“Kok kok kok…”
Bunyi ayam sabungan bersahut-sahutan di halaman istana Duli Yang Teramat Mulia Pg bendahara Abdul Mubin.
Di halaman Istana orang ramai berkumpul untuk menyaksikan temasya
bersabung ayam pada pagi itu. Anak pengiran bendahara Abdul Mubin datang
untuk menyaksikan temasya tersebut dan juga berniat untuk bersabung
ayam dengan anak Sultam Muhammad Ali iaitu Pengiran Muda Alam.
Penjaga ayam: “Junjung Lai”
Anak Pengiran Bendahara: “ oh Miatu. Mana ayam kita, bawa ke mari biar kita lihat dulu.”
Penjaga ayam: “ Mohon di ampun, ada peramba tambat di sana.” Penjaga
ayam pun mengambil ayam tersebut untuk di sembahkan kepada Anak Pengiran
Bendahara.
Anak pengiran bendahara pun menyambut ayam sabungannya dan ayam itu
berkokok 3 kali berturutturut sambil digosok-gosoknya kepala dan
belakang ayam tersebut.
Kedatangan Pengiran Muda Alam ke halaman Istana dengan pengiring-pengiringnya.
Anak Pengiran Bendahara: “Junjung Ngian muda,” kata anak Pengiran Bendahara menyilakan.
Pengiran muda Alam: “Terima kasih, mana ayam awangku?”
Anak pengiran Bendahara: “Tu nah di belakang”
Tanpa membuang masa mereka pun memulakan persabungan ayam antara ayam
persabungan Pengiran Muda Alam dan Anak Pengiran Bendahara. Keadaan di
halaman istana menjadi riuh rendah kerana sorak daripada kedua belah
pihak. Akhirnya ayam sabung Pengiran Mula Alam kalah dalam persabungan
tersebut dan penyokong pihak anak Pengiran Bendahara bersorak gembira
dengan kemenangan tersebut sehingga melompat-lompat. Pengiran Muda Alam
merasa geram melihat kegembiraan mereka dan kata-kata yang memalukan
dari pihak Anak Pengiran Bendahara menyebabkan Pengiran Muda Alam
bertindak membunuh Anak Pengiran Bendahara.
Inang (Pengasuh Anak Pengiran Bendahara): “Ngian!”
Inang menjerit terkejut melihat pembunuhan tersebut kerana Anak
Pengiran Bendahara adalah anak yang telah diasuhnya dari kecil dan
diibaratkan seperti anaknya sendiri. Inang terus berlari ke halaman
dengan linangan air mata bercucuran untuk mendapatkan anak yang
dikasihinya. Tiada seorang pun yang berani untuk menentang Pengiran Muda
Alam untuk menuntut bela ke atas kematian Anak Pengiran Bendahara,
kerana tidak mahu dikatakan menderhaka kepada anak Raja. Kejadian
tersebut seperti tiada apa-apa yang terjadi sehinggalah mayat Anak
Pengiran Bendahara dibawa pulang ke barung-barung Pengiran Bendahara
Abdul Mubin.
Di rumah Pengiran Bendahara, kedengaran bunyi tangisan dari isteri dan
inang Pengiran Bendahara ke atas kematian anak Pengiran Bendahara
sehingga Pengiran Bendahara menjadi hairan dan tertanyatanya apakah
yang sedang berlaku.
Pengiran Bendahara: “Apakah malapetaka yang menimpa isi rumah kita?”
Pehin: “Tuanku, paduka anakanda ditikam oleh Pengiran Muda Alam?”
Pengiran Bendahara: “Mengapakah begitu benar perbuatan Pengiran Muda!” (dengan wajah yang marah)
Pehin: “ Kerana ayam Pengiran Muda Alam telah dikalahkan oleh ayam paduka anakanda.”
Pengiran Bendahara merasa marah dan ingin membalas dendam dengan
kematian anakandanya yang tiada mempunyai apa-apa kesalahan. Pengiran
Bendahara pun berangkat ke istana untuk berjumpa dengan Sultan Muhammad
Ali dengan 40 orang pengiring-pengiringnya. Sebaik sahaja sampai di
lapau, Baginda Sultan menyuruh Pengiran Bendahara duduk di atas-atas.
Kebetulan masa itu baginda sedang dihadap oleh pembesar-pembesar negeri
kerana merundingkan kejadian yang terjadi dihalaman istana.
Sultan: “Ramai nampaknya tuan peramba datang sekali ini.”
Pengiran Bendahara: “ Patik.”( Sembah pengiran Bendahara). “ Kedatangan
patik mengadap duli tuanku ini sengaja kerana telah lama juga patik
tidak mengadap tuanku.” (Sambil melirik Pengiran Muda Alam yang berada
di sisi Sultan).
Sultan: “Apa khabar yang peramba bawa? Peramba pun dendam jua, sudah lama tidak berjumpa peramba”.
Pengiran Bendahara: “ khabar baik, hanyalah patik sangat berdukacita
melihat barung-barung patik tidak berdinding”. (sembahnya bergurimdam).
“Apalah halnya air mas patik dibunuh hidup-hidup oleh paduka anakanda
Pengiran Muda Alam dengan tidak berdosa.”
Sultan pun mengerti maksud Pengiran Bandahara mengadap ramai-ramai itu.
Sultan: “Ngian Bendahara! Pekerjaan membunuh orang yang tidak berdosa
tanpa ada sebab itu sekalipun anakanda peramba, bunuh jua balasannya,
hutang darah dibayar dengan darah.”
Apabila didengar oleh Pengiran Muda Alam titah hukuman ayahandanya itu
segeralah Pengiran Muda Alam masuk ke dalam istana ayahandanya.
Pengiran Bendahara: “ Ya tuanku! Jikalau demikian itu bicara tuanku,
patik junjung paduka anakanda itu buangkan sekali.” (dengan wajah
seperti singa yang kelaparan) Sultan: “ Hai Pengiran Bendahara!
Sekarang peramba lepaskan anak peramba itu, dia sudah membawa darah
mati ke dalam istana, jalankan hukuman ke atasnya”.
