiman melihat akan benda tersebut ia pun berkata:"Wah, alangkah indahnya benda ini, tapi mengapakah aku tidak dapat melihat isi kandungan benda ini, padahal Allah swt. Telah memberi aku mukjizat yang mana pengelihatanku dapat menembusi segala sesuatu."

Kemudian Nabi Sulaiman berdoa kepada Allah swt. Supaya ia dapat melihat isi dalam benda yang berbentuk Kubah tersebut. Doa Nabi Sulaiman pun diperkenankan oleh Allah swt. Dan terbukalah Kubah tersebut.Apabila Kubah tersebut terbuka maka terlihatlah oleh Nabi Sulaiman seorang pemuda yang sedang sujud dan bertasbih memuji-muji Allah swt. Lalu Nabi Sulaiman berkata:" Maha Suci Allah lagi Maha Besar."Mendengar seruan Nabi Sulaiman maka pemuda itu pun bangun dari sujud lalu memberi salam.

Nabi Sulaiman memulakan pertanyaan kepada pemuda tersebut:"Siapakah kamu wahai pemuda! Adakah kamu Malaikat, Jin atau Manusia."Jawab pemuda itu:" Aku hanyalah seorang manusia biasa." Nabi Sulaiman bertanyakan lagi:"Apakah yang membuat engkau memperolehi kemuliaan sedemikian rupa, apakah amal yang pernah kamu lakukan sehingga Allah swt. Menurunkan rahmat dan berkah yang tak ternilai ini kepada kamu?.Berkatalah pemuda itu:" Saya berbakti kepada kedua ayah dan ibuku". Nabi Sulaiman bertanya lagi:" Bagaimanakah kamu berbakti kepada kedua orang tuamu?" Berkata pemuda tersebut:" Saya memelihara mereka berdua sehingga lanjut usia mereka."

Akhirnya pemuda tersebut pun menceritakan perihalnya, kata pemuda tersebut:" Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang salih, mereka sangat takut dan sangat taat kepada Allah swt. Sejak masih kecil hingga dewasa mereka melihara saya dengan baik sekali, mereka juga mendoakan saya, agar saya menjadi orang yang salih.Bapa saya meninggal dunia dalam usia yang lanjut dalam peliharaan saya dan yang tinggal ialah ibu yang sudah tua, sangat lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh. Sayalah satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya, saya selalu mengangkatnya untuk mandi dan saya yang memandikannya."

Berkata pemuda itu lagi:" Segala urusan makan dan minumnya saya uruskan dan sayalah yang menyuapkan makanannya, sebagaimana ia menyuapkan saya di waktu saya kecil. Saya selalu memohon kepada Allah swt. Dan ibu saya juga selalu berdoa supaya saya dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup saya serta memberikan kepada saya setelah, wafatnya sebuah tempat yang bukan didunia atau pun dilangit.Setelah ibu saya wafat, saya berputar-putar ditepi laut ini, tiba-tiba saya lihat ada suatu Kubah dari mutiara. Saya mendekati Kubah tersebut, ia pintu Kubah terbuka. Apabila saya masuk kedalam, pintu Kubah ini tertutup, maka tidaklah saya ketahui samaada saya berada di bumi atau di langit."

Nabi Sulaiman bertanya lagi:" Kamu hidup di zaman mana?. Pemuda itu menjawab:" Saya hidup di zaman Nabi Ibrahim a.s. " Nabi Sulaiman mengira umur pemuda itu tersebut, dalam kiraannya umur pemuda itu telah mencapai 1.4000 tahun, tetapi tidak ada satu pun uban pada rambutnya. Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu:"Apakah tuan merasakan nikmat Allah swt.? Bagaimana Allah swt.memberikan rezeki pada mu dalam Kubah ini?. Pemuda itu berkata: "Setelah saya berada dalam Kubah ini , maka tahulah saya bahawa Allah swt. Telah menciptakan syurga khusus untuk saya didalam Kubah ini." Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu lagi untuk melihat syurga yang dikatakan oleh pemuda tersebut:" Tunjukkanlah kepadaku bagaimanakah keadaan syurgamu itu.". Pemuda itu berdoa kepada Allah swt. Lalu suasana dalam Kubah itu yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. Terkejut Nabi Sulaiman sambil berkata:"Maha Suci Allah seruan sekalian alam."

Suatu pemandangan yang tiada didunia ini terpampang di hadapan Nabi Sulaiman dan rombongannya, dimana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu, madu dan suara-suara yang merdu. Melihat akan hal ini maka Nabi Sulaiman pun berkata:" Wahai pemuda, ini syurga, demi Allah sesungguhnya kamu telah mendapat kurnia Allah swt. Yang tiada bandingannya". Maka berkata pemuda tersebut:"Memang benar, ini syuarga saya untuk didunia ini, sebagai ganjaran dari Allah swt. Terhadap amal bakti yang saya buat. Kalau saya lapar, saya makan bermacam-macam buah-buahan yang berbagai macam citarasanya, semua jenis makanan yang saya ingin akan tersedia , dan kalau saya haus akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat."

Nabi Sulaiman bertanya lagi:"Bagaimana kamu dapat mengetahui siang atu malam". Jawab pemuda itu:" Apabila terbit fajar maka Kubah ini akan menjadi putih, ini menandakan hari telah siang, dan apabila matahari terbenam Kubah ini menjadi gelap, maka tandanya hari sudah gelap". Pemuda itu berkata lagi:"Cukuplah, sebab saat ini saya harus menghadap kepada Allah swt. Untuk solat dan zikir, bertasbih dan mensucikan dan memuji kebesarannya."Kemudian Nabi Sulaiman pun berkata:" Baiklah wahai pemuda, aku akan segera pergi ke tempat kamu ini."

