Pada 3 Mac 1924, parlimen Republik Turki memansuhkan Khilafah Uthmaniyyah. Abdülmecid II (Abdul Majid II), Khalifah ke-101 dan terakhir dibuang negeri. Sistem Khalifah yang menjadi penaung umat Islam selama 1,292 tahun telah dilenyapkan oleh orang Islam sendiri.
Pada asalnya, Mustafa Kemal Ataturk cuma memansuhkan Kesultanan Uthmaniyyah. Khalifah dikekalkan sebagai ketua agama secara simbolik. Gambar ini menunjukkan suasana para pembesar dan askar Turki memberi tabik hormat terakhir kepada Mehmed VI, Sultan Uthmaniyyah terakhir dan Khalifah Islam ke-100 semasa beliau meninggalkan istana, selepas parlimen Turki memansuhkan Kesultanan pada 1 November 1922.
Namun, selagi Khilafah wujud, selagi itulah imperialis tidak akan redha. Malah, ekoran daripada penguasaan British ke atas Istanbul, berlaku Gerakan Khilafat di India (jajahan British) di mana pemimpin-pemimpin Islam (Maulana Shaukat Ali dan Maulana Muhammad Ali Jauhar) dan Hindu (Mahatma Gandhi) bergabung untuk mendesak British mengembalikan kedudukan Khalifah. Orang Islam dan Hindu bersatu membela Khilafah? “Wow, unthinkable!”
Gerakan tersebut telah digagalkan oleh British dengan mempermainkan sentimen agama dan memecah belahkan orang Islam dan orang Hindu. Namun ia tetap memberi impak besar ke atas Ataturk, membuatnya lagi nekad untuk memansuhkan Khilafah supaya tiada yang dapat menghalang projek sekularisasinya.
Hilang Khilafah, hilanglah simbol perpaduan umat Islam yang boleh mempertahankan hakimiyya (“God’s sovereignty”) dan ummah. Prinsip politik umat Islam kini digantikan dengan siyadah (“people’s sovereignty”) dan qawmiyya (nasionalisme). Apabila umat Islam tidak dapat bertindak secara kolektif, tanah dan kekayaan dirobek oleh imperialis dengan begitu mudah sekali. Hari ini Saudi bergabung dengan Mesir menentang Syria, esok hari Mesir bergabung dengan Syria menentang Saudi, lusa pula Turki bergabung dengan Saudi menentang Mesir. Seronok imperialis tengok kita bergaduh.
Kejatuhan Khilafah bukan kesalahan Ataturk seorang, bukan kesalahan Sharif Hussein seorang, bukan kesalahan Ibn Saud seorang. Ia adalah hasil daripada generasi yang mindanya telah ditawan oleh gagasan-gagasan imperialis. Khilafah telah “hilang” pada tahun 1908 apabila golongan cendekiawan dan aktivis “Young Turk” memberontak dan menuntut demokrasi berparlimen, padahal mereka belum bersedia lagi. Kerana mereka memusuhi sistem Khilafah, mereka berpandangan bahawa orang Islam hanya dapat “maju” melalui modenisme dan sekularisme.
Setahun kemudian (1909), golongan ultra-sekularis-nasionalis di bawah “Committee of Union and Progress” (CUP) merampas kuasa dan menguasai parlimen. Tahun 1913, pemimpin utama CUP iaitu Talaat Pasha, Enver Pasha dan Djemal Pasha (“Tiga Pasha”) mengosongkan kuasa politik Khalifah/Sultan Mehmed V. Mereka membawa Uthmaniyyah ke ambang kehancuran dengan melibatkan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama, memaksa Sheikhul Islam mengisytiharkan jihad, meskipun ditentang kuat oleh Khalifah.
Pada 13 November 1918, Istanbul ditawan oleh tentera pakatan British, Perancis, Itali dan Greece. Buat kali pertama kota Istanbul dikuasai oleh kuasa asing selepas ia ditakluk oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453. Uthmaniyyah dipaksa untuk menandatangani Perjanjian Sevres yang akan membuat Uthmaniyyah hilang hampir semua wilayah jajahannya. Pada saat itu, Mustafa Kemal muncul sebagai “penyelamat” Bangsa Turki dengan “memerangi” British dan “merunding semula” Perjanjian itu menjadi Perjanjian Lausanne yang memelihara keutuhan wilayah Turki. Dengan adanya prestij yang tinggi ini, Mustafa Kemal, seorang bekas ahli CUP, melancarkan projek sekularisasi untuk membina sebuah negara bangsa Turki yang moden.
Kejatuhan Khilafah ialah tragedi besar, namun tindakan melulu menghidupkan semula Khilafah tanpa strategi juga akan membawa fitnah yang lebih besar. Apabila berita kemansuhan Khilafah sampai ke Kurdistan di timur Turki, ulama-ulama tempatan mengisytiharkan jihad dan melancarkan pemberontakan terhadap Ataturk. Mereka mengajak seorang alim besar bernama Said Nursi untuk menyertai mereka.
Namun Said Nursi sedar, tumbangnya seorang Ataturk, akan bangkit lagi 10 orang Ataturk, akar pokok masalahnya ialah kehilangan pedoman orang Islam dalam menghadapi arus pemodenan. Untuk menegakkan semula Khilafah, terlebih dahulu kita perlu mengembalikan Khilafah dalam diri kita sendiri. Jadi, Said Nursi menolak keganasan dan berjihad dengan pen. Beliau mengarang Risalah An-Nur yang bertujuan memelihara pemahaman Islam yang murni dalam masyarakat Turki yang telah disekularkan. Beliau dikurung, dipenjara, diseksa oleh rejim Ataturk sehingga akhir hayat. Tapi boleh nampak usaha beliau telah membuai hasil di Turki hari ini.
Khilafah dari segi politik telah hilang, namun khilafah dalam diri belum dan tidak akan hilang. Setiap manusia diciptakan oleh Allah sebagai”Khalifah fil-Ard”, khalifah di muka bumi. 3 Mac, tarikh yang menyayat hati ini, mari kita mengambil pengajaran dan menghayati makna di sebalik KHALIFAH.
SUMBER:https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/10206362968952695
No comments:
Post a Comment