Pengiran Bendahara gembira mendengar titah baginda. Pengiran Bendahara
terus bangkit tanpa menjunjung negeraha mengikut Pengiran Muda Alam
masuk ke dalam Istana bersama 40 orang pengikut-pengikutnya.
Dengan keris yang terhunus ditangan mereka naik ke istana Sultan untuk
mendapatkan Pengiran Muda Alam, tetapi tiada pun keberadaan puteranya
di ruangan istana tersebut. Pengiran bendahara menjadi marah dan
bertindak membunuh dayang-dayang istana dan seisi istana yang tidak
berdosa. Sultan mendengar bunyi jeritan para dayang sehingga baginda
hairan apakah yang terjadi di dalam istana. Baginda berangkat ke dalam
istana, sultan terkejut melihat dayang-dayang dan gundik-gundik
kesayangan sultan telah mati ditikam oleh Pengiran Bendahara.
Sultan: “ Hai Pengiran Bendahara, pekerjaan apakah yang tuan peramba
kerjakan ini? Lain yang berdosa lain pula yang peramba bunuh. Perbuatan
tuan peramba ini samalah seperti hulubalang handal membunuh musuhnya
ketika musuhnya sedang tidur.”
Pengiran Bendahara: “ Ampun tuanku beribu-ribu ampun, apalah mata patik telah pening.”
Sultan: “ jikalau demikian ini baiklah sudahi peramba sekali, supaya senang tuan peramba hidup dijunjung.”
Pengiran Bendahara: “ Baiklah tuanku.”
Pengiran bendahara pun memerintahkan anak buahnya menangkap baginda sultan.
Sultan: “Tak usahlah peramba ditangkap oleh anak buah peramba, kerana
sayang mereka bakal menjadi pengharapan tuan peramba. Nah supaya tiada
siapa pun yang terluka, ambillah keris peramba ini.”
Sultan pun mengambil keris baginda dari pinggangnya lalu menghulurkan
keris tersebut kepada Pengiran Bendahara. Anak buah pengiran Bendahara
berundur ke belakang kerana takut kalau-kalau baginda ingin menuntut
bela atas kematian gundik-gundiknya tetapi tidak, anak buah Pengiran
Bendahara hairan melihat kejujuran hati Baginda sultan.
Pengiran Bendahara: “Ah Tuanku, sepala-pala menyeluk pekasam.”
Sultan: “ Peramba, walau tuan peramba basuh dengan air mawar sekalipun takkan hilang bau busuk pekasam itu.”
Pengiran Bendahara: “Tuanku, mandi biarlah basah.”
Sultan: “Peramba, mandilah walau habis air selautan, takkan bersih badan dan jiwa peramba dari bernoda.”
Pengiran Bendahara: “Tuanku, sekali terminum darah.” Sultan: “Peramba.
Minumlah hingga kering, hisaplah hingga kempis, tetapi darah peramba
tetap mengalir dan takkan hancur dari bumi Brunei.”
Sultan Muhammad Ali menjadi tawanan kemuliaan dan baginda diusung oleh
anak buah Pengiran Bendahara dan dibawa ke halaman istana yang
rumput-rampainya yang menghijau, di mana ada sepohon kelapa cenderung ke
barat, sedang teja pelangi membangun, mengaum bunyi guruh bertalutalu,
hujan turun rintik-rintik, matahari senja menguning cahayanya dan air
pasang sehingga menenggelamkan Lumut Lunting. Di tempat itulah baginda
sultan Muhammad Ali lindung dikujut oleh Pengiran Bendahara dan jatuh
tersungkur di padang rumput yang menghijau. Sejak hari itu, Almarhum
Sultan Muhammad Ali disebut-sebut orang sebagai ‘Al-Marhum Tumbang Di
Rumput’. Pengiran Bendahara Abdul Mubin pun telah menjadi Sultan setelah
kemangkatan Sultan Muhammad Ali.
Part 2: Hasrat menuntut bela dan perpindahan istana ke Pulau Chermin.
Pada malam itu, Pengiran Bendahara Muhyidin dan isterinya sedang
berbual-bual di tingkap bilik peraduan mereka. Isteri Pengiran Bendahara
Muhyidin bermuram dan bersedih kerana terkenangkan ayahandanya yang
mangkat dikujut oleh Sultan Hakkul Mubin ketika dulu.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “ Mengapa adinda bersedih hati walau bulan purnama tersergam indah di langit?”
Pengiran Isteri Mariam: “derita hati adinda takkan dapat kekanda rasakan, biarlah adinda sendiri yang merasainya.”
Pengiran Bendahara Muhyidin: “ jangan begitu adinda, kekanda tidak akan membiarkan mahligai hati adinda rosak binasa.”
Pengiran Isteri Mariam: “Hati manusia kanda, hanya akan gembira bila
apa yang diharapkannya terlaksana. Kekanda hanya asyik berburu sahaja.”
Pengiran Isteri Mariam merasa sangat sedih kerana suaminya hanya asyik
berburu dan tiada langsung hatinya untuk melaksanakan hasrat isterinya
untuk membalas dendam ke atas kematian mertuanya iaitu Sultan Muhammad
Ali.
Pada keesokannya harinya, seperti biasa Pengiran Bendahara Muhyidin
bersama dua orang pengiringnya pergi berburu ke dalam hutan di Kampung
Subok. Setelah lama berada di dalam hutan, tiada satu pun binatang
buruan yang didapati, maka Pengiran Bendahara pun duduk berehat di
bawah pohon ara sehingga terlelap. Pengiran Bandahara Muhyidin telah
mendapat mimpi yang aneh, dia didatangi oleh seorang perempuan yang
cantik, berjubah putih.
Puteri cantik: “Kembalilah kamu wahai orang muda, di sana ada menunggu
satu kewajipan bagi kamu. Tengok di sana ribut datang dan hujan turun
dengan menitikkan hujan darah, mari ikutlah aku pulang.”
