Kehidupan itu adalah suatu nikmat bagi orang yang menghargai dan menyedarinya.
Thursday, 23 June 2011
Epilog Noda Semala, Kemanisan Taubat
Aku berteleku mengingatkan dosa-dosa semalam.. Rentetan terlalu obses dalam mengejar syurga dunia, aku terhanyut dek arus kealpaan yang telah menukarkan peribadiku.
Nilai sopan santun, budaya muslimah serta didikan agama yang dicurahkan oleh kedua ibu bapaku sudah tiada dalam kamus hidupku.
Aku tidak pandai menjaga pergaulanku dengan kaum Adam. 2 tahun lepas aku seorang penuntut universiti awam terkemuka di Kuala Lumpur.
Oleh kerana berasal dari kampung, aku bagaikan terkena kejutan budaya apabila melihat segala yang aku inginkan mudah diperoleh.
Kisah hidupku berubah sejak aku mengenali Rizal. Dia mendekatiku dengan peribadi yang kononnya alim, sekadar ingin buat aku tertarik padanya.
Betapa lemahnya aku pada waktu itu kerana terjerat oleh cinta lelaki yang hanya mahukan diriku dan saling bertanding dengan kawannya untuk mendapatkanku.
Walhal aku seorang yang sangat berhati-hati dalam memilih pasanganku.
Perkenalanku dengannya bermula apabila dia menulis nota ringkas untuk mengenaliku dengan lebih dekat. Dia juga sanggup menunggu sehingga aku habis belajar.
Pada mulanya aku tidak layan namun hati yang degil tidak dapat menidakkan kehadirannya yang sedikit sebanyak memberi getar di hati ini.
Tanpa aku sedari juga, dia turut mendapat nombor telefonku daripada sahabatku yang memudahkan laluannya. Aku yang tidak pernah mengenal cinta kaum Adam tertarik padanya buat pertama kali dalam hidupku.
Dahulu aku sangat tidak suka orang yang bercouple, namun bila terkena batang hidung sendiri, barulah aku tahu betapa hebatnya dugaan dan hasutan syaitan yang inginkan kami terus-terusan berbuat maksiat.
Masa berlalu dengan pantas, perkenalan yang pada mulanya berasaskan isu Islam, semakin hari semakin melencong kearah maksiat.
Di samping menceritakan agama, tanpa aku sedar, dia turut menggunakan agama sebagai wadah untuk menjeratku.
Betapa kerdilnya aku waktu itu kerana tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil.
Bermula keluar bersama rakan, kami akhirnya berani keluar berdua-duan. Subhanallah, betapa hinanya aku di sisi Allah pada waktu itu.
Sehinggalah pada suatu hari, Rizal dengan beraninya menyatakan perasaannya padaku,
"Lia, abang sangat sayangkan Lia, abang tak sanggup kehilangan Lia, boleh tak kita bertunang dulu, nanti semua orang tahu yang Lia milik abang seorang, bolehkan Lia?"
Aku terkejut mendengar bicara dari Rizal, mana janjinya yang sanggup tunggu aku sehingga aku habis belajar.
Aku tahu mak ayahku takkan setuju.
Abang dan kakakku turut akan membantah. Aku cuba memujuk Rizal agar tidak meneruskan niatnya.
"Abang, bukan Lia tak nak, tapi abang tahukan keluarga Lia, mereka nak Lia menggenggam ijazah terlebih dahulu sebelum Lia berkahwin. Sementelah, mereka tak pernah tahu tentang kewujudan abang dalam hidup Lia,"
Aku berasa sangat berdosa kerana merahsiakan segalanya daripada pengetahuan ibu bapaku.
Setiap kali balik cuti semester, aku dianggap gadis yang sangat menjaga pergaulanku dengan kaum Adam sedangkan tanpa pengetahuan mereka aku selalu keluar dengan Rizal.
Mak, ayah, ampunkan anakmu ini.
Masa terus berlalu. Makin hari aku semakin hanyut dengan kebahagiaan dunia. Tanpa aku sedari, Rizal mengambil kesempatan ke atas diriku.
Sedikit demi sedikit aku mula rasa gembira kerana terasa disayangi, walhal tiada cinta yang sejati pun dalam hati Rizal buat diri ini.
Aku mula mengabaikan pelajaranku, mula menjauhkan diri dari rakan-rakan yang menasihatiku dan mula membuat perkara yang bertentangan agama.
Tanganku dibiarkan berada dalam genggaman lelaki yang tidak halal buatku.
Pada mula-mula aku mengelak namun dek kerana hanyut dan alpa dengan cinta palsu, aku mula tidak mahu berpisah dengannya.
Kami sama-sama menyulam cinta haram yang terasa indah di dunia.
Aku nekad untuk terus berada di samping Rizal dan ingin menyatakan niatku untuk bertunang dengan Rizal pada cuti semester kali ini.
"Mak, Lia nak cakap dengan mak sikit boleh tak?"
"Ada apa Lia, mak tengok kau dah banyak berubah sejak balik ni, kau selalu bergayut dengan telefon, sampai jarang dah nak tolong mak kat dapur ni,"
Aku tersentap dengan teguran mak.
Aku selalu nak tolong mak kat dapur tapi sayang nak lepas mesej dengan Rizal.
Kalau aku lambat balas, dia mesti merajuk, betapa bodohnya aku pada waktu itu kerana mendahulukan Rizal berbanding kedua ibu bapaku.
"Mak, Lia dah ada pilihan hati Lia, dia nak masuk meminang Lia, waktu cuti ni,"
Dalam takut aku gagahkan diri menyatakan niat di hati tanpa menelaah hati ibuku yang mungkin terguris dengan tindakanku. Ibuku sangat terkejut..
"Praaaaaaaaaaaag!"
Berkecai pinggan kaca yang makku pegang. Muka makku berubah dan sangat terkejut dengan permintaanku.
"Lia, kau sedar tak apa yang kau cakap ni, kau baru sangat kat Kuala Lumpur tu, mak hantar kamu suruh belajar, bukannya cari lelaki kat sana. Kenapa tak sabar sangat ni, Lia yang mak kenal dulu tak suka bergaul dengan lelaki,"
"Mak, Lia sayangkan dia mak, Lia tak sanggup kehilangan dia,tolonglah mak, tolong beritahu ayah,"
"Ya Allah, Lia, kau sedar tak apa yang kau cakap ni nak, kalau kau bertunang sekarang, macam mana dengan pelajaran kau? Kak Ngah dan Abang Cik pun tak kahwin lagi walaupun dah kerja. Kamu yang masih belajar ni, dah tak sabar-sabar nak berlaki. Kau cubalah cakap sendiri dengan ayah, mak tak sanggup."
Batu besar bagaikan menghempap di bahuku. Pastinya ayahku tidak setuju sedangkan ibuku sendiri membantah. Aku mula memikirkan cara untuk memujuk ibuku. Malam itu juga aku berbincang dengan Rizal.
Tut..tut.. cepat saja Rizal membalas mesejku.
Rizal cuba bermain kata denganku. Dia sedaya upaya memujukku agar menjadi anak yang derhaka pada ibu bapa.
Itukah yang diajar Islam dalam memilih calon suami?
Namun aku lemah tersungkur pada perasaan sendiri yang tidak mampu memperjuangkan yang hak berbanding batil.
Keesokannya, aku cuba utarakan lagi niatku pada ibu.
Namun, di luar pengetahuanku, ayah terdengar perbualan kami, ayah sangat terkejut dengan permintaanku. Wajahnya bertukar merah.
"Apa yang Lia cakap ni, ni ke yang Lia dapat lepas ayah dengan mak hantar Lia dekat Kuala Lumpur tu? Lia tak pernah rapat dengan mana-mana laki, sejak jauh dengan mak ayah, Lia dah jadi macam ni, kenapa Lia?"
Aku gugup untuk meluahkan kata-kata. Namun kugagahkan diri untuk meluahkan demi kasih dan cintaku yang tidak bertepi buat Rizal.
"Ayah, Rizal budak baik ayah, dia dah lama kenal Lia, kami sama-sama sayang dan Lia tak boleh kehilangan dia,"
"Lia! Kenapa kau dah banyak berubah ni. Lia tak pernah membantah cakap ayah sebelum ni. Sejak kenal dengan lelaki tu, dah mula pandai bela dia ye,"
Mak cuba menenangkan ayah yang sudah mula naik angin denganku.
"Ayah, Lia sayangkan dia sangat-sangat, tolonglah setuju ayah. Lia nak restu daripada mak ayah je."
