Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Monday, 30 January 2012

Siapa WAHABIYAH?

Bismillahirrahmanirrahim

WAHHABIYAH
Nama sebuah gerakan Islah yang diasaskan oleh Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab dari Bani Sinan, salah satu cabang suku Tamim yang tinggal di kawasan tengah Semenanjung Arab di timur Hijaz. Wahhabiyah ialah gelaran yang diberikan oleh musuh-musuh Wahhabiyah sejak Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab masih hidup lagi. Mereka sendiri (pengikut-pengikut Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab) menggelar diri mereka Muwahhidun (orang yang mengesakan Tuhan). Golongan anti Wahhabiyah kurang gemar memakai istilah Muwahhidun oleh kerana dua sebab. Pertama untuk mengelakkan dari berlaku kekeliruan dengan suatu gerakan lain di Afrika utara yang juga dikenali sebagai Muwahhidun (al-Muwahhidun). Kedua, mereka tidak mengiktiraf gerakan Wahhabiyah sebagai suatu gerakan Islam yang sebenar, tetapi ia lebih merupakan suatu fahaman atau ajaran yang dibawa oleh Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab sendiri (mengenai pendapat golongan anti Wahhabiyah, lihat misalnya Aziz al-Azmeh, “Wahhabie Polity” dlm. Ian Richard Netton (Penyunting), Arabia and the Gulf: from Traditional Society to Modern States, Croom Helm, London & Sydney 1986, 75-90)
Walaupun kita tidak bersetuju sepenuhnya dengan pendapat dan sikap golongan anti Wahhabiyah, tetapi pemakaian istilah Wahhabiyah adalah lebih sesuai dan lebih wajar memandangkan bahawa, selain ianya merupakan suatu istilah yang popular pada zaman moden, penggunaan istilah Muwahhidun boleh membawa erti bahawa golongan atau masyarakat yang menentang gerakan Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab adalah golongan anti tauhid atau golongan yang mensyirikkan Allah. Anggapan seperti ini amat keterlaluan dan boleh jadi tidak benar kerana Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab sendiri mengakui dirinya sebagai penganut mazhab sunni, tetapi lebih cenderung kepada ajaran mazhab Hambali yang kemudiannya dipopularkan oleh Ibn Taymiyyah. Ibn Taymiyyah adalah salah seorang ulama islah yang menganjurkan penentangan terhadap amalan-amalan bid’ah (seperti mendewa-dewakan para wali, menziarahi kuburan dan seumpamanya) bagi tujuan untuk menjaga kesucian ajaran Islam. Pandangan-pandangan Ibn Taymiyyah berhubung dengan perkara tersebut dinyatakan di dalam kitabnya Majmu’ah al-Rasa’il al-Kubra (Kahirah, 1326/1906). Walaupun Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab telah mendasarkan pendapatnya kepada fatwa-fatwa Ibn Taymiyyah, tetapi setelah itu beliau dan pengikut-pengikutnya telah menokok tambah kepada yang asal, seperti yang yang akan dijelaskan di bawah.
Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab dilahirkan di Uyainah pada tahun 1115/1703 dan mendapat pendidikan awal di madinah di bawah bimbingan Sulaiman al-Kurdi dan Muhammad Hayat al-Sindi. Banyak masanya dihabiskan dengan mengembara untuk mencari ilmu dan pengaruh. Di Basrah (4 tahun), di Baghdad (5 tahun), di Kurdistan (1 tahun), di Hamadhan (2 tahun) dan di Isfahan (4 tahun) di atas undangan Nadis Shah (1148/1736) untuk mempelajari ilmu tasawuf dan falsafah. Setelah selama setahun mengajar tasawwuf beliau pergi pula ke Qumm. Setelah itu beliau terkenal sebagai seorang guru mazhab Hambali. Dari Qumm beliau pulang ke tempat asalnya, Uyainah. Selepas lapan bulan di sana beliau pun mula menyebarkan ajarannya yang terkandung dalam Kitab al-Tawhid.
Beliau telah mangalami penentangan daripada setengah-setengah penduduk Uyainah termasuk saudaranya, Sulaiman dan sepupunya, ‘Abdullah b.Husayn. Akhirnya beliau disingkirkan dari Uyainah oleh gabenornya. Penyingkiran ini adalah disebabkan oleh kerana berlaku pertumpahan darah di antara penyokong dan penentangannya di kalangan suku Tamim yang tinggal di Yamamah (D.S. Margoliouth, Encyclopedia of Islam, art.”Wahhabiya”). Sebab lain yang ditimbulkan oleh golongan anti Wahhabiyah ialah oleh kerana Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab sendiri terlibat dalam pembunuhan ke atas gabenor Uyainah, Ibn Mu’ammau (M.A Khan, “A Diplomat’s Report on Wahhabism in Arabia” dlm.Islamic Studies, 1968, 7:40).
Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab telah meninggalkan Uyainah bersama keluarganya menuju Dar’iyyah (Dir’iyyah) sebuah oasis di lembah Hanifah di Najd, tempat tinggal keluarga Sa’ud (Al-Sa’ud) yang memerintah kerajaan Arab Saudi sekarang. Ketibaan Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab telah disambut baik oleh Muhammad b. Sa’ud yang pada ketika itu menjadi pemimpin Dar’iyyah. Kedua-dua orang pemimpin ini telah bekerjasama; Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab meneraju kepimpinan agama sementara Muhammad b. Sa’ud meneraju kepimpinan politik. Dengan berkat kerjasama ini mereka telah mencapai suatu kejayaan besar yang mana Dar’iyyah akhirnya menjadi pusat gerakan Wahhabiah di Najd pada abad ke 13/19.
Pada amnya puak Wahhabiyah menganjurkan supaya setiap jenis bid’ah mestilah dihapuskan. Setelah itu barulah masyarakat Islam boleh mengaku sebagai pengikut mazhab empat (Hanafi, Maliki, Shafi’I dan Hambali) dan enam sunnah, al-Sunan al-Sittah (Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidhi, Nasa’I dan Ibn Majah). Beberapa ajaran Wahhabiyah yang lain adalah seperti berikut:
1. Menyembah selain Allah adalah syirik, ini termasuklah pendewaan terhadap seseorang tokoh atau pemimpin. Orang yang syirik ini seharusnya dihukum bunuh.
2. Ramai manusia telah menyekutukan Allah kerana ramai di antara mereka yang menziarahi kuburan para wali untuk mendaptkan syafaat daripada Allah. Perbuatan mereka ini tak ubah seperti kaum Musyrikin Makkah, sepertimana yang digambarkan di dalam al-Quran.
3. Menyebut nama seorang wali, malaikat dan sebagainya di dalam sembahyang adalaah hukumnya syirik, begitu juga dengan mengadakan perantaraan dengan Allah dan mendewa-dewakan seseorang atau takut kepada seseorang selain Allah hukumnya syirik.
4. Dihukum kafir bagi sesiapa yang tidak mengakui akan kebenaran ajaran al-Quran dan Sunnah.
5. Dihukum kafir dan mulhid bagi sesiapa yang mengingkari qada’ dan qadar.
6. Seseorang itu boleh menjadi kafir dengan mentafsirkan al-Quran secara ta’wil.
7. Sembahyang berjemaah diwajibkan.
8. Menghisap rokok hukumnya haram dan boleh didenda maksimum 40 kali sebat.
9. Mencukur janggut dan melafazkan kata-kata kasar/kesat boleh dihadapkan ke mahkamah kadi dan boleh dijatuhkan hukuman yang setimpal.
10. Pengucapan syahadat tidak cukup untuk menjadikan seseorang itu Muslim.
Ajaran Wahhabiyah ini disebutkan dalam kitab al-Lam’ dan setelah itu disalin dan diterjemahkan oleh S.Zwemer dalam The Mohammedan World of Today, New York, 1906, 106 dan D.S. Margoliouth, op.cit.1086). Jika dibandingkan antara ajaran Ahmad b. Hambal dengan ajaran Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab terdapat persamaan dan juga perbezaannya. Dari sepuluh ajaran Wahhabiyah yang disebutkan di atas enam yang pertama mempunyai persamaan dengan ajaran Ahmad b. Hambal dan empat yang terakhir menyalahinya.
Menurut sejarah doktrin yang dibawa oleh Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab telah mendapat sambutan majoriti penduduk Dar’iyyah. Beliau kemudiannya membina sebuah masjid di Dar’iyyah dan memaksa penduduknya berjemaah di masjid tersebut.