Kemudian Nabi Sulaiman berserta dengan rombongannya pun keluar dari Kubah tersebut, maka pemuda itu pon berdoa kepada Allah swt. Lalu tertutuplah kembali Kubah tersebut.Nabi Sulaiman termenung sejenak memikirkan peristiwa yang dilihatnya sebentar tadi, dan ia pun mengarahkan Ashif bin Barkhiya supaya menghantarkan kembali Kubah tersebut ke tempat asalnya. Ashif terus membawa Kubah tersebut ke dalam laut dan meletakkan di tempat asalnya.

Setelah itu Nabi Sulaiman pun berkata kepada rombonganya:"Untuk pertama kalinya aku menjumpai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah swt. Aku bersyukur kepada Allah swt. Dan semuga bertambah iman dalam sanubariku, dengan ini juga bertambah pula hikmah dan pel;ajaran yang dikurniakan oleh Allah swt. Terhadapku.Maha suci Allah dan segala puji bagi Allah dan sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya dan kekuatan apa-apapun di dunia ini melainkan dengan kehendak Allah swt." Kemudian kembalilah Nabi Sulaiman bersama rombongannya menuju ke Istana kerajaannya.

Kasihlah kepada kedua ibu bapa kita sebagaimana kasihnya mereka kepada kita, hanya seorang ibu saja yang tahu betapa susah payahnya ia mengandong selama 9 bulan, dan setelah lahir anak itu, kiranya ia sakit hanya ibu dan bapalah yang tahu akan sedihnya mereka kepada anak mereka itu. Apa sumbangan yang harus kita buat terhadap orang yang menjaga kita. Dalam al-Quran Allah swt. Berulang-ulang kali memberitahu kita, supaya kita taat kepada kedua orang tua kita, layanilah dan hormatilah mereka dan jangan sampai mereka marah kepada kita, sebab doa merekalah yang paling mujarab di sisi Allah swt.

SEKIAN
 
Source: google.com 

Thursday, 11 August 2011

Paderi Khatolik Memeluk Islam

Idris Tawfiq

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).
(QS Yunus: 25)

Ayat tersebut di atas menjelaskan bahawa Allah SWT akan memberikan hidayah (jalan kebaikan) kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya untuk memilih Islam. Tak peduli sesiapa pun. Baik kanak-kanak, majikan, mahupun tokoh agama bukan Islam sekalipun. Ayat tersebut sesuai dengan kisah Idris Tawfiq , seorang paderi di Britain yang akhirnya memilih Islam di dalam hidupnya. Beliau menjadi mualaf setelah mempelajari Islam dan melihat sikap lemah-lembut serta kesederhanaan umat Islam.

Sebelumnya, Idris Tawfiq adalah seorang paderi di gereja Katholik Rom di Britain. Pada awalnya beliau memiliki pandangan yang negatif terhadap Islam. Baginya Islam hanya sesuai dengan keganasan, potong tangan, diskriminasi terhadap perempuan, dan sebagainya. Namun pandangan itu mulai berubah ketika beliau melakukan kunjungan ke Mesir. Di negara piramid itu, Idris Tawfiq menyaksikan ketulusan dan kesederhanaan kaum Muslimin dalam melaksanakan ibadah dan serta keramahan sikap mereka. 

Beliau melihat sikap umat Islam yang jauh berbeza dengan pandangannya selama ini. Menurutnya, Islam sangat lembut, bertolak ansur, sederhanana, ramah, dan memiliki sifat keteladanan yang boleh dijadikan contoh untuk agama lain.

Mesir, negara yang membawa perubahan besar dalam hidup Tawfiq

Di Mesir, Tawfiq dapat merasakan kedamaian yang dicarinya. Pada awalnya hanya sebagai mengisi waktu cutinya dengan menyaksikan Pirmad, unta, padang pasir, dan pepohon padang pasir. Namun perkara ini membawanya kepada Islam dan membuat perubahan yang besar di dalam hidupnya.

''Mulanya mahu bercuti. Saya menaiki pesawat ke Hungary. Di Eropah saya mengunjungi beberapa pantai. Selepas itu saya menuju ke Kaherah, Mesir dan di sana saya menghabiskan masa yang paling indah di dalam hidup saya.''

''Ini adalah kali pertama saya berkenalan dengan umat Islam dan Islam. Saya melihat masyarakat Mesir yang lemah lembut, orangnya manis, tetapi sangat kuat,'' terangnya.

''Saya melihat mereka tenang, lembut, dan tertib dalam beribadah. Terdapat juga suara panggilan solat (azan), mereka yang kebanyakannya peniaga, segera bergegas menuju masjid. Indah sekali saya melihatnya,'' katanya.

Dari sinilah, pandangan Tawfiq berubah tentang Islam. ''Waktu itu, seperti masyarakat Britain yang lain, pengetahuan saya tentang Islam adalah seperti yang saya lihat di dalam TV bahawa Islam adlah ganas. Tetapi itu bukanlah ajaran Islam.'' tegasnya.

Di sana beliau membaca Al-Quran. Tawfiq terbaca keterangan di dalam Al-Quran yang menyatakan:

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani". Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong. 
(Al-Maidah ayat 82).

Ayat ini membuatnya berfikir panjang. Baginya Islam adalah sangat baik dan bertolak-ansur. Tetapi ada pihak yang amat memusuhi islam. Inilah yang menjadi babak awal keislaman bekas paderi Britain ini dan akhirnya beliau menerima Islam.

Pulang dari Mesir, Tawfiq masih lagi menjadi penganut agama Katholik. Ketika beliau aktif mengajar pelajaran agama kepada para pelajarnya di sebuah sekolah umum di Britain, beliau diminta untuk mengajarkan pelajaran perbandingan agama.

''Saya mengajar tentang agama Kristian, Islam, Judaisme, Buddha dan lain-lain. Jadi, setiap hari saya harus membaca tentang agama Islam untuk saya ajarkan kepada pelajar. Dan di sana terdapat ramai penuntut Muslim berketurunan Arab. Mereka menunjukkan contoh pergaulan yang baik dan bersikap sopan dengan rakan-rakan. Dari sini, saya makin berminat untuk berinteraksi dengan pelajar Muslim,'' ujarnya.

Sepanjang bulan Ramadhan, beliau melihat umat Islam, termasuk para siswanya, berpuasa serta melaksanakan solat tarawih bersama-sama. ''Perkara ini saya saksikan hampir setiap hari dalam bulan ramadhan. Lama kelamaan saya mula belajar dengan mereka, walaupun ketika itu saya belum menjadi Muslim,'' papar Tawfiq.

Pada bulan Ramadhan, Tawfiq mempelajari Al-Quran. Beliau membaca ayat-ayat Al-Quran dari terjemahannya. Dan ketika membaca ayat 83 surah Al-Maidah, beliau kaku.

''Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Alquran).'' 
(Al-Maidah ayat 83)

Secara tiba-tiba, Tawfiq dapat merasakan apa yang disampaikan Alquran. Beliau menangis. Namun beliau sembunyikan dari pandangan para pelajarnya. Beliau dapat merasa sesuatu di sebalik ayat tersebut.

Bermula dari kejadian itu, Tawfiq makin bersungguh-sungguh mempelajari Islam. Ketika terjadi peristiwa 11 September 2001 dimana dua menara kembar World Trade Center (WTC) di Amerika Serikat telah dirempuh oleh pesawat, ramai orang yang mempersalahkan umat islam dan Islam. Beliau sangat hairan. Walaupun masih memeluk Kristian, beliau yakin bahawa Islam tidak seperti itu.

''Awalnya saya takut juga. Saya khuatir peristiwa sama akan berulang di Britain. Lebih-lebih lagi orang barat menuduh orang Islam yang melakukan rempuhan itu.'' kata Tawfiq.

Namun Tawfiq yakin, Islam tidak seperti apa yang barat fikirkan. Dengan pengalaman di Mesir, beliau dapat melihat Islam adalah agama yang sangat baik, dan penuh dengan toleransi. Terdetik di hatinya, ''Mengapa Islam? Mengapa kita menyalahkan Islam sebagai agama keganasan. Bagaimana jika kejadian itu dilakukan oleh orang Kristian? Adakah Kristian akan dilabel sebagai pengganas?'' Kerana itu, beliau mengagak kejadian itu hanyalah dilakukan oleh pihak tertentu, dan bukannya dari ajaran Islam.

Tawfiq bersama rakan Islam Amerika


Memeluk Islam

Bermula dari situ, beliau cuba mencari jawapannya. Beliau pergi ke Masjid terbesar di London dan berbincang dengan Yusuf Islam tentang Islam. Tawfiq memberanikan diri bertanya pada Yusuf Islam. ''Apa yang akan kamu lakukan apabila menjadi Muslim?''

Yusuf Islam menjawab. ''Seorang Muslim harus percaya pada satu Tuhan, solat lima kali sehari, dan berpuasa pada bulan Ramadhan,'' ujar Yusuf yang dikenali sebagai Cat Stevens.

Tawfiq berkata, ''Semua itu sudah saya lakukan.''

Yusuf berkata, ''Jadi apa yang kamu tunggu?''

Saya katakan, ''Saya masih seorang yang beragama Kristian.''

Perbincangan kami terhenti seketika kerana sudah tiba waktu solat zohor. Para jamaah bersiap-siap untuk menunaikan solat. Saya mundur ke belakang saf dan menunggu sehingga selesai solat.

Ketika menunggu, Tawfiq terdengar  suara yang mempertikaikan sikapnya. ''Saya menjerit, walaupun di dalam hati. ''Siapa yang cuba bermain-main dengan saya.''

Namun saya tidak menjumpai pemilik suara itu. Tetapi suara itu mengajak saya untuk memeluk. Akhirnya, selepas solat selesai, Tawfiq segera menuju ke arah Yusuf Islam. Dan beliau menyatakan ingin memeluk Islam. Tawfiq meminta Yusuf Islam mengajarnya mengucap dua kalimat syahadat.

''Ayshadu an Laa Ilaha Illallah. Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.'' Saya bersaksi, tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Utusan Allah.

Jamaah menyambut dengan gembira. Tawfiq menitiskan air mata. Bukan kerana sedih, tetapi terasa sangat bahagia.

Tawfiq telah memilih agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini. Beliau tidak menyesal setelah menjadi pengikutnya. Pangkat dan penghargaan yang diterimanya dari gereja dilupakan dan ditinggalkannya.

Seperti yang kita tahu, Idris Tawfiq mendapat gelaran kesarjanaan dari University of Manchester dalam bidang sastera, dan gelaran bishop dari University of Saint Thomas Aquinas di Rom. Berstatuskan gelaran tersebut, beliau dapat mengajar ilmu Katholik kepada jemaatnya. Namun, akhirnya beliau beralih mengajarkan Islam kepada masyarakatnya.

''Dulu saya gembira menjadi paderi dan pastor untuk membantu masyarakat selama beberapa tahun  yang lalu. Namun, saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya beruntung, Allah SWT memberikan hidayah pada saya. Saya tidak menyesal meninggalkan tugas saya di gereja. Saya percaya, kejadian (keislamannya) ini lebih baik jika dibandingkan dengan kehidupan masa lalu saya,'' terangnya.