Pengiran Bendahara Muhyidin terjaga dari tidurnya dan tertanya-tanya tentang mimpinya tadi.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “Apakah petandanya mimpiku itu? Ah itu hanya gangguan dari makhlukmakhluk di hutan ini.”
Pengiran Bendahara Muhyidin pun bangkit dan mencari anak buahnya yang
ikut berburu bersamanya tadi. Semasa sedang mencari anak buahnya,
Pengiran Bendahara Muhyidin terjumpa dengan Orang Kaya Besar Imas. Dari
sanalah Pengiran Bendahara Muhyidin mendapat inspirasi untuk menuntut
bela kematian bapa mertuanya Sultan Muhammad Ali.
OKBI: “ Ceh! Anak raja ini tidak pemalu, bapanya sendiri dibunuh orang
tidak terbela olehnya, senangsenang ia mengangkat tangan menyembah
Bendahara Abdul” (berpura-pura tidak melihat kedatangan Pengiran
Bendahara Muhyidin sambil menyangkul rumput-rumput di tanamannya).
Pengiran Bendahara Muhyidin: “Apa dia, orang kaya?”.
OKBI: “Beribu ampun, inilah pekerjaan hamba tuanku. Dari mana tuanku ini?. Junjung duli tuanku naik ke barung hamba tuanku.”
Pengiran Bendahara pun naik ke rumah Pehin Orang Kaya Besar Imas bersama dengan anak buahnya.
Pengiran Bendahara: “Terima Kasih Orang Kaya.”
Pengiran Bendahara teringat akan kata-kata OKBI tadi lalu bertanya
kerana rasa ingin tahu menghantui fikiran Pengiran Bendahara.
Pengiran Bendahara: “Orang Kaya, saya kurang mengerti apa maksud kata orang kaya di halaman tadi?”
OKBI: “Beribu ampun, hamba tuanku berkata-kata dengan air mas hamba
tuanku ini, iaitu kemangkatan almarhum ayahanda mertua tuanku itu,
mengapatah duli tuanku semua hanya memandang sahaja, bukankah ayahanda
tuanku itu lindung kerana dikujut dengan kejam. Padahal tiada kesalahan
yang dilakukan oleh baginda. Tidakkah tuanku merasa malu dengan semua
itu, tidakkah tuanku mahu untuk menuntut bela atas kematian duli
ayahanda tuanku.”
Pengiran Bendahara: “Adakah maksud orang kaya seperti mengembangi asam
yang telah kering?” sungguh pun benar begitu, apalah daya kita untuk
menentang, takkan kita hendak menentang raja, bak kata orang takkan
melayu mentang rajanya.”
OKBI: “walaupun begitu, dengarlah kata hamba tuanku pada kebawah duli
tuanku, berjuanglah tuanku dengan keizinan Tuhan untuk menuntut bela
atas kematian paduka ayahanda tuanku, teruskanlah citacita tuanku,
hamba tuanku semua di kampong ini akan turut sama turun ke medan
perjuangan demi untuk menuntut bela, dijunjung duli tuanku berjuang,
hamba tuanku semua bersandarkan dengan berkat Allah.”
Pengiran Bendahara: “Jika begitu orang Kaya bersandarkan dengan berkat
Allah, percayalah bahawasanya kata orang kaya itu hendaklah dikotakan.
Kalau begitu kami mulih dahulu.”
Pengiran Bendahara Muhyidin pun pulang ke rumahnya pada hari yang
hampir senja. Kelihatan isterinya sedang menunggunya di hadapan rumah.
Pengiran Isteri Mariam: “ Mengapa kekanda lambat pulang, adakah mendapat banyak hasil buruan?”
Pengiran Bendahara: “ Tiada hasil buruan yang kekanda dapat, tetapi kekanda dapat apa yang adinda hasratkan selama ini.”
Pengiran Isteri Mariam: “Apa yang adinda hasratkan selama ini? “(dengan muka kehairanan).
Pengiran Bendahara: “benar adinda, tentu adinda akan gembira
mendengarnya. Kekanda akan menuntut bela atas kematian paduka ayahanda
seperti yang adinda hasratkan.”
Isterinya merasa sangat gembira setelah mendengar khabar yang
disampaikan oleh suaminya itu. Pada malam itu juga Pengiran Bendahara
Muhyidin memanggil saudara-saudara kepada Pengiran Bendahara Muhyidin
dan isterinya iaitu Pengiran Kamaluddin, Pengiran Nassaruddin, Pengiran
Tuah dan Pengiran Alauddin untuk membincangkan hasrat mereka untuk
menuntut bela atas kematian Sultan Muhammad Ali.
Pengiran Bendahara: “Malam Ngian, maaf nyusahkan ngian semua datang malam –malam begini”.
Pengiran Kamaluddin: “Peramba, kerana sabda memanggil, walau hujan
rebut sekali pun peramba semua akan datang, inikan pula cuaca terang
seperti siang.” (sambil menoleh kepada pengiran-pengiran yang lain).
Pengiran Bendahara: “Begini Ngian, sebab mengapa ngian semua dipanggil
malam ini adalah kerana kita semua adalah bersaudara, bersatu hati dan
bermuafakat.”
Pengiran Nassarudin: “itulah fikiran yang sebaik-baiknya.”
Pengiran Bendahara: “Halnya begini, kemangkatan almarhum paduka
ayahanda baru-baru ini, kita hidup seperti patung tidak bernyawa,
seperti menconteng arang di muka kita yang tidak disedari dan terpandang
oleh kita. Maksud kita, hutang darah hendaklah dibalas dengan darah,
biarlah bumi Brunei ini bermandikan darah demi untuk menuntut bela atas
kematian paduka ayahanda.”
Mendengar semua itu, pengiran-pengiran tertunduk malu.
Pengiran Kamaluddin: “Peramba. Kalau sudah demikian sabda tuan peramba,
maka dijunjung sabda itu. Peramba semua bersedia, insyaallah dengan
kuasa Allah peramba semua akan mengerjakan.”
Pengiran Bendahara: “sebelum itu ngian, biarlah kita mengatur rancangan dengan lebih teliti lagi sebelum bertindak.”
Pada malam itulah mereka bermesyuarat untuk mengatur rancangan yang seteruskan.
Pada esok malamnya, di kawasan istana telah gempar dengan suara
riuh-rendah berteriak kerana rumah-rumah orang besar-besar diganggu oleh
orang yang tidak dikenali iaitu diaruk dengan lembing dan buluh
runcing dari bawah rumah. Dituruni tiada siapa yang berada dibawah.
Bahkan istana sultan juga turut diganggu.
Sultan Hakkul Mubin telah memanggil Pengiran Bendahara Muhyidin dan
para wazir dan pembesarpembesar yang lain untuk bertanyakan kejadian
itu. Pengiran Bendahara pun berangkat ke istana.
Sultan Hakkul Mubin: “dari manakah datangnya manusia-manusia yang
bersifat iblis itu. Setiap malam mereka datang dan menganggu dalam
negeri ini? Tidak adakah diantara panglima-panglima ini yang berani
menghapuskan pengacau-pengacau itu?” (sabda baginda dengan muka yang
merah kerana marah).
Pengiran Bendahara: “Sungguh berani orang-orang itu. Bukan sahaja
istana diganggunya, bahkan barung-barung patik pun dikacaunya. Begitu
juga dengan rumah-rumah orang kampong juga diganggu. Lebih baik kita
membawa Orang Kedayan di Subok iaitu anak buah Orang Kaya Besar Imas
untuk menjaga istana supaya tidak diganggu lagi.”
Sultan Hakkul Mubin: “baiklah, kalau begitu kata Pengiran Bendahara
baiktah dipanggil anak buah Orang Kaya Besar Imas untuk berjaga di
kawasan istana beta.”
Pengiran Bendahara: “Junjung sabda tuanku.”
Anak-anak buah Orang kaya Besar Imas pun berjaga-jagalah di kawasan
istana tetapi pada malam itu sekali lagi kawasan istana diganggu
sehingga kawasan istana riuh-rendah dengan teriak dayang-dayang di dalam
istana. Sultan Hakkul Mubin pun memerintahkan Orang Kaya Besar Imas
untuk mencari orang- orang yang mengganggu istana.
Orang Kaya Besar Imas dan anak buahnya pun mencarilah orang-orang yang
mengganggu istana sehingga ke dalam hutan. Selama seminggu mereka
mencari ke dalam hutan tetapi tidak mereka perolehi.
OKBI: “Tuanku, tiada pun yang kami jumpai orang-orang yang mengganggu kawasan istana ini.”
Sultan Hakkul Mubin: “betulkah Orang Kaya? Baiklah jika begitu. Teruslah menjaga kawasan ini.”
OKBI: “Baiklah tuanku.”
Di rumah Pengiran Bendahara Muhyidin
Pengiran Bendahara: “bagus Orang Kaya, kita berjaya mengganggu
ketenteraman istana dan pembesarpembesar yang lain. Rancangan kita
berjaya kali ini.”
OKBI: “Ya pengiran Bendahara, Apakah rancangan kita yang seterusnya?”
Pengiran Bendahara: “kita akan terus mengganggu istana dan rumah-rumah
orang kampong sehingga kita berjaya memujuk Sultan Hakkul Mubin untuk
berpindah ke Pulau Chermin dan saya akan menjadi sultan di darat.”
Pengiran Kamaluddin: “Ya, rancangan yang bagus peramba, kita akan
memerangkap Sultan dan memujuknya berpindah ke pulau Chermin dan
beristana di sana. Kita akan berkuasa di darat.”
Pengiran-pengiran lain bersetuju dengan semua rancangan itu.
Pengiran-pengiran: “Sabda pengiran Bendahara dijunjung peramba semua.”
Di balai penghadapan kawasan istana
Semua pembesar berada di balai penghadapan termasuklah Pengiran
Bendahara Muhyidin dan Orang Kaya Besar Imas dan Pengiran-pengiran yang
lain.
Baginda sultan Hakkul Mubin merasa sangat gelisah dengan kejadian yang
menimpa istana dan rumahrumah orang kampong. Sultan Hakkul Mubin
meminta pendapat para pembesar yang lain untuk menghapuskan orang-orang
yang mengganggu itu. Pengiran bendahara telah mencadangkan supaya
Baginda berpindah ke Pulau Chermin dan membuat istana di sana demi
keselamatan baginda.
Pengiran Bendahara: “ tuanku, baiktah tuanku berpindah ke Pulau
Chermin, kerana kawasan tersebut dikelilingi air dan tidak mudah untuk
pengganggu itu untuk menganggu kawasan istana lagi.”
Sultan: “rancangan yang sangat baik pengiran Bendahara, baiklah suruh
hulubalang istana membuat istana di Pulau Chermin, setelah siap nanti
beta akan segera berpindah.”
Setelah istana siap dibina di Pulau Chermin, baginda sultan pun
berpindah ke Pulau Chermin. Pengiran Bendahara pun menjadi Sultan Di
darat, manakala Sultan Hakkul Mubin menjadi sultan di Pulau.
Istana di Pulau Chermin:
Sultan Hakkul Mubin: “Pehin orang kaya Di-Gadong Seri Nara, apa
khabarnya anakanda Pengiran Bendahara? Sudah seminggu kita di sini
tetapi Pengiran Bendahara belum juga berpindah ke Pulau Chermin.”
Pehin: “Beribu ampun, patik kurang periksa, berangkali anakanda
Pengiran Bendahara sedang bersiap untuk berpindah ke Pulau Chermin.”
Sultan: “Kalau begitu baiktah Pehin Orang Kaya Di-Gadong bernagkat
untuk berkayuh ke darat mengadap anakanda Pengiran Bendahara.”
Pehin: “Baiklah tuanku, titah dijunjung.”
Pehin Orang Kaya Digadong Seri Nara pun berangkatlah ke Darat bersama
dua orang pehin yang lain, berkayuh bersama empat orang pengayuhnya ke
istana Darat. Setelah sampai di perairan Brunei, alangkah terkejutnya
Pehin Orang Kaya Digadong bahawa Bandar Brunei telah berubah, bukan lagi
seperti bandar Brunei dahulu. Di tiang istana Pengiran Bendahara
Muhyidin berkibar bendera kuning. Pehin Orang kaya Digadong mengadap
Pengiran Bendahara ke istana.