Paaaaaang! Satu tamparan mengenai pipiku. Pertama kali dalam hidupku dapat tamparan dari ayahku. Aku benar-benar telah menguji kesabarannya.
Aku terus berlalu meninggalkan ayah dan ibuku. Aku menangis tersedu-sedu sambil mengadu pada Rizal di dalam bilik.
"Lia, jangan menangis sayang, kalau sayangkan abang jangan menangis ye, abang taknak dengar Lia menangis lagi,"
"Habis Lia nak buat macam mana bang, mak ayah tak setuju dengan pertunangan kita,"
"Lia sayangkan abangkan, dengar cakap abang baik-baik k,"
"Apa dia bang,"
"Lia tak nak kehilangan abang kan, Lia kemas barang Lia malam ni, abang datang ambik Lia malam ni, Lia keluar dari rumah tu, Lia taknak kehilangan abang kan,"
Aku terkejut dengan permintaan Rizal. Subhanallah, aku berdepan dengan pilihan samada untuk memilih ibu bapa atau Rizal.
Gerak hatiku ingin memilih mak ayah, namun hasutan syaitan lebih dahsyat, aku hanya mengiakan sahaja kerana terlalu ikutkan darah muda.
Tanpa memikirkan hati mak ayah yang mungkin terguris dengan tindakanku, aku nekad mengemas barang untuk keluar rumah malam tu juga.
Dalam keadaan terhenjut-henjut aku cuba keluar dari bilik yang sejak tadi aku kunci.
Namun, dengan kuasa Allah, aku terserempak dengan mak di muka pintu dapur sewaktu mak baru sahaja ambil wudhu' untuk sembahyang.
"Lia, Lia nak pergi mana ni dengan beg ni, tengah-tengah malam ni, Lia nak tinggalkan mak ayah ke? Lia sedar tak apa yang Lia buat sekarang ni?"
Aku tersentap mendengar bicara emak. Pada waktu itu aku sangat buta dalam menilai kasih sayang mak dan ayah yang telah banyak berkorban buat aku selama ini.
Mak menangis mengenangkan tindakan aku, mak merayu agar aku tidak meninggalkan rumah pada malam tu.
"Lia, tolonglah jangan tinggalkan mak Lia, mak sayang sangat kat Lia, jangan buat mak dengan ayah macam ni nak,"
Mak menangis tersedu sedan. Ayah yang sedang tidur terjaga mendengar tangisan emak, aku lantas bergegas keluar dari rumah agar tidak terserempak dengan ayah.
Cinta yang terlalu agung buat Rizal telah membutakan hatiku dalam menilai kaca dan permata.
Sedang aku berlari keluar dari rumah dengan dikejar oleh mak ayah, tanpa aku sedar, ada kereta yang laju dari arah bertentangan, kereta itu tidak sempat brek lalu mengenai batang tubuhku..
Dumm....!
Aku terdengar dentuman kuat lantas aku tidak dapat ingat apa-apa lagi yang berlaku disekelilingku. Segala-galanya menjadi hitam dan kelam.
..................................................................................................................
Eh, aku kat mana ni, masjid? Ramainya orang dekat masjid ni? Subhanallah, cantiknya masjid ni, diperbuat daripada Kristal dan disadur dengan mutiara.
Sangat indah. Inilah pertama kali dalam hidupku, aku melihat masjid yang sangat indah struktur binaannya.
Semua jemaah memakai telekung putih manakala jemaah lelaki memakai jubah warna hijau. Ramainya orang..
Aku mula masuk ke dalam masjid, tulisan khat yang sangat indah memenuhi ruang dalam masjid.
Ruang yang sangat luas, besar dan maha indah. Aku terpukau dengan keindahan masjid tersebut.
Aku mula ke satu ruang yang dipenuhi orang, tiba-tiba seorang wanita tua yang bersih wajahnya memberikan aku senaskhah Al-Quran serta senaskhah hadis, aku mula mengambilnya.
Subhanallah, Quran itu sangat cantik. Aku tidak pernah melihatnya dijual di mana-mana kedai, betapa aku sangat beruntung pada hari ini kerana melihat peristiwa yang aneh lagi indah.
Aku takkan lupakan saat itu. Aku mengangkat kepala untuk mengucapkan terima kasih kepada wanita tua tersebut, namun dia sudah berlalu meninggalkanku.