Berdakwah Melalui Lisan dan Tulisan

Ketika ditanyakan pada Idris Tawfiq tentang perbezaan besar antara Kristian Katholik dan Islam, beliau berkata: ''Dasar dari agama Islam adalah Allah. Semua perkara disaksikan Allah, tidak ada yang luput dari perhatianNya. Ini berbeza dengan agama lain. Islam merupakan agama yang menyeluruh.''

Beliau menambah, Islam mengajar umatnya untuk senantiasa beribadah kepada Allah setiap masa. Tidak hanya beribadah pada hari minggu. Selain itu beliau berkata, Islam mengajar umatnya cara menegur dan menyapa orang lain dengan lembut, bersikap ramah, mengajarkan adab makan dan minum, memasuki rumah orang lain, cara bersilaturahim yang baik. ''Tidak hanya dengan itu, semua persoalan dijawab dan diajarkan di dalam Islam,'' terangnya.

Penceramah Dan Penulis

Caranya bertutur, sikapnya yang sopan santun banyak disukai masyarakat. Gaya bicaranya yang baik serta sederhana dan lemah lembut, menyentuh hati menyebabkan orang mudah terpikat dengan hujah-hujahnya. Tawfiq kini giat berceramah dan menulis buku tentang Islam dan keislamannya.

Tawfiq menyampaikan ceramah ke merata tempat dengan satu tujuan, menyebarkan dakwah Islam. Idris Tawfiq mengatakan, dia bukanlah pakar dalam agama. Namun beliau memiliki cara menjelaskan tentang Islam dalam bentuk yang sangat sederhana. Dia memiliki banyak pengalaman dalam berceramah dan mengenali karakter masyarakat.

Tawfiq juga dikenali sebagai penulis. Tulisannya tersebar di ruangan surat khabar, majalah, jurnal, dan laman web. Beliau juga menyumbang artikel-artikel dalam laman web www.islamonline.net dan www.readingislam.com

Dia menulis artikel mingguan di Mesir Mail, akbar tertua Mesir berbahasa Inggeris, dan Sawt Al-Azhar, surat khabar Al-Azhar University. Dia juga adalah pengarang beberapa buah buku. Antaranya, Dari syurga yang penuh kenikmatan: sederhana, pengenalan Islam; Berbicara ke Pemuda Muslim; Berbicara ke Mualaf. Selain itu, beliau juga menjadi juru bicara umat Islam di Barat. Beliau juga banyak memberi ceramah melalui radio dan televisyen.

Web beliau : http://www.idristawfiq.com
===================================================

Saya membaca kisah ini pada 11th August 2011. Memang pada mulanya membaca nda terasa apa-apa, tetapi apabila sudah menghayati dan menggambarkan bagaimana keadaan si Paderi(bekas) mendapat hidayah yang begitu MANIS sekali dari ALLAH swt, timbul rasa terharu dihati saya sendiri.

Sesungguhnya HIDAYAH ALLAH tu inda mengenal siapa-siapa di dunia. Marilah kita memohon kepada ALLAH, agar kita sentiasa mendapat hidayah dariNYA. Amin.



Isa_Hs (11/8/11)

Wednesday, 10 August 2011

Aku Yakin ALLAH Tidak Akan Mensia-siakan Ku.

Kadangkala dalam hidup kita tidak pernah sedar, Tuhan sudah melengkapkan hidup kita dengan benda-benda yang kita perlukan untuk jalani hidup dengan sempurna. Sebab Dia akan sentiasa berikan yang terbaik buat kita.
Sempurna vs Terbaik?
Sempurna itu saya lihat dari sisi, dari gambaran cukup atau tidak dalam sesuatu benda asas dalam hidup yang menjadi suatu keperluan, bukan dalam konteks kita dapat segalanya yang kita minta.
Terbaik? Benda yang kita perolehi itu pastinya sesuatu yang Allah sudah rancang untuk kita, dan Dia tahu itu ada adalah sebaik-baik perkara yang bersesuaian dengan fitrah diri kita. Bukankah Allah itu sebaik-baik perancang? Seperti mana tidak pernah ada istilah kebetulan ataupun istilah bernasib baik dalam hidup. Segala sudah diatur rapi, hanya menunggu masa untuk 'dilepaskan' dari Loh Mahfuz dan mencorakkan hidup kita.
Hidup tetap ada pasang surutnya. Tetap ada kegembiraan walapun terselit duka. Allah juga telah berjanji, selepas kesusahan pasti kesenangan berpanjangan akan datang menghampiri. Untuk mengharungi, caranya juga Allah telah jelaskan. Solat dan sifat sabar itu penawarnya.
Syukur tingkatannya lebih tinggi dari tingkatan sabar. Berapa ramai manusia boleh bersabar? Tidak ramai. Apatah lagi yang mampu mengucap syukur, malah bilangan lebih sedikit. Apa erti syukur yang sebenarnya? Apabila kita redha dengan segala ujian yang datang menyinggah, itu adalah suatu bentuk kasih dan tarbiyyah Dia buat kita. Redha? Bila hati ini belajar mengucapkan syukur. Lebih cantik apabila diadun dengan tawakal dan kebergantungan sepenuhnya terhadap rahmat Allah yang tidak pernah surut datang menyirami kita setiap masa.
Rezeki Allah itu bertebaran di muka buminya yang luas, selagi ada rezeki buat kita maka usah gusar. Mengapa harus dikisahkan, dirisaukan tentang perkara yang belum pasti berlaku? Benar hidup itu suatu percaturan, tiada siapa yang mengetahui masa depan apa yang bakal berlaku.
Namun bersedia dengan kejutan dalam hidup yang sudah ditentukan dan tetap istiqamah berusaha mencari redhaNya, suatu ketetapan yang perlu dilakukan sentiasa. Itu sahaja cara mengajar hati agar redha. Jangan pernah berhenti yakin dengan adanya rahmat Allah, tetap sentiasa akan ada laluan buat kita seandainya laluan target kita sudah beralih simpangnya, kerana Allah sudah membina 'jalan yang lain'.
Terus usaha mencari redhaNya. kerana Allah melihat kepada hasil. balasan yang setimpal itu imbalannya. sama ada dalam bentuk yang sama seperti apa yang kita usahakan, mungkin juga balasan itu dalam bentuk lain yang tidak pernah kita sangka-sangka. yakinlah bahawa hidup ini diciptakan dengan indah, dan ujian itu penyerinya. Ujian itu wasilah kita mencapai apa yang sepatutnya yang terbaik dalam hidup kita. Ujian itu perlu sebelum melayakkan diri kita menerima imbalan yang pastinya tetap membuatkan hidup kita tenang dan dalam keredhaanNya.
Cukuplah Allah sebagai pelindungku.
Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bersabar. Usah bersedih.
-Artikel iluvislam.com

Dimana DIA di Hatimu?

Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.
Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.
Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);
"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.
Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."
Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"
Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."
Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...
- Artikel iluvislam.com

Aku Tetap BerSYUKUR

Alangkah bahagianya hidup ini walau aku bukan dari golongan orang kaya raya.  Aku dibesarkan dalam keluarga yang amat sederhana, bahkan, aku tidak segan untuk mengakui keluargaku bukan dari orang yang mewah dan senang.  Tetapi aku tetap bersyukur dari dahulu hingga sekarang.
Jika dibandingkan dengan orang yang senang, aku termasuk golongan yang kurang senang.  Tetapi jika dibandingkan dengan golongan yang lebih susah dariku, aku termasuk golongan orang yang senang.
Aku pernah ke sekolah dengan hanya sebatang pensil, sepasang baju, sepasang kasut dan wang belanja sebanyak 15 sen sehari.  Cuba bandingkan dengan yang senang dan yang susah.  Jadi aku patut bersyukur yang aku senang.
Bila masuk ke universiti, aku berbekalkan 'maggi' dan biskut kering.  Walhal kawan-kawanku berbekalkan biskut berkrim dan lemak manis dan duit yang banyak.  Aku hanya diberi RM50 untuk wang belanja.  Aku masih ingat jasa baik adik bongsuku menghantar surat sekali sekala dan masukkan RM1 untuk ku dari simpanan duit belanja sekolahnya.  Tetapi tidak seorang sahabatku tahu cara hidupku.  Aku bersyukur.
Bila mula-mula kerja, aku menyewa bilik di bawah tangga yang sepatutnya bilik stor.  Kalau nak masuk ke bilik, aku perlu menunduk kepala.  Dan bila berada dalam bilik, aku tidak boleh berdiri tegak sebab bumbungnya memang rendah.  Sekeping tuala ku jadikan tilam alas tubuhku untuk tidur.  Dan separuh baju-bajuku sebagai bantal alas kepalaku.  Aku susun baju-bajuku yang lain yang hanya berapa helai ditepi dinding sebelah tempat aku tidur. Lantainya simen semata-mata.
Tetapi aku tidak pernah lupa untuk menghulur RM50 setiap bulan kepada ibubapaku.  Dan setiap kali gajiku naik aku tambah pemberianku kepada mereka.  Aku bersyukur.
Satu hari ibu bapaku telefon ke pejabat nak datang tengok bilikku sewa.  Aku buat macam-macam alasan sehingga satu hari mereka berjaya datang ke rumah yang aku menyewa bilik itu.  Alangkah terperanjat mereka melihat keadaanku.
Ibuku menitis airmata dan muka ayahku berubah.  Tetapi aku tetap mengukir senyuman dan berjanji aku akan pindah ke bilik yang lebih selesa tidak lama lagi.  Waktu itu aku hanya bergaji sebanyak RM275 sebagai kerja yang pertama.
Satu ketika aku hanya tinggal 15sen dalam saku dan terpaksa berjalan kaki balik.  Tetapi hatiku tidak pernah rasa susah dan aku sentiasa bersyukur.
Waktu malam aku hanya minum air panas dan cicah biskut kering.  Aku terpaksa ketatkan perutku sebab aku perlu menampung semua perbelanjaan dengan duit gaji sebanyak itu.  Tambang bas, duit sewa bilik, duit bulanan ibubapaku dan duit buat perbelanjaanku untuk makan minum dan pakaianku.
Tetapi berkat kesabaranku, doa dan restu kedua orang tuaku dan dengan nasihat mereka yang aku tidak lupa, aku berjaya berdikari menempuh segala perit jerih dalam hidupku.
Sehingga aku telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai 3 orang anak.  Yang sulung sudah pun mendirikan rumahtangga dan aku dianugerahkan seorang cucu perempuan yang amat comel.
Anak kedua perempuanku sudah bekerja dan beliau pula sentiasa menghulur wang bulanan kepada kami.  Inilah berkatnya rezeki waktu aku membantu kedua ibubapaku dan kini aku dibalas jasa dengan pemberian dari anakku pula.
Betapa bahagianya hidupku kini.  Kini aku menikmati kebahagian hidupku dengan lebih bertambah lazatnya.  Aku peruntukan masa mendalami ilmu ugama serta belajar alquran sebagai bekalan hidupku diakhirat kelak.  Betapa syukurnya aku kepada Allah SWT.
Alhamdulillah aku telah dijemput Allah SWT sebagai tetamu ke rumah-Nya berulang-ulang kali semenjak tahun 1989 mulai umrahku yang pertama.
Mungkin juga berkat duit ku kerja, aku pernah membawa kedua ibubapaku berumrah pada tahun 1997.
Dan aku amat bersyukur dapat membawa ibuku berumrah bulan Ramadhan tahun 2006.
Ayahku telah meninggal dunia pada tahun 2000.  Semenjak tahun 2000 aku telah berulang kali berumrah di bulan ramadhan sehingga aku seolah-olah tidak dapat tidak berumrah bila Ramadhan tiba.
InsyaAllah ramadhan tahun 2011 ini aku telahpun berdaftar untuk menunaikan umrah.  Bersyukurku kepada-Nya aku telah diizinkan menunaikan fardhu haji sebanyak dua kali dalam tahun 1992 dan 2001 dan jika diizinkan aku menyimpan hasrat hendak menunaikan haji ke tiga, insyaAllah.  Aku tetap bersyukur kepada-Nya.
Jikaku fikirkan, hidupku dipenuhi bermacam-macam warna dan rasa.  Ada yang berwarna cahaya berkilau-kilauan menggambarkan kejayaan dan kebahagiaan, ada yang berwarna hitam pekat yang menggambarkan pengalaman pahit maung.
Ada rasa manis seperti madu menggambarkan keenakan dalam hidupku dan tidak kurang juga rasa pahit hempedu menggambarkan musibbah yang menimpa diriku.  Tetapi dengan semua ini, aku tidak lupa mensyukuri-Nya kerana semua ini aku terima sebagai ujian dari-Nya.  Bahkan dengan segala pengalaman ini juga membuat diriku lebih yakin sebagai hamba Allah-Nya.
Aku tidak pernah mimpi aku akan diberi rezeki begitu mewah sekali jika ku fikirkan hidupku waktu dahulu.  Sungguh benarlah bahawa usaha, sabar dan taqwa akan membenihkan rezeki yang berlipat ganda jika kita yakin.
Aku bersyukur dan sentiasa sujud kepada-Mu Ya Allah Ya Rahman Ya Karim.  Dan selawat dan salamku kepada kekasih-Mu Ya Allah, Nabi Ulul Azmi.  Aku mengakhiri penulisanku dengan lafaz kalimah Asy hadu an la ilaha illallah hu wa asy ha du anna muhammaddarrosullullah.
- Artikel iluvislam.com