Pengiran Bendahara: “Apa khabar Orang Kaya Di-gadong?”
Pehin: “Ampun beribu ampun, ada pun hamba tuanku mengadap ini adalah
kerana dititahkan oleh Duli Yang Dipertuan bertanyakan khabar berita
Brunei dan tuanku. Titahnya lagi bilakah tuanku akan berangkat pindah ke
Pulau Chermin?.”
Pengiran Bendahara: “Pehin Orang Kaya Digadong, pergilah balik ke Pulau
Chermin dan khabarkan kepada Baginda sultan tentang perkhabaran ku di
sini, aku sudah menjadi sultan di darat dan tidak akan mengangkat
tangan ke dahi menyembah Sultan, bendera kuning itu tidak akan turun
dari tiang bendera Koala. Mengertilah pehin maksud kaola dan rasa hati
keluarga almarhum setelah baginda mangkat dikujut, koala akan menuntut
bela atas kemangkatan ayahanda koala.”
Pehin: “titah dijunjung tuanku.” Pehin Orang Kaya Di-gadong Seri Nara
terus sujud menyembah dan menjunjung negaraha bersama kedua-dua menteri
tadi dan terus keluar untuk berkayuh pulang ke Pulau Chermin.
Di Pulau Chermin
Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Nara terus mengadap Baginda sultan
Hakkul Mubin di Istana. Pehin Orang Kaya terus memberitahu khabar yang
diperolehinya di Bandar Brunei. Masuk sahaja Pehin Orang Kaya Di-Gadong
dibalai penghadapan, pehin terus menyembah sujud di hadapan baginda
dengan menggeletar tulang anggotanya kalau-kalau baginda murka
kepadanya.
Pehin: “Ampun tuanku beribu ampun, adapun paduka anakanda itu tidaklah
ia hendak berangkat ke Pualau Chermin, kerana dalam negeri Brunei ia
telah mengibarkan bendera kuning di tiangnya dan lengkap dengan kubu
jambatan serta alat-alat pertahanan negeri. Itulah sebabnya paduka
anakanda tidak datang mengadap duli tuanku. Paduka anakanda bersabda
lagi ia tidak akan mengangkat tangan ke dahi menyembah duli tuanku
kerana ingin membalas dendam atas kematian almarhum Sultan Muhammad
Ali.”
Sultan: “ Ceh! Alangkah besar akal Awg Muhyidin anak derhaka itu.
Pura-pura ia mengatakan pulau ini tempat yang baik supaya tidak
diganggu oleh penjahat. Mungkin dialah kepala penjahat dan penderhaka
besar di negeri Brunei ini. Sebenar mana pun kekuatannya aku tidak akan
menyembah kepadanya kecuali kerajaan di Pulau Chermin ini musnah
dijilat api bersama jasadku dan waris ku.”
Sultan Hakkul Mubin merasa murka sehingga baginda hanya menyebut Awang
Muhyidin tanpa gelaran kerabat diraja yang dikhaskan kepada Pengiran
Bendahara Muhyidin.
Part 3: Perang Saudara dan penyudahnya.
Di Pulau Chermin:
Sultan Hakkul Mubin: “Bersiaplah kamu semua, lengkapkan alat-alat peperangan, kita berperang melanggar Bandar Brunei”.
Di Pulau Chermin segala kelengkapan senjata dan bala tentera telah bersedia untuk memerangi penderhaka di Bandar Brunei.
Setelah lengkap semuanya, segala perahu-perahu peperangan itu berkayuh
ke Bandar Brunei dengan orang yang telalu ramai dilengkapi dengan bedil,
lembing dan anak-anak panah beracun bersangkutan di belakang mereka.
Banyaklah perahu bertambatan di jambatan Pulau Chermin. Sultan Hakkul
Mubin menghantar pemergian meraka untuk pergi memerangi Bandar Brunei.
Sultan Hakkul Mubin: “Ku lepaskan kamu dengan doa, langgarlah kubu
orang Bandar Brunei itu dengan berani hingga dapat kamu bawa hidup-hidup
tawanan kamu kemari.”
kedengaran juga anak-anak dan isteri mereka menyeru nama suami dan ayah meraka.
Anak 1: “Ayah…”(sambil mengangis)
Setelah selesai baginda bertitah, berdirilah Putera Zamban iaitu Putera Sultan Hakkul Mubin yang juga sebagai ketua perangnya.
Putera Zamban: “Hancurkan hingga menjadi padang jarak padang tekukur
dan istana rajanya kita balikkan bumbungannya ke bumi dan tiangnya ke
langit. Dengan daulat baginda di Pulau Chermin. Ayuh kayuh.”
(perintahnya kepada semua hulubalangnya).
Di Bandar Brunei:
Orang Brunei yang di bawah perintah Pengiran Bendahara Muhyidin,
sekembalinya Pehin Orang Kaya Digadong, mereka telah bersiap sedia
menambah dan melengkapkan alat peperangan mereka. Mereka berjaga-jaga
dan menjalankan tugas masing-masing menanti kedatangan serangan orang di
Pulau Chermin.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “Lengkapkan semua barang peperangan, kita sedia menghadapi serangan dari Pulau Chermin.”
Setelah itu, kedengaran bunyi bedil meriam orang Pulau Chermin menandakan kedatangan angkatan perang dari Pulau Chermin.
Berbalas-balas tembakan bedil kedengaran dari kedua-dua belah pihak.
Asap naik ke udara menjadikan bumi Brunei menjadi gelap tidak kelihatan
satu pun di sungai Brunei.
Panglima Pulau: “Mara ke hadapan semua.” “Boom..” kedengaran bunyi
bedil yang mengenakan hulubalang pihak Pulau Chermin mati berhemburan
darah jatuh ke perairan sungai Brunei.
Peperangan yang berlaku di Sungai Brunei menjadikan sungai Brunei
sebagai lautan darah kerana banyak yang terkorban dari kedua-dua belah
pihak lawan.
Beberapa ketika, bunyi bedil dan meriam reda. Asap telah mula berkurang
dan kelihatanlah orang beramukan dengan berlagakan perisai dan pedang
sambil memain keris. Ini kerana tentera Pulau Chermin telah dapat
mendarat naik ke kubu pertahanan orang Brunei yang menyebabkan
terjadinya pertarungan yang amat dahsyat.
Setelah 3 bulan berperang, belum lagi ada tanda-tanda mahu tewas di
antara kedua-dua belah pihak. Sehingga Pengiran Bendahara Muhyidin
menghantar perutusan perdamaian kepada Baginda di Pulau Chermin dengan
menghantar Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan iaitu menteri kepercayaan
Pengiran Bendahara diperintahkan menjadi utusan membawa surat tersebut
melalui jalan darat. Surat itu berbunyi:
“Surat daripada kita Pengiran Bendahara Muhyidin ketua kerajaan darurat
di Brunei, datang ke hadrat ayahanda kita Sultan Abdul Mubin di Pulau
Chermin. Oleh kerana memikirkan hal hamba rakyat kita di kedua-dua
belah pihak yang banyak terkorban, maka inilah kita di Brunei mengutus
ke Pulau Chermin, menawarkan supaya diadakan perdamaian di kedua belah
pihak. Janganlah kita berperang dan eloklah kita membuat penyelesaian
yang aman dan baik.”
Setelah selesai dibaca oleh khatib, Sultan Hakkul Mubin pun
memerintahkan supaya para tenteranya untuk berundur dan menerima
perdamaian tersebut. Walaupun perdamaian itu hanya berunsurkan lisan
sahaja.
Sebulan setelah berdamai, peperangan menyala kembali iaitu orang dari
Bandar Brunei pula yang menyerang kembali ke Pulau Chermin. Peperangan
kali kedua ini meyebabkan Sultan Hakkul Mubin sendiri yang turut serta
dalam peperangan tersebut.
Sultan Hakkul Mubin: “Bawa ke mari pedang dan kerisku, aku hendak berperang bersama rakyatku.”
Hulubalang istana: “Junjung duli tuanku.”
Lalu hulubalang pun menyerahkan segala kelengkapan perang Sultan Hakkul
Mubin, dikatakan Sultan Hakkul Mubin adalah seorang yang kebal, gagah
dan berani orangnya.
Di sebelah pihak Brunei, semakin banyak yang terkorban kerana Sultan
ikut bertempur sehingga tentera pihak Pengiran Bendahara Muhyidin
terpaksa berundur. Orang Kaya Besar Imas juga turut terkorban di Pulau
Chermin.
Pengiran Bendahara: “Berundur semua.” Sekembalinya tentera Pengiran
Bendahara ke Bandar Brunei, Pengiran Bendahara Muhyidin pun
bermesyuarat dengan adinda-adindanya untuk menghantar utusan ke Sulok
untuk meminta bantuan supaya pihak Sulok akan membantu mereka memerangi
Sultan Hakkul Mubin di Pulau Chermin.
Akhirnya peperangan berlaku lagi bersama-sama dengan tentera Sulok.
Kapal tentera Sulok terusterusan membedil Pulau Chermin, sehingga
banyak orang-orang di Pulau Chermin terkorban. Tambahan pula tentera
musuh semakin ramai mengelilingi Pulau Chermin dan dengan mudah tentera
Pengiran Bendahara mendarat di Pulau Chermin. Oleh kerana tentera
Pihak Sultan tidak berdaya lagi untuk melawan, maka sultan pun
memerintahkan orang-orangnya memusnahkan semua pekakas kerajaan.
Sultan Hakkul Mubin: “Hulubalang, musnahkan semua harta kerajaan, segala mahkota dan cap kamhap beta ke laut.”
Hulubalang: “Junjung titah duli tuanku.”
Hulubalang Istana segera memasukkan Mahkota Sultan Hakkul Mubin dan cap
Kamhap kerajaan ke mulut meriam lalu ditembakkan ke laut.
Melihat kelakuan orang-orang Palau Chermin memusnahkan pekakas kerajaan,
seluruh Pulau Chermin telah terbakar. Tentera Pengiran Bendahara
Muhyidin semakin mara ke hadapan bersama-sama orang Sulok. Kemaraan ini
adalah disebabkan seorang pahlawan yang tidak dikenali telah mengemudi
kapal perang Pengiran Bandahara Muhyidin. Orangnya berkulit putih,
bertubuh kecil, berpakaian putih, berdastr putih, bersuara halus dan
tidak kurang keris dipinggangnya.
Pahlawan yang tidak dikenali: “Ayuh! Kayuhkan laju-laju.”
Selesai sahaja pekakas kerajaan dimusnahkan, Sultan Hakkul Mubin
bersama seluruh keturunannya telah lari ke Masjid dan membunuh diri
dengan melaburkan diri mereka di dalam masjid tersebut.
Sultan Hakkul Mubin: “Silalah anakanda semua, kita melabur.”
Maka Sultan pun membakar masjid yang telah dicurahkan minyak.
Terbakarlah masjid tersebut bersama-sama dengan isi di dalamnya sehingga
habis terbakar baginda dan putera puteri baginda semuanya mangkat
berlabur.
Akhirnya pihak Pengiran Bendahara Muhyidin pun menang dalam peperangan
tersebut bersama-sama orang Sulok. Segala harta benda dirampas dan
dibawa balik harta rampasan itu ke Sulok.
Selesai sahaja peperangan itu, Pengiran Bendahara Muhyidin balik ke
Brunei dan merasa gembira kerana berjaya menuntut bela atas kemangkatan
ayahandanya dulu tetapi Pengiran Bendahara merasa sedih kerana
isterinya yang tercinta terbaring lemah kerana mendapat luka di kepala
sesudah menunaikan janjinya sebagai serikandi negara. Isterinya telah
menyamar menjadi lelaki demi untuk menuntut bela kematian paduka
ayahandanya dan dialah lelaki yang mengemudi kapal perang Pengiran
Muhyidin tadi. Pengiran Bendahara: “Adinda, mengapakah adinda sanggup
melakukan semua itu? Kekanda sedih melihat adinda cedera parah begini
hanya demi untuk turut berperang.”
Isterinya: “kekanda, walau hilang nyawa di badan, adinda rela demi
menuntut bela atas kemangkatan paduka ayahanda. Akhirnya adinda berjaya
menunaikan janji adinda untuk turut serta dalam peperangan itu.”
Akhirnya Pengiran Bendahara pun diangkat menjadi Sultan Muhyidin
setelah kemangkatan Sultan Hakkul Mubin. Selama 12 tahun peperangan ini
berlangsung.
Pembesar-pembesar: “Daulat tuanku” (beramai-ramai)
TAMAT
p/s: http://www.youtube.com/watch?v=pfKlRxbqNn0
Kehidupan itu adalah suatu nikmat bagi orang yang menghargai dan menyedarinya.
Wednesday, 31 October 2012
Friday, 26 October 2012
Titah Baginda Sultan bersempana Hari Raya Korban 2012/1433H
Bismillahir Rahmanir Rahiim,
Assalaamualaikum kepada semua para pengunjung blog ini, Alhamdulillah terima kasih diucapkan kerna abiskita semua sudi berkunjung ke blog ini dari masa kemasa, sehingga sekarang jumlah pengunjung sudahpun melebihi 20,000 orang.
Alhamdulillah, pada hari ini kita bersama-sama sekali lagi dapat meraikan Hari Raya Aidil-adha 1433, dan para jemaah haji telahpun sempurna berwukuf di Padang Arafah kelmarin behari. Kitani doakan agar mereka semuanya akan mendapat haji/hajah yang mabrur dan selamat pulang ke tanah-air dengan selamat. Aamiin.
Pada masa negara kita turut pesat membangun dengan prasarana-prasarana yang modern, perkembangan Ugama Islam juga tidak kurang diberikan perhatian yang serius oleh Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan, pada malam semalam, baginda telahpun bertitah melalui corong-corong radio dan juga Televisyen diseluruh negara yang mana antara intisari petikan Titah baginda menyeru agar premis-premis perniagaan ditutup pada waktu berlangsungnya solat Jumaat dikawasan Bandar Seri Begawan. Alhamdulillah, kitani selaku hamba rakyat yang bernaung dibawah payung pemerintahan Baginda merasa amat terharu akan titah Baginda itu. Baginda juga turut menggambarkan andainya perkara itu dilaksanakan, maka negara juga akan turut mendapat nama yang baik selaku sebagai sebuah Negara Zikir.
Inilah beruntungnya kitani menjadi warga / rakyat Brunei, kerna dikurniakan seorang raja yang berjiwa Mukmin dan Soleh, baginda tidak kendur-kendur mendidik semua lapisan masyarakat (khususnya yang berugama Islam), agar sentiasa menjadi manusia yang bertaqwa dan tahu mensyukuri nikmat Allah swt.
Marilah kitani bersama-sama menyahut seruan Titah Baginda itu dengan penuh ikhlas dan bersama-sama kitani jua memberikan pertolongan samada dari buah-fikiran ataupun sekurang-kurangnya Doa agar perkara yang dititahkan Baginda ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Aamiin.
Ditulisan kali ini jua, saya turut 'mempaste' kan kandungan Teks Titah Baginda, agar dapat kitani jadikan sebagai bahan rujukan.
Akhir kalam untuk tulisan kali ini, tidak lupa diucapkan, Selamat Hari Raya Aidil-adha kepada seluruh kaum keluarga, sahabat handai dan kepada seluruh pembaca-pembaca sekalian, dan marilah kitani semua berdoa semoga diri kita, negara kita, serta raja kita semuanya akan senantiasa mendapat keredhaan Allah jua. Aamiin.
Isa Sulaiman,
26hb Oktober 2012 / 10hb Zulhijjah 1433H.
02.43 petang (Jumaat).
Teks Titah
Titah
Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1433 Hijrah /
2012 Masihi
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa
Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina
Muhamaddin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Pujian terhadap Allah itu wajib, kerana Dia memang berhak dipuji.
Bertapa tidak, bukankah Allah itu Maha Sempurna, serba serbi sempurna?
Zat-Nya sempurna, Ilmu-Nya sempurna, Sifat-Nya sempurna. Maka kerana
itulah kita para hamba ini dituntut supaya memuji-Nya.
Memuji
Allah bukanlah seperti memuji yang lain-lain. Memuji Allah bermakna kita
mensyukuri nikmat-Nya, semantara mensyukuri nikmat itu pula dihukumkan
wajib.
Jika kita mensyukuri nikmat Allah, Dia berjanji akan
menambahnya lagi, sebaliknya kalau kita tidak mensyukuri nikmat itu,
maka berhaklah bagi Allah menimpakan azab-Nya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Mensyukuri nikmat Allah tidaklah memadai setakat ucapan semata-mata,
tetapi mesti dibuktikan juga dengan amal perbuatan. Kita dikurniakan
harta, disamping lidah kita melafazkan “alhamdulillah”, Allah juga
adalah memerhatikan kita, dimanakah harta itu kita gunakan?
Kalau ia digunakan dijalan yang hak, maka kesyukuran kita itu akan
diterima. Tetapi jika ia digunakan dijalan yang batil, maka kesyukuran
kita itu bukan saja ditolak, malah azab juga adalah sedang menunggu
kita. Inilah keadilan Maha Pencipta.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Kita ini pada setiap hari dan detik menggunakan nikmat Allah. Udara-Nya
yang segar kita hirup. Tanpa udara, semua makhluk tidak mungkin hidup.
Bumi-Nya juga kita pijak dan air-Nya kita minum. Tanpa bumi dan air itu,
dimanakah kita dan apa nasib kita?
Pada masa ini, kita sedang memperingati 42 tahun pertukaran nama “Bandar Brunei” kepada “Bandar Seri Begawan”.