Aku cuba mencari kelibatnya namun tidak jumpa.
Lantas aku pergi ke suatu sudut masjid tersebut lalu aku membaca Al-Quran. Tiba-tiba ada seseorang yang mendekatiku lantas mengajarku membaca Al-Quran.
Subhanallah, suaranya sangat merdu, sayu dan dia menangis sambil membaca Al-Quran.
Betapa dia sangat memahami bacaannya. Aku sangat kagum dan berusaha untuk mencontohi sikapnya itu.
Wanita itu sangat aneh kerana selepas sahaja mengajarku tadabbur Al-Quran dia berlalu sebelum sempatku memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
Selepas sahaja selesai membaca Al-Quran, aku ingin pulang. Di tangan kananku ada Al-Quran manakala di tangan kiriku ada hadis.
Aku satukan di tangan kanan lalu aku keluar dari masjid tersebut.
Sepanjang berjalan, tiba-tiba aku melihat ada suatu bangunan yang sangat tinggi dan indah di hadapanku.
Namun semua orang berpakaian hitam. Semua lelaki dan perempuan berpakaian hitam.
Aku cuba masuk bangunan tersebut untuk melihat apa yang ada dalam bangunan tersebut.
Setelah berasak-asak, akhirnya aku dapat masuk ke dalam bangunan tersebut. Bangunan itu sangat gelap dan kelam. Aku bagaikan buta kerana cahaya yang ada sangat sedikit.
Aku cuba pegang kuat-kuat Al-Quran dan hadis di tanganku. Di tepi pintu utama kelihatan pemuda yang wajahnya sangat hodoh lagi menakutkan.
Aku mula takut kenapa aku berada disitu. Aku melihat sekeliling bangunan tersebut dipenuhi tanda salib.
Barulah aku sedar yang aku berada dalam gereja apabila aku lihat seorang paderi muncul di bahagian pintu masuk bangunan tersebut.
Aku mula menangis. Aku sangat takut. Aku mula berasa bahang berada dalam bangunan tersebut.
Aku cuba berjalan perlahan-lahan meninggalkan dewan tersebut. Dalam kesamaran cahaya, aku terlepas Al-Quran dan hadis dari tanganku. Aku cuba bertahan.
Peluh mula menitik dari tubuhku sewaktu aku cuba mengambil Al-Quran dan hadis di belakang pemuda yang hodoh di tepi pintu tersebut.
Aku berjalan terbongkok-bongkok dengan memegang kuat Al-Quran dan hadis tersebut.
Aku sangat bernasib baik kerana wanita tua yang berwajah bersih tadi datang membantuku keluar dari bangunan yang sangat gelap tersebut.
Tanpa kata, dia menarik tanganku keluar. Aku menangis teresak-esak dan badanku sangat menggigil mengenangkan saat cemas di dalam gereja tersebut.
Sekali lagi, wanita itu berlalu tanpa aku sempat mengucapkan terima kasih kepadanya.
Aku mula berjalan meninggalkan gereja tersebut. Aku berjanji takkan menjejakkan kaki lagi ke sana. Aku mula berpatah balik ke masjid yang sangat indah tadi.
Aku mula mengambil wudhu’ dan membaca Al-Quran dan hadis tadi. Aku sangat bersyukur kerana tuhan selamatkan aku sewaktu aku dalam kesulitan tadi.
Betapa aku menangis mengenangkan besarnya kekuasaanNya yang telah menyelamatkan aku dari terpesongnya akidahku dari agama kristian.
Sambil aku membaca Al-Quran, linangan air mataku tak henti-henti mengalir. Terima kasih Ya Allah kerana telah menyelamatkanku.
..................................................................................................................
Sedikit demi sedikit mataku dapat melihat cahaya yang menyilau di sekelilingku, di mana aku berada? Kenapa aku ada kat sini? Kenapa ibuku sedang menangis?
Kenapa adik beradikku semua ada kat sini? Benak kepalaku tidak dapat berfikir dengan baik.. Lantas, aku cuba mengangkat tangan tapi lenganku terasa sangat sakit..
"Emak, Kak Lia dah sedar, dia dah bergerak,"
"Lia, Lia dah bangun nak, mak sangat risaukan Lia,"
Ibuku menangis teresak-esak di bahu ayahku. Semua mata memandangku dengan pandangan yang suram.