Indahnya Tentang Takdir

"Kalau benar Allah tu kejam, kau dah pun hangus disambar petir waktu kau lalai tunaikan kewajipan kau sebagai hamba Allah. Contohnya waktu kau tidak mengerjakan solat'
Itu kata seorang temanku sewaktu aku menanyakan soal Neraka dan Syurga. Sewaktu aku menanyakan di manakah tempatnya arwah Iyai, Atu dan Paksu sekarang ini.
Iyai, Atu dan Paksu sudah lebih setahun meninggalkan kami. Dalam payah menerima kenyataan itu, aku pujuk hati aku. Dunia ini hanya sementara dan akhirat juga yang abadi.
Berfikir lagi......
'Perpisahan' itu sebahagian daripada rencana dunia. Iyai, Atu dan Paksu hanya permulaan untuk sengsara ku menghadapi 'perpisahan' dengan orang yang amat aku sayangi.
Sedangkan, di dunia ini masih bernafas mereka yang sangat-sangat aku sayangi dan entah bila 'perpisahan' lain akan terjadi. Maka aku simpan angan-angan untuk bertemu mereka akhirat nanti.
Namun, apakah aku akan bertemu dengan mereka? Sedang aku sendiri tidak pasti di manakah tempat untuk aku di akhirat sana.
Lebih setahun aku cuba merungkai persoalan-persoalan yang sering timbul dalam otak. Akhirnya aku menemui sesuatu yang aku terlalu jahil selama ini.
Yang pertama aku ucapkan, Alhamdullilah... Terima kasih ya Allah atas cinta ini. Dan Subhanallah.... Begitu agungnya cinta Allah.... Akhir sekali, Astagfirullah.... Ampunkan aku wahai Tuhan atas kekhilafanku mempersoalkan bukti cinta-Mu...
Saat menghadapi musibah, aku dipujuk dengan ungkapan, 'itu takdir Allah, kita harus terima'. Dalam rasa sakit hati, kecewa dan sedih mengharunginya aku tidak mampu berfikir secara positif.
Malah, aku mempersoalkan apa itu takdir? Kenapa takdirku begitu? Syukur, kalau bukan kerana soalanku itu, aku mungkin tidak akan memperolehi jawapannya. Mungkin itu sebahagian daripada hikmah Allah atas kurnia musibah kepada ku.
Hidup kita sudah ditentukan sejak azali lagi. Sudah tertulis dalam takdir jalan yang akan kita lalui sepanjang hidup. Maka kenapa Tuhan perlu menghukum kita atas jalan cerita yang ditulis-Nya?
Selalu kita hanya menurut kata takdir. Kita semat dalam minda, hidup kita sudah ditentukan Allah. Kita tidak mampu mengubahnya kerana kita tidak berkuasa. Benar, yang berkuasa hanya Allah.
Hanya Allah yang mampu mengubah segalanya. Kerana itu kita perlu berdoa. Berdoa kepada Allah untuk menjadikan kita lebih baik. Dengan doa, banyak perkara yang boleh berubah. Itulah kelebihan DOA.
Dan aku bertanya lagi... Dengan doa kita boleh mengubah takdir kita?
(aku rasa semakin malu dengan kejahilanku. Tapi malu itu aku tolak ke tepi demi ilmu)
Ya... Ada takdir yang boleh berubah. Takdir tidak semestinya bermaksud kata muktamad untuk hidup kita.
Takdir ada dua, takdir mubram dan takdir mu'allaq.
Takdir mubram ialah qadha dan qadar yang tidak dapat dielakkan. Ia pasti terjadi pada diri manusia sedangkan manusia tidak mempunyai kesempatan atau tidak ada ikhtiar untuk memilihnya. Contohnya seperti hari kiamat dan apabila seseorang meninggal dunia.
Sebagaimana firman ALLAH S.W.T :  
'Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat pula memajukannya' [Al-Araf:34]
Takdir mubram ini terdapat pada sunatullah yang ada di alam raya ini. Oleh kerana itu, sunnatullah tersebut juga terbahagi dua iaitu hukum-hukum kemasyarakatan dan hukum alam. Dalam al-Quran surat al- Fushilat ayat 11 dinyatakan bahawa sekali-kali tidak akan pernah terjadi perubahan pada sunnatullah.
Takdir mu'allaq pula ialah qadha dan qadar yang bergantung pada ikhtiar dan usaha seseorang mengikut kemampuan yang ada pada manusia. Dalam menghadapi takdir ini manusia berdoa, wajib berikhtiar atau berusaha ikut kemampuan demi mengubah keadaan menjadi lebih baik buat dirinya. Tentu sahaja soal berhasil atau tidak usahanya bergantung kepada ALLAH S.W.T.
Aku semakin tertarik tentang takdir mu'allaq, takdir yang boleh diubah dengan doa.
(temanku tersenyum.  mungkin dia kasihan melihat aku yang sangat teruja.)
Aku mengalihkan pandangan ke depan. Membiarkan telingaku ke arahnya. Biar aku dapat mendengar dengan lebih jelas. (sebenarnya untuk mengelak dia melihat mukaku yang sedang menahan malu dek kejahilanku)
Jangan salah faham dengan takdir mu'allaq itu. Doa saja tidak akan mendatangkan kesan. Pernah dengar makna DUIT? (selamba jer aku jawab, duit itu wang. Benda untuk kita beli sesuatu.) DUIT punya makna yang lebih dalam.
'D' = DOA        'U' = USAHA     'I' = IKHTIAR     'T' = TAWAKAL
Selain berdoa, kita perlu berusaha dan mencari ikhtiar. ALLAH S.W.T menjelaskan dalam firman-NYA :
'Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah keadaan (nasib) sesuatu bangsa sehingga bangsa itu mahu mengubah keadaan (nasib) mereka sendiri.' [Ar-Rad : 11]
Dalam konteks usaha dan ikhtiar, sebagai hamba kita perlu menggunakan akal yang dikurniakan khusus untuk kita sebagai manusia.
Sebagai contoh, apabila kita lapar perlukah kita menunggu orang lain untuk menyuapkan kita makanan yang ada di depan mata kita sedangkan kita sendiri punya tangan.
Demikian juga Tuhan. Allah telah menganugerahkan kita segala kudrat. Dengan kudrat serta akal, Allah menyuruh kita berusaha mendapatkan apa yang kita minta (melalui doa) kerana Allah telah pun memberikan permintaan kita itu (Insya-Allah).
Namun, tidak semua yang kita doakan itu akan Allah berikan. Di sinilah tawakal berperanan.
Tawakal bermaksud menerima dengan redha segala yang telah Allah kurniakan. Tawakal juga menyakini hikmah di sebalik semua yang terjadi. Ada sebab kenapa Allah tidak memakbulkan doa kita.
Sebab yang tentunya untuk kebaikan kita. Dengan tawakal juga, kita tidak akan merasa terlalu kecewa apabila Allah tidak mengabulkan doa kita kerana kita telah yakin akan hikmah di sebalik semuanya.
Apa kaitannya DUIT dengan takdir mu'allaq?
(Pemikiranku yang hanya sejengkal tentang agama ini menerbitkan pertanyaan. Temanku tidak terus menjawab, sebaliknya menceritakan aku suatu kisah sebagai contoh).
Ada seorang gadis menjumpai duit sebanyak 300 ringgit. Semasa dia menjumpai duit itu, tidak ada sesiapa bersamanya. Sudah pasti, seandainya dia mengambil duit itu tidak ada sesiapa pun tahu.
Dia mula berfikir, sama ada mangambil duit itu ataupun membiarkan sahaja. Di sini gadis itu mempunyai banyak pilihan. Melalui pilihan yang dia pilih itulah yang akan menentukan takdirnya.
Satu perkara yang perlu diketahui, takdir mu'allaqq lebih dahulu ditulis sebelum takdir mubram. seandainya gadis itu memilih untuk mengambil duit itu, maka takdir mubram akan tertulis gadis itu sebagai pencuri.
Takdir mubram tidak dapat diubah lagi kerana gadis itu telah mengambil duit yang bukan miliknya. Maka, atas kesalahan mencuri itulah gadis itu akan dihukum.
Tetapi, atas dasar cinta dan kasih Allah, gadis itu tidak terus dihukum malah diberikan kesempatan untuk menginsafi perbuatannya.
Di sini doa juga memainkan peranan. Dalam kekeliruan, gadis itu berdoa. Memohon kepada Allah untuk ditunjukkan kepadanya hidayah.
Dengan izin Allah, gadis itu mendapat ilham untuk mengembalikan duit 300 ringgit itu ke balai polis.
Oh... begitu rupanya. Hari ini baru aku tahu takdir itu ada juga yang boleh diubah dengan 'DUIT'?
Menyedari hakikat itu, kini semuanya terletak di tangan kita. Memang Allah telah menulis takdir kita, namun kita juga boleh meminta untuk menjadi yang lain. Kita masih diberikan peluang untuk menjadi yang baik. Selagi kita bernafas, selagi kita diberikan hidup, selagi itulah peluang ada untuk kita.
Lihatlah sahabat, betapa Tuhan juga punya toleransi. Sebesar mana dosa yang kita lakukan, selagi kita hidup selagi itulah pintu keampunan Allah terbuka luas untuk kita. Kita hanya perlu tepuk dada dan tanya hati kita.
Namun yang sedihnya, apabila ada antara kita yang merasa layak untuk menghukum. Dan sebilangan besar dari kita sukar untuk memaafkan.
Terlalu sukar untuk memberikan peluang kepada insan lain untuk berubah. Apakah kita sudah merasa setaraf dengan Tuhan untuk menghukum orang lain tanpa memberikan peluang?
Ya Allah, betapa singkatnya pemikiranku selama ini. Aku mencari-cari bukti cinta-Mu dari semua musibah yang menimpahku. Tetapi sukar untuk aku mendapatkannya kerana kejahilanku tentang sifat-Mu.
Terima kasih ya Allah atas kekeliruan ini kerana jika tidak kerana kekeliruan ini, tidak akan terlintas di benakku untuk mengenali-Mu dengan lebih dalam.
Semakin aku mengenali-Mu aku semakin yakin dengan kasih-MU.
-Artikel Iluvislam.com