Bandar, adalah bumi tempat kita berpijak dan berjalan-jalan. Tempat
membeli-belah, tempat bertugas dan malah tempat kita beribadat. Bukankah
disini ada masjid yang tersergam indah?
Demikianlah fungsi bandar itu.
Kita wajib bersyukur diatas nikmat ini, dan perlu berazam untuk
melihatnya kekal, supaya dapat pula dinikmati oleh generasi turun
temurun.
Disinilah kita perlu memahami akan kehendak, siapa
yang ampunya nikmat itu. Dia menghendaki kita supaya terus bersyukur dan
bertakwa serta tidak mengambil ringan perintah-perintah-Nya.
Khusus dalam perkara bernegara termasuk berbandar, kita adalah dituntut
supaya sentiasa memelihara kesucian negara atau bandar kita itu daripada
segala macam bentuk mungkar. Ini adalah amanah, dan termasuk juga
selaku amanah itu ialah memberikannya imej yang baik dan indah, maksud
Beta, imej keislaman (Islamic image), lebih-lebih lagi sesuai dengan
sifatnya selaku bumi MIB atau bumi Negara Zikir.
Salah satu
contoh paling tepat lagi mustahak untuk disegerakan dalam perkara
membaiki imej bandar dan malah negara seluruhnya ialah, pada Hari
Juma’at, diwaktu atau jam yang bersesuaian, semua premis perniagaan
bisai tah ditutup buat sementara waktu, sehingga selesai menunaikan
sembahyang fardhu Juma’at.
Penutupan ini, selain ia sendiri
berunsur imej, ia juga akan mampu untuk mengubati penyakit “kuai-libai”
setengah kalangan pemuda atau belia di pusat-pusat membeli belah atau di
kaki-kaki lima, sedang orang-orang Islam lain sudahpun berada di masjid
atau sedang bergerak ke masjid.
Tidakkah, jika perkara ini dibiarkan sehingga berpanjangan, akan mencemarkan imej negara dan malah imej Islam sendiri?
Oleh itu, langkah ini sangatlah wajar dan bahkan menepati tuntutan
syara’ untuk dilaksanakan. Syara’ telah menggesa kita supaya segera
menyahut panggilan “Sembahyang Juma’at” dan meninggalkan sementara
urusan jual-beli sehinggalah selesai sembahyang tersebut. Manakala telah
selesai sembahyang, kitapun disuruh pula untuk bertibaran semula dimuka
bumi bagi menjalankan urusan masing-masing (lihat ayat 9 dan 10 surah
Al-Jumu’ah).
Dari perintah Allah ini, tidak siapa yang akan
rugi malah sebaliknya, dengan negara juga akan beroleh nama yang baik
dan imej yang baik serta keberkatan pula boleh kita tunggu daripada
Allah Subhanahu Wata’ala.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Beta meminta dan berharap kepada pihak-pihak berkenaan, supaya dengan
cara sewajarnya, akan menangani perkara ini tanpa lama-lama bertangguh.
Beta bersyukur, kerana hidayat Allah ini datangnya pada “Hari Besar”, bersukut dengan kita menyambut ‘Idil Adha yang mulia.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan perasaan tulus ikhlas dan penuh
muhibbah mengucapkan Selamat Hari Raya Adha Al-Mubarak kepada semua
lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana saja mereka
berada, tidak terkecuali para jama’ah haji kita di Tanah Suci, semoga
mereka mendapat haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan
selamat. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Saturday, 13 October 2012
Janji Allah kepada mereka yang BERNIKAH.
Ketika seorang Muslim baik pemuda mahupun wanita akan menikah, biasanya akan timbul perasaan yang bermacam-macam. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu saat melangkah pelamin. Bahkan ketika dalam proses ta'aruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.
Berikut ini sekelumit apa yang hadir dari janji Allah kepada mereka yang menyimpan perasaan negatif dalam mencari teman hidup.
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)" (An Nuur:26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai ajaran Islam dan Sunnah NabiNya. Jadilah lelaki-lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui" (An Nur:32)
Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika menikah. Salah satu sebabnya adalah kerana belum punya pekerjaan. Dan anehnya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan-pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan kemampuan gajinya. Dalam fikiran mereka terbit suatu persoalan, "Apakah cukup untuk keluarga gaji sekian?".
Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu melangkah ke jenjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga. Bukan gaji yang tinggi yang selama-lamanya tidak akan berkesudahan. Allah Maha Adil, bila tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajiban menafkahi isteri-isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak punya apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?
"Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabiliLlah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya" (Musnad Imam Ahmad 2:251, Sunan An Nasa'ie, At Tirmizi, Ibnu Majah hadis No.2518, dan Hakim 2:160)
Bagi sesiapa sahaja yang menikah dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah S.A.W dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir". (Ar Ruum:21)
"Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina". (Al Mu’min:60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankanNya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, penurut, dan seterusnya. Dalam berdoa perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Di antaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan. Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir di mana Allah turun ke langit dunia, pada waktu antara azan dan iqamah, pada waktu turun hujan. Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum dari yang haram, juga makan, minum dan berpakaian dari usaha yang haram, melakukan apa yang diharamkan Allah dan lain-lain.
Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini kewujudan Allah Taala, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, mengakui bahawa Allah Maha Mendengar. Sebahagian orang ketika jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun dan bomoh, berharap agar jodohnya segera tiba. Sebahagian orang ada juga yang menggunakan guna-guna (ilmu pengasih). Cara-cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah S.A.W, "Barang siapa yang mendatangi peramal/ dukun, lalu ia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam" (Hadis Sahih riwayat Muslim 7/37 dan Musnad Imam Ahmad).
"Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat" (Al Baqarah:153)
Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sukar dan sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
"Wahai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Muhammad:7)
"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Al Hajj:40)
"Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat" (Al Baqarah:214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjiBya. Kalaupun Allah tidak/ belum mengabulkan hajat dan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap Muslim. Jadi, tidak ada sebabnya untuk kita meragukan tentang janji Allah ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)