Dengan suara yang tersekat-sekat aku cuba bertanya apa yang dah berlaku.
Ibuku menceritakan satu persatu apa yang dah berlaku. Bagaimana aku boleh kemalangan.
Rupanya orang yang melanggarku adalah Rizal, sekarang dia sedang ditahan oleh pihak polis untuk siasatan.
Aku mengucap panjang mendengar berita daripada ibuku.
Rupanya Rizal mendekatiku hanyalah sekadar untuk mempergunakan diriku.
Dia bertaruh dengan rakannya untuk mendapatkan aku. Dia hanyalah ingin mempermainkan diriku sahaja.
Setitik demi setitik, mutiara jernih mula mengalir laju dari pipiku. Aku masih beruntung kerana hanya patah kaki dan tidak mengalami kecederaan yang serius.
Aku memandang sayu ibu dan bapaku mengenangkan dosa-dosa yang telah aku lakukan pada mereka.
Betapa aku terlalu mengagungkan cinta yang tidak halal buatku dan mengenepikan cinta ibu bapa yang kudus lagi suci.
"Sabarlah Lia, jangan menangis lagi,mak dah ampunkan dosa Lia, anggaplah ini sebagai dugaan buat kita Lia,sabarlah nak,"
Ibuku berusaha untuk memujuk, bibirku masih lesu untuk berkata-kata, masih lemah, ibuku faham apa yang ingin aku sampaikan buat dia dan ayahku.
Aku menangis dalam pelukan ibu dan ayahku..
"Maafkan segala kesalahan Lia mak ayah, ampunkan Lia,"
..................................................................................................................
Sebulan selepas kemalangan tersebut, aku sudah mula berjalan dengan perlahan. Aku sudah dapat menunaikan solatku dengan sempurna tanpa perlu duduk lagi.
Aku sangat bersyukur pada Ilahi kerana masih memberi aku kesempatan untuk bertaubat daripada segala dosa dan noda yang pernah aku lakukan.
Tiap tiap malam, jika aku ada kelapangan, aku akan menunaikan solat sunat qiamullail, termasuklah solat sunat tahajud, solat hajat serta solat sunat taubat.
Hatiku tidak dapat menahan sebak di saat mengadu kepada Yang Maha, betapa kerdilnya diri ini di sisi-Nya.
"Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah segala dosa yang telah aku lakukan, dosa kedua ibu bapaku, dosa guru-guruku, dosa sahabatku, dosa muslimin dan muslimat.
Kau panjangkanlah usia kami, Kau rahmatilah kami Ya Allah, Lindungilah kami daripada gangguan jin dan syaitan Ya Allah, masukkanlah kami dalam syurgamu Ya Allah.
Kau berilah petunjuk dan hidayat kepada kami Ya Allah, serta janganlah kau palingkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami.
Ya Allah, diri ini hanyalah hamba yang lemah lagi hina, Kau suburkan cinta kami buatMu serta rasulMu. Bimbinglah hati kami ke jalanMu Ya Allah.
Berilah kemanisan iman kepada kami Ya Allah. Hanya padaMu kumohon pertolongan Ya Allah. Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaan kepada kami Ya Allah.
Lapangkanlah hati kami, sucikanlah hati kami serta bersihkanlah jiwa kami Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Zaljalali wal ‘ikram.
Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah, Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah, Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah.
Sejak kejadian itu, aku sudah banyak berubah dengan bantuan daripada keluargaku, terutamanya kedua ibu bapaku, sahabatku serta guru-guruku.
Aku sudah memaafkan kesalahan Rizal sementelah dia tidak pernah memohon maaf daripadaku. Lebih elok aku berlapang dada berbanding aku menyimpan dendam.
Aku sudah mula merasai kemanisan daripada taubatku.
Betapa jalan hidup yang aku pilih selama ini adalah jalan yang terpesong daripada akidah yang dituntut dalam Islam.
Aku sangat bersyukur kerana Allah masih memberi aku hidayah untuk kembali ke jalanNya.
Terima kasih Ya Allah ke atas keagunagan cinta yang Kau curahkan pada hati ini.
Terima kasih juga kerana telah memberi mimpi yang menginsafkan diriku.
Tidak sesekali aku lupakan mimpi yang memberi peringatan agar aku kembali ke jalanMu. Terima kasih Ya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment