Ibrahim
bin Adham atau nama asalnya ialah Abu Ishak Ibrahim bin Adham
dilahirkan daripada keluarga bangsawan Arab yang kaya raya. Beliau
terkenal sebagai seorang raja Balkh yang sangat luas wilayah
kekuasaannya. Ke mana saja pergi, beliau akan diiringi empat puluh bilah
pedang emas dan empat batang tongkat kebesaran emas diusung di depan
dan belakangnya. Nama beliau berada dalam tinta sejarah daripada seorang
raja yang masyhur kepada ahli sufi yang terkenal.
Bermulanya
perubahan kehidupan Ibrahim bin Adham apabila pada suatu malam ketika
baginda tertidur di bilik istananya, langit-langit di biliknya bergerak
seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim
terjaga dan berseru: “Siapakah itu?”
“Saya adalah seorang sahabat, untaku hilang, aku sedang mencarinya di atas atap ini.” Terdengar sahutan dari atas.
“Bodoh, tidak ada orang mencari unta di atas atap!” Ibrahim menengkingnya.
“Wahai
manusia yang lalai, apakah engkau hendak mencari Allah Subhanahu
wata’ala dengan berpakaian sutera dan tidur di alas tilam emas?” Jawab
suara itu penuh simbolik.
Kata-kata
ini sangat menggetarkan hati Ibrahim. Ia sangat gelisah dan tidak dapat
meneruskan tidurnya sehingga pagi. Seperti kebiasaannya, di sebelah
siang Ibrahim berada di atas singgahsananya untuk mendengar pengaduan
dan masalah rakyat jelata. Tetapi hari itu keadaannya berlainan, dirinya
gelisah dan banyak termenung.
Para
menteri, pembesar istana dan rakyat yang hadir merasa hairan melihat
perubahan yang terjadi dengan tiba-tiba kepada raja mereka.
Tiba-tiba
masuk seorang lelaki berwajah menakutkan ke dalam ruangan perjumpaan
itu. Tidak seorangpun di antara askar dan pengawal istana yang berani
menanyakan sesuatu dan menghalangnya masuk. Kejadian berlaku begitu
pantas, semua lidah menjadi kelu. Lelaki itu melangkah ke depan Ibrahim
Adham.
“Apakah yang engkau inginkan daripada aku?” Tanya Ibrahim.
“Aku baru sahaja sampai, bagilah aku rehat dulu”, jawab lelaki itu.
“Ini bukan tempat persinggahan kafilah. Ini istanaku. Lagak engkau seperti orang gila saja!” Ibrahim menengking.
“Siapa pemilik sebenar istana ini sebelum engkau?” Tanya lelaki itu.
“Ayahku!” Jawab Ibrahim pendek.
“Sebelum ayahmu?”
“Datukku!”
“Sebelum dia?”
“Datuk kepada datuk-datukku!”
“Ke manakah mereka sekarang ini?“ Tanya lelaki itu.
“Mereka telah meninggalkan dunia ini”, jawab Ibrahim.
“Jika
demikian, tidakkah ini sebuah persinggahan yang diduduki oleh seseorang
kemudian ditinggalkannya dan diganti oleh yang lain pula?” Kata lelaki
itu.
Tersentak
juga hati Ibrahim mendengar kata-kata lelaki itu. Belum sempat Ibrahim
menjawab, lelaki itu mengundur ke belakang dan tiba-tiba ghaib di tengah
orang ramai. Banyak para alim ulama membuat tafsiran sesungguhnya
lelaki itu adalah Nabi Khidhir ‘Alaihissalam yang sengaja datang
mengetuk hati raja Ibrahim bin Adham yang semakin lalai dengan tipu daya
dunia.
Kegelisahan
Ibrahim semakin menjadi-jadi sejak kejadian tersebut. Ia dihantui oleh
bayangan dan suara lelaki itu sejak peristiwa di istananya. Akhirnya
kerana tidak tahan lagi Ibrahim memerintah pengawalnya: “Persiapkan
kudaku yang terbaik! Aku hendak pergi berburu. Ya, Allah! Bilakah semua
ini akan berakhir?”
Ibrahim
bin Adham dan rombongan terus merentasi padang pasir yang luas saujana
mata memandangnya. Baginda memacu kudanya begitu laju sehingga akhirnya
terpisah dengan rombongan tersebut. Dalam mencari jalan keluar baginda
terlihat seekor rusa. Tiba-tiba Ibrahim ghairah hendak memburu rusa itu.
Belum sempat berbuat apa-apa rusa itu berkata kepadanya: “Wahai manusia
yang lalai, aku disuruh oleh Allah Subhanahu wata’ala memburumu. Engkau
tidak dapat menangkapku. Bertaubatlah, untuk inikah engkau
diciptakanNya?”
Ibrahim
yang di dalam ketakutan itu tiba-tiba terkejut dengan kata-kata itu.
Baginda langsung tidak terfikir selama ini untuk apa baginda dicipta ke
dunia. Sekarang keyakinan serta keimanannya telah tertanam di dalam
dadanya. Seluruh pakaian dan tubuh kudanya basah oleh cucuran air mata
penyesalannya selama ini. Dengan sepenuh hati Ibrahim bertaubat kepada
Allah Subhanahu wata’ala. Dalam keadaan panas terik itu, baginda
meninggalkan kudanya dengan berjalan kaki yang akhirnya baginda bertemu
dengan seorang penggembala yang sedang menjaga sekumpulan
kambing-kambingnya.
Tiba-tiba
Ibrahim meminta keizinan untuk menyerahkan bajunya yang bersulam emas
serta topinya yang bertatahkan batu-batu permata yang sangat mahal
harganya. Sebaliknya baginda mengenakan pakaian dan topi gembala itu
yang diperbuat daripada kulit dan bulu kambing. Gembala kambing itu
melihat kelakuan Ibrahim itu dengan penuh kehairanan. Semua malaikat
menyaksikan perbuatan Ibrahim itu dengan penuh kekaguman sehingga salah
satu malaikat berkata: “Lihat, betapa megahnya kerajaan yang diterima
putera Adham sebelum ini, akhirnya telah mencampakkan pakaian dunia yang
kotor dan menggantinya dengan jubah kesedaran.”
Dengan
berjalan kaki Ibrahim mengembara merentasi gunung dan menyusuri padang
pasir yang luas sambil menginsafi dosa-dosa yang pernah dilakukannya.
Akhirnya sampailah baginda di sebuah gua. Ibrahim yang dulunya seorang
raja yang hebat akhirnya menyendiri dan berkhalwat di dalam gua selama
sembilan tahun. Selama di dalam gua itulah Ibrahim betul-betul
mengabdikan dirinya kepada Allah Subhanahu wata’ala. Setiap hari Khamis
baginda ke pekan bernama Nishapun untuk menjual kayu api. Setelah
sembahyang Jumaat baginda pergi membeli roti dengan wang yang
diperolehinya. Roti itu separuh diberikan kepada pengemis dan separuh
lagi untuk berbuka puasa. Demikianlah yang dilakukannya setiap minggu.
Akhirnya
baginda mengambil keputusan keluar dari gua tersebut untuk merantau
lagi merentasi padang pasir yang terbentang luas itu. Baginda tidak tahu
lagi ke mana hendak ditujui. Setiap kali baginda berhenti di sebuah
perkampungan, baginda kumpulkan orang-orang setempat untuk memberitahu
betapa kebesaran Allah terhadap hambaNya dan azab yang akan diterima
oleh sesiapa yang mengingkarinya. Justeru itu banyaklah orang yang akrab
dengannya dan ada yang menjadi muridnya. Baginda mengharungi padang
pasir itu empat belas tahun lamanya. Selama itu pula baginda berdoa dan
merendahkan dirinya serta tawaddhu’ kepada Allah Subhanahu wata’ala.
Nama Ibrahim pula mula disebut-sebut orang; dari seorang raja berubah
menjadi seorang ahli sufi yang merendah diri.
Pernah
dalam perjalanannya baginda diuji. Disebabkan kewara’an baginda itu ada
seorang kaya datang menemuinya untuk mengambil tabarruk ke atas baginda
dengan memberi wang yang sangat banyak kepada Ibrahim. “Terimalah wang
ini, semoga berkah”, katanya kepada Ibrahim.
“Aku tidak mahu menerima sesuatupun daripada pengemis”, jawab Ibrahim.
“Tetapi aku adalah seorang yang kaya”, pintas orang kaya orang itu.
“Apakah engkau masih menginginkan kekayaan yang lebih besar daripada apa yang telah engkau miliki sekarang ini?” tanya Ibrahim.
“Ya,
kenapa tidak?” Jawabnya ringkas.“Simpanlah wang ini kembali, bagi aku,
engkau adalah ketua para pengemis di sini. Bahkan engkau bukan seorang
pengemis lagi tetapi seorang yang sangat miskin dan meminta-minta.”
Tegur Ibrahim.
Kata-kata
Ibrahim itu membuatkan orang kaya itu tersentak seketika. Penolakan
pemberiannya oleh Ibrahim disertai dengan kata-kata yang sinis lagi
pedas itu turut meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya. Dengan
peristiwa tersebut orang kaya itu bersyukur kepada Allah kerana
pertemuan dengan Ibrahim itu membuatkan dirinya sedar akan tipu daya
dunia ini. Beliau lalai dengan nafsu yang tidak pernah cukup daripada
apa yang perolehinya selama ini.
Suatu
ketika sedang Ibrahim bin Adham menjahit jubah buruknya di tepi sungai
Tirgis baginda ditanya oleh sahabatnya: “Engkau telah meninggalkan
kemewahan kerajaan yang besar. Tetapi apakah yang engkau telah perolehi
sebagai imbalannya?”
Disebabkan
soalan yang tidak disangka-sangka itu keluar dari mulut sahabatnya
sendiri maka dengan tiba-tiba jarum di tangannya terjatuh ke dalam
sungai itu.
Sambil menunjukkan jarinya ke sungai itu Ibrahim berkata, “Kembalikanlah jarumku!”
Tiba-tiba
seribu ekor ikan mendongakkan kepalanya ke permukaan air. Masing-masing
ikan itu membawa sebatang jarum emas di mulutnya.
Ibrahim berkata: “Aku inginkan jarumku sendiri.”
Seekor ikan kecil yang lemah datang menghantarkan jarum besi kepunyaan Ibrahim di mulutnya.
“Jarum
ini adalah salah satu di antara imbalan-imbalan yang ku perolehi,
kerana meninggalkan kerajaan Balkh. Sedangkan yang lainnya belum tentu
untuk kita, semoga engkau mengerti.” Kata Ibrahim Adham dengan penuh
kiasan.
Begitulah
kehidupan seorang raja Balkh yang bernama Ibrahim bin Adham yang luas
pemerintahannya dan hidup di dalam kemewahan, tetapi akhirnya berkelana
menjadi ahli sufi yang terkenal. Baginda menemui Allah Subhanahu
wata’ala pada tahun 165H/782M di negeri Persia. Taubat Ibrahim itu
merupakan sebuah kisah yang sangat unik bagi umat Islam yang merintis
kehidupan yang penuh dengan tipu daya di dunia ini. Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment