Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Wednesday 31 October 2012

PERANG SAUDARA di BRUNEI (T.M 1661-1673)

 

 

Part 1: Bersabung Ayam dan Mahkota Berdarah.

“Kok kok kok…”

Bunyi ayam sabungan bersahut-sahutan di halaman istana Duli Yang Teramat Mulia Pg bendahara Abdul Mubin.
Di halaman Istana orang ramai berkumpul untuk menyaksikan temasya bersabung ayam pada pagi itu. Anak pengiran bendahara Abdul Mubin datang untuk menyaksikan temasya tersebut dan juga berniat untuk bersabung ayam dengan anak Sultam Muhammad Ali iaitu Pengiran Muda Alam.
Penjaga ayam: “Junjung Lai”
Anak Pengiran Bendahara: “ oh Miatu. Mana ayam kita, bawa ke mari biar kita lihat dulu.”
Penjaga ayam: “ Mohon di ampun, ada peramba tambat di sana.” Penjaga ayam pun mengambil ayam tersebut untuk di sembahkan kepada Anak Pengiran Bendahara.
Anak pengiran bendahara pun menyambut ayam sabungannya dan ayam itu berkokok 3 kali berturutturut sambil digosok-gosoknya kepala dan belakang ayam tersebut.
Kedatangan Pengiran Muda Alam ke halaman Istana dengan pengiring-pengiringnya.
Anak Pengiran Bendahara: “Junjung Ngian muda,” kata anak Pengiran Bendahara menyilakan.
Pengiran muda Alam: “Terima kasih, mana ayam awangku?”
Anak pengiran Bendahara: “Tu nah di belakang”
Tanpa membuang masa mereka pun memulakan persabungan ayam antara ayam persabungan Pengiran Muda Alam dan Anak Pengiran Bendahara. Keadaan di halaman istana menjadi riuh rendah kerana sorak daripada kedua belah pihak. Akhirnya ayam sabung Pengiran Mula Alam kalah dalam persabungan tersebut dan penyokong pihak anak Pengiran Bendahara bersorak gembira dengan kemenangan tersebut sehingga melompat-lompat. Pengiran Muda Alam merasa geram melihat kegembiraan mereka dan kata-kata yang memalukan dari pihak Anak Pengiran Bendahara menyebabkan Pengiran Muda Alam bertindak membunuh Anak Pengiran Bendahara.
Inang (Pengasuh Anak Pengiran Bendahara): “Ngian!”
Inang menjerit terkejut melihat pembunuhan tersebut kerana Anak Pengiran Bendahara adalah anak yang telah diasuhnya dari kecil dan diibaratkan seperti anaknya sendiri. Inang terus berlari ke halaman dengan linangan air mata bercucuran untuk mendapatkan anak yang dikasihinya. Tiada seorang pun yang berani untuk menentang Pengiran Muda Alam untuk menuntut bela ke atas kematian Anak Pengiran Bendahara, kerana tidak mahu dikatakan menderhaka kepada anak Raja. Kejadian tersebut seperti tiada apa-apa yang terjadi sehinggalah mayat Anak Pengiran Bendahara dibawa pulang ke barung-barung Pengiran Bendahara Abdul Mubin.
Di rumah Pengiran Bendahara, kedengaran bunyi tangisan dari isteri dan inang Pengiran Bendahara ke atas kematian anak Pengiran Bendahara sehingga Pengiran Bendahara menjadi hairan dan tertanyatanya apakah yang sedang berlaku.
Pengiran Bendahara: “Apakah malapetaka yang menimpa isi rumah kita?”
Pehin: “Tuanku, paduka anakanda ditikam oleh Pengiran Muda Alam?”
Pengiran Bendahara: “Mengapakah begitu benar perbuatan Pengiran Muda!” (dengan wajah yang marah)
Pehin: “ Kerana ayam Pengiran Muda Alam telah dikalahkan oleh ayam paduka anakanda.”
Pengiran Bendahara merasa marah dan ingin membalas dendam dengan kematian anakandanya yang tiada mempunyai apa-apa kesalahan. Pengiran Bendahara pun berangkat ke istana untuk berjumpa dengan Sultan Muhammad Ali dengan 40 orang pengiring-pengiringnya. Sebaik sahaja sampai di lapau, Baginda Sultan menyuruh Pengiran Bendahara duduk di atas-atas. Kebetulan masa itu baginda sedang dihadap oleh pembesar-pembesar negeri kerana merundingkan kejadian yang terjadi dihalaman istana.
Sultan: “Ramai nampaknya tuan peramba datang sekali ini.”
Pengiran Bendahara: “ Patik.”( Sembah pengiran Bendahara). “ Kedatangan patik mengadap duli tuanku ini sengaja kerana telah lama juga patik tidak mengadap tuanku.” (Sambil melirik Pengiran Muda Alam yang berada di sisi Sultan).
Sultan: “Apa khabar yang peramba bawa? Peramba pun dendam jua, sudah lama tidak berjumpa peramba”.
Pengiran Bendahara: “ khabar baik, hanyalah patik sangat berdukacita melihat barung-barung patik tidak berdinding”. (sembahnya bergurimdam). “Apalah halnya air mas patik dibunuh hidup-hidup oleh paduka anakanda Pengiran Muda Alam dengan tidak berdosa.”
Sultan pun mengerti maksud Pengiran Bandahara mengadap ramai-ramai itu.
Sultan: “Ngian Bendahara! Pekerjaan membunuh orang yang tidak berdosa tanpa ada sebab itu sekalipun anakanda peramba, bunuh jua balasannya, hutang darah dibayar dengan darah.”
Apabila didengar oleh Pengiran Muda Alam titah hukuman ayahandanya itu segeralah Pengiran Muda Alam masuk ke dalam istana ayahandanya.
Pengiran Bendahara: “ Ya tuanku! Jikalau demikian itu bicara tuanku, patik junjung paduka anakanda itu buangkan sekali.” (dengan wajah seperti singa yang kelaparan) Sultan: “ Hai Pengiran Bendahara! Sekarang peramba lepaskan anak peramba itu, dia sudah membawa darah mati ke dalam istana, jalankan hukuman ke atasnya”.
Pengiran Bendahara gembira mendengar titah baginda. Pengiran Bendahara terus bangkit tanpa menjunjung negeraha mengikut Pengiran Muda Alam masuk ke dalam Istana bersama 40 orang pengikut-pengikutnya.
Dengan keris yang terhunus ditangan mereka naik ke istana Sultan untuk mendapatkan Pengiran Muda Alam, tetapi tiada pun keberadaan puteranya di ruangan istana tersebut. Pengiran bendahara menjadi marah dan bertindak membunuh dayang-dayang istana dan seisi istana yang tidak berdosa. Sultan mendengar bunyi jeritan para dayang sehingga baginda hairan apakah yang terjadi di dalam istana. Baginda berangkat ke dalam istana, sultan terkejut melihat dayang-dayang dan gundik-gundik kesayangan sultan telah mati ditikam oleh Pengiran Bendahara.
Sultan: “ Hai Pengiran Bendahara, pekerjaan apakah yang tuan peramba kerjakan ini? Lain yang berdosa lain pula yang peramba bunuh. Perbuatan tuan peramba ini samalah seperti hulubalang handal membunuh musuhnya ketika musuhnya sedang tidur.”
Pengiran Bendahara: “ Ampun tuanku beribu-ribu ampun, apalah mata patik telah pening.”
Sultan: “ jikalau demikian ini baiklah sudahi peramba sekali, supaya senang tuan peramba hidup dijunjung.”
Pengiran Bendahara: “ Baiklah tuanku.”
Pengiran bendahara pun memerintahkan anak buahnya menangkap baginda sultan.
Sultan: “Tak usahlah peramba ditangkap oleh anak buah peramba, kerana sayang mereka bakal menjadi pengharapan tuan peramba. Nah supaya tiada siapa pun yang terluka, ambillah keris peramba ini.”
Sultan pun mengambil keris baginda dari pinggangnya lalu menghulurkan keris tersebut kepada Pengiran Bendahara. Anak buah pengiran Bendahara berundur ke belakang kerana takut kalau-kalau baginda ingin menuntut bela atas kematian gundik-gundiknya tetapi tidak, anak buah Pengiran Bendahara hairan melihat kejujuran hati Baginda sultan.
Pengiran Bendahara: “Ah Tuanku, sepala-pala menyeluk pekasam.”
Sultan: “ Peramba, walau tuan peramba basuh dengan air mawar sekalipun takkan hilang bau busuk pekasam itu.”
Pengiran Bendahara: “Tuanku, mandi biarlah basah.”
Sultan: “Peramba, mandilah walau habis air selautan, takkan bersih badan dan jiwa peramba dari bernoda.”
Pengiran Bendahara: “Tuanku, sekali terminum darah.” Sultan: “Peramba. Minumlah hingga kering, hisaplah hingga kempis, tetapi darah peramba tetap mengalir dan takkan hancur dari bumi Brunei.”
Sultan Muhammad Ali menjadi tawanan kemuliaan dan baginda diusung oleh anak buah Pengiran Bendahara dan dibawa ke halaman istana yang rumput-rampainya yang menghijau, di mana ada sepohon kelapa cenderung ke barat, sedang teja pelangi membangun, mengaum bunyi guruh bertalutalu, hujan turun rintik-rintik, matahari senja menguning cahayanya dan air pasang sehingga menenggelamkan Lumut Lunting. Di tempat itulah baginda sultan Muhammad Ali lindung dikujut oleh Pengiran Bendahara dan jatuh tersungkur di padang rumput yang menghijau. Sejak hari itu, Almarhum Sultan Muhammad Ali disebut-sebut orang sebagai ‘Al-Marhum Tumbang Di Rumput’. Pengiran Bendahara Abdul Mubin pun telah menjadi Sultan setelah kemangkatan Sultan Muhammad Ali.
Part 2: Hasrat menuntut bela dan perpindahan istana ke Pulau Chermin.
Pada malam itu, Pengiran Bendahara Muhyidin dan isterinya sedang berbual-bual di tingkap bilik peraduan mereka. Isteri Pengiran Bendahara Muhyidin bermuram dan bersedih kerana terkenangkan ayahandanya yang mangkat dikujut oleh Sultan Hakkul Mubin ketika dulu.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “ Mengapa adinda bersedih hati walau bulan purnama tersergam indah di langit?”
Pengiran Isteri Mariam: “derita hati adinda takkan dapat kekanda rasakan, biarlah adinda sendiri yang merasainya.”
Pengiran Bendahara Muhyidin: “ jangan begitu adinda, kekanda tidak akan membiarkan mahligai hati adinda rosak binasa.”
Pengiran Isteri Mariam: “Hati manusia kanda, hanya akan gembira bila apa yang diharapkannya terlaksana. Kekanda hanya asyik berburu sahaja.”
Pengiran Isteri Mariam merasa sangat sedih kerana suaminya hanya asyik berburu dan tiada langsung hatinya untuk melaksanakan hasrat isterinya untuk membalas dendam ke atas kematian mertuanya iaitu Sultan Muhammad Ali.
Pada keesokannya harinya, seperti biasa Pengiran Bendahara Muhyidin bersama dua orang pengiringnya pergi berburu ke dalam hutan di Kampung Subok. Setelah lama berada di dalam hutan, tiada satu pun binatang buruan yang didapati, maka Pengiran Bendahara pun duduk berehat di bawah pohon ara sehingga terlelap. Pengiran Bandahara Muhyidin telah mendapat mimpi yang aneh, dia didatangi oleh seorang perempuan yang cantik, berjubah putih.
Puteri cantik: “Kembalilah kamu wahai orang muda, di sana ada menunggu satu kewajipan bagi kamu. Tengok di sana ribut datang dan hujan turun dengan menitikkan hujan darah, mari ikutlah aku pulang.”
Pengiran Bendahara Muhyidin terjaga dari tidurnya dan tertanya-tanya tentang mimpinya tadi.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “Apakah petandanya mimpiku itu? Ah itu hanya gangguan dari makhlukmakhluk di hutan ini.”
Pengiran Bendahara Muhyidin pun bangkit dan mencari anak buahnya yang ikut berburu bersamanya tadi. Semasa sedang mencari anak buahnya, Pengiran Bendahara Muhyidin terjumpa dengan Orang Kaya Besar Imas. Dari sanalah Pengiran Bendahara Muhyidin mendapat inspirasi untuk menuntut bela kematian bapa mertuanya Sultan Muhammad Ali.
OKBI: “ Ceh! Anak raja ini tidak pemalu, bapanya sendiri dibunuh orang tidak terbela olehnya, senangsenang ia mengangkat tangan menyembah Bendahara Abdul” (berpura-pura tidak melihat kedatangan Pengiran Bendahara Muhyidin sambil menyangkul rumput-rumput di tanamannya). Pengiran Bendahara Muhyidin: “Apa dia, orang kaya?”.
OKBI: “Beribu ampun, inilah pekerjaan hamba tuanku. Dari mana tuanku ini?. Junjung duli tuanku naik ke barung hamba tuanku.”
Pengiran Bendahara pun naik ke rumah Pehin Orang Kaya Besar Imas bersama dengan anak buahnya.
Pengiran Bendahara: “Terima Kasih Orang Kaya.”
Pengiran Bendahara teringat akan kata-kata OKBI tadi lalu bertanya kerana rasa ingin tahu menghantui fikiran Pengiran Bendahara.
Pengiran Bendahara: “Orang Kaya, saya kurang mengerti apa maksud kata orang kaya di halaman tadi?”
OKBI: “Beribu ampun, hamba tuanku berkata-kata dengan air mas hamba tuanku ini, iaitu kemangkatan almarhum ayahanda mertua tuanku itu, mengapatah duli tuanku semua hanya memandang sahaja, bukankah ayahanda tuanku itu lindung kerana dikujut dengan kejam. Padahal tiada kesalahan yang dilakukan oleh baginda. Tidakkah tuanku merasa malu dengan semua itu, tidakkah tuanku mahu untuk menuntut bela atas kematian duli ayahanda tuanku.”
Pengiran Bendahara: “Adakah maksud orang kaya seperti mengembangi asam yang telah kering?” sungguh pun benar begitu, apalah daya kita untuk menentang, takkan kita hendak menentang raja, bak kata orang takkan melayu mentang rajanya.”
OKBI: “walaupun begitu, dengarlah kata hamba tuanku pada kebawah duli tuanku, berjuanglah tuanku dengan keizinan Tuhan untuk menuntut bela atas kematian paduka ayahanda tuanku, teruskanlah citacita tuanku, hamba tuanku semua di kampong ini akan turut sama turun ke medan perjuangan demi untuk menuntut bela, dijunjung duli tuanku berjuang, hamba tuanku semua bersandarkan dengan berkat Allah.”
Pengiran Bendahara: “Jika begitu orang Kaya bersandarkan dengan berkat Allah, percayalah bahawasanya kata orang kaya itu hendaklah dikotakan. Kalau begitu kami mulih dahulu.”
Pengiran Bendahara Muhyidin pun pulang ke rumahnya pada hari yang hampir senja. Kelihatan isterinya sedang menunggunya di hadapan rumah.
Pengiran Isteri Mariam: “ Mengapa kekanda lambat pulang, adakah mendapat banyak hasil buruan?”
Pengiran Bendahara: “ Tiada hasil buruan yang kekanda dapat, tetapi kekanda dapat apa yang adinda hasratkan selama ini.”
Pengiran Isteri Mariam: “Apa yang adinda hasratkan selama ini? “(dengan muka kehairanan).
Pengiran Bendahara: “benar adinda, tentu adinda akan gembira mendengarnya. Kekanda akan menuntut bela atas kematian paduka ayahanda seperti yang adinda hasratkan.”
Isterinya merasa sangat gembira setelah mendengar khabar yang disampaikan oleh suaminya itu. Pada malam itu juga Pengiran Bendahara Muhyidin memanggil saudara-saudara kepada Pengiran Bendahara Muhyidin dan isterinya iaitu Pengiran Kamaluddin, Pengiran Nassaruddin, Pengiran Tuah dan Pengiran Alauddin untuk membincangkan hasrat mereka untuk menuntut bela atas kematian Sultan Muhammad Ali.
Pengiran Bendahara: “Malam Ngian, maaf nyusahkan ngian semua datang malam –malam begini”.
Pengiran Kamaluddin: “Peramba, kerana sabda memanggil, walau hujan rebut sekali pun peramba semua akan datang, inikan pula cuaca terang seperti siang.” (sambil menoleh kepada pengiran-pengiran yang lain).
Pengiran Bendahara: “Begini Ngian, sebab mengapa ngian semua dipanggil malam ini adalah kerana kita semua adalah bersaudara, bersatu hati dan bermuafakat.”
Pengiran Nassarudin: “itulah fikiran yang sebaik-baiknya.”
Pengiran Bendahara: “Halnya begini, kemangkatan almarhum paduka ayahanda baru-baru ini, kita hidup seperti patung tidak bernyawa, seperti menconteng arang di muka kita yang tidak disedari dan terpandang oleh kita. Maksud kita, hutang darah hendaklah dibalas dengan darah, biarlah bumi Brunei ini bermandikan darah demi untuk menuntut bela atas kematian paduka ayahanda.”
Mendengar semua itu, pengiran-pengiran tertunduk malu.
Pengiran Kamaluddin: “Peramba. Kalau sudah demikian sabda tuan peramba, maka dijunjung sabda itu. Peramba semua bersedia, insyaallah dengan kuasa Allah peramba semua akan mengerjakan.”
Pengiran Bendahara: “sebelum itu ngian, biarlah kita mengatur rancangan dengan lebih teliti lagi sebelum bertindak.”
Pada malam itulah mereka bermesyuarat untuk mengatur rancangan yang seteruskan.
Pada esok malamnya, di kawasan istana telah gempar dengan suara riuh-rendah berteriak kerana rumah-rumah orang besar-besar diganggu oleh orang yang tidak dikenali iaitu diaruk dengan lembing dan buluh runcing dari bawah rumah. Dituruni tiada siapa yang berada dibawah. Bahkan istana sultan juga turut diganggu.
Sultan Hakkul Mubin telah memanggil Pengiran Bendahara Muhyidin dan para wazir dan pembesarpembesar yang lain untuk bertanyakan kejadian itu. Pengiran Bendahara pun berangkat ke istana.
Sultan Hakkul Mubin: “dari manakah datangnya manusia-manusia yang bersifat iblis itu. Setiap malam mereka datang dan menganggu dalam negeri ini? Tidak adakah diantara panglima-panglima ini yang berani menghapuskan pengacau-pengacau itu?” (sabda baginda dengan muka yang merah kerana marah).
Pengiran Bendahara: “Sungguh berani orang-orang itu. Bukan sahaja istana diganggunya, bahkan barung-barung patik pun dikacaunya. Begitu juga dengan rumah-rumah orang kampong juga diganggu. Lebih baik kita membawa Orang Kedayan di Subok iaitu anak buah Orang Kaya Besar Imas untuk menjaga istana supaya tidak diganggu lagi.”
Sultan Hakkul Mubin: “baiklah, kalau begitu kata Pengiran Bendahara baiktah dipanggil anak buah Orang Kaya Besar Imas untuk berjaga di kawasan istana beta.”
Pengiran Bendahara: “Junjung sabda tuanku.”
Anak-anak buah Orang kaya Besar Imas pun berjaga-jagalah di kawasan istana tetapi pada malam itu sekali lagi kawasan istana diganggu sehingga kawasan istana riuh-rendah dengan teriak dayang-dayang di dalam istana. Sultan Hakkul Mubin pun memerintahkan Orang Kaya Besar Imas untuk mencari orang- orang yang mengganggu istana.
Orang Kaya Besar Imas dan anak buahnya pun mencarilah orang-orang yang mengganggu istana sehingga ke dalam hutan. Selama seminggu mereka mencari ke dalam hutan tetapi tidak mereka perolehi.
OKBI: “Tuanku, tiada pun yang kami jumpai orang-orang yang mengganggu kawasan istana ini.”
Sultan Hakkul Mubin: “betulkah Orang Kaya? Baiklah jika begitu. Teruslah menjaga kawasan ini.”
OKBI: “Baiklah tuanku.”
Di rumah Pengiran Bendahara Muhyidin
Pengiran Bendahara: “bagus Orang Kaya, kita berjaya mengganggu ketenteraman istana dan pembesarpembesar yang lain. Rancangan kita berjaya kali ini.”
OKBI: “Ya pengiran Bendahara, Apakah rancangan kita yang seterusnya?”
Pengiran Bendahara: “kita akan terus mengganggu istana dan rumah-rumah orang kampong sehingga kita berjaya memujuk Sultan Hakkul Mubin untuk berpindah ke Pulau Chermin dan saya akan menjadi sultan di darat.”
Pengiran Kamaluddin: “Ya, rancangan yang bagus peramba, kita akan memerangkap Sultan dan memujuknya berpindah ke pulau Chermin dan beristana di sana. Kita akan berkuasa di darat.”
Pengiran-pengiran lain bersetuju dengan semua rancangan itu.
Pengiran-pengiran: “Sabda pengiran Bendahara dijunjung peramba semua.”
Di balai penghadapan kawasan istana
Semua pembesar berada di balai penghadapan termasuklah Pengiran Bendahara Muhyidin dan Orang Kaya Besar Imas dan Pengiran-pengiran yang lain.
Baginda sultan Hakkul Mubin merasa sangat gelisah dengan kejadian yang menimpa istana dan rumahrumah orang kampong. Sultan Hakkul Mubin meminta pendapat para pembesar yang lain untuk menghapuskan orang-orang yang mengganggu itu. Pengiran bendahara telah mencadangkan supaya Baginda berpindah ke Pulau Chermin dan membuat istana di sana demi keselamatan baginda.
Pengiran Bendahara: “ tuanku, baiktah tuanku berpindah ke Pulau Chermin, kerana kawasan tersebut dikelilingi air dan tidak mudah untuk pengganggu itu untuk menganggu kawasan istana lagi.”
Sultan: “rancangan yang sangat baik pengiran Bendahara, baiklah suruh hulubalang istana membuat istana di Pulau Chermin, setelah siap nanti beta akan segera berpindah.”
Setelah istana siap dibina di Pulau Chermin, baginda sultan pun berpindah ke Pulau Chermin. Pengiran Bendahara pun menjadi Sultan Di darat, manakala Sultan Hakkul Mubin menjadi sultan di Pulau.
Istana di Pulau Chermin:
Sultan Hakkul Mubin: “Pehin orang kaya Di-Gadong Seri Nara, apa khabarnya anakanda Pengiran Bendahara? Sudah seminggu kita di sini tetapi Pengiran Bendahara belum juga berpindah ke Pulau Chermin.”
Pehin: “Beribu ampun, patik kurang periksa, berangkali anakanda Pengiran Bendahara sedang bersiap untuk berpindah ke Pulau Chermin.”
Sultan: “Kalau begitu baiktah Pehin Orang Kaya Di-Gadong bernagkat untuk berkayuh ke darat mengadap anakanda Pengiran Bendahara.”
Pehin: “Baiklah tuanku, titah dijunjung.”
Pehin Orang Kaya Digadong Seri Nara pun berangkatlah ke Darat bersama dua orang pehin yang lain, berkayuh bersama empat orang pengayuhnya ke istana Darat. Setelah sampai di perairan Brunei, alangkah terkejutnya Pehin Orang Kaya Digadong bahawa Bandar Brunei telah berubah, bukan lagi seperti bandar Brunei dahulu. Di tiang istana Pengiran Bendahara Muhyidin berkibar bendera kuning. Pehin Orang kaya Digadong mengadap Pengiran Bendahara ke istana.
Pengiran Bendahara: “Apa khabar Orang Kaya Di-gadong?”
Pehin: “Ampun beribu ampun, ada pun hamba tuanku mengadap ini adalah kerana dititahkan oleh Duli Yang Dipertuan bertanyakan khabar berita Brunei dan tuanku. Titahnya lagi bilakah tuanku akan berangkat pindah ke Pulau Chermin?.”
Pengiran Bendahara: “Pehin Orang Kaya Digadong, pergilah balik ke Pulau Chermin dan khabarkan kepada Baginda sultan tentang perkhabaran ku di sini, aku sudah menjadi sultan di darat dan tidak akan mengangkat tangan ke dahi menyembah Sultan, bendera kuning itu tidak akan turun dari tiang bendera Koala. Mengertilah pehin maksud kaola dan rasa hati keluarga almarhum setelah baginda mangkat dikujut, koala akan menuntut bela atas kemangkatan ayahanda koala.”
Pehin: “titah dijunjung tuanku.” Pehin Orang Kaya Di-gadong Seri Nara terus sujud menyembah dan menjunjung negaraha bersama kedua-dua menteri tadi dan terus keluar untuk berkayuh pulang ke Pulau Chermin.
Di Pulau Chermin
Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Nara terus mengadap Baginda sultan Hakkul Mubin di Istana. Pehin Orang Kaya terus memberitahu khabar yang diperolehinya di Bandar Brunei. Masuk sahaja Pehin Orang Kaya Di-Gadong dibalai penghadapan, pehin terus menyembah sujud di hadapan baginda dengan menggeletar tulang anggotanya kalau-kalau baginda murka kepadanya.
Pehin: “Ampun tuanku beribu ampun, adapun paduka anakanda itu tidaklah ia hendak berangkat ke Pualau Chermin, kerana dalam negeri Brunei ia telah mengibarkan bendera kuning di tiangnya dan lengkap dengan kubu jambatan serta alat-alat pertahanan negeri. Itulah sebabnya paduka anakanda tidak datang mengadap duli tuanku. Paduka anakanda bersabda lagi ia tidak akan mengangkat tangan ke dahi menyembah duli tuanku kerana ingin membalas dendam atas kematian almarhum Sultan Muhammad Ali.”
Sultan: “ Ceh! Alangkah besar akal Awg Muhyidin anak derhaka itu. Pura-pura ia mengatakan pulau ini tempat yang baik supaya tidak diganggu oleh penjahat. Mungkin dialah kepala penjahat dan penderhaka besar di negeri Brunei ini. Sebenar mana pun kekuatannya aku tidak akan menyembah kepadanya kecuali kerajaan di Pulau Chermin ini musnah dijilat api bersama jasadku dan waris ku.”
Sultan Hakkul Mubin merasa murka sehingga baginda hanya menyebut Awang Muhyidin tanpa gelaran kerabat diraja yang dikhaskan kepada Pengiran Bendahara Muhyidin.
Part 3: Perang Saudara dan penyudahnya.
Di Pulau Chermin:
Sultan Hakkul Mubin: “Bersiaplah kamu semua, lengkapkan alat-alat peperangan, kita berperang melanggar Bandar Brunei”.
Di Pulau Chermin segala kelengkapan senjata dan bala tentera telah bersedia untuk memerangi penderhaka di Bandar Brunei.
Setelah lengkap semuanya, segala perahu-perahu peperangan itu berkayuh ke Bandar Brunei dengan orang yang telalu ramai dilengkapi dengan bedil, lembing dan anak-anak panah beracun bersangkutan di belakang mereka. Banyaklah perahu bertambatan di jambatan Pulau Chermin. Sultan Hakkul Mubin menghantar pemergian meraka untuk pergi memerangi Bandar Brunei.
Sultan Hakkul Mubin: “Ku lepaskan kamu dengan doa, langgarlah kubu orang Bandar Brunei itu dengan berani hingga dapat kamu bawa hidup-hidup tawanan kamu kemari.”
kedengaran juga anak-anak dan isteri mereka menyeru nama suami dan ayah meraka.
Anak 1: “Ayah…”(sambil mengangis)
Setelah selesai baginda bertitah, berdirilah Putera Zamban iaitu Putera Sultan Hakkul Mubin yang juga sebagai ketua perangnya.
Putera Zamban: “Hancurkan hingga menjadi padang jarak padang tekukur dan istana rajanya kita balikkan bumbungannya ke bumi dan tiangnya ke langit. Dengan daulat baginda di Pulau Chermin. Ayuh kayuh.” (perintahnya kepada semua hulubalangnya).
Di Bandar Brunei:
Orang Brunei yang di bawah perintah Pengiran Bendahara Muhyidin, sekembalinya Pehin Orang Kaya Digadong, mereka telah bersiap sedia menambah dan melengkapkan alat peperangan mereka. Mereka berjaga-jaga dan menjalankan tugas masing-masing menanti kedatangan serangan orang di Pulau Chermin.
Pengiran Bendahara Muhyidin: “Lengkapkan semua barang peperangan, kita sedia menghadapi serangan dari Pulau Chermin.”
Setelah itu, kedengaran bunyi bedil meriam orang Pulau Chermin menandakan kedatangan angkatan perang dari Pulau Chermin.
Berbalas-balas tembakan bedil kedengaran dari kedua-dua belah pihak. Asap naik ke udara menjadikan bumi Brunei menjadi gelap tidak kelihatan satu pun di sungai Brunei.
Panglima Pulau: “Mara ke hadapan semua.” “Boom..” kedengaran bunyi bedil yang mengenakan hulubalang pihak Pulau Chermin mati berhemburan darah jatuh ke perairan sungai Brunei.
Peperangan yang berlaku di Sungai Brunei menjadikan sungai Brunei sebagai lautan darah kerana banyak yang terkorban dari kedua-dua belah pihak lawan.
Beberapa ketika, bunyi bedil dan meriam reda. Asap telah mula berkurang dan kelihatanlah orang beramukan dengan berlagakan perisai dan pedang sambil memain keris. Ini kerana tentera Pulau Chermin telah dapat mendarat naik ke kubu pertahanan orang Brunei yang menyebabkan terjadinya pertarungan yang amat dahsyat.
Setelah 3 bulan berperang, belum lagi ada tanda-tanda mahu tewas di antara kedua-dua belah pihak. Sehingga Pengiran Bendahara Muhyidin menghantar perutusan perdamaian kepada Baginda di Pulau Chermin dengan menghantar Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan iaitu menteri kepercayaan Pengiran Bendahara diperintahkan menjadi utusan membawa surat tersebut melalui jalan darat. Surat itu berbunyi:
“Surat daripada kita Pengiran Bendahara Muhyidin ketua kerajaan darurat di Brunei, datang ke hadrat ayahanda kita Sultan Abdul Mubin di Pulau Chermin. Oleh kerana memikirkan hal hamba rakyat kita di kedua-dua belah pihak yang banyak terkorban, maka inilah kita di Brunei mengutus ke Pulau Chermin, menawarkan supaya diadakan perdamaian di kedua belah pihak. Janganlah kita berperang dan eloklah kita membuat penyelesaian yang aman dan baik.”
Setelah selesai dibaca oleh khatib, Sultan Hakkul Mubin pun memerintahkan supaya para tenteranya untuk berundur dan menerima perdamaian tersebut. Walaupun perdamaian itu hanya berunsurkan lisan sahaja.
Sebulan setelah berdamai, peperangan menyala kembali iaitu orang dari Bandar Brunei pula yang menyerang kembali ke Pulau Chermin. Peperangan kali kedua ini meyebabkan Sultan Hakkul Mubin sendiri yang turut serta dalam peperangan tersebut.
Sultan Hakkul Mubin: “Bawa ke mari pedang dan kerisku, aku hendak berperang bersama rakyatku.”
Hulubalang istana: “Junjung duli tuanku.”
Lalu hulubalang pun menyerahkan segala kelengkapan perang Sultan Hakkul Mubin, dikatakan Sultan Hakkul Mubin adalah seorang yang kebal, gagah dan berani orangnya.
Di sebelah pihak Brunei, semakin banyak yang terkorban kerana Sultan ikut bertempur sehingga tentera pihak Pengiran Bendahara Muhyidin terpaksa berundur. Orang Kaya Besar Imas juga turut terkorban di Pulau Chermin.
Pengiran Bendahara: “Berundur semua.” Sekembalinya tentera Pengiran Bendahara ke Bandar Brunei, Pengiran Bendahara Muhyidin pun bermesyuarat dengan adinda-adindanya untuk menghantar utusan ke Sulok untuk meminta bantuan supaya pihak Sulok akan membantu mereka memerangi Sultan Hakkul Mubin di Pulau Chermin.
Akhirnya peperangan berlaku lagi bersama-sama dengan tentera Sulok. Kapal tentera Sulok terusterusan membedil Pulau Chermin, sehingga banyak orang-orang di Pulau Chermin terkorban. Tambahan pula tentera musuh semakin ramai mengelilingi Pulau Chermin dan dengan mudah tentera Pengiran Bendahara mendarat di Pulau Chermin. Oleh kerana tentera Pihak Sultan tidak berdaya lagi untuk melawan, maka sultan pun memerintahkan orang-orangnya memusnahkan semua pekakas kerajaan.
Sultan Hakkul Mubin: “Hulubalang, musnahkan semua harta kerajaan, segala mahkota dan cap kamhap beta ke laut.”
Hulubalang: “Junjung titah duli tuanku.”
Hulubalang Istana segera memasukkan Mahkota Sultan Hakkul Mubin dan cap Kamhap kerajaan ke mulut meriam lalu ditembakkan ke laut.
Melihat kelakuan orang-orang Palau Chermin memusnahkan pekakas kerajaan, seluruh Pulau Chermin telah terbakar. Tentera Pengiran Bendahara Muhyidin semakin mara ke hadapan bersama-sama orang Sulok. Kemaraan ini adalah disebabkan seorang pahlawan yang tidak dikenali telah mengemudi kapal perang Pengiran Bandahara Muhyidin. Orangnya berkulit putih, bertubuh kecil, berpakaian putih, berdastr putih, bersuara halus dan tidak kurang keris dipinggangnya.
Pahlawan yang tidak dikenali: “Ayuh! Kayuhkan laju-laju.”
Selesai sahaja pekakas kerajaan dimusnahkan, Sultan Hakkul Mubin bersama seluruh keturunannya telah lari ke Masjid dan membunuh diri dengan melaburkan diri mereka di dalam masjid tersebut.
Sultan Hakkul Mubin: “Silalah anakanda semua, kita melabur.”
Maka Sultan pun membakar masjid yang telah dicurahkan minyak. Terbakarlah masjid tersebut bersama-sama dengan isi di dalamnya sehingga habis terbakar baginda dan putera puteri baginda semuanya mangkat berlabur.
Akhirnya pihak Pengiran Bendahara Muhyidin pun menang dalam peperangan tersebut bersama-sama orang Sulok. Segala harta benda dirampas dan dibawa balik harta rampasan itu ke Sulok.
Selesai sahaja peperangan itu, Pengiran Bendahara Muhyidin balik ke Brunei dan merasa gembira kerana berjaya menuntut bela atas kemangkatan ayahandanya dulu tetapi Pengiran Bendahara merasa sedih kerana isterinya yang tercinta terbaring lemah kerana mendapat luka di kepala sesudah menunaikan janjinya sebagai serikandi negara. Isterinya telah menyamar menjadi lelaki demi untuk menuntut bela kematian paduka ayahandanya dan dialah lelaki yang mengemudi kapal perang Pengiran Muhyidin tadi. Pengiran Bendahara: “Adinda, mengapakah adinda sanggup melakukan semua itu? Kekanda sedih melihat adinda cedera parah begini hanya demi untuk turut berperang.”
Isterinya: “kekanda, walau hilang nyawa di badan, adinda rela demi menuntut bela atas kemangkatan paduka ayahanda. Akhirnya adinda berjaya menunaikan janji adinda untuk turut serta dalam peperangan itu.”
Akhirnya Pengiran Bendahara pun diangkat menjadi Sultan Muhyidin setelah kemangkatan Sultan Hakkul Mubin. Selama 12 tahun peperangan ini berlangsung.
Pembesar-pembesar: “Daulat tuanku” (beramai-ramai)
TAMAT


p/s: http://www.youtube.com/watch?v=pfKlRxbqNn0

Friday 26 October 2012

Titah Baginda Sultan bersempana Hari Raya Korban 2012/1433H



Bismillahir Rahmanir Rahiim,

Assalaamualaikum kepada semua para pengunjung blog ini, Alhamdulillah terima kasih diucapkan kerna abiskita semua sudi berkunjung ke blog ini dari masa kemasa, sehingga sekarang jumlah pengunjung sudahpun melebihi 20,000 orang.

Alhamdulillah, pada hari ini kita bersama-sama sekali lagi dapat meraikan Hari Raya Aidil-adha 1433, dan para jemaah haji telahpun sempurna berwukuf di Padang Arafah kelmarin behari. Kitani doakan agar mereka semuanya akan mendapat haji/hajah yang mabrur dan selamat pulang ke tanah-air dengan selamat. Aamiin.

Pada masa negara kita turut pesat membangun dengan prasarana-prasarana yang modern, perkembangan Ugama Islam juga tidak kurang diberikan perhatian yang serius oleh Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan,  pada malam semalam, baginda telahpun bertitah melalui corong-corong radio dan juga Televisyen diseluruh negara yang mana antara intisari petikan Titah baginda menyeru agar premis-premis perniagaan ditutup pada waktu berlangsungnya solat Jumaat dikawasan Bandar Seri Begawan. Alhamdulillah, kitani selaku hamba rakyat yang bernaung dibawah payung pemerintahan Baginda merasa amat terharu akan titah Baginda itu. Baginda juga turut menggambarkan andainya perkara itu dilaksanakan, maka negara juga akan turut mendapat nama yang baik selaku sebagai sebuah Negara Zikir.

Inilah beruntungnya kitani menjadi warga / rakyat Brunei, kerna dikurniakan seorang raja yang berjiwa Mukmin dan Soleh, baginda tidak kendur-kendur mendidik semua lapisan masyarakat (khususnya yang berugama Islam), agar sentiasa menjadi manusia yang bertaqwa dan tahu mensyukuri nikmat Allah swt.

Marilah kitani bersama-sama menyahut seruan Titah Baginda itu dengan penuh ikhlas dan bersama-sama kitani jua memberikan pertolongan samada dari buah-fikiran ataupun sekurang-kurangnya Doa agar perkara yang dititahkan Baginda ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Aamiin.

Ditulisan kali ini jua, saya turut 'mempaste' kan kandungan Teks Titah Baginda, agar dapat kitani jadikan sebagai bahan rujukan.

Akhir kalam untuk tulisan kali ini, tidak lupa diucapkan, Selamat Hari Raya Aidil-adha kepada seluruh kaum keluarga, sahabat handai dan kepada seluruh pembaca-pembaca sekalian, dan marilah kitani semua berdoa semoga diri kita, negara kita, serta raja kita semuanya akan senantiasa mendapat keredhaan Allah jua. Aamiin.

Isa Sulaiman,
26hb Oktober 2012 / 10hb Zulhijjah 1433H.
02.43 petang (Jumaat).

Teks Titah
Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1433 Hijrah / 2012 Masihi

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Pujian terhadap Allah itu wajib, kerana Dia memang berhak dipuji.

Bertapa tidak, bukankah Allah itu Maha Sempurna, serba serbi sempurna? Zat-Nya sempurna, Ilmu-Nya sempurna, Sifat-Nya sempurna. Maka kerana itulah kita para hamba ini dituntut supaya memuji-Nya.

Memuji Allah bukanlah seperti memuji yang lain-lain. Memuji Allah bermakna kita mensyukuri nikmat-Nya, semantara mensyukuri nikmat itu pula dihukumkan wajib.

Jika kita mensyukuri nikmat Allah, Dia berjanji akan menambahnya lagi, sebaliknya kalau kita tidak mensyukuri nikmat itu, maka berhaklah bagi Allah menimpakan azab-Nya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Mensyukuri nikmat Allah tidaklah memadai setakat ucapan semata-mata, tetapi mesti dibuktikan juga dengan amal perbuatan. Kita dikurniakan harta, disamping lidah kita melafazkan “alhamdulillah”, Allah juga adalah memerhatikan kita, dimanakah harta itu kita gunakan?

Kalau ia digunakan dijalan yang hak, maka kesyukuran kita itu akan diterima. Tetapi jika ia digunakan dijalan yang batil, maka kesyukuran kita itu bukan saja ditolak, malah azab juga adalah sedang menunggu kita. Inilah keadilan Maha Pencipta.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kita ini pada setiap hari dan detik menggunakan nikmat Allah. Udara-Nya yang segar kita hirup. Tanpa udara, semua makhluk tidak mungkin hidup. Bumi-Nya juga kita pijak dan air-Nya kita minum. Tanpa bumi dan air itu, dimanakah kita dan apa nasib kita?

Pada masa ini, kita sedang memperingati 42 tahun pertukaran nama “Bandar Brunei” kepada “Bandar Seri Begawan”.

Bandar, adalah bumi tempat kita berpijak dan berjalan-jalan. Tempat membeli-belah, tempat bertugas dan malah tempat kita beribadat. Bukankah disini ada masjid yang tersergam indah?

Demikianlah fungsi bandar itu.

Kita wajib bersyukur diatas nikmat ini, dan perlu berazam untuk melihatnya kekal, supaya dapat pula dinikmati oleh generasi turun temurun.

Disinilah kita perlu memahami akan kehendak, siapa yang ampunya nikmat itu. Dia menghendaki kita supaya terus bersyukur dan bertakwa serta tidak mengambil ringan perintah-perintah-Nya.

Khusus dalam perkara bernegara termasuk berbandar, kita adalah dituntut supaya sentiasa memelihara kesucian negara atau bandar kita itu daripada segala macam bentuk mungkar. Ini adalah amanah, dan termasuk juga selaku amanah itu ialah memberikannya imej yang baik dan indah, maksud Beta, imej keislaman (Islamic image), lebih-lebih lagi sesuai dengan sifatnya selaku bumi MIB atau bumi Negara Zikir.

Salah satu contoh paling tepat lagi mustahak untuk disegerakan dalam perkara membaiki imej bandar dan malah negara seluruhnya ialah, pada Hari Juma’at, diwaktu atau jam yang bersesuaian, semua premis perniagaan bisai tah ditutup buat sementara waktu, sehingga selesai menunaikan sembahyang fardhu Juma’at.

Penutupan ini, selain ia sendiri berunsur imej, ia juga akan mampu untuk mengubati penyakit “kuai-libai” setengah kalangan pemuda atau belia di pusat-pusat membeli belah atau di kaki-kaki lima, sedang orang-orang Islam lain sudahpun berada di masjid atau sedang bergerak ke masjid.

Tidakkah, jika perkara ini dibiarkan sehingga berpanjangan, akan mencemarkan imej negara dan malah imej Islam sendiri?

Oleh itu, langkah ini sangatlah wajar dan bahkan menepati tuntutan syara’ untuk dilaksanakan. Syara’ telah menggesa kita supaya segera menyahut panggilan “Sembahyang Juma’at” dan meninggalkan sementara urusan jual-beli sehinggalah selesai sembahyang tersebut. Manakala telah selesai sembahyang, kitapun disuruh pula untuk bertibaran semula dimuka bumi bagi menjalankan urusan masing-masing (lihat ayat 9 dan 10 surah Al-Jumu’ah).

Dari perintah Allah ini, tidak siapa yang akan rugi malah sebaliknya, dengan negara juga akan beroleh nama yang baik dan imej yang baik serta keberkatan pula boleh kita tunggu daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Beta meminta dan berharap kepada pihak-pihak berkenaan, supaya dengan cara sewajarnya, akan menangani perkara ini tanpa lama-lama bertangguh.

Beta bersyukur, kerana hidayat Allah ini datangnya pada “Hari Besar”, bersukut dengan kita menyambut ‘Idil Adha yang mulia.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan perasaan tulus ikhlas dan penuh muhibbah mengucapkan Selamat Hari Raya Adha Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana saja mereka berada, tidak terkecuali para jama’ah haji kita di Tanah Suci, semoga mereka mendapat haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.









Saturday 13 October 2012

Janji Allah kepada mereka yang BERNIKAH.


Ketika seorang Muslim baik pemuda mahupun wanita akan menikah, biasanya akan timbul perasaan yang bermacam-macam. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu saat melangkah pelamin. Bahkan ketika dalam proses ta'aruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.
Berikut ini sekelumit apa yang hadir dari janji Allah kepada mereka yang menyimpan perasaan negatif dalam mencari teman hidup.


"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)" (An Nuur:26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai ajaran Islam dan Sunnah NabiNya. Jadilah lelaki-lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui" (An Nur:32)
Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika menikah. Salah satu sebabnya adalah kerana belum punya pekerjaan. Dan anehnya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan-pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan kemampuan gajinya. Dalam fikiran mereka terbit suatu persoalan, "Apakah cukup untuk keluarga gaji sekian?".

Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu melangkah ke jenjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga. Bukan gaji yang tinggi yang selama-lamanya tidak akan berkesudahan. Allah Maha Adil, bila tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajiban menafkahi isteri-isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak punya apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?

"Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabiliLlah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya" (Musnad Imam Ahmad 2:251, Sunan An Nasa'ie, At Tirmizi, Ibnu Majah hadis No.2518, dan Hakim 2:160)
Bagi sesiapa sahaja yang menikah dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah S.A.W dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir". (Ar Ruum:21)

"Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina". (Al Mu’min:60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankanNya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, penurut, dan seterusnya. Dalam berdoa perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Di antaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan. Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir di mana Allah turun ke langit dunia, pada waktu antara azan dan iqamah, pada waktu turun hujan. Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum dari yang haram, juga makan, minum dan berpakaian dari usaha yang haram, melakukan apa yang diharamkan Allah dan lain-lain.

Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini kewujudan Allah Taala, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, mengakui bahawa Allah Maha Mendengar. Sebahagian orang ketika jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun dan bomoh, berharap agar jodohnya segera tiba. Sebahagian orang ada juga yang menggunakan guna-guna (ilmu pengasih). Cara-cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah S.A.W, "Barang siapa yang mendatangi peramal/ dukun, lalu ia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam" (Hadis Sahih riwayat Muslim 7/37 dan Musnad Imam Ahmad).
   
"Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat" (Al Baqarah:153)

Mintalah pertolongan kepada Allah dengan melaksanakan sifat sabar dan menunaikan solat. Tentunya agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi S.A.W. Juga harus solat sesuai Sunnahnya dan terbebas dari perbuatan yang haram. Firman Allah Taala lagi (maksudnya), "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (Al Syarh:5-6)

Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sukar dan sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
 "Wahai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Muhammad:7)

Supaya Allah Taala menolong kita, maka kita mestilah menolong agama Allah Taala. Baik dengan berinfak di jalanNya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran risalah-risalah dakwah agama Islam, menyiapkan generasi yang akan melanjutkan perjuangan Islam dan sebagainya.

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Al Hajj:40)

"Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat" (Al Baqarah:214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjiBya. Kalaupun Allah tidak/ belum mengabulkan hajat dan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap Muslim. Jadi, tidak ada sebabnya untuk kita meragukan tentang janji Allah ini.

Tuesday 26 June 2012

PETUA KHUSYUK SOLAT.



Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-
yang bermaksud  
“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”
 [Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]. 
Firman-Nya lagi:-
"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. 
Firman Allah lagi:-
yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya.
Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." 
Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan"
Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. 
Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" 
 [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
 
sumber:  http://www.angelfire.com/pro/sembahyang/petua.html

Saturday 23 June 2012

Beramal di bulan Syaaban.


Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu Syaaban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makhruf dan nafi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”

Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib)

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.

Wednesday 13 June 2012

ISRAK MIKRAJ RASULULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM




Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan yang mulia dalam Islam. Dalam bulan ini telah mencatatkan satu sejarah penting bagi seluruh umat Islam iaitu berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada 27 Rejab. Oleh itu pada setiap menjelang hari tersebut, seluruh umat Islam meraikannya dengan rasa syukur dan gembira bagi mengingati peristiwa yang menakjubkan dan luar biasa tersebut. Ini termasuklah juga negara kita Brunei Darussalam yang meraikannya pada setiap tahun dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu dan keagamaan.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan anugerah Allah Subhanahu Wata'ala kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan anugerah ini merupakan antara mukjizat terbesar Baginda yang tidak pernah dikurniakan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya. Peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah satu peristiwa ghaib yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran manusia. Israk dan Mikraj ialah peristiwa dimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah diisrakkan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin dan telah dimikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul Muntaha dalam waktu yang singkat iaitu hanya sepertiga malam. Jika difikirkan jarak antara Masjidil Haram dengan Masjid Al-Aqsa adalah jauh, lebih-lebih lagi naik ke langit hingga ke langit yang ketujuh. Dalam peristiwa tersebut Baginda juga diperlihatkan pelbagai kejadian luar biasa antaranya nikmat syurga dan azab api neraka.

Namun sebagai umat Islam, kejadian luar biasa itu merupakan suatu yang tidak mustahil terjadi, ia berlaku dengan Kehendak dan Kekusaan Allah Subhanahu Wata'ala. Akan tetapi perkara inilah yang menjadi dugaan dan cabaran bila mana Baginda menceritakan pengalamannya itu kepada penduduk Mekah dengan harapan golongan kafir Quraisy akan beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh kerana peristiwa tersebut berlaku di luar logik akal dan luarbiasa, maka ada di antara penduduk Mekah yang tidak yakin dengan kebenaran peristiwa tersebut sehingga mereka mengatakan Baginda adalah seorang pendusta. Walau bagaimanapun terdapat juga di kalangan para sahabat yang tetap teguh imannya dan mempercayai apa jua yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, antaranya Sayidina Abu Bakar As Siddiq.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj telah disebut dalam Al-Quran dalam surah Al-Israa' ayat 1 tafsirnya :

"Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) pada malam hari daripada Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya Kekuasaan dan Kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".



Sebelumnya berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda benar-benar berada dalam kesedihan. Baginda kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat dikasihi iaitu isteri Baginda Sayidatina Khadijah dan bapa saudara Baginda iaitu Abu Talib. Wafatnya Sayidatina Khadijah bukan sekadar kehilangan seorang isteri yang telah menumpahkan taat setia, kasih sayang dan ketabahan yang luar biasa dalam menghadapi kepayahan dan penderitaan hidup bersama Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetapi Sayidatina Khadijah juga merupakan sumber kekuatan serta inspirasi dalam perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengembangkan dakwah Islam.

