Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Monday, 17 September 2018

SEJARAH KEJATUHAN KHAIFAH UTHMANIYAH TURKI.

Pada 3 Mac 1924, parlimen Republik Turki memansuhkan Khilafah Uthmaniyyah. Abdülmecid II (Abdul Majid II), Khalifah ke-101 dan terakhir dibuang negeri. Sistem Khalifah yang menjadi penaung umat Islam selama 1,292 tahun telah dilenyapkan oleh orang Islam sendiri.
Pada asalnya, Mustafa Kemal Ataturk cuma memansuhkan Kesultanan Uthmaniyyah. Khalifah dikekalkan sebagai ketua agama secara simbolik. Gambar ini menunjukkan suasana para pembesar dan askar Turki memberi tabik hormat terakhir kepada Mehmed VI, Sultan Uthmaniyyah terakhir dan Khalifah Islam ke-100 semasa beliau meninggalkan istana, selepas parlimen Turki memansuhkan Kesultanan pada 1 November 1922.
Namun, selagi Khilafah wujud, selagi itulah imperialis tidak akan redha. Malah, ekoran daripada penguasaan British ke atas Istanbul, berlaku Gerakan Khilafat di India (jajahan British) di mana pemimpin-pemimpin Islam (Maulana Shaukat Ali dan Maulana Muhammad Ali Jauhar) dan Hindu (Mahatma Gandhi) bergabung untuk mendesak British mengembalikan kedudukan Khalifah. Orang Islam dan Hindu bersatu membela Khilafah? “Wow, unthinkable!”
Gerakan tersebut telah digagalkan oleh British dengan mempermainkan sentimen agama dan memecah belahkan orang Islam dan orang Hindu. Namun ia tetap memberi impak besar ke atas Ataturk, membuatnya lagi nekad untuk memansuhkan Khilafah supaya tiada yang dapat menghalang projek sekularisasinya.
Hilang Khilafah, hilanglah simbol perpaduan umat Islam yang boleh mempertahankan hakimiyya (“God’s sovereignty”) dan ummah. Prinsip politik umat Islam kini digantikan dengan siyadah (“people’s sovereignty”) dan qawmiyya (nasionalisme). Apabila umat Islam tidak dapat bertindak secara kolektif, tanah dan kekayaan dirobek oleh imperialis dengan begitu mudah sekali. Hari ini Saudi bergabung dengan Mesir menentang Syria, esok hari Mesir bergabung dengan Syria menentang Saudi, lusa pula Turki bergabung dengan Saudi menentang Mesir. Seronok imperialis tengok kita bergaduh.
Kejatuhan Khilafah bukan kesalahan Ataturk seorang, bukan kesalahan Sharif Hussein seorang, bukan kesalahan Ibn Saud seorang. Ia adalah hasil daripada generasi yang mindanya telah ditawan oleh gagasan-gagasan imperialis. Khilafah telah “hilang” pada tahun 1908 apabila golongan cendekiawan dan aktivis “Young Turk” memberontak dan menuntut demokrasi berparlimen, padahal mereka belum bersedia lagi. Kerana mereka memusuhi sistem Khilafah, mereka berpandangan bahawa orang Islam hanya dapat “maju” melalui modenisme dan sekularisme.
Setahun kemudian (1909), golongan ultra-sekularis-nasionalis di bawah “Committee of Union and Progress” (CUP) merampas kuasa dan menguasai parlimen. Tahun 1913, pemimpin utama CUP iaitu Talaat Pasha, Enver Pasha dan Djemal Pasha (“Tiga Pasha”) mengosongkan kuasa politik Khalifah/Sultan Mehmed V. Mereka membawa Uthmaniyyah ke ambang kehancuran dengan melibatkan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama, memaksa Sheikhul Islam mengisytiharkan jihad, meskipun ditentang kuat oleh Khalifah.
Pada 13 November 1918, Istanbul ditawan oleh tentera pakatan British, Perancis, Itali dan Greece. Buat kali pertama kota Istanbul dikuasai oleh kuasa asing selepas ia ditakluk oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453. Uthmaniyyah dipaksa untuk menandatangani Perjanjian Sevres yang akan membuat Uthmaniyyah hilang hampir semua wilayah jajahannya. Pada saat itu, Mustafa Kemal muncul sebagai “penyelamat” Bangsa Turki dengan “memerangi” British dan “merunding semula” Perjanjian itu menjadi Perjanjian Lausanne yang memelihara keutuhan wilayah Turki. Dengan adanya prestij yang tinggi ini, Mustafa Kemal, seorang bekas ahli CUP, melancarkan projek sekularisasi untuk membina sebuah negara bangsa Turki yang moden.
Kejatuhan Khilafah ialah tragedi besar, namun tindakan melulu menghidupkan semula Khilafah tanpa strategi juga akan membawa fitnah yang lebih besar. Apabila berita kemansuhan Khilafah sampai ke Kurdistan di timur Turki, ulama-ulama tempatan mengisytiharkan jihad dan melancarkan pemberontakan terhadap Ataturk. Mereka mengajak seorang alim besar bernama Said Nursi untuk menyertai mereka.
Namun Said Nursi sedar, tumbangnya seorang Ataturk, akan bangkit lagi 10 orang Ataturk, akar pokok masalahnya ialah kehilangan pedoman orang Islam dalam menghadapi arus pemodenan. Untuk menegakkan semula Khilafah, terlebih dahulu kita perlu mengembalikan Khilafah dalam diri kita sendiri. Jadi, Said Nursi menolak keganasan dan berjihad dengan pen. Beliau mengarang Risalah An-Nur yang bertujuan memelihara pemahaman Islam yang murni dalam masyarakat Turki yang telah disekularkan. Beliau dikurung, dipenjara, diseksa oleh rejim Ataturk sehingga akhir hayat. Tapi boleh nampak usaha beliau telah membuai hasil di Turki hari ini.
Khilafah dari segi politik telah hilang, namun khilafah dalam diri belum dan tidak akan hilang. Setiap manusia diciptakan oleh Allah sebagai”Khalifah fil-Ard”, khalifah di muka bumi. 3 Mac, tarikh yang menyayat hati ini, mari kita mengambil pengajaran dan menghayati makna di sebalik KHALIFAH.

SUMBER:https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/10206362968952695

Friday, 23 October 2015

ERTI SEBUAH PERKAHWINAN.

Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan.
Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa. Ketika nabi Adam tinggal di syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan.

Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud :"Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya."

Berkahwin Kerana Ibadah
Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahawat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah. Kerna itulah, setiap muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali. Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah. Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh. Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah.

Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah SAW. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku".
Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas.

Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan. Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan Al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga. Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.

Cinta Dan Kasih Sayang
Cinta dan kasih sayang adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam di antara suami isteri berpaksikan Islam.
Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila telah tiada di dunia nanti. Justeru hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap baitul muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan. Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerna firtah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ar-Rum:30 :
"Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."

Tarbiyah Dan Pendidikan
Pendidikan adalah tema penting dalam sesebuah perkahwinan mithali. Kecemerlangan dan kehebatan anak-anak yang menjadi tunjang dan penyeri sebuah keluarga bermula daripada pendidikan yang diberikan oleh ibubapa. Haluan yang dipilih perlulah ditapis daripada elemen-elemen yang tidak sihat yang menjadi punca keruntuhan sebuah keluarga.

Perlu diingatkan bahawa anak-anak adalah aset yang mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.
Pentarbiyahan dan pendidikan yang diterapkan perlu berteraskan ketauhidan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul seterusnya menjunjung Al-Quran sebagai kalam Allah yang tidak ada keraguan baginya.
Ibu dan bapa yang prihatin akan sentiasa membentengi anaknya daripada kebejatan moral dan akhlak yang tenat pada mutakhir ini seperti vandalisme, hedonisme dan materialisme yang menatijahkan keruntuhan iman dan akhlak anak-anak mereka.

Begitu juga, pendidikan anak-anak bukan hanya terpikul di atas bahu ibu atau bapa sahaja, malah kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk keluarganya ke arah keluarga mithali yang hebat dan cemerlang.
Lelaki atau bapa merupakan ketua bagi setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 34 bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan)".

Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar. Isteri pula perlu mengembelingkan segala potensi kelembutan, ketabahan dan kepekaannya untuk mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik. Pendidikan anak akan menentukan keindahan dan kejayaan perkahwinan mithali untuk jangka masa yang panjang. Kita melihat fenomena hari ini di mana anak-anak berselerak dan terbiar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak mithali.

Ibu bapa melepaskan tangan dalam perjuangan mendidik anak-anak. Amat malang sekali sekiranya kita berbuih mulut bercakap tentang perjuangan Islam sedangkan anak-anak seperti itik yang terlepas dari kandang, terbiar dan membawa diri dalam dunia sendiri. Sebelum berkahwin sepatutnya pasangan lelaki dan perempuan mendalami dan memfaqihkan diri tentang ilmu-ilmu selok belok rumahtangga. Paling penting kedua-dua pasangan perlu sembahyang dan taat kepada perintah Allah.

Ibu Bapa Mithali
Perkahwinan mithali bermula dari ibu dan bapa yang mithali. Kita pasti berasa malu sekiranya pasangan suami isteri tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak dek kerana kejahilan tentang Islam yang disengajakan. Kita tidak mahu ibu dan ayah hanya terkelu lidahnya apabila diminta anaknya mengajar tentang solat, doa-doa harian dan bacaan Al-Quran yang betul.

Contoh terunggul perkahwinan mithali tentunya datang dari junjungan mulia Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah selaku suri teladan sepanjang zaman telah meletakkan Khadijah binti Khuwailid sebagai wanita pertama yang bertakhta di hati baginda dan berjaya menakluki hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam.

Keindahan perkahwinan Baginda terungkap dalam pergaulannya dengan Khadijah dan isteri-isteri yang lain.
Kehadiran putera dan puteri serta cucu Baginda telah menyerikan lagi kehidupan keluarga Rasulullah.
Mengimpikan sebuah perkahwinan mithali, hanya tinggal mimpi jika kita tidak menyelak kembali sejarah hidup baginda sekeluarga yang amat indah itu.

Tegasnya perkahwinan mithali yang aman dan bahagia adalah impian pasangan suami isteri. Namun bukan semua rumahtangga mampu melakar dan mengekalkan kebahgiaan. Terdapat rumah tangga yang tergadah dengan kekusutan yang tiada jalan penyelesaian malah penceraian menjadi kemuncak pemilihan kerana kemurkaan terhadap hambanya.

Janganlah gelanggang perkahwinan hanya satu platform atau pentas untuk bersandiwara atau bercengkerama tanpa dihiasi dengan keilmuan dan amalan yang berterusan. Perkahwinan bukan hanya satu testing ground  tetapi ia adalah realiti yang perlu ditempuhi dengan kearifan, kesabaran dan kejituan iman.

Lantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Pelantikan-Pelantikan Baru (2015-2020)


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 22 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengumumkan mengenai Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Negara Brunei Darussalam dan Pelantikan-Pelantikan Baru, di Istana Nurul Iman.
Baginda dalam titah mengumumkan Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan beberapa lantikan lain, seperti berikut:
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan juga Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman sebagai Menteri Pendidikan.
Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim sebagai Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua).
Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng sebagai Menteri di JPM dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua).
Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar sebagai Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di JPM.
Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.
Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah sebagai Menteri Pembangunan.
Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong sebagai Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat sebagai Menteri Perhubungan.
Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Dato Paduka Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi sebagai Menteri Kesihatan.
Dato Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar sebagai Timbalan Menteri di JPM.
Dato Paduka Awang Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud sebagai Timbalan Menteri di JPM.
Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Awang Abdul Aziz bin Mohd Tamit sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
Dato Paduka Awang Haji Hisyam bin Haji Mohd Hanifah sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Dato Paduka Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Dato Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; dan
Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar sebagai Timbalan Menteri Pembangunan.
Baginda bertitah, pelantikan tersebut bermula pada Khamis, 9 Muharram 1437 bersamaan dengan dengan 22 Oktober 2015 bagi tempoh lima tahun.

Saturday, 27 July 2013

Waris Kesultanan Melaka, Johor - Riau dan Siak di Brunei Darussalam.

Waris Kesultanan Melaka, Johor - Riau dan Siak di Brunei Darussalam. (Asal - Usul keturunan Dayang Tun Zaida)

DENGAN pesaing takhta Siak iaitu Raja Ismail melarikan diri, maka Belanda dengan mudah bersetuju Sultan Muhammad Ali menjadi pengganti ayahandanya Raja Rabiul Alam. Dalam Riwayat Siak dinyatakan bahawa kemenangan Belanda menakluk Siak pada tahun 1761 berkait sedikit sebanyak dengan tindakan Tengku Muhammad Ali dan isterinya Tengku Ambang Besar yang menyiram dengan air serbuk meriam-meriam Siak dan membocorkan kapal-kapal Siak.


Tindakan mereka berdua ini terpaksa dilakukan atas dua sebab utama :
1. Raja Rabiul Alam diancam untuk dibuang negeri ke Ceylon [Sri Lanka] jika penaklukan Siak gagal.
2. Mereka tidak mahu nyawa rakyat yang tidak berdosa hilang begitu sahaja akibat peperangan.


Perkahwinan Tengku Muhammad Ali dengan Tengku Ambang Besar tidak direstui oleh Raja Rabiul Alam disebabkan oleh tindakan Raja Mahmud, ayahanda Tengku Ambang Besar, yang bermati-matian ingin menyingkirkannya dari menaiki takhta Siak. Tetapi setelah kemangkatan Raja Mahmud, Tengku Muhammad Ali diterima kembali ke pangkuan Raja Rabiul Alam.


Takhta Kesultanan Siak Bertukar Tangan Setelah Raja Rabiul Alam mangkat pada tahun 1779, Raja Ismail dengan panglima dan tenteranya dari Pulau Tujuh menyerang Siak. Walaupun ada tentangan dari pihak tentera Sultan Muhammad Ali, Siak akhirnya jatuh ke tangan Raja Ismail. Seperti juga yang berlaku terhadapnya setelah kemangkatan Raja Mahmud [diterima oleh Raja Rabiul Alam], Sultan Muhammad Ali dimaafkan oleh Raja Ismail. Pemerintahan Raja Ismail, yang bergelar Sultan Ahmad Syah, hanya berusia dua tahun. Baginda mangkat pada tahun 1781.


Suasana politik Siak bergolak lagi setelah anakanda Raja Ismail iaitu Raja Yahya menaiki takhta. Raja Yahya, yang dilahirkan pada tahun 1760, menjadi Sultan Siak ketika berusia 21 tahun. Dalam usia yang begitu muda, baginda menjadi sasaran gangguan Sayid Ali, seorang cucu Raja Rabiul Alam. Sayid Ali adalah anak lelaki Tengku Embung Badariah, anak perempuan Raja Rabiul Alam dengan seorang puteri Bugis. Bapa Sayid Ali bernama Sayid Uthman berketurunan Arab.


Sayid Ali terkenal sebagai seorang cucu sultan yang berperangai keras, kasar dan suka mengganggu orang. Sultan Muhammad Ali, ayahanda saudaranya, tidak dapat mengawal tindakan dan perwatakannya yang seolah-olah tiada tandingan itu. Pada tahun 1784 kedua orang putera raja tersebut terlibat dalam percubaan menakluk Selangor dan Sultan Muhammad Ali menjadi Sultan Selangor dalam tempoh singkat sahaja. Oleh kerana tidak ada manfaat dari penaklukan Selangor, Tengku [Sultan] Muhammad Ali balik ke Siak. Sayid Ali tinggal di Selangor tetapi akhirnya diusir keluar.


Menyedari bahawa Raja Yahya tidak dapat bertahan sebagai Sultan Siak dan Sayid Ali semakin bersemangat untuk berkuasa, Tengku Muhammad Ali terpaksa berfikir dan membuat sesuatu bagi mengelakkan dirinya terheret sama ke dalam satu lagi perebutan kuasa yang boleh melemahkan Siak. Baginda sudah bosan dengan karenah ahli-ahli kerabat diraja Siak yang mementingkan diri mereka sendiri tanpa berusaha sedaya upaya untuk melepaskan Siak dari cengkaman penjajahan Belanda.


Pada satu pagi di tahun 1791 tersebar berita bahawa Tengku Muhammad Ali telah mangkat di sebelah malam dan dimakamkan sebelum menjelang pagi, di waktu yang sama isteri baginda bersama seorang anak lelakinya [Tengku Berahim ] juga hilang tanpa kesan. Turut hilang ialah tiga orang anak lelaki Tengku Berahim, masing-masing bernama Tengku Asmad, Tengku Astar dan Tengku Saad yang berusia di antara 12 hingga 15 tahun. Dengan kemangkatan Tengku Muhammad Ali dan hilangnya isteri, anak dan cucu-cucu lelakinya, maka waris Kesultanan Melaka, Johor - Riau dan Siak hanya tertumpu kepada Raja Yahya. Itu pun jika Raja Yahya boleh bertahan sebagai Sultan Siak dengan Sayid Ali semakin bermaharajalela mengacaunya.

Betulkah Tengku / Sultan Muhammad Ali Mangkat ?

Dalam kesibukan rakyat Siak terkejut dengan kemangkatan Tengku Muhammad Ali dan kehilangan ahli-ahli keluarganya, sebuah kapal sedang belayar mengharungi Laut China Selatan dengan haluannya menuju ke Pulau Siantan iaitu salah satu pulau di Pulau Tujuh. Di dalam kapal tersebut berdiri seorang lelaki berusia lewat 50-an. Di sebelahnya juga berdiri seorang lelaki dalam usia pertengahan 40-an. Di buritan kapal seorang lelaki muda berusia awal 30-an sedang berdiri bersama tiga orang pemuda belasan tahun. Sementara itu seorang wanita pertengahan umur memerhatikan enam orang lelaki tersebut dengan penuh rasa kesedihan.


Lelaki berusia 50-an itu ialah Tengku Muhammad Ali. Baginda masih hidup. 'Mayat' yang dimakamkan itu hanyalah sebatang kayu. Hanya dua orang rakyat Siak, yang menguruskan 'mayat' itu, mengetahui rahsia tersebut dan mereka jugalah yang menyebarkan berita kemangkatan itu dan kehilangan isteri, anak lelaki dan tiga orang cucunya. Lelaki 30-an itu ialah Tengku Berahim dan tiga orang pemuda belasan tahun itu ialah Tengku Asmad, Tengku Saad dan Tengku Astar. Isteri Tengku Berahim sudah meninggal dunia. Wanita pertengahan umur itu ialah Tengku Ambang Besar, isteri Tengku Muhammad Ali. Tetapi siapakah lelaki berusia 40 tahun itu?


Lelaki 40-an itu ialah Raja Akil yang dikatakan mati dibunuh pada tahun 1780 setelah merampas takhta Siak dan menjadi Sultan dalam beberapa hari. Raja Akil ialah adinda Tengku Muhammad Ali yang berani menentang Raja Ismail, yang menurunkan Tengku Muhammad Ali dari takhta setelah kalah di dalam perang 1779. Kedua-dua Tengku Muhammad Ali dan Raja Ali memiliki ilmu kekebalan yang hanya mereka kedua ketahui. Apabila mayat Raja Akil diambil sendiri oleh Tengku Muhammad Ali, telah disediakan sebuah rumah di pedalaman Siak untuk menempatkan mayatnya. Setiba mayat itu di sana, Tengku Muhammad Ali menepuk badan 'mayat'. Serta-merta Raja Akil bangun. Bagi mengelakkan rahsia itu dari bocor, Raja Akil menukar namanya menjadi Kasim dan bekerja menjadi petani. Kedua-dua beradik itu berjanji akan lari dari Siak apabila tiba masanya.


Persinggahan pertama Tengku Muhammad Ali dan keluarganya ialah Pulau Siantan, salah sebuah pulau yang terkandung di dalam Pulau Tujuh. Pulau ini merupakan pulau yang sering menjadi kubu ahli-ahli keluarga diraja Melayu yang melarikan diri sebelum mengumpulkan kekuatan untuk menyerang balik musuh-musuh mereka. Oleh kerana Pulau Tujuh merupakan bekas kubu kuat Raja Ismail, maka Tengku Muhammad Ali tidak selesa tinggal di situ dan mengambil keputusan meninggalkan pulau itu menuju ke Pulau Natuna. Di sana pun baginda tidak selesa.


Semasa dalam pelayaran ke Pulau Natuna, isteri Tengku Muhammad Ali jatuh sakit disebabkan oleh kerinduannya terhadap kaum kerabatnya yang ditinggalkan di Siak. Oleh kerana Pulau Natuna sebuah pulau yang terletak jauh di tengah-tengah Laut China Selatan, Tengku Muhammad Ali membawa kapalnya menuju ke Kuching dan mendarat di sebuah kampung yang dipanggil Kalaka. Baginda terpaksa berbuat begitu kerana baginda yakin isterinya pasti mangkat bila-bila masa sahaja dan baginda tidak mahu mayatnya dikebumikan di kawasan tanah yang tidak banyak penghuninya. Di Kampong Kalaka inilah isteri Tengku Muhammad Ali menghembuskan nafas terakhirnya dan jasadnya dikebumikan.


Oleh kerana Tengku Muhammad Ali memerlukan seorang wanita untuk menjaga makan minum baginda dan ahli keluarganya, baginda memutuskan untuk belayar ke Johor bagi melawat kaum kerabatnya di sana dan seterusnya mengajak anak perempuan baginda yang ditinggalkan di Johor pergi bersamanya merantau ke negeri yang bersesuaian. Anak perempuan baginda ini bernama Daeng Pingai yang beribukan perempuan Bugis. Daeng Pingai bersetuju mengikut ayahandanya belayar dengan membawa seekor burung kakak tua peliharaannya yang pandai berkata-kata.


Tengku Muhammad Ali berhijrah ke Brunei dan Menukar Nama.


Sebelum meninggalkan Johor, Tengku Muhammad Ali mendengar berita mengenai Sultan Omar Ali Saifuddien I, Sultan Brunei Ke-18 yang berusia lanjut dan memerintah dengan adil. Dengan mengamalkan pepatah orang tua-tua 'Untung sabut timbul, untung batu tenggelam', Tengku Muhammad Ali mengambil keputusan membawa kapalnya dan ahli-ahli keluarganya ke Brunei. Pelayaran mereka tidak menghadapi banyak rintangan, malah tidak seorang pun kaum keluarganya di Johor mengetahui ke mana mereka.


Dalam pelayaran, Tengku Muhammad Ali dan ahli-ahli keluarganya bersetuju menukar nama mereka bagi membolehkan orang-orang Brunei mengetahui bahawa mereka ahli perniagaan yang ingin menetap di Brunei. Tengku [Sultan] Muhammad Ali mengambil nama Nakhoda Khamis, Raja Akil menjadi Nakhoda Kasim, Tengku Berahim menjadi Nakhoda Samad. Tengku Asmad, Tengku Astar dan Tengku Saad membuang gelaran "Tengku" di pangkal nama mereka. Daeng Pingai mengubah namanya menjadi Dayang Pingai.


Kapal Nakhoda Khamis memasuki Sungai Brunei dan berlabuh di satu kawasan di hulu sungai, tidak begitu jauh dari Jong Batu. Kawasan di mana kapal Nakhoda Khamis berlabuh itu masih tidak berpenghuni dan masih dipenuhi oleh hutan bakau. Dayang Pingai tertarik hati dengan kawasan itu dan meminta ayahnya membina rumah di kawasan itu. Setelah mendapat kebenaran dari pihak isatana untuk membina rumah di kawasan berkenaan, Nakhoda Khamis mengupah beberapa orang tukang kayu Brunei untuk membina rumah. Apabila rumah siap, mereka sekeluarga berpindah dari kapal mereka dan mendiami rumah tersebut.


Nakhoda Khamis dan ahli-ahli keluarganya memulakan penghidupan mereka di Brunei dengan berniaga. Mereka menjual kain, alat keperluan rumah dan seumpamanya. Sebahagian besar pelanggan mereka ialah pembesar-pembesar Brunei dan kaum padian dari Kampong Saba.

Oleh kerana perniagaan Nakhoda Khamis dan keluarganya bertambah maju, maka kawasan yang dahulunya hutan bakau bertukar menjadi sebuah perkampungan. Burung kakak tua Dayang Pingai menjadi tarikan orang-orang yang berurusan dengan mereka. Kerana terlalu disukai ramai, burung itu dipanggil burung pingai [burung kepunyaan Dayang Pingai]. Akhirnya kampung itu dipanggil Kampong Burung Pingai yang disempenakan dengan nama burung yang dipunyai oleh Dayang Pingai.


Sebagai orang pendatang yang ingin bermastautin di Brunei, Nakhoda Khamis terpaksa menyesuaikan dirinya dengan adat resam orang-orang Melayu Brunei ketika itu. Beliau juga perlu mencari asas kukuh untuk membolehkan namanya akan kekal disebut oleh generasi-generasi akan datang. Dengan mengambil kira hal tersebut, Nakhoda Khamis bertawakal menggalakkan Nakhoda Samad [Tengku Berahim] berkahwin lagi. Akhirnya Nakhoda Samad berkahwin dengan seorang wanita Saba keturunan Sulu. Nakhoda Kasim [Raja Akil] yang masih bujang berkahwin dengan seorang wanita dari Kampong Saba yang susur galur keturunannya sampai kepada Sultan Ahmad [Sultan Brunei Kedua].


Perkahwinan kedua-dua Nakhoda Samad dan Nakhoda Kasim dengan wanita-wanita Kampong Saba tersebut menurunkan zuriat keturunannya yang akhirnya berkembang menjadi satu keluarga besar.


Perkahwinan Nakhoda Samad dengan wanita Saba keturunan Sulu melahirkan anak-anak yang bernama Mahat, Suma, Angsa dan Pengarah Cheteria. Hanya keturunan tiga orang anak Nakhhoda Samad iaitu Astar, Pengarah [Tengku] Saad dan Pengarah Cheteria, yang mewarnai senario politik dan pentadbiran Brunei di kurun ke-19 [1800 hingga 1847]. Pengarah [Tengku] Saad mempunyai 10 orang anak, masing-masing bernama Badar, Haji Saman, Untak, Pengarah Digadong Laman, Abdul Kahar, Mailamah, Nurifah, Kajibah, Laminah dan Zainaf. Badar, Haji Saman dan Pengarah Digadong Laman terlibat secara langsung di dalam pergolakan perebutan kuasa di kalangan kerabat diraja Brunei di kurun tersebut.


Anak Nakhoda Samad yang bernama Astar melahirkan dua orang anak, Mohd. Hassan dan Aminah. Mohd. Hassan melahirkan hanya seorang anak lelaki yang kemudiannya bergelar Pehin Khatib Mohammad, sementara Aminah berkahwin dengan sepupunya Abdul Kahar iaitu anak Pengarah [Tengku] Saad. Dari perkahwinan Aminah dengan Abdul Kahar ini lahirlah lima orang anak, masing-masing bernama Dayang Buntar, Apong, Kilali, Budin dan Bariah.


Salah seorang anak Nakhoda Samad yang menyerlah ketokohan dan perwatakannya ialah Pengarah Cheteria. Selain abangnya Pengarah Digadong Laman, yang berkhidmat semasa pemerintahan tiga orang Sultan [Sultan Muhammad Jamalul Alam I, Sultan Muhammad Kanzul Alam dan Sultan Muhammad Alam], Pengarah Cheteria dikurniakan tugas dan tanggungjawab sebagai ketua pegawai istana [sama dengan jawatan Grand Chamberlain].


Adik Nakhoda Khamis iaitu Nakhoda Kasim melahirkan beberapa orang anak. Salah seorang anak lelaki Nakhoda Kasim yang dianggap alim ulama di zamannya ialah Mudim Jamal. Di segi pertalian darah, Mudim Jamal adalah bapa saudara kepada Astar, Pengarah Saad dan Pengarah Cheteria. Anak saudara dan ketiga cucu Nakhoda Khamis yang disebutkan hidup di zaman Sultan Muhammad Jamalul Alam I [1804], Sultan Muhammad Tajuddin [1795 - 1804 dan 1804 - 1807 ] dan Sultan Muhammad Kanzul Alam [1807 - 1826].


Mudim Jamal berkahwin dan melahirkan beberapa orang anak. Di kalangan anak-anaknya terdapat seorang anak beliau yang mempunyai ketokohan dan kewibawaan seperti cucu-cucu Nakhoda Samad yang diceritakan terdahulu [Badar, Haji Saman dan Pengarah Digadong Laman]. Anak Mudim Jamal yang dimaksudkan ialah Pateh Rahim.


Cucu perempuan Pengarah Saad [anak Pengarah Digadong Laman] yang bernama Dayang [Tun} Zaidah berkahwin dengan Sultan Omar Ali Saifuddien II. Perkahwinan tersebut melahirkan Pengiran Anak Hashim, yang kemudiannya diangkat dan ditabalkan menjadi Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin, Sultan Brunei Ke-25.

Sunday, 28 April 2013

Insiden "Menjunyak" Al Quran...

Assalaamualaikum,

"...beberapa hari yang lepas, kita warga Brunei dikejutkan dengan kemunculan satu video klip yang mana pengisiannya mengenai seorang lelaki yang telah 'menjunyak' Quranul Karim disalah sebuah masjid dikawasan Daerah Brunei & Muara.

Acara penyebaran video tersebut begitu lancar umpama melepaskan peluru-peluru torpedo didalam WhatsApp serta dilaman sosial popular FB.

apakah dengan kita menyiarkan, menyebarkan, mengupload video itu menunjukkan bahawa kitani adalah umat Islam yang begitu perihatin kpd ugama? atau kononnya kita nak menunjukkan kpd orang lain bahawa kita adalah yang paling bertaQwa?

Ketahuilah jua oleh kitani bahawa kitani pun sama jua turut bersubahat! bersubahat apa? ahaaaa bersubahat menyebarkan keaiban orang atuuu.. bukan kah atu jua dikira dosa?

bukan kah dinegara tani ada udah pehak yang berauthoriti bagi menangani kes atu, so why dont we just leave it to them untuk menyiasat perkara atu.. biarlah Ahli-ahli yang bertauliah menentukan apa jua keputusan dan tindakan yang patut diambil kepada insan yang SILAP atu..

apabila kitani mengimbau lagi akan sirah-sirah Nabi s.a.w , lagitah banyak bah cerita-cerita tragis yang memilukan, menyakitkan hati serta pahit maung baginda dan para sahabat radiyallahu-anh dalam misi menyebarkan dakwah, ...

jadi sebaik dan semoleknya kitani tak usah menjadi hakim, tak perlu menjadi mufti , tak payah tah kan mengucapkan orang atu kafir, laknat dan sebagainya (apabila membaca komen-komen orang awam disana sini), apa yang kitani yakin sesunggughnya semua ani ada hikmahNYA jua, dan marilah kitani doakan agar insan atu dikurniakan HIDAYAH oleh Allah swt agar kembali kepangkal jalan, dan menjadi muslim / mukmin yang diredhai..."

sekian, terima kasih.

Isa Hs - 28hb April 2013 / 9.37am.

p/s: hairan jua saya, siapa yang menggambar video atu ah? dan apa niatnya yang sebenar? mun banar kedia sayangkan ummah, nada perlu baginya kan menyebarkan disana sini, cukup tarus hantar ke balai polis dan ke bahagian penguatkuasa ugama, lagi tah bagussss... semoga kitani semua jua turut diampuni Allah .. Aamiin..

Wednesday, 31 October 2012

PERANG SAUDARA di BRUNEI (T.M 1661-1673)

 

 

Part 1: Bersabung Ayam dan Mahkota Berdarah.

“Kok kok kok…”

Bunyi ayam sabungan bersahut-sahutan di halaman istana Duli Yang Teramat Mulia Pg bendahara Abdul Mubin.
Di halaman Istana orang ramai berkumpul untuk menyaksikan temasya bersabung ayam pada pagi itu. Anak pengiran bendahara Abdul Mubin datang untuk menyaksikan temasya tersebut dan juga berniat untuk bersabung ayam dengan anak Sultam Muhammad Ali iaitu Pengiran Muda Alam.
Penjaga ayam: “Junjung Lai”
Anak Pengiran Bendahara: “ oh Miatu. Mana ayam kita, bawa ke mari biar kita lihat dulu.”
Penjaga ayam: “ Mohon di ampun, ada peramba tambat di sana.” Penjaga ayam pun mengambil ayam tersebut untuk di sembahkan kepada Anak Pengiran Bendahara.
Anak pengiran bendahara pun menyambut ayam sabungannya dan ayam itu berkokok 3 kali berturutturut sambil digosok-gosoknya kepala dan belakang ayam tersebut.
Kedatangan Pengiran Muda Alam ke halaman Istana dengan pengiring-pengiringnya.
Anak Pengiran Bendahara: “Junjung Ngian muda,” kata anak Pengiran Bendahara menyilakan.
Pengiran muda Alam: “Terima kasih, mana ayam awangku?”
Anak pengiran Bendahara: “Tu nah di belakang”
Tanpa membuang masa mereka pun memulakan persabungan ayam antara ayam persabungan Pengiran Muda Alam dan Anak Pengiran Bendahara. Keadaan di halaman istana menjadi riuh rendah kerana sorak daripada kedua belah pihak. Akhirnya ayam sabung Pengiran Mula Alam kalah dalam persabungan tersebut dan penyokong pihak anak Pengiran Bendahara bersorak gembira dengan kemenangan tersebut sehingga melompat-lompat. Pengiran Muda Alam merasa geram melihat kegembiraan mereka dan kata-kata yang memalukan dari pihak Anak Pengiran Bendahara menyebabkan Pengiran Muda Alam bertindak membunuh Anak Pengiran Bendahara.
Inang (Pengasuh Anak Pengiran Bendahara): “Ngian!”
Inang menjerit terkejut melihat pembunuhan tersebut kerana Anak Pengiran Bendahara adalah anak yang telah diasuhnya dari kecil dan diibaratkan seperti anaknya sendiri. Inang terus berlari ke halaman dengan linangan air mata bercucuran untuk mendapatkan anak yang dikasihinya. Tiada seorang pun yang berani untuk menentang Pengiran Muda Alam untuk menuntut bela ke atas kematian Anak Pengiran Bendahara, kerana tidak mahu dikatakan menderhaka kepada anak Raja. Kejadian tersebut seperti tiada apa-apa yang terjadi sehinggalah mayat Anak Pengiran Bendahara dibawa pulang ke barung-barung Pengiran Bendahara Abdul Mubin.
Di rumah Pengiran Bendahara, kedengaran bunyi tangisan dari isteri dan inang Pengiran Bendahara ke atas kematian anak Pengiran Bendahara sehingga Pengiran Bendahara menjadi hairan dan tertanyatanya apakah yang sedang berlaku.
Pengiran Bendahara: “Apakah malapetaka yang menimpa isi rumah kita?”
Pehin: “Tuanku, paduka anakanda ditikam oleh Pengiran Muda Alam?”
Pengiran Bendahara: “Mengapakah begitu benar perbuatan Pengiran Muda!” (dengan wajah yang marah)
Pehin: “ Kerana ayam Pengiran Muda Alam telah dikalahkan oleh ayam paduka anakanda.”
Pengiran Bendahara merasa marah dan ingin membalas dendam dengan kematian anakandanya yang tiada mempunyai apa-apa kesalahan. Pengiran Bendahara pun berangkat ke istana untuk berjumpa dengan Sultan Muhammad Ali dengan 40 orang pengiring-pengiringnya. Sebaik sahaja sampai di lapau, Baginda Sultan menyuruh Pengiran Bendahara duduk di atas-atas. Kebetulan masa itu baginda sedang dihadap oleh pembesar-pembesar negeri kerana merundingkan kejadian yang terjadi dihalaman istana.
Sultan: “Ramai nampaknya tuan peramba datang sekali ini.”
Pengiran Bendahara: “ Patik.”( Sembah pengiran Bendahara). “ Kedatangan patik mengadap duli tuanku ini sengaja kerana telah lama juga patik tidak mengadap tuanku.” (Sambil melirik Pengiran Muda Alam yang berada di sisi Sultan).
Sultan: “Apa khabar yang peramba bawa? Peramba pun dendam jua, sudah lama tidak berjumpa peramba”.
Pengiran Bendahara: “ khabar baik, hanyalah patik sangat berdukacita melihat barung-barung patik tidak berdinding”. (sembahnya bergurimdam). “Apalah halnya air mas patik dibunuh hidup-hidup oleh paduka anakanda Pengiran Muda Alam dengan tidak berdosa.”
Sultan pun mengerti maksud Pengiran Bandahara mengadap ramai-ramai itu.
Sultan: “Ngian Bendahara! Pekerjaan membunuh orang yang tidak berdosa tanpa ada sebab itu sekalipun anakanda peramba, bunuh jua balasannya, hutang darah dibayar dengan darah.”
Apabila didengar oleh Pengiran Muda Alam titah hukuman ayahandanya itu segeralah Pengiran Muda Alam masuk ke dalam istana ayahandanya.
Pengiran Bendahara: “ Ya tuanku! Jikalau demikian itu bicara tuanku, patik junjung paduka anakanda itu buangkan sekali.” (dengan wajah seperti singa yang kelaparan) Sultan: “ Hai Pengiran Bendahara! Sekarang peramba lepaskan anak peramba itu, dia sudah membawa darah mati ke dalam istana, jalankan hukuman ke atasnya”.
Pengiran Bendahara gembira mendengar titah baginda. Pengiran Bendahara terus bangkit tanpa menjunjung negeraha mengikut Pengiran Muda Alam masuk ke dalam Istana bersama 40 orang pengikut-pengikutnya.
Dengan keris yang terhunus ditangan mereka naik ke istana Sultan untuk mendapatkan Pengiran Muda Alam, tetapi tiada pun keberadaan puteranya di ruangan istana tersebut. Pengiran bendahara menjadi marah dan bertindak membunuh dayang-dayang istana dan seisi istana yang tidak berdosa. Sultan mendengar bunyi jeritan para dayang sehingga baginda hairan apakah yang terjadi di dalam istana. Baginda berangkat ke dalam istana, sultan terkejut melihat dayang-dayang dan gundik-gundik kesayangan sultan telah mati ditikam oleh Pengiran Bendahara.
Sultan: “ Hai Pengiran Bendahara, pekerjaan apakah yang tuan peramba kerjakan ini? Lain yang berdosa lain pula yang peramba bunuh. Perbuatan tuan peramba ini samalah seperti hulubalang handal membunuh musuhnya ketika musuhnya sedang tidur.”
Pengiran Bendahara: “ Ampun tuanku beribu-ribu ampun, apalah mata patik telah pening.”
Sultan: “ jikalau demikian ini baiklah sudahi peramba sekali, supaya senang tuan peramba hidup dijunjung.”
Pengiran Bendahara: “ Baiklah tuanku.”
Pengiran bendahara pun memerintahkan anak buahnya menangkap baginda sultan.
Sultan: “Tak usahlah peramba ditangkap oleh anak buah peramba, kerana sayang mereka bakal menjadi pengharapan tuan peramba. Nah supaya tiada siapa pun yang terluka, ambillah keris peramba ini.”
Sultan pun mengambil keris baginda dari pinggangnya lalu menghulurkan keris tersebut kepada Pengiran Bendahara. Anak buah pengiran Bendahara berundur ke belakang kerana takut kalau-kalau baginda ingin menuntut bela atas kematian gundik-gundiknya tetapi tidak, anak buah Pengiran Bendahara hairan melihat kejujuran hati Baginda sultan.
Pengiran Bendahara: “Ah Tuanku, sepala-pala menyeluk pekasam.”
Sultan: “ Peramba, walau tuan peramba basuh dengan air mawar sekalipun takkan hilang bau busuk pekasam itu.”
Pengiran Bendahara: “Tuanku, mandi biarlah basah.”
Sultan: “Peramba, mandilah walau habis air selautan, takkan bersih badan dan jiwa peramba dari bernoda.”
Pengiran Bendahara: “Tuanku, sekali terminum darah.” Sultan: “Peramba. Minumlah hingga kering, hisaplah hingga kempis, tetapi darah peramba tetap mengalir dan takkan hancur dari bumi Brunei.”
Sultan Muhammad Ali menjadi tawanan kemuliaan dan baginda diusung oleh anak buah Pengiran Bendahara dan dibawa ke halaman istana yang rumput-rampainya yang menghijau, di mana ada sepohon kelapa cenderung ke barat, sedang teja pelangi membangun, mengaum bunyi guruh bertalutalu, hujan turun rintik-rintik, matahari senja menguning cahayanya dan air pasang sehingga menenggelamkan Lumut Lunting. Di tempat itulah baginda sultan Muhammad Ali lindung dikujut oleh Pengiran Bendahara dan jatuh tersungkur di padang rumput yang menghijau. Sejak hari itu, Almarhum Sultan Muhammad Ali disebut-sebut orang sebagai ‘Al-Marhum Tumbang Di Rumput’. Pengiran Bendahara Abdul Mubin pun telah menjadi Sultan setelah kemangkatan Sultan Muhammad Ali.
Part 2: Hasrat menuntut bela dan perpindahan istana ke Pulau Chermin.
Pada malam itu, Pengiran Bendahara Muhyidin dan isterinya sedang berbual-bual di tingkap bilik peraduan mereka. Isteri Pengiran Bendahara Muhyidin bermuram dan bersedih kerana terkenangkan ayahandanya yang mangkat dikujut oleh Sultan Hakkul Mubin ketika dulu.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “ Mengapa adinda bersedih hati walau bulan purnama tersergam indah di langit?”
Pengiran Isteri Mariam: “derita hati adinda takkan dapat kekanda rasakan, biarlah adinda sendiri yang merasainya.”
Pengiran Bendahara Muhyidin: “ jangan begitu adinda, kekanda tidak akan membiarkan mahligai hati adinda rosak binasa.”
Pengiran Isteri Mariam: “Hati manusia kanda, hanya akan gembira bila apa yang diharapkannya terlaksana. Kekanda hanya asyik berburu sahaja.”
Pengiran Isteri Mariam merasa sangat sedih kerana suaminya hanya asyik berburu dan tiada langsung hatinya untuk melaksanakan hasrat isterinya untuk membalas dendam ke atas kematian mertuanya iaitu Sultan Muhammad Ali.
Pada keesokannya harinya, seperti biasa Pengiran Bendahara Muhyidin bersama dua orang pengiringnya pergi berburu ke dalam hutan di Kampung Subok. Setelah lama berada di dalam hutan, tiada satu pun binatang buruan yang didapati, maka Pengiran Bendahara pun duduk berehat di bawah pohon ara sehingga terlelap. Pengiran Bandahara Muhyidin telah mendapat mimpi yang aneh, dia didatangi oleh seorang perempuan yang cantik, berjubah putih.
Puteri cantik: “Kembalilah kamu wahai orang muda, di sana ada menunggu satu kewajipan bagi kamu. Tengok di sana ribut datang dan hujan turun dengan menitikkan hujan darah, mari ikutlah aku pulang.”
Pengiran Bendahara Muhyidin terjaga dari tidurnya dan tertanya-tanya tentang mimpinya tadi.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “Apakah petandanya mimpiku itu? Ah itu hanya gangguan dari makhlukmakhluk di hutan ini.”
Pengiran Bendahara Muhyidin pun bangkit dan mencari anak buahnya yang ikut berburu bersamanya tadi. Semasa sedang mencari anak buahnya, Pengiran Bendahara Muhyidin terjumpa dengan Orang Kaya Besar Imas. Dari sanalah Pengiran Bendahara Muhyidin mendapat inspirasi untuk menuntut bela kematian bapa mertuanya Sultan Muhammad Ali.
OKBI: “ Ceh! Anak raja ini tidak pemalu, bapanya sendiri dibunuh orang tidak terbela olehnya, senangsenang ia mengangkat tangan menyembah Bendahara Abdul” (berpura-pura tidak melihat kedatangan Pengiran Bendahara Muhyidin sambil menyangkul rumput-rumput di tanamannya). Pengiran Bendahara Muhyidin: “Apa dia, orang kaya?”.
OKBI: “Beribu ampun, inilah pekerjaan hamba tuanku. Dari mana tuanku ini?. Junjung duli tuanku naik ke barung hamba tuanku.”
Pengiran Bendahara pun naik ke rumah Pehin Orang Kaya Besar Imas bersama dengan anak buahnya.
Pengiran Bendahara: “Terima Kasih Orang Kaya.”
Pengiran Bendahara teringat akan kata-kata OKBI tadi lalu bertanya kerana rasa ingin tahu menghantui fikiran Pengiran Bendahara.
Pengiran Bendahara: “Orang Kaya, saya kurang mengerti apa maksud kata orang kaya di halaman tadi?”
OKBI: “Beribu ampun, hamba tuanku berkata-kata dengan air mas hamba tuanku ini, iaitu kemangkatan almarhum ayahanda mertua tuanku itu, mengapatah duli tuanku semua hanya memandang sahaja, bukankah ayahanda tuanku itu lindung kerana dikujut dengan kejam. Padahal tiada kesalahan yang dilakukan oleh baginda. Tidakkah tuanku merasa malu dengan semua itu, tidakkah tuanku mahu untuk menuntut bela atas kematian duli ayahanda tuanku.”
Pengiran Bendahara: “Adakah maksud orang kaya seperti mengembangi asam yang telah kering?” sungguh pun benar begitu, apalah daya kita untuk menentang, takkan kita hendak menentang raja, bak kata orang takkan melayu mentang rajanya.”
OKBI: “walaupun begitu, dengarlah kata hamba tuanku pada kebawah duli tuanku, berjuanglah tuanku dengan keizinan Tuhan untuk menuntut bela atas kematian paduka ayahanda tuanku, teruskanlah citacita tuanku, hamba tuanku semua di kampong ini akan turut sama turun ke medan perjuangan demi untuk menuntut bela, dijunjung duli tuanku berjuang, hamba tuanku semua bersandarkan dengan berkat Allah.”
Pengiran Bendahara: “Jika begitu orang Kaya bersandarkan dengan berkat Allah, percayalah bahawasanya kata orang kaya itu hendaklah dikotakan. Kalau begitu kami mulih dahulu.”
Pengiran Bendahara Muhyidin pun pulang ke rumahnya pada hari yang hampir senja. Kelihatan isterinya sedang menunggunya di hadapan rumah.
Pengiran Isteri Mariam: “ Mengapa kekanda lambat pulang, adakah mendapat banyak hasil buruan?”
Pengiran Bendahara: “ Tiada hasil buruan yang kekanda dapat, tetapi kekanda dapat apa yang adinda hasratkan selama ini.”
Pengiran Isteri Mariam: “Apa yang adinda hasratkan selama ini? “(dengan muka kehairanan).
Pengiran Bendahara: “benar adinda, tentu adinda akan gembira mendengarnya. Kekanda akan menuntut bela atas kematian paduka ayahanda seperti yang adinda hasratkan.”
Isterinya merasa sangat gembira setelah mendengar khabar yang disampaikan oleh suaminya itu. Pada malam itu juga Pengiran Bendahara Muhyidin memanggil saudara-saudara kepada Pengiran Bendahara Muhyidin dan isterinya iaitu Pengiran Kamaluddin, Pengiran Nassaruddin, Pengiran Tuah dan Pengiran Alauddin untuk membincangkan hasrat mereka untuk menuntut bela atas kematian Sultan Muhammad Ali.
Pengiran Bendahara: “Malam Ngian, maaf nyusahkan ngian semua datang malam –malam begini”.
Pengiran Kamaluddin: “Peramba, kerana sabda memanggil, walau hujan rebut sekali pun peramba semua akan datang, inikan pula cuaca terang seperti siang.” (sambil menoleh kepada pengiran-pengiran yang lain).
Pengiran Bendahara: “Begini Ngian, sebab mengapa ngian semua dipanggil malam ini adalah kerana kita semua adalah bersaudara, bersatu hati dan bermuafakat.”
Pengiran Nassarudin: “itulah fikiran yang sebaik-baiknya.”
Pengiran Bendahara: “Halnya begini, kemangkatan almarhum paduka ayahanda baru-baru ini, kita hidup seperti patung tidak bernyawa, seperti menconteng arang di muka kita yang tidak disedari dan terpandang oleh kita. Maksud kita, hutang darah hendaklah dibalas dengan darah, biarlah bumi Brunei ini bermandikan darah demi untuk menuntut bela atas kematian paduka ayahanda.”
Mendengar semua itu, pengiran-pengiran tertunduk malu.
Pengiran Kamaluddin: “Peramba. Kalau sudah demikian sabda tuan peramba, maka dijunjung sabda itu. Peramba semua bersedia, insyaallah dengan kuasa Allah peramba semua akan mengerjakan.”
Pengiran Bendahara: “sebelum itu ngian, biarlah kita mengatur rancangan dengan lebih teliti lagi sebelum bertindak.”
Pada malam itulah mereka bermesyuarat untuk mengatur rancangan yang seteruskan.
Pada esok malamnya, di kawasan istana telah gempar dengan suara riuh-rendah berteriak kerana rumah-rumah orang besar-besar diganggu oleh orang yang tidak dikenali iaitu diaruk dengan lembing dan buluh runcing dari bawah rumah. Dituruni tiada siapa yang berada dibawah. Bahkan istana sultan juga turut diganggu.
Sultan Hakkul Mubin telah memanggil Pengiran Bendahara Muhyidin dan para wazir dan pembesarpembesar yang lain untuk bertanyakan kejadian itu. Pengiran Bendahara pun berangkat ke istana.
Sultan Hakkul Mubin: “dari manakah datangnya manusia-manusia yang bersifat iblis itu. Setiap malam mereka datang dan menganggu dalam negeri ini? Tidak adakah diantara panglima-panglima ini yang berani menghapuskan pengacau-pengacau itu?” (sabda baginda dengan muka yang merah kerana marah).
Pengiran Bendahara: “Sungguh berani orang-orang itu. Bukan sahaja istana diganggunya, bahkan barung-barung patik pun dikacaunya. Begitu juga dengan rumah-rumah orang kampong juga diganggu. Lebih baik kita membawa Orang Kedayan di Subok iaitu anak buah Orang Kaya Besar Imas untuk menjaga istana supaya tidak diganggu lagi.”
Sultan Hakkul Mubin: “baiklah, kalau begitu kata Pengiran Bendahara baiktah dipanggil anak buah Orang Kaya Besar Imas untuk berjaga di kawasan istana beta.”
Pengiran Bendahara: “Junjung sabda tuanku.”
Anak-anak buah Orang kaya Besar Imas pun berjaga-jagalah di kawasan istana tetapi pada malam itu sekali lagi kawasan istana diganggu sehingga kawasan istana riuh-rendah dengan teriak dayang-dayang di dalam istana. Sultan Hakkul Mubin pun memerintahkan Orang Kaya Besar Imas untuk mencari orang- orang yang mengganggu istana.
Orang Kaya Besar Imas dan anak buahnya pun mencarilah orang-orang yang mengganggu istana sehingga ke dalam hutan. Selama seminggu mereka mencari ke dalam hutan tetapi tidak mereka perolehi.
OKBI: “Tuanku, tiada pun yang kami jumpai orang-orang yang mengganggu kawasan istana ini.”
Sultan Hakkul Mubin: “betulkah Orang Kaya? Baiklah jika begitu. Teruslah menjaga kawasan ini.”
OKBI: “Baiklah tuanku.”
Di rumah Pengiran Bendahara Muhyidin
Pengiran Bendahara: “bagus Orang Kaya, kita berjaya mengganggu ketenteraman istana dan pembesarpembesar yang lain. Rancangan kita berjaya kali ini.”
OKBI: “Ya pengiran Bendahara, Apakah rancangan kita yang seterusnya?”
Pengiran Bendahara: “kita akan terus mengganggu istana dan rumah-rumah orang kampong sehingga kita berjaya memujuk Sultan Hakkul Mubin untuk berpindah ke Pulau Chermin dan saya akan menjadi sultan di darat.”
Pengiran Kamaluddin: “Ya, rancangan yang bagus peramba, kita akan memerangkap Sultan dan memujuknya berpindah ke pulau Chermin dan beristana di sana. Kita akan berkuasa di darat.”
Pengiran-pengiran lain bersetuju dengan semua rancangan itu.
Pengiran-pengiran: “Sabda pengiran Bendahara dijunjung peramba semua.”
Di balai penghadapan kawasan istana
Semua pembesar berada di balai penghadapan termasuklah Pengiran Bendahara Muhyidin dan Orang Kaya Besar Imas dan Pengiran-pengiran yang lain.
Baginda sultan Hakkul Mubin merasa sangat gelisah dengan kejadian yang menimpa istana dan rumahrumah orang kampong. Sultan Hakkul Mubin meminta pendapat para pembesar yang lain untuk menghapuskan orang-orang yang mengganggu itu. Pengiran bendahara telah mencadangkan supaya Baginda berpindah ke Pulau Chermin dan membuat istana di sana demi keselamatan baginda.
Pengiran Bendahara: “ tuanku, baiktah tuanku berpindah ke Pulau Chermin, kerana kawasan tersebut dikelilingi air dan tidak mudah untuk pengganggu itu untuk menganggu kawasan istana lagi.”
Sultan: “rancangan yang sangat baik pengiran Bendahara, baiklah suruh hulubalang istana membuat istana di Pulau Chermin, setelah siap nanti beta akan segera berpindah.”
Setelah istana siap dibina di Pulau Chermin, baginda sultan pun berpindah ke Pulau Chermin. Pengiran Bendahara pun menjadi Sultan Di darat, manakala Sultan Hakkul Mubin menjadi sultan di Pulau.
Istana di Pulau Chermin:
Sultan Hakkul Mubin: “Pehin orang kaya Di-Gadong Seri Nara, apa khabarnya anakanda Pengiran Bendahara? Sudah seminggu kita di sini tetapi Pengiran Bendahara belum juga berpindah ke Pulau Chermin.”
Pehin: “Beribu ampun, patik kurang periksa, berangkali anakanda Pengiran Bendahara sedang bersiap untuk berpindah ke Pulau Chermin.”
Sultan: “Kalau begitu baiktah Pehin Orang Kaya Di-Gadong bernagkat untuk berkayuh ke darat mengadap anakanda Pengiran Bendahara.”
Pehin: “Baiklah tuanku, titah dijunjung.”
Pehin Orang Kaya Digadong Seri Nara pun berangkatlah ke Darat bersama dua orang pehin yang lain, berkayuh bersama empat orang pengayuhnya ke istana Darat. Setelah sampai di perairan Brunei, alangkah terkejutnya Pehin Orang Kaya Digadong bahawa Bandar Brunei telah berubah, bukan lagi seperti bandar Brunei dahulu. Di tiang istana Pengiran Bendahara Muhyidin berkibar bendera kuning. Pehin Orang kaya Digadong mengadap Pengiran Bendahara ke istana.
Pengiran Bendahara: “Apa khabar Orang Kaya Di-gadong?”
Pehin: “Ampun beribu ampun, ada pun hamba tuanku mengadap ini adalah kerana dititahkan oleh Duli Yang Dipertuan bertanyakan khabar berita Brunei dan tuanku. Titahnya lagi bilakah tuanku akan berangkat pindah ke Pulau Chermin?.”
Pengiran Bendahara: “Pehin Orang Kaya Digadong, pergilah balik ke Pulau Chermin dan khabarkan kepada Baginda sultan tentang perkhabaran ku di sini, aku sudah menjadi sultan di darat dan tidak akan mengangkat tangan ke dahi menyembah Sultan, bendera kuning itu tidak akan turun dari tiang bendera Koala. Mengertilah pehin maksud kaola dan rasa hati keluarga almarhum setelah baginda mangkat dikujut, koala akan menuntut bela atas kemangkatan ayahanda koala.”
Pehin: “titah dijunjung tuanku.” Pehin Orang Kaya Di-gadong Seri Nara terus sujud menyembah dan menjunjung negaraha bersama kedua-dua menteri tadi dan terus keluar untuk berkayuh pulang ke Pulau Chermin.
Di Pulau Chermin
Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Nara terus mengadap Baginda sultan Hakkul Mubin di Istana. Pehin Orang Kaya terus memberitahu khabar yang diperolehinya di Bandar Brunei. Masuk sahaja Pehin Orang Kaya Di-Gadong dibalai penghadapan, pehin terus menyembah sujud di hadapan baginda dengan menggeletar tulang anggotanya kalau-kalau baginda murka kepadanya.
Pehin: “Ampun tuanku beribu ampun, adapun paduka anakanda itu tidaklah ia hendak berangkat ke Pualau Chermin, kerana dalam negeri Brunei ia telah mengibarkan bendera kuning di tiangnya dan lengkap dengan kubu jambatan serta alat-alat pertahanan negeri. Itulah sebabnya paduka anakanda tidak datang mengadap duli tuanku. Paduka anakanda bersabda lagi ia tidak akan mengangkat tangan ke dahi menyembah duli tuanku kerana ingin membalas dendam atas kematian almarhum Sultan Muhammad Ali.”
Sultan: “ Ceh! Alangkah besar akal Awg Muhyidin anak derhaka itu. Pura-pura ia mengatakan pulau ini tempat yang baik supaya tidak diganggu oleh penjahat. Mungkin dialah kepala penjahat dan penderhaka besar di negeri Brunei ini. Sebenar mana pun kekuatannya aku tidak akan menyembah kepadanya kecuali kerajaan di Pulau Chermin ini musnah dijilat api bersama jasadku dan waris ku.”
Sultan Hakkul Mubin merasa murka sehingga baginda hanya menyebut Awang Muhyidin tanpa gelaran kerabat diraja yang dikhaskan kepada Pengiran Bendahara Muhyidin.
Part 3: Perang Saudara dan penyudahnya.
Di Pulau Chermin:
Sultan Hakkul Mubin: “Bersiaplah kamu semua, lengkapkan alat-alat peperangan, kita berperang melanggar Bandar Brunei”.
Di Pulau Chermin segala kelengkapan senjata dan bala tentera telah bersedia untuk memerangi penderhaka di Bandar Brunei.
Setelah lengkap semuanya, segala perahu-perahu peperangan itu berkayuh ke Bandar Brunei dengan orang yang telalu ramai dilengkapi dengan bedil, lembing dan anak-anak panah beracun bersangkutan di belakang mereka. Banyaklah perahu bertambatan di jambatan Pulau Chermin. Sultan Hakkul Mubin menghantar pemergian meraka untuk pergi memerangi Bandar Brunei.
Sultan Hakkul Mubin: “Ku lepaskan kamu dengan doa, langgarlah kubu orang Bandar Brunei itu dengan berani hingga dapat kamu bawa hidup-hidup tawanan kamu kemari.”
kedengaran juga anak-anak dan isteri mereka menyeru nama suami dan ayah meraka.
Anak 1: “Ayah…”(sambil mengangis)
Setelah selesai baginda bertitah, berdirilah Putera Zamban iaitu Putera Sultan Hakkul Mubin yang juga sebagai ketua perangnya.
Putera Zamban: “Hancurkan hingga menjadi padang jarak padang tekukur dan istana rajanya kita balikkan bumbungannya ke bumi dan tiangnya ke langit. Dengan daulat baginda di Pulau Chermin. Ayuh kayuh.” (perintahnya kepada semua hulubalangnya).
Di Bandar Brunei:
Orang Brunei yang di bawah perintah Pengiran Bendahara Muhyidin, sekembalinya Pehin Orang Kaya Digadong, mereka telah bersiap sedia menambah dan melengkapkan alat peperangan mereka. Mereka berjaga-jaga dan menjalankan tugas masing-masing menanti kedatangan serangan orang di Pulau Chermin.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “Lengkapkan semua barang peperangan, kita sedia menghadapi serangan dari Pulau Chermin.”
Setelah itu, kedengaran bunyi bedil meriam orang Pulau Chermin menandakan kedatangan angkatan perang dari Pulau Chermin.
Berbalas-balas tembakan bedil kedengaran dari kedua-dua belah pihak. Asap naik ke udara menjadikan bumi Brunei menjadi gelap tidak kelihatan satu pun di sungai Brunei.
Panglima Pulau: “Mara ke hadapan semua.” “Boom..” kedengaran bunyi bedil yang mengenakan hulubalang pihak Pulau Chermin mati berhemburan darah jatuh ke perairan sungai Brunei.
Peperangan yang berlaku di Sungai Brunei menjadikan sungai Brunei sebagai lautan darah kerana banyak yang terkorban dari kedua-dua belah pihak lawan.
Beberapa ketika, bunyi bedil dan meriam reda. Asap telah mula berkurang dan kelihatanlah orang beramukan dengan berlagakan perisai dan pedang sambil memain keris. Ini kerana tentera Pulau Chermin telah dapat mendarat naik ke kubu pertahanan orang Brunei yang menyebabkan terjadinya pertarungan yang amat dahsyat.
Setelah 3 bulan berperang, belum lagi ada tanda-tanda mahu tewas di antara kedua-dua belah pihak. Sehingga Pengiran Bendahara Muhyidin menghantar perutusan perdamaian kepada Baginda di Pulau Chermin dengan menghantar Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan iaitu menteri kepercayaan Pengiran Bendahara diperintahkan menjadi utusan membawa surat tersebut melalui jalan darat. Surat itu berbunyi:
“Surat daripada kita Pengiran Bendahara Muhyidin ketua kerajaan darurat di Brunei, datang ke hadrat ayahanda kita Sultan Abdul Mubin di Pulau Chermin. Oleh kerana memikirkan hal hamba rakyat kita di kedua-dua belah pihak yang banyak terkorban, maka inilah kita di Brunei mengutus ke Pulau Chermin, menawarkan supaya diadakan perdamaian di kedua belah pihak. Janganlah kita berperang dan eloklah kita membuat penyelesaian yang aman dan baik.”
Setelah selesai dibaca oleh khatib, Sultan Hakkul Mubin pun memerintahkan supaya para tenteranya untuk berundur dan menerima perdamaian tersebut. Walaupun perdamaian itu hanya berunsurkan lisan sahaja.
Sebulan setelah berdamai, peperangan menyala kembali iaitu orang dari Bandar Brunei pula yang menyerang kembali ke Pulau Chermin. Peperangan kali kedua ini meyebabkan Sultan Hakkul Mubin sendiri yang turut serta dalam peperangan tersebut.
Sultan Hakkul Mubin: “Bawa ke mari pedang dan kerisku, aku hendak berperang bersama rakyatku.”
Hulubalang istana: “Junjung duli tuanku.”
Lalu hulubalang pun menyerahkan segala kelengkapan perang Sultan Hakkul Mubin, dikatakan Sultan Hakkul Mubin adalah seorang yang kebal, gagah dan berani orangnya.
Di sebelah pihak Brunei, semakin banyak yang terkorban kerana Sultan ikut bertempur sehingga tentera pihak Pengiran Bendahara Muhyidin terpaksa berundur. Orang Kaya Besar Imas juga turut terkorban di Pulau Chermin.
Pengiran Bendahara: “Berundur semua.” Sekembalinya tentera Pengiran Bendahara ke Bandar Brunei, Pengiran Bendahara Muhyidin pun bermesyuarat dengan adinda-adindanya untuk menghantar utusan ke Sulok untuk meminta bantuan supaya pihak Sulok akan membantu mereka memerangi Sultan Hakkul Mubin di Pulau Chermin.
Akhirnya peperangan berlaku lagi bersama-sama dengan tentera Sulok. Kapal tentera Sulok terusterusan membedil Pulau Chermin, sehingga banyak orang-orang di Pulau Chermin terkorban. Tambahan pula tentera musuh semakin ramai mengelilingi Pulau Chermin dan dengan mudah tentera Pengiran Bendahara mendarat di Pulau Chermin. Oleh kerana tentera Pihak Sultan tidak berdaya lagi untuk melawan, maka sultan pun memerintahkan orang-orangnya memusnahkan semua pekakas kerajaan.
Sultan Hakkul Mubin: “Hulubalang, musnahkan semua harta kerajaan, segala mahkota dan cap kamhap beta ke laut.”
Hulubalang: “Junjung titah duli tuanku.”
Hulubalang Istana segera memasukkan Mahkota Sultan Hakkul Mubin dan cap Kamhap kerajaan ke mulut meriam lalu ditembakkan ke laut.
Melihat kelakuan orang-orang Palau Chermin memusnahkan pekakas kerajaan, seluruh Pulau Chermin telah terbakar. Tentera Pengiran Bendahara Muhyidin semakin mara ke hadapan bersama-sama orang Sulok. Kemaraan ini adalah disebabkan seorang pahlawan yang tidak dikenali telah mengemudi kapal perang Pengiran Bandahara Muhyidin. Orangnya berkulit putih, bertubuh kecil, berpakaian putih, berdastr putih, bersuara halus dan tidak kurang keris dipinggangnya.
Pahlawan yang tidak dikenali: “Ayuh! Kayuhkan laju-laju.”
Selesai sahaja pekakas kerajaan dimusnahkan, Sultan Hakkul Mubin bersama seluruh keturunannya telah lari ke Masjid dan membunuh diri dengan melaburkan diri mereka di dalam masjid tersebut.
Sultan Hakkul Mubin: “Silalah anakanda semua, kita melabur.”
Maka Sultan pun membakar masjid yang telah dicurahkan minyak. Terbakarlah masjid tersebut bersama-sama dengan isi di dalamnya sehingga habis terbakar baginda dan putera puteri baginda semuanya mangkat berlabur.
Akhirnya pihak Pengiran Bendahara Muhyidin pun menang dalam peperangan tersebut bersama-sama orang Sulok. Segala harta benda dirampas dan dibawa balik harta rampasan itu ke Sulok.
Selesai sahaja peperangan itu, Pengiran Bendahara Muhyidin balik ke Brunei dan merasa gembira kerana berjaya menuntut bela atas kemangkatan ayahandanya dulu tetapi Pengiran Bendahara merasa sedih kerana isterinya yang tercinta terbaring lemah kerana mendapat luka di kepala sesudah menunaikan janjinya sebagai serikandi negara. Isterinya telah menyamar menjadi lelaki demi untuk menuntut bela kematian paduka ayahandanya dan dialah lelaki yang mengemudi kapal perang Pengiran Muhyidin tadi. Pengiran Bendahara: “Adinda, mengapakah adinda sanggup melakukan semua itu? Kekanda sedih melihat adinda cedera parah begini hanya demi untuk turut berperang.”
Isterinya: “kekanda, walau hilang nyawa di badan, adinda rela demi menuntut bela atas kemangkatan paduka ayahanda. Akhirnya adinda berjaya menunaikan janji adinda untuk turut serta dalam peperangan itu.”
Akhirnya Pengiran Bendahara pun diangkat menjadi Sultan Muhyidin setelah kemangkatan Sultan Hakkul Mubin. Selama 12 tahun peperangan ini berlangsung.
Pembesar-pembesar: “Daulat tuanku” (beramai-ramai)
TAMAT


p/s: http://www.youtube.com/watch?v=pfKlRxbqNn0

Friday, 26 October 2012

Titah Baginda Sultan bersempana Hari Raya Korban 2012/1433H



Bismillahir Rahmanir Rahiim,

Assalaamualaikum kepada semua para pengunjung blog ini, Alhamdulillah terima kasih diucapkan kerna abiskita semua sudi berkunjung ke blog ini dari masa kemasa, sehingga sekarang jumlah pengunjung sudahpun melebihi 20,000 orang.

Alhamdulillah, pada hari ini kita bersama-sama sekali lagi dapat meraikan Hari Raya Aidil-adha 1433, dan para jemaah haji telahpun sempurna berwukuf di Padang Arafah kelmarin behari. Kitani doakan agar mereka semuanya akan mendapat haji/hajah yang mabrur dan selamat pulang ke tanah-air dengan selamat. Aamiin.

Pada masa negara kita turut pesat membangun dengan prasarana-prasarana yang modern, perkembangan Ugama Islam juga tidak kurang diberikan perhatian yang serius oleh Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan,  pada malam semalam, baginda telahpun bertitah melalui corong-corong radio dan juga Televisyen diseluruh negara yang mana antara intisari petikan Titah baginda menyeru agar premis-premis perniagaan ditutup pada waktu berlangsungnya solat Jumaat dikawasan Bandar Seri Begawan. Alhamdulillah, kitani selaku hamba rakyat yang bernaung dibawah payung pemerintahan Baginda merasa amat terharu akan titah Baginda itu. Baginda juga turut menggambarkan andainya perkara itu dilaksanakan, maka negara juga akan turut mendapat nama yang baik selaku sebagai sebuah Negara Zikir.

Inilah beruntungnya kitani menjadi warga / rakyat Brunei, kerna dikurniakan seorang raja yang berjiwa Mukmin dan Soleh, baginda tidak kendur-kendur mendidik semua lapisan masyarakat (khususnya yang berugama Islam), agar sentiasa menjadi manusia yang bertaqwa dan tahu mensyukuri nikmat Allah swt.

Marilah kitani bersama-sama menyahut seruan Titah Baginda itu dengan penuh ikhlas dan bersama-sama kitani jua memberikan pertolongan samada dari buah-fikiran ataupun sekurang-kurangnya Doa agar perkara yang dititahkan Baginda ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Aamiin.

Ditulisan kali ini jua, saya turut 'mempaste' kan kandungan Teks Titah Baginda, agar dapat kitani jadikan sebagai bahan rujukan.

Akhir kalam untuk tulisan kali ini, tidak lupa diucapkan, Selamat Hari Raya Aidil-adha kepada seluruh kaum keluarga, sahabat handai dan kepada seluruh pembaca-pembaca sekalian, dan marilah kitani semua berdoa semoga diri kita, negara kita, serta raja kita semuanya akan senantiasa mendapat keredhaan Allah jua. Aamiin.

Isa Sulaiman,
26hb Oktober 2012 / 10hb Zulhijjah 1433H.
02.43 petang (Jumaat).

Teks Titah
Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1433 Hijrah / 2012 Masihi

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Pujian terhadap Allah itu wajib, kerana Dia memang berhak dipuji.

Bertapa tidak, bukankah Allah itu Maha Sempurna, serba serbi sempurna? Zat-Nya sempurna, Ilmu-Nya sempurna, Sifat-Nya sempurna. Maka kerana itulah kita para hamba ini dituntut supaya memuji-Nya.

Memuji Allah bukanlah seperti memuji yang lain-lain. Memuji Allah bermakna kita mensyukuri nikmat-Nya, semantara mensyukuri nikmat itu pula dihukumkan wajib.

Jika kita mensyukuri nikmat Allah, Dia berjanji akan menambahnya lagi, sebaliknya kalau kita tidak mensyukuri nikmat itu, maka berhaklah bagi Allah menimpakan azab-Nya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Mensyukuri nikmat Allah tidaklah memadai setakat ucapan semata-mata, tetapi mesti dibuktikan juga dengan amal perbuatan. Kita dikurniakan harta, disamping lidah kita melafazkan “alhamdulillah”, Allah juga adalah memerhatikan kita, dimanakah harta itu kita gunakan?

Kalau ia digunakan dijalan yang hak, maka kesyukuran kita itu akan diterima. Tetapi jika ia digunakan dijalan yang batil, maka kesyukuran kita itu bukan saja ditolak, malah azab juga adalah sedang menunggu kita. Inilah keadilan Maha Pencipta.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kita ini pada setiap hari dan detik menggunakan nikmat Allah. Udara-Nya yang segar kita hirup. Tanpa udara, semua makhluk tidak mungkin hidup. Bumi-Nya juga kita pijak dan air-Nya kita minum. Tanpa bumi dan air itu, dimanakah kita dan apa nasib kita?

Pada masa ini, kita sedang memperingati 42 tahun pertukaran nama “Bandar Brunei” kepada “Bandar Seri Begawan”.

Bandar, adalah bumi tempat kita berpijak dan berjalan-jalan. Tempat membeli-belah, tempat bertugas dan malah tempat kita beribadat. Bukankah disini ada masjid yang tersergam indah?

Demikianlah fungsi bandar itu.

Kita wajib bersyukur diatas nikmat ini, dan perlu berazam untuk melihatnya kekal, supaya dapat pula dinikmati oleh generasi turun temurun.

Disinilah kita perlu memahami akan kehendak, siapa yang ampunya nikmat itu. Dia menghendaki kita supaya terus bersyukur dan bertakwa serta tidak mengambil ringan perintah-perintah-Nya.

Khusus dalam perkara bernegara termasuk berbandar, kita adalah dituntut supaya sentiasa memelihara kesucian negara atau bandar kita itu daripada segala macam bentuk mungkar. Ini adalah amanah, dan termasuk juga selaku amanah itu ialah memberikannya imej yang baik dan indah, maksud Beta, imej keislaman (Islamic image), lebih-lebih lagi sesuai dengan sifatnya selaku bumi MIB atau bumi Negara Zikir.

Salah satu contoh paling tepat lagi mustahak untuk disegerakan dalam perkara membaiki imej bandar dan malah negara seluruhnya ialah, pada Hari Juma’at, diwaktu atau jam yang bersesuaian, semua premis perniagaan bisai tah ditutup buat sementara waktu, sehingga selesai menunaikan sembahyang fardhu Juma’at.

Penutupan ini, selain ia sendiri berunsur imej, ia juga akan mampu untuk mengubati penyakit “kuai-libai” setengah kalangan pemuda atau belia di pusat-pusat membeli belah atau di kaki-kaki lima, sedang orang-orang Islam lain sudahpun berada di masjid atau sedang bergerak ke masjid.

Tidakkah, jika perkara ini dibiarkan sehingga berpanjangan, akan mencemarkan imej negara dan malah imej Islam sendiri?

Oleh itu, langkah ini sangatlah wajar dan bahkan menepati tuntutan syara’ untuk dilaksanakan. Syara’ telah menggesa kita supaya segera menyahut panggilan “Sembahyang Juma’at” dan meninggalkan sementara urusan jual-beli sehinggalah selesai sembahyang tersebut. Manakala telah selesai sembahyang, kitapun disuruh pula untuk bertibaran semula dimuka bumi bagi menjalankan urusan masing-masing (lihat ayat 9 dan 10 surah Al-Jumu’ah).

Dari perintah Allah ini, tidak siapa yang akan rugi malah sebaliknya, dengan negara juga akan beroleh nama yang baik dan imej yang baik serta keberkatan pula boleh kita tunggu daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Beta meminta dan berharap kepada pihak-pihak berkenaan, supaya dengan cara sewajarnya, akan menangani perkara ini tanpa lama-lama bertangguh.

Beta bersyukur, kerana hidayat Allah ini datangnya pada “Hari Besar”, bersukut dengan kita menyambut ‘Idil Adha yang mulia.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan perasaan tulus ikhlas dan penuh muhibbah mengucapkan Selamat Hari Raya Adha Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana saja mereka berada, tidak terkecuali para jama’ah haji kita di Tanah Suci, semoga mereka mendapat haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.









Saturday, 13 October 2012

Janji Allah kepada mereka yang BERNIKAH.


Ketika seorang Muslim baik pemuda mahupun wanita akan menikah, biasanya akan timbul perasaan yang bermacam-macam. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu saat melangkah pelamin. Bahkan ketika dalam proses ta'aruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.
Berikut ini sekelumit apa yang hadir dari janji Allah kepada mereka yang menyimpan perasaan negatif dalam mencari teman hidup.


"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)" (An Nuur:26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai ajaran Islam dan Sunnah NabiNya. Jadilah lelaki-lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui" (An Nur:32)
Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika menikah. Salah satu sebabnya adalah kerana belum punya pekerjaan. Dan anehnya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan-pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan kemampuan gajinya. Dalam fikiran mereka terbit suatu persoalan, "Apakah cukup untuk keluarga gaji sekian?".

Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu melangkah ke jenjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga. Bukan gaji yang tinggi yang selama-lamanya tidak akan berkesudahan. Allah Maha Adil, bila tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajiban menafkahi isteri-isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak punya apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?

"Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabiliLlah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya" (Musnad Imam Ahmad 2:251, Sunan An Nasa'ie, At Tirmizi, Ibnu Majah hadis No.2518, dan Hakim 2:160)
Bagi sesiapa sahaja yang menikah dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah S.A.W dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir". (Ar Ruum:21)

"Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina". (Al Mu’min:60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankanNya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, penurut, dan seterusnya. Dalam berdoa perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Di antaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan. Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir di mana Allah turun ke langit dunia, pada waktu antara azan dan iqamah, pada waktu turun hujan. Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum dari yang haram, juga makan, minum dan berpakaian dari usaha yang haram, melakukan apa yang diharamkan Allah dan lain-lain.

Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini kewujudan Allah Taala, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, mengakui bahawa Allah Maha Mendengar. Sebahagian orang ketika jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun dan bomoh, berharap agar jodohnya segera tiba. Sebahagian orang ada juga yang menggunakan guna-guna (ilmu pengasih). Cara-cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah S.A.W, "Barang siapa yang mendatangi peramal/ dukun, lalu ia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam" (Hadis Sahih riwayat Muslim 7/37 dan Musnad Imam Ahmad).
   
"Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat" (Al Baqarah:153)

Mintalah pertolongan kepada Allah dengan melaksanakan sifat sabar dan menunaikan solat. Tentunya agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi S.A.W. Juga harus solat sesuai Sunnahnya dan terbebas dari perbuatan yang haram. Firman Allah Taala lagi (maksudnya), "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (Al Syarh:5-6)

Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sukar dan sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
 "Wahai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Muhammad:7)

Supaya Allah Taala menolong kita, maka kita mestilah menolong agama Allah Taala. Baik dengan berinfak di jalanNya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran risalah-risalah dakwah agama Islam, menyiapkan generasi yang akan melanjutkan perjuangan Islam dan sebagainya.

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Al Hajj:40)

"Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat" (Al Baqarah:214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjiBya. Kalaupun Allah tidak/ belum mengabulkan hajat dan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap Muslim. Jadi, tidak ada sebabnya untuk kita meragukan tentang janji Allah ini.

Tuesday, 26 June 2012

PETUA KHUSYUK SOLAT.



Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-
yang bermaksud  
“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”
 [Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]. 
Firman-Nya lagi:-
"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. 
Firman Allah lagi:-
yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya.
Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." 
Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan"
Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. 
Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" 
 [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
 
sumber:  http://www.angelfire.com/pro/sembahyang/petua.html