Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Wednesday, 10 August 2011

Aku Tetap BerSYUKUR

Alangkah bahagianya hidup ini walau aku bukan dari golongan orang kaya raya.  Aku dibesarkan dalam keluarga yang amat sederhana, bahkan, aku tidak segan untuk mengakui keluargaku bukan dari orang yang mewah dan senang.  Tetapi aku tetap bersyukur dari dahulu hingga sekarang.
Jika dibandingkan dengan orang yang senang, aku termasuk golongan yang kurang senang.  Tetapi jika dibandingkan dengan golongan yang lebih susah dariku, aku termasuk golongan orang yang senang.
Aku pernah ke sekolah dengan hanya sebatang pensil, sepasang baju, sepasang kasut dan wang belanja sebanyak 15 sen sehari.  Cuba bandingkan dengan yang senang dan yang susah.  Jadi aku patut bersyukur yang aku senang.
Bila masuk ke universiti, aku berbekalkan 'maggi' dan biskut kering.  Walhal kawan-kawanku berbekalkan biskut berkrim dan lemak manis dan duit yang banyak.  Aku hanya diberi RM50 untuk wang belanja.  Aku masih ingat jasa baik adik bongsuku menghantar surat sekali sekala dan masukkan RM1 untuk ku dari simpanan duit belanja sekolahnya.  Tetapi tidak seorang sahabatku tahu cara hidupku.  Aku bersyukur.
Bila mula-mula kerja, aku menyewa bilik di bawah tangga yang sepatutnya bilik stor.  Kalau nak masuk ke bilik, aku perlu menunduk kepala.  Dan bila berada dalam bilik, aku tidak boleh berdiri tegak sebab bumbungnya memang rendah.  Sekeping tuala ku jadikan tilam alas tubuhku untuk tidur.  Dan separuh baju-bajuku sebagai bantal alas kepalaku.  Aku susun baju-bajuku yang lain yang hanya berapa helai ditepi dinding sebelah tempat aku tidur. Lantainya simen semata-mata.
Tetapi aku tidak pernah lupa untuk menghulur RM50 setiap bulan kepada ibubapaku.  Dan setiap kali gajiku naik aku tambah pemberianku kepada mereka.  Aku bersyukur.
Satu hari ibu bapaku telefon ke pejabat nak datang tengok bilikku sewa.  Aku buat macam-macam alasan sehingga satu hari mereka berjaya datang ke rumah yang aku menyewa bilik itu.  Alangkah terperanjat mereka melihat keadaanku.
Ibuku menitis airmata dan muka ayahku berubah.  Tetapi aku tetap mengukir senyuman dan berjanji aku akan pindah ke bilik yang lebih selesa tidak lama lagi.  Waktu itu aku hanya bergaji sebanyak RM275 sebagai kerja yang pertama.
Satu ketika aku hanya tinggal 15sen dalam saku dan terpaksa berjalan kaki balik.  Tetapi hatiku tidak pernah rasa susah dan aku sentiasa bersyukur.
Waktu malam aku hanya minum air panas dan cicah biskut kering.  Aku terpaksa ketatkan perutku sebab aku perlu menampung semua perbelanjaan dengan duit gaji sebanyak itu.  Tambang bas, duit sewa bilik, duit bulanan ibubapaku dan duit buat perbelanjaanku untuk makan minum dan pakaianku.
Tetapi berkat kesabaranku, doa dan restu kedua orang tuaku dan dengan nasihat mereka yang aku tidak lupa, aku berjaya berdikari menempuh segala perit jerih dalam hidupku.
Sehingga aku telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai 3 orang anak.  Yang sulung sudah pun mendirikan rumahtangga dan aku dianugerahkan seorang cucu perempuan yang amat comel.
Anak kedua perempuanku sudah bekerja dan beliau pula sentiasa menghulur wang bulanan kepada kami.  Inilah berkatnya rezeki waktu aku membantu kedua ibubapaku dan kini aku dibalas jasa dengan pemberian dari anakku pula.
Betapa bahagianya hidupku kini.  Kini aku menikmati kebahagian hidupku dengan lebih bertambah lazatnya.  Aku peruntukan masa mendalami ilmu ugama serta belajar alquran sebagai bekalan hidupku diakhirat kelak.  Betapa syukurnya aku kepada Allah SWT.
Alhamdulillah aku telah dijemput Allah SWT sebagai tetamu ke rumah-Nya berulang-ulang kali semenjak tahun 1989 mulai umrahku yang pertama.
Mungkin juga berkat duit ku kerja, aku pernah membawa kedua ibubapaku berumrah pada tahun 1997.
Dan aku amat bersyukur dapat membawa ibuku berumrah bulan Ramadhan tahun 2006.
Ayahku telah meninggal dunia pada tahun 2000.  Semenjak tahun 2000 aku telah berulang kali berumrah di bulan ramadhan sehingga aku seolah-olah tidak dapat tidak berumrah bila Ramadhan tiba.
InsyaAllah ramadhan tahun 2011 ini aku telahpun berdaftar untuk menunaikan umrah.  Bersyukurku kepada-Nya aku telah diizinkan menunaikan fardhu haji sebanyak dua kali dalam tahun 1992 dan 2001 dan jika diizinkan aku menyimpan hasrat hendak menunaikan haji ke tiga, insyaAllah.  Aku tetap bersyukur kepada-Nya.
Jikaku fikirkan, hidupku dipenuhi bermacam-macam warna dan rasa.  Ada yang berwarna cahaya berkilau-kilauan menggambarkan kejayaan dan kebahagiaan, ada yang berwarna hitam pekat yang menggambarkan pengalaman pahit maung.
Ada rasa manis seperti madu menggambarkan keenakan dalam hidupku dan tidak kurang juga rasa pahit hempedu menggambarkan musibbah yang menimpa diriku.  Tetapi dengan semua ini, aku tidak lupa mensyukuri-Nya kerana semua ini aku terima sebagai ujian dari-Nya.  Bahkan dengan segala pengalaman ini juga membuat diriku lebih yakin sebagai hamba Allah-Nya.
Aku tidak pernah mimpi aku akan diberi rezeki begitu mewah sekali jika ku fikirkan hidupku waktu dahulu.  Sungguh benarlah bahawa usaha, sabar dan taqwa akan membenihkan rezeki yang berlipat ganda jika kita yakin.
Aku bersyukur dan sentiasa sujud kepada-Mu Ya Allah Ya Rahman Ya Karim.  Dan selawat dan salamku kepada kekasih-Mu Ya Allah, Nabi Ulul Azmi.  Aku mengakhiri penulisanku dengan lafaz kalimah Asy hadu an la ilaha illallah hu wa asy ha du anna muhammaddarrosullullah.
- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment