Alhamdullillah dan syukur dengan segala kurniaan hari dan nafas yang diberikan dan dipinjamkan kepada aku oleh Allah SWT. Akhirnya tergerak untuk aku menulis cerita dan kisah yang berlaku dalam hidup aku sama ada terancang dan adakalanya tanpa diduga datangnya. Semuanya telah menjadi ketentuan Ilahi. Setiap detik yang berlalu adalah berharga dan memberikan kita kesempatan untuk hidup di muka bumi Allah ini. Sebagai insan yang diberikan kudrat yang tidak seberapa sempurna, haruslah aku bersyukur dengan segala yang telah dikurniakan oleh Allah kepada ku.
Ya, alhamdullilah. Bukan seorang yang telah mendokong aku untuk menjadi seperti sekarang. Ibu, abang ipar, kakak, ayah , adik, kawan dan orang-orang yang berada di sekeliling aku memberikan semangat kepadaku untuk memilih jalan dan menentukan hala tujuku. Terima kasih atas segala yang diberikan dan dikongsiakan kepada saya. Hanya Allah yang dapat memberikan ganjarannya kepada kalian.
Sejenak aku mengingatkan diri sendiri, bahawa hidup ini sangat teratur kejadiannya. Bagaimana saya dahulu menjadi buta dengan segala penipuan dunia dan permainan sesetengah pihak yang cuba untuk membawaku ke dunia kesesatan. Ternyata hidayah dan petunjuk yang diberikan oleh Allah kepada ku amat bernilai dalam jiwaku. Aku tak tahu macam mana terselinap hidayah dan perasaan kecintaanku untuk mencari kebenaran itu dan ianya terselit rapi dalam diari hidupku.
Sungguh indah. Aku sungguh bertuah tergolong dari orang yang mendapat hidayah dan pertunjuk dari-Nya. Tapi pada permulaan aku menolak segala yang terpampang dan terhidang di hadapan aku sehingga aku bertekad untuk menyelidiki dan mencari erti sebenar hidayah tersebut. aku sedari kecil mencari siapakah Tuhan ku yang sebenar-benarnya mampu membantu aku dalam kesusahan dan kesenangan.
Daripada kejadian itu, aku telah mula cuba mencari kebenaran dan kekuatan. Pada awalnya aku masuk ke kelas agama kristian. Aku ikut semua ajaran yang dibawa oleh gereja. Aku mendalami siapakah Jesus. Aku memahami apa yang dijanjikan oleh Jesus dan Tuhannya. Aku bersujud di hadapan Altar menghadap replika salib di hadapan aku. Aku bermohon dipertunjukkan kepada aku jalan sebenar.
Aku mencari jawapan di dalam Bible. Aku selidiki dan buat perbandingan dengan apa yang aku nampak. Aku masuk ke kelas baptism tapi 4 kali aku masuk tak pernah habis kelas aku pelajari. Hanya setakat sekerat sahaja. Aku masuk kelas ''bible sharing''. Aku pernah sentuh holly water. Aku ikut orang menyanyi lagu rohani. Aku ikut orang tengok cerita, video, movie mengisahkan kehidupan Jesus. Aku pernah ikut youth(muda-mudi) menyambut Good Friday dan Easter Monday sampaikan tak tidur semalaman semata-mata ''bertasbih'' kepada Marry dan Jesus. Aku pernah meminta berkat dan restu dari paderi untuk merahmati aku. Aku pernah membeli dan mengantungkan salib pada leher aku. Aku pernah menjadi ''Candle Boys'' yang memegang lilin menuju ke altar. Dan aku pernah bersujud kepada patung Jesus dan santé-sante yang kononnya suci itu.
Astaghfirullahala'zim. Ya Allah ampunkan dosa-dosa dan kesesatan hamba-Mu ini. Sungguh2 aku telah sesat dan kufur terhadap-Mu ya Allah.
Ya. Memang aku ikut semua itu. Tapi aku bersyukur aku belum baptisms ketika aku di dalam akidah yang salah ini. Tapi dalam pada itu juga aku terdedah kepada ajaran-ajaran dan pendedahan yang ditunjukkan oleh warisan adat kaum aku. Sungguh aku keliru. Nenek aku melarang aku untuk Baptist tapi boleh ikut orang pergi sembahyang di gereja. Aku diberi amaran oleh ibuku aku boleh ikut apa ajaran agama pun di dunia ini asalkan ia bukan ISLAM. Apa pula aku tak boleh ketahui pasal Islam? Islam kan agama? Tak mungkin Islam itu jahat lagipun negara kita sekarang dipegang oleh orang Islam. Cikgu kat sekolah aku juga Islam. Kenapa orang tua aku tak benarkan ajaran Islam menjadi ikutan? Tapi ketika itu aku cuma anggap benda tu sebagai nasihat sahaja.
Apabila aku dah besar barulah aku tahu yang Islam ini melarang malah mengharamkan semua perkara yang dipraktikkan oleh kaum aku sendiri seperti memakan babi, mempercayai benda mistik, paganism dan banyak lagi yang bertentangan dengan Islam. Aku mula bertanya kenapa pula Islam melarang semua perkara yang dipegang oleh nenek moyang kaum aku? Pelik. Aku mulalah mengkaji dan cuba mencari jawapan tetapi buntu. Mungkin ketiadaan sumber yang mencukupi dan kebutaan dalam menggunakan internet. Masa tu belum ada lagi Facebook ni. Manalah aku tau. Dan dalam pencarian kebenaran itu aku mendapat mimpi pelik.
Ketika itu adalah malam syawal kedua pada tahun 2007. Aku mendapat mimpi pelik. Aku berada di hadapan pintu masjidil haram. Aku masuk ke dalam masjidil haram di Mekah. Dalam mimpi tu aku ikut orang ambil wuduk dengan melihat orang di sebelah. Orang yang disebelah aku itu sangat bercahaya wajahnya sehingga tidak terzahir mata hitamnya. Aku sempat menjengguk ke dalam dewan solat dan sempat melihat Kaabah. Tapi Kaabah dalam pandangan aku terlalu terang bercahaya dan aku tak mampu melihat secara keseluruhan bentuk Kaabah itu. Hanya separuh sahaja aku dapat lihat. Apabila aku mahu melangkah ke dalam dewan solat, tiba-tiba badan aku berasa ringan dan aku diseret keluar oleh tiga orang lelaki. Ketiga-tiga lelaki itu sungguh tinggi dan aku tak dapat melihat wajah mereka. Aku terasa begitu kerdil dihadapan ketiga-tiga lelaki itu. Dengan senyuman mereka berkata ''wahai saudara, ini bukanlah tempat bagimu. Baliklah kamu ke tempat asalmu sehingga kamu ketemu kuncinya''.
Aku terbangun dan cuba mengingati kembali mimpi aku itu. Ketika itu jugalah azan subuh berkumandang dari masjid di kampong melayu nun jauh ke belakang rumah aku. Kunci? Apakah kunci itu? Pada ketika itu aku bertanya dan binggung kenapa aku yang bukan Islam ketika itu boleh mendapat mimpi masuk ke dalam masjidil haram walaupun hanya di hadapan pintu sahaja? Aku mula bertanya kepada rakan2 muslim ku adakah mereka pernah mendapat mimpi semacam sama dengan aku? Tidak. Itulah jawapan mereka. Dan pertanyaan aku itu mula tersebar ke seluruh sekolah aku (ketika itu aku kat sekolah teknik sibu) sehingga ada hamba Allah ni minta kepastian. Kawan2 aku yang dengar pun mulalah menjauhkan diri dari aku.
Kegusaran itu aku bawakan kepada Ustazah Nur Atikah (Ya Allah berikanlah rahmat-Mu dan keberkatanMu ke atas dirinya dan keluarganya). Aku ceritakan dari awal hingga akhir mimpi aku itu. Sungguh dia terkejut dengan pendedahan aku itu. Dia terkejut kerana orang Islam yang memang Islam pun jarang bermimpikan mimpi seperti aku itu sedangkan aku yang bukan Islam ni yang mendapat mimpi itu. Ustazah percaya yang orang yang aku nampak dalam mimpi itu adalah malaikat yang menjaga Masjidil Haram itu dan aku berwuduk itu adalah mungkin iman aku sudah mula mahu bertapak dalam diri aku. Roh aku sudah mahu mencari Tuhannya yang Esa. Kunci itu pula mungkin adalah dua kalimah syahadah seperti mana yang di jelaskan oleh ustazah. Tapi itu cuma andaian nya sahaja. Yang selebihnya hanya Allah SWT yang mengetahui segala yang tersirat.
Tetapi adalah malang bagi aku. Aku mula melupakan dan tidak mengendahkan seruan itu. Mungkin ketika itu aku perlukan masa untuk mendalami Islam. Lagipun aku masih bawah umur. Nanti apa kata orang pula. Aku mulalah ikut kepada cara lama iaitu kristian. Ikut orang aktiviti malah lebih rancak lagi dan lebih aktif. Yalah, namapun ketika itu senior. Rasa macam dah besar lah tu. Ketika itu aku masuk jer mana-mana mazhab kristian. Tak kiralah katolik, SIB, Methodist, dan lain-lain. Aku ikut je. Tapi keterbatasan untuk aku ikut orang kem-kem agama memang nyata sebab budak asrama ini susah nak keluar. Apatah lagi kalau bukan event sekolah.
Ketika sambutan maulidur rasul pada tahun 2008 (sibu sebagai tuan rumah untuk negeri Sarawak), aku ikut perarakan itu. Kawan aku dan junior aku semua terkejut tengok aku ikut. Yalah mereka kan tak biasa tengok aku ikut event mereka. Aku gembira sangat ketika itu tapi aku tak dibenarkan bertakbir. Aku faham sebab aku bukan sebahagian daripada mereka. Daripada situlah aku melihat hubungan ukwah yang terjalin antara aku dengan mereka. Dalam riak mereka juga mereka bimbang tentang aku. Aku tahu kenapa. Sebab mereka takut aku akan pengaruhi mereka dengan ajaran kristian. Tak apa aku faham dan niat aku bukan itu tapi untuk aku lebih mengenali Islam itu sendiri.
Masa semakin berlalu dan berlalu. Sehinggalah aku melangkah ke institusi yang lebih tinggi yang aku duduki sekarang ini. Situasi pertama kali aku bersekolah di semenanjung memang memberikan aku tamparan hebat. Budaya di sini memang berbeza. Dengan prasarana yang cukup lengkap sampaikan nak kotorkan bilik asrama pun aku tak sanggup. Kelakar juga kan?. Di sini aku menemui rakan-rakan yang berbeza budaya, bahasa dan agama. Aku berkawan dengan budak-budak Melayu, Siam, Asli, India, Cina, Kadazan dan lain-lain. Pengalaman yang sungguh menakjubkan. Di sini jugalah aku menimba segala ilmu Islam. Melihat cara-cara orang Islam ini mempraktikkannya, mengamalkannya dan mematuhinya.
Jadi, aku mula bertanya. Adakah ini adakah kebetulan atau doa dari orang-orang yang mendoakan diriku? Adakah ini adalah hidayah yang cuba Allah sampaikan kepada aku dan mereka-mereka ini adalah utusanNya? Adakah aku ditakdirkan untuk melihat segala ketentuan ini?
Ya. Itu adalah jalan yang Allah SWT ingin aku laluinya. Itulah pilihan yang sebaik-baik pilihan dalam hidupku. Pilihan yang terbaik dan menenangkan diriku yang serba jahil ini. Itulah jalan yang diredhai oleh-Nya. Allah tau yang aku tak tenteram. Allah tahu yang aku keliru. Allah tahu yang aku memerlukanNya. Allah tahu yang Allah menyayangi aku.
Pada tanggal 22hb oktober 2010, aku sah menjadi seorang Muslim. Aku sah menyatakan ikrar aku kepada Allah SWT. Aku sah bergelar Muslim. Tiada lagi istilah yang menginsafkan aku iaitu Non-Muslim. Tapi istilah itu tidak bermakna aku terputus segala hubungan aku dengan keluarga serta rakan-rakan ku. Gelaran yang selama ini aku inginkan telah terpahat dalam carta pengikut Nabi Muhammad. Dan tidak bermakna gelaran itu boleh mengubah hubungan aku dengan keluarga aku.
Alhamdullillah. Segala pujian dan syukur hanya pada Allah. Akhirnya aku telah menemui sebuah kolam yang menenangkan jiwaku dan imanku. Aku lebih tenang apabila telah memeluk agama Allah ini. Dan aku berharap aku akan dimatikan dalam keadaan aku Islam. Itu adalah doa aku.
Segala apa yang aku nukilkan di sini adalah pengalaman aku. Hanya dengan usaha aku yang kecil ini bakal memberikan kesedaran kepada saya serta rakan-rakan semuslim ku.
No comments:
Post a Comment