Bismillahir Rahmanir Rahiim,
Assalaamualaikum kepada semua para pengunjung blog ini, Alhamdulillah terima kasih diucapkan kerna abiskita semua sudi berkunjung ke blog ini dari masa kemasa, sehingga sekarang jumlah pengunjung sudahpun melebihi 20,000 orang.
Alhamdulillah, pada hari ini kita bersama-sama sekali lagi dapat meraikan Hari Raya Aidil-adha 1433, dan para jemaah haji telahpun sempurna berwukuf di Padang Arafah kelmarin behari. Kitani doakan agar mereka semuanya akan mendapat haji/hajah yang mabrur dan selamat pulang ke tanah-air dengan selamat. Aamiin.
Pada masa negara kita turut pesat membangun dengan prasarana-prasarana yang modern, perkembangan Ugama Islam juga tidak kurang diberikan perhatian yang serius oleh Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan, pada malam semalam, baginda telahpun bertitah melalui corong-corong radio dan juga Televisyen diseluruh negara yang mana antara intisari petikan Titah baginda menyeru agar premis-premis perniagaan ditutup pada waktu berlangsungnya solat Jumaat dikawasan Bandar Seri Begawan. Alhamdulillah, kitani selaku hamba rakyat yang bernaung dibawah payung pemerintahan Baginda merasa amat terharu akan titah Baginda itu. Baginda juga turut menggambarkan andainya perkara itu dilaksanakan, maka negara juga akan turut mendapat nama yang baik selaku sebagai sebuah Negara Zikir.
Inilah beruntungnya kitani menjadi warga / rakyat Brunei, kerna dikurniakan seorang raja yang berjiwa Mukmin dan Soleh, baginda tidak kendur-kendur mendidik semua lapisan masyarakat (khususnya yang berugama Islam), agar sentiasa menjadi manusia yang bertaqwa dan tahu mensyukuri nikmat Allah swt.
Marilah kitani bersama-sama menyahut seruan Titah Baginda itu dengan penuh ikhlas dan bersama-sama kitani jua memberikan pertolongan samada dari buah-fikiran ataupun sekurang-kurangnya Doa agar perkara yang dititahkan Baginda ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Aamiin.
Ditulisan kali ini jua, saya turut 'mempaste' kan kandungan Teks Titah Baginda, agar dapat kitani jadikan sebagai bahan rujukan.
Akhir kalam untuk tulisan kali ini, tidak lupa diucapkan, Selamat Hari Raya Aidil-adha kepada seluruh kaum keluarga, sahabat handai dan kepada seluruh pembaca-pembaca sekalian, dan marilah kitani semua berdoa semoga diri kita, negara kita, serta raja kita semuanya akan senantiasa mendapat keredhaan Allah jua. Aamiin.
Isa Sulaiman,
26hb Oktober 2012 / 10hb Zulhijjah 1433H.
02.43 petang (Jumaat).
Teks Titah
Titah
Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1433 Hijrah /
2012 Masihi
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa
Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina
Muhamaddin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Pujian terhadap Allah itu wajib, kerana Dia memang berhak dipuji.
Bertapa tidak, bukankah Allah itu Maha Sempurna, serba serbi sempurna?
Zat-Nya sempurna, Ilmu-Nya sempurna, Sifat-Nya sempurna. Maka kerana
itulah kita para hamba ini dituntut supaya memuji-Nya.
Memuji
Allah bukanlah seperti memuji yang lain-lain. Memuji Allah bermakna kita
mensyukuri nikmat-Nya, semantara mensyukuri nikmat itu pula dihukumkan
wajib.
Jika kita mensyukuri nikmat Allah, Dia berjanji akan
menambahnya lagi, sebaliknya kalau kita tidak mensyukuri nikmat itu,
maka berhaklah bagi Allah menimpakan azab-Nya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Mensyukuri nikmat Allah tidaklah memadai setakat ucapan semata-mata,
tetapi mesti dibuktikan juga dengan amal perbuatan. Kita dikurniakan
harta, disamping lidah kita melafazkan “alhamdulillah”, Allah juga
adalah memerhatikan kita, dimanakah harta itu kita gunakan?
Kalau ia digunakan dijalan yang hak, maka kesyukuran kita itu akan
diterima. Tetapi jika ia digunakan dijalan yang batil, maka kesyukuran
kita itu bukan saja ditolak, malah azab juga adalah sedang menunggu
kita. Inilah keadilan Maha Pencipta.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Kita ini pada setiap hari dan detik menggunakan nikmat Allah. Udara-Nya
yang segar kita hirup. Tanpa udara, semua makhluk tidak mungkin hidup.
Bumi-Nya juga kita pijak dan air-Nya kita minum. Tanpa bumi dan air itu,
dimanakah kita dan apa nasib kita?
Pada masa ini, kita sedang memperingati 42 tahun pertukaran nama “Bandar Brunei” kepada “Bandar Seri Begawan”.
Bandar, adalah bumi tempat kita berpijak dan berjalan-jalan. Tempat
membeli-belah, tempat bertugas dan malah tempat kita beribadat. Bukankah
disini ada masjid yang tersergam indah?
Demikianlah fungsi bandar itu.
Kita wajib bersyukur diatas nikmat ini, dan perlu berazam untuk
melihatnya kekal, supaya dapat pula dinikmati oleh generasi turun
temurun.
Disinilah kita perlu memahami akan kehendak, siapa
yang ampunya nikmat itu. Dia menghendaki kita supaya terus bersyukur dan
bertakwa serta tidak mengambil ringan perintah-perintah-Nya.
Khusus dalam perkara bernegara termasuk berbandar, kita adalah dituntut
supaya sentiasa memelihara kesucian negara atau bandar kita itu daripada
segala macam bentuk mungkar. Ini adalah amanah, dan termasuk juga
selaku amanah itu ialah memberikannya imej yang baik dan indah, maksud
Beta, imej keislaman (Islamic image), lebih-lebih lagi sesuai dengan
sifatnya selaku bumi MIB atau bumi Negara Zikir.
Salah satu
contoh paling tepat lagi mustahak untuk disegerakan dalam perkara
membaiki imej bandar dan malah negara seluruhnya ialah, pada Hari
Juma’at, diwaktu atau jam yang bersesuaian, semua premis perniagaan
bisai tah ditutup buat sementara waktu, sehingga selesai menunaikan
sembahyang fardhu Juma’at.
Penutupan ini, selain ia sendiri
berunsur imej, ia juga akan mampu untuk mengubati penyakit “kuai-libai”
setengah kalangan pemuda atau belia di pusat-pusat membeli belah atau di
kaki-kaki lima, sedang orang-orang Islam lain sudahpun berada di masjid
atau sedang bergerak ke masjid.
Tidakkah, jika perkara ini dibiarkan sehingga berpanjangan, akan mencemarkan imej negara dan malah imej Islam sendiri?
Oleh itu, langkah ini sangatlah wajar dan bahkan menepati tuntutan
syara’ untuk dilaksanakan. Syara’ telah menggesa kita supaya segera
menyahut panggilan “Sembahyang Juma’at” dan meninggalkan sementara
urusan jual-beli sehinggalah selesai sembahyang tersebut. Manakala telah
selesai sembahyang, kitapun disuruh pula untuk bertibaran semula dimuka
bumi bagi menjalankan urusan masing-masing (lihat ayat 9 dan 10 surah
Al-Jumu’ah).
Dari perintah Allah ini, tidak siapa yang akan
rugi malah sebaliknya, dengan negara juga akan beroleh nama yang baik
dan imej yang baik serta keberkatan pula boleh kita tunggu daripada
Allah Subhanahu Wata’ala.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Beta meminta dan berharap kepada pihak-pihak berkenaan, supaya dengan
cara sewajarnya, akan menangani perkara ini tanpa lama-lama bertangguh.
Beta bersyukur, kerana hidayat Allah ini datangnya pada “Hari Besar”, bersukut dengan kita menyambut ‘Idil Adha yang mulia.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan perasaan tulus ikhlas dan penuh
muhibbah mengucapkan Selamat Hari Raya Adha Al-Mubarak kepada semua
lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana saja mereka
berada, tidak terkecuali para jama’ah haji kita di Tanah Suci, semoga
mereka mendapat haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan
selamat. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
nice infomative blog, bro Isa
ReplyDelete