Kisah Itik dan Kura-kura

Terdapat dua ekor itik dan seekor kura-kura yang bersahabat baik tinggal di suatu kawasan yang semakin kering dek kemarau panjang. Binatang-binatang yang bermastautin di situ telah lama meninggalkan tempat tersebut memandangkan semakin hari semakin sukar untuk mendapatkan makanan dan minuman. Semua kolam kering dan tumbuh-tumbuhan semakin kekuningan dimamah sinaran mentari yang hangat membahang.
Disebabkan keadaan semakin mendesak, maka dua ekor itik itupun telah berpakat dan mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan yang lebih lembab dan berair. Kura-kura berasa risau memandangkan sahabat baiknya ingin meninggalkan tempat tersebut. Dengan keadaannya yang bergerak lambat dan tidak boleh terbang seperti mereka, agak mustahil untuk dirinya mengikuti jejak langkah mereka. Maka dia pun berkatalah kepada kedua-dua ekor itik tersebut.
"Kalian hendak berpindah, nanti aku akan mati kekeringan di sini. Aku tidak mampu terbang mengikutimu mencari tempat yang lebih baik. "
"Hmmm.. betul juga kata kamu Si Kura-Kura. Owh, tidak mengapa jika kamu mahu, kami boleh membantu kamu untuk sama-sama berpindah," ujar salah seekor itik tersebut setelah berfikir seketika.
"Bagaimana?" balas kura-kura kembali.
"Kami berdua akan menggigit sebatang kayu dan kamu juga mesti menggigit kayu itu untuk sampai ke destinasi kita dengan selamat. Bagaimana, kamu setuju?" Soal itik.
"Owh, kalau begitu aku setuju," kura-kura memberi persetujuan tanpa berbelah bagi.
Maka terbanglah kedua-dua ekor itik itu mencari tempat tinggal baru bersama kura-kura. Tiba-tiba sedang melalui suatu kawasan, ada beberapa orang budak nakal yang mengejek kura-kura.
"Hei kura-kura! Ada hati nak terbang tinggi. Engkau tu dah memang semulajadinya tidak boleh terbang, ada hati nak terbang tinggi macam itik. "
Kura-kura berasa geram dan marah dengan ejekan tersebut, tetapi dia masih tidak berkata apa-apa kerana dia tahu jika dia membuka mulut pasti dia akan terjatuh.
Kedua-dua itik tersebut terus terbang meninggalkan mereka tanpa mempedulikan ejekan budak-budak itu. Setelah penat terbang mencari destinasi impian, mereka melalui satu lagi kawasan yang dipenuhi dengan budak-budak yang sedang bermain. Mereka begitu kagum dengan keberanian dan kesungguhan kura-kura.
"Kura-kura, kami kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kamu. Walaupun kamu tidak boleh terbang, tetapi kamu berusaha dengan gigih dan mahu ditolong oleh sahabat-sahabat mu, " jerit mereka kepada kura-kura.
Disebabkan teruja dengan pujian budak-budak tersebut, maka kura-kura pun membuka mulutnya untuk menjawab pujian budak-budak itu.
'ALHAMDULILLAH, aku ingin pergi ke tempat yang lebih baik dan berair bersama itik-itik"
Sebelum sempat menghabiskan kata-katanya, maka jatuhlah kura-kura itu ke atas tanah dan berkecailah badannya.
Begitulah berakhirnya kisah Itik dan Kura-Kura. Apabila dikeji, dihina, kura-kura begitu kuat tetapi kura-kura yang dulu bersemangat kental akhirnya mati menyembah bumi dek kerana sedikit pujian.
Begitu juga dengan kita, kita akan kuat apabila dihina dan diberi pelbagai tohmahan tetapi kita mudah terbuai dengan puji-pujian. Dalam kehidupan ini, kita janganlah cepat lemah dengan kejian, dan cepat riak dengan hanya sedikit pujian.Sebaliknya sentiasa bersyukur dan jadikan setiap kejian, umpatan dan fitnah tersebut sebagai sumber kekuatan kita untuk terus berjaya. Dan jika kita dipuji, janganlah pula berasa riak. Sebaliknya kembalilah segala pujian tersebut kepada-Nya, kerana tanpa keizinan-Nya tidak mungkin kita mampu memiliki apa yang kita usahakan.
Awal pujian adalah lembah kehinaan. Janganlah kita mudah terbuai dengan pujian yang diberikan, kelak kita yang akan binasa.
- Artikel iluvislam.com