Pada tahun 1160/1747 berlaku peperangan antara puak Wahhabiyah dengan Sheikh Dahham b. Dawwas, pemerintah Riyad. Peperangan ini berlanjutan selama dua puluh lapan tahun. Dalam tempoh tersebut Ibn Sa’ud dan anaknya ‘Abd al-Aziz telah menunjukkan kebolehan masing-masing dalam bidang ketenteraan dan banyak kawasan khususnya di Najd telah dikuasai mereka. Setiap kawasan yang ditakluki diletakkan sebuah pasukan tentera khas yang dipanggil umana’ dan mereka dibayar gaji yang lumayan. Jika kawasan itu besar dilantik pula seorang mufti dan seorang kadi bagi mengendalikan urusan agama. Yang menjadi penasihat agama ketika itu ialah Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab sendiri. Apabila Ibn Sa’ud meninggal dunia, tempatnya digantikan oleh anaknya, ‘Abd al-Aziz dan kedudukan Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab sebagai penasihat agama kekal seperti biasa. Pada tahun berikutnya suatu utusan telah dihantar ke Makkah untuk berunding dengan Sharif Makkah dan suatu persetujuan damai telah dicapai. Pada tahun 1187/1773 puak Wahhabiyah telah berjaya menguasai Riyad dari tangan Dahham. Dengan itu bermakna seluruh Najd terletak di tangan puak Wahhabiyah. Setelah itu berlaku perselisihan di antara mereka dengan Surur Sharif Makkah yang baru. Surur tidak membenarkan puak Wahhabiyyah menunaikan fardu haji ke Makkah sehingga kelonggaran dibuat pada tahun 1199/1785.
Pada tahun 1206/1792 Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab meninggal dunia. Ketika itu usianya 89 tahun. Setelah itu gerakan Wahhabiyah menjadi semakin aktif lagi di bawah pimpinan keluarga Sa’ud. Pada tahun 1209/1795 mereka berjaya pula menawan Hasa dari Bani Khalid. Dalam pada mereka menyerang pula kawasan sempadan Iraq. Serangan mereka ini telah ditentang oleh tentera Turki ‘Uthmaniyyah tetapi tidak berjaya. Setelah itu puak Wahhabiyah masuk pula ke Karbala’ dan menewasksn penduduknya. Pada tahun 1218/1803 Sharif Makkah, Ghalib terpaksa meninggalkan kota Makkah kerana diserang tentera Wahhabiyah. Akhirnya Makkah jatuh ke tangan mereka di bawah pimpinan Sa’ud. Dari Makkah mereka mara pula ke Jedah dan Madinah. Sementara itu kota Makkah ditawan semula oleh penduduk asalnya. Pada tahun itu juga Imam Wahhabi, ‘Abd al-Aziz 1, mati dibunuh oleh kaum Shi’ah yang datang dari Karbala’ kerana membalas dendam di atas perbuatan puak Wahhabiyah tempoh hari. Tempat ‘Abd al-Aziz 1 digantikan oleh Sa’ud sebagai pemimpin/Imam Wahhabi. Setelah itu Sa’ud menyerang semula Hijaz. Justeru itu kota Madinah (1219/1804) dan Makkah (1221/1806) jatuh ke tangan mereka. Tidak lama kemudian Jedah pula turut dikuasai oleh mereka. Pada tahun-tahun berikutnya mereka menyerang pula kawasan-kawasan di luar Semenanjung Arab. Pada tahun 1226/1811 pemerintahan Wahhabiyah meliputi kawasn antara Halab di utara hingga ke Lautan Hindi dan dari Teluk Parsi dan sempadan Iraq di sebelah timur hingga ke kawasan Laut Merah. Kemaraan tentera Wahhabiyah telah berjaya disekat oleh tentera Muhammad Ali Pasha, pemerintah kerajan Turki di Mesir di bawah pimpinan anaknya Tusun dan seterusnya mereka berjaya memerintah semula Madinah (1227/1812) dan Makkah (1228/1813). Kedudukan kerajaan Turki semakin bertambah lega setelah Sa’ud meninggal dunia pada bulan Mei 1229/1814. Teraju pimpinan gerakan Wahhabiyah kemudiannya dipegang oleh anaknya ‘Abdullah yang disifatkan sebagai seorang pemimpin yang kurang bertenaga. Suatu persetujuan telah dicapai dalam perundingan antara Tusun dan Abdullah iaitu Abdullah mengiktiraf kekuasaan Sultan Turki Uthmaniyah dan pihak Tusun yang mewakili kerajaan Turki pula mengiktiraf kerajaan Wahhabiyah di Najd. Namun begitu, pihak Turki telah mengingkari perjanjian tersebut dengan melancarkan serangan ke atas Najd pada tahun 1231/1816. Hasil dari serangan ini Dar’iyyah pusat kerajaan Wahhabiyah telah jatuh ke tangan tentera Turki dan seterusnya Abdullah ditangkap dan dibawa ke Istanbul di mana beliau dijatuhkan hukuman bunuh pada 9 September 1818. Dengan itu maka berakhirlah pemerintahan Wahhabiyah.
Setelah itu puak Wahhabiyah bangun semula dan telah berjaya mendirikan sebuah kerajaan kecil di Riyad (sekarang menjadi pusat kerajaan Arab Saudi) pada tahun 1236/1821. Kerajaan ini kemudiannya telah berjaya meluaskan kekuasannya ke kawasan pantai Teluk parsi di bawah pimpinan sepupu Sa’ud bergelar Turki. Pada zaman beliau hampir kesemua kawasan yang diperolehi oleh Sa’ud dahulunya dapat ditawan semula. Beliau meninggal dunia pada tahun 1250/1834 dan tempatnya diambilalih oleh anaknya Faisal. Beliau telah dibantu oleh Abdullah b. Rashid yang kemudiannya mendirikan kerajaannya sendiri di Ha’il bersama anaknya Talal. Tetapi kemudiannya kerajaan ini dkuasai oleh keluarga ‘Abd al-Rahman b. Sa’ud dengan pertolongan Sheikh Kuwait.
Kemunculan ‘Abd al-Rahman (Ibn Sa’ud) telah memulihkan semula kegemilangan puak Wahhabiyah. Usaha ini kemudiannya diteruskan oleh anaknya. ‘Abd al-Aziz dengan pasukan tenteranya yang kecil telah berjaya menewaskan bandar Riyad pada bulan Januari 1901. Beliau kemudiannya menewaskan Dinasti Ibn Rashid di Ha’il pada 2 November 1921. Pada bulan Oktober 1924 Makkah pula jatuh ke tangannya. Setelah itu diikuti oleh Madinah (5 Disember, 1925) dan Jedah 23 Disember 1925). Dengan ini seluruh Najd dan Hijaz telah diperintah oleh keluarga Sa’ud (Al Sa’ud). Dari keluarga inilah kemudiannya melahirkan kerajaan Arab Saudi yang kini berpusat di Riyad.
Setelah itu ajaran Wahhabiyah dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi dan pengaruhnya sampai ke India dan Afghanistan. Ajaran-ajaran Wahhabiyah tersurat di dalam karya-karya Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab yang berjudul:
1. Kitab al-Kaba’ir
2. Kitab al-Tawhid
3. Mukhtar al-Sirah
4. Rawdah al-Afkar
Di samping itu terdapat sebuah koleksi karangan kaum keluarga Wahhabi yang diberi judul al-Hidayah al-Sunniyah wa al-Tuhfah Wahhabiyah al-Najdiyah.
Di samping itu terdapat pula buku-buku yang mengkritik ajaran Wahhabiyah yang ditulis oleh golongan anti Wahhabiyah. Sekurang-kurangnya ada tiga buah karya lama yang berkenaan yang tersimpan di perpustakaan Berlin. Pertama berjudul al-Tahakkum al-Muqallidin bi-man idda Tajdid al-Din karangan Muhammad b. ‘Abd Rahman b. Afaliq kedua berjudul al-Mishkat al-Mudi’ah oleh Ali b. ‘Abdullah al-Baghdadi yang ketiga karangan Sulaiman, saudara Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab sendiri. Sebuah lagi buku mengenai biografi Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab berjudul Lam’ al-Shihab fi Sirah Muhammad b. ‘Abd al-Wahhab. Di dalamnya banyak dipaparkan kritikan terhadap ajaran Wahhabiyah. Manuskrip ini ada tersimpan di British Museum.

No comments:

Post a Comment