Demikian juga dengan kewafatan bapa saudara Baginda Abu Talib yang merupakan orang kuat yang melindungi dan membela Baginda daripada ancaman orang kafir Quraisy. Ini kerana kedudukan Abu Talib sebagai orang yang disegani di kalangan bangsa Arab sehingga orang kafir Quraisy tidak berani menganggu� Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam secara terang-terangan. Namun setelah kewafatannya, orang kafir Quraisy berani menganggu dan mengancam Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Setelah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merasakan pergerakan dakwah di Mekah semakin sempit, Baginda meluaskan dakwah ke Taif. Namun penduduk Taif bukan sahaja menolak dakwah Baginda bahkan melemparkan pelbagai cacian, penghinaan dan penganiayaan terhadap Baginda. Dalam keadaan kesedihan yang dihadapi, maka Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan Malaikat Jibril Alaihissalam membawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diisrak dan dimikrajkan.


Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, terdapat beberapa hikmat yang boleh dijadikan pengajaran yang amat berguna sekali untuk umat Islam antaranya ialah :

Pertama : Agar manusia sentiasa mewujudkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala, dikala senang dan susah. Ini kerana hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahajalah yang mampu memberi pertolongan dan menghilangkan rasa kesedihan dan kesusahan dalam diri manusia. Sebagaimana kita lihat sejarah sebelum terjadi Israk dan Mikraj, Baginda telah ditimpa musibah tetapi Baginda tetap meneruskan dakwah dalam menyebarkan agama Islam. Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi ketika menerima ujian yang berupa musibah dan kepayahan dan sebagainya.

Kedua : Peristiwa Israk dan Mikraj itu juga adalah untuk memperlihatkan akan kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala sebagai pencipta agar keyakinan terhadap Kekuasaan-Nya benar-benar tumbuh dalam jiwa manusia.

Ketiga : Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah dibawa melihat keadaan syurga dan neraka. Di dalam syurga Baginda melihat kenikmatan yang bakal diperolehi oleh hamba-hamba Allah yang beriman. Manakala di dalam neraka pula Baginda menyaksikan pelbagai bentuk penyeksaan yang amat dahsyat lagi mengerikan yang disediakan untuk orang-orang yang menlanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebenarnya Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia berdasarkan amal perbuatan yang dilakukan semasa hayat di dunia. Ada yang menerima kenikmatan di dalam syurga dan ada pula yang menerima penyeksaan di dalam neraka. Adapun antara kenikmatan di dalam syurga yang diperlihatkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah mengenai segolongan orang menanam benih padi, pada ketika itu juga ia akan membuahkan hasil dan kejadian itu akan berlaku secara berterusan. Itulah ganjaran yang bakal diperolehi oleh orang yang suka mengimpakkan (membelanjakan) harta bendanya di jalan Allah. Selain itu Baginda juga tercium bau yang sangat harum dan Jibril menjelaskan bahawa itu adalah bau Mashitah yang telah rela mengorbankan diri demi mempertahankan akidah dan keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala.

Manakala di dalam neraka pula, Baginda melihat banyak kejadian ngeri yang merupakan balasan bagi orang-orang yang membuat dosa, antaranya Baginda melihat segolongan orang yang memukul-mukul kepala mereka sendiri sehingga hancur, akan tetapi selepas itu, kepala itu akan bercantum semula dan kembali seperti sediakala. Kemudian mereka memukul kepala lagi hingga hancur dan kejadian itu akan terus berlaku secara berulang-ulang. Azab tersebut adalah bagi orang yang suka melengah-lengahkan sembahyang sehingga habis waktu sembahyang.

Selain itu Baginda juga menyaksikan segolongan lelaki dan wanita yang memotong satu potongan daging salah seorang daripada mereka, kemudian mereka meletakkan potongan daging tersebut pada mulut salah seorang daripada mereka itu dan berkata kepadanya, 'Makanlah sepertimana aku makan'. Itu adalah gambaran bagi orang yang mengumpat, pencela serta pengadu domba.

Sebenarnya Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia akibat dari perbuatan yang tidak mengikut dan mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Kalau difikirkan, semua kejadian yang telah diperlihatkan itu patut menjadi iktibar dan peringatan kepada kita supaya sentiasa berpegang kepada ajaran agama Islam. Tidak dinafikan kita tidak terlepas dari membuat kesilapan kerana itulah kita wajib bertaubat dan menginsafi apa jua perbuatan yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun kepada hamba-hamba-Nya.

Oleh itu marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari gambaran-gambaran yang diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu sebagai panduan dan pembimbing menuju kebaikan dan kesempurnaan, semoga dengan demikian kita selamat dari segala bencana dan malapetaka dunia dan selamat dari azab api neraka.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Israa' ayat 20 tafsirnya :

"Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan Ilmu-Nya dan Kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan demikian juga Kami jadikan pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau".

source:  http://www.religious-affairs.gov.bn

Wednesday 23 May 2012

Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah)

Didatangkan mi'raj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah saw dan Jibril a.s. naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama:
Rasulullah saw dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua:
Nabi saw dan Jibril naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan nabi 'Isa a.s dan nabi Yahya a.s.

Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan nabi Yusuf a.s.

Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan nabi Idris a.s.

Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan nabi-nabi. Seterusnya dengan nabi Musa a.s. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibril) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan nabi Ibrahim Khlilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah saw, nabi Ibrahim a.s. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, nabi Irahim a.s bersabda, "Sampaikan salamku kepada umahmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanaman- ya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ____ ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Tangga Kedelapan:
Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w menyaksikan pelbagai keajaipan pada pokok itu : Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah s.a.w dapat menyaksikan pula sungai al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh:
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah Subhanahu wa Taala dengan mata kepalanya, lantas sujud.

Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembiran dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah s.a.w di bawa menemui nabi Ibrahim a.s kemudian nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. menyuruh Rasulullah s.a.w merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj :
Rasulullah a.s turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini bagina bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peistiwa israk-mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rajab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu a'lam. [Ringkasan dengan bahasa moden daripada kisah Israk Mikraj dalam kitab Jam'ul-Fawaa`id]

ISRAK DAN MIKRAJ
Salah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam berlaku dalam bulan Rejab, iaitu mukjizat Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab. Firman Allah SWT dalam al-Israk, ayat 1 bermaksud :

"Maha Suci Allah yang menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam haridari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Allah jualah yang amat mendengar lagi maha mengetahui."

Berdasarkan ayat itu, ulama sependapat bahawa Israk dan Mikraj berlaku terhadap Rasulullah SAW adalah dengan roh dan jasad walaupun ada mendakwa kejadian itu berlaku dengan roh saja. ISRAK bererti berjalan di malam hari dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin. MIKRAJ pula bererti diangkat ke alam ghaib melalui langit yang berlapis-lapis dengan keizinan Allah SWT. PERJALANAN ISRAK bererti berjalan di malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin). Ketika Rasulullah SAW diisrakkan pada malam itu, baginda terlebih dahulu mengalami penbedahan dada, dilakukan oleh Malaikat Jibril dengan mengeluarkan segala kotoran dan diisi dengan iman dan hikmah, kemudian dibersihkan hati baginda dengan air zamzam dan dicantumkan semula.

Dengan kenderaan dinamakan 'Buraq', Rasulullah ke Baitulmaqdis dan di Masjidil Aqsa, Rasulullah mengerjakan solat 2 rakaat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman khamar (khamr dalam bahasa Arab yang bermaksud sesuatu yang memabukkan, dalam konteks ni merujuk kepada air yg memabukkan) dan susu. Lantas Baginda memilih susu. Jibril berkata: "Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan tersesatlah engkau dan umat engkau."

Ketika Mikraj pula, Rasulullah menempuh perjalanan melalui tujuh lapis langit ditemani oleh Jibril. Langit pertama dimuliai oleh Adam, langit kedua Nabi Yahya dan Isa, langit ketiga Nabi Yusuf, langit keempat Nabi Idris, langit kelima Nabi Harun, langit keenam Nabi Musa dan langit ketujuh Nabi Ibrahim di Baitul Makmur. Malah ditempat lebih tinggi dari langit ketujuh itulah, Allah menyampaikan perintah mulia untuk Baginda dan umatnya,iaitu mengerjakan solat.Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas nabi Musa menasihatkan Rasulullah supaya meminta dikurangkan kerana ia percaya umat Nabi Muhammad tidak akan berdaya melakukannya ,akhirnya
mendapat keringanan Allah SWT untuk mengerjakan lima waktu solat saja. Selepas perintah solat itu, Rasulullah kembali kedunia dan tiba di Makkah ketika subuh. Begitulah perjalanan dari Makkah ke Palestin, kemudian naik kelangit dan lebih tinggi sebelum menerima perintah solat.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini tidak akan dapat diyakini kebenarannya jika kita bersandar kepada fikiran sahaja,tetapi hendaklah diyakini berdasarkan iman dan pegangan kepada Islam serta kebenaran Rasul.Sesungguhnya, mukjizat Israk dan Mikraj memperlihatkan kekuasaan Allah SWT.

Semoga bermanfaat..

Wallahu-a'alaam.

Wednesday 2 May 2012

Manusia Setalah Kewafatan Nabi Isa Di Akhir Zaman


Kedatangan Nabi Isa as akan didahului oleh keadaan dunia yang dipenuhi kezaliman, kesengsaraan dan peperangan besar yang melibatkan seluruh penduduk dunia, setelah itu kemunculan Imam Mahdi yang akan menyelamatkan kaum muslimin, kemudian kemunculan dajjal yang akan berusaha membunuh Imam Mahdi. Setelah dajjal menyebarkan fitnahnya selama 40 hari, maka Nabi Isa as akan diturunkan dari langit untuk menumpaskan dajjal.

Nabi Isa as akan tinggal di bumi selama 40 tahun, sebagaimana yang disebutkan dalam hadits sahih dalam Sunan Abi Dawud, dari Abu Hurairah, "Baginda tinggal di bumi selama 40 tahun, kemudian wafat dan orang-orang Muslim menyalatinya."

Janji Allah pasti berlaku pada semua hambanya, semua yang bernyawa pasti akan mati, begitu juga Nabi Isa as. Setelah menjadi pemimpin yang adil di akhir zaman, Allah SWT akan mewafatkan Nabi Isa. Hanya Allah SWT saja yang tahu bila dan dimana Nabi Isa akan diwafatkan. Setelah wafatnya Nabi Isa as dunia kemudian akan mengalami kiamat. 

HAPUSNYA ISLAM, HILANGNYA AL-QURAN DAN MUSNAHNYA ORANG-ORANG SOLEH

Setelah Islam tersebar meliputi Timur dan Barat, Utara dan Selatan akan tiba pada satu masa Islam kembali redup. Kejahatan berkembang, agama Agung dan al-Quran hilang, ilmu lenyap dan Allah SWT mencabut nyawa orang-orang yang dalam jiwanya masih mempunyai iman. Dengan demikian tidak tersisa di bumi, kecuali makhluk-makhluk yang paling jahat dan atas merekalah kiamat terjadi.

Ibn Majah dan al-Hakim menyampaikan dari Hudzaifah bin al-Yaman bahawa Rasulullah SAW bersabda "Islam dihapuskan seperti hilangnya warna baju sampai tidak diketahui apa itu puasa, apa itu solat, haji dan sedekah. Kitabullah dimusnahkan dalam satu malam sampai tidak tersisa satu ayat pun, dan yang tersisa adalah datuk-datuk dan nenek-nenek yang mengatakan 'Kami melihat orang tua kami mengatakan laa ilaaha ilaallaah, maka kami pun mengatakannya.'"


Orang-orang yang tersisa ini tidak mengetahui Islam kecuali kalimat tauhid yang sudah hilang dan lenyap. Dalam Shahih Muslim diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Kiamat tidak akan terjadi kecuali atas orang-orang yang paling jahat." 


Dalam hadits lain, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita bagaimana orang-orang soleh hilang diakhir zaman. Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda "Allah mengirimkan angin dari Yaman lebih lembut dari sutera. Angin itu mencabut nyawa setiap orang yang dihatinya terdapat iman walaupun sebesar atom." 

Dari Anas diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda "Tidak akan terjadi kiamat sampai dibumi Allah tidak disebut-sebut lagi 'Allah'." 

Dalam Shahih Muslim disampaikan dari an-Nawwas bin Sam'an, "Saad mereka dalam keadaan demikian, Allah mengirimkan angin yang sejuk, melewati bawah ketiak mereka, mencabut nyawa setiap Mukmin dan Muslim sehingga tinggallah orang-orang jahat yang bersuka ria seperti keldai. Pada merekalah kiamat terjadi." 

Bukhari meriwayatkan dengan sanad dari Mardas al-Aslami r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Orang-orang soleh akan hilang satu per satu, sehingga tinggallah satu orang-orang sampah seperti gamdum dan kurma, dan Allah sama sekali tidak mempedulikan mereka." 

Di antara contoh terhapusnya Islam ketika itu adalah terputusnya ibadah haji. Tidak ada lagi haji dan umrah. Dalam Musnad Abu Ya'la dan Mustadrak al-Hakim diriwayatkan dengan sanad yang sahih dari dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda "Kiamat tidak akan terjadi sampai Mekah tidak didatangi lagi untuk haji." 

Tidak diragukan lagi bahawa hal ini terjadi setelah angin yang berhembus dan mencabut nyawa orang-orang soleh. Sebelum itu ibadah haji terus berlangsung. Dalam Shahih al-Bukhari, diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda "Masjid ini akan didatangi untuk haji dan umrah setelah keluarnya Yajuj Majuj. 


MANUSIA KEMBALI KEPADA KEJAHILAN DAN PENYEMBAHAN

Jika Islam dihapuskan, al-Quran dihilangkan dan angin yang sejuk mencabut nyawa semua orang yang dihatinya ada iman sekecil apapun, maka umat manusia akan kembali kepada kejahilan. Bahkan lebih dasyat daripadanya. Syaitan dipatuhi manakala berhala disembah.

Dalam hadits Abdullah bin Amr di dalam Shahih Muslim, Rasulullah SAW menceritakan kepada kita apa yang akan terjadi setelah kewafatan Nabi Isa as diakhir zaman, "Kemudian Allah mengirimkan angin yang dingin dari arah Siria, sehingga tidak tersisa dimuka bumi seorang pun yang di dalam hatinya terdapat sebuti zarah kebaikan dan keimanan. Semuanya mati, bahkan kalau ada di antara mereka yang masuk ke dalam gunung, maka angin itu akan masuk kepadanya dan mencabut nyawanya." Abdullah bin Amr berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda "Tinggallah orang-orang jahat dalam keringanan burung dan mimpi-mimpi binatang buas. Mereka tidak mengetahui kebaikan dan tidak menolak kemungkaran. Syaitan membuat peraturan dan berkata "Apakah kalian akan patuh?" Mereka menjawap "Apa yang Anda perintahkan?" Syaitan memerintahkan mereka untuk menyembah berhala. Pada waktu itu rezeki mereka melimpah ruah dan kehidupan mereka sejahtera. Kemudian ditiuplah sangkakala." 


Diantara berhala yang disembah ialah, Dzulkhilshah, Thaghiyah Daus, Lata dan Uzza. Dalam Shahih al-Bukhari diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda "Kiamat tidak akan terjadi sampai tangan dan kaki perempuan suku Daus menari dihadapan Dzulkhilshah, iaitu berhala yang disembah di zaman jahiliah. 


Dalam Shahih Muslim diriwayatkan dari Aisyah mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Malam dan siang tidak akan hilang hingga Lata dan Uzza disembah." Aisyah berkata, "Ya Rasulullah SAW, saya menyangka ketika Allah SWT menurunkan ayat, "Dia-lah yang mengutuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan agama kebenaran agar dia memenangkannya atas semua agama, walaupun semua orang-orang musyrik tidak menyukainya."  maka itu telah selesai." Baginda bersabda "Hal itu akan terjadi sesuai dengan kehendak Allah, kemudian Allah menghembuskan angin yang sejuk lalu meninggallah semua orang yang dalam hatinya ada sebiji keimanan dan tinggallah orang-orang yang tidak memiliki kebaikan. Mereka lalu kembali kepada agama leluhur mereka.


Di zaman itu, akhlak akan menjadi sangat lemah. Al-Bazzar dalam Musnad-nya dan Ibn Habban dalam Shahih-nya meriwayatkan dari Abdullah Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda, "Kiamat tidak akan terjadi hingga orang-orang bersenggama  dijalan seperti keldai." Abdullah Ibn Umar bertanya, "Itu sungguh terjadi?" Baginda SAW menjawap "Ya, itu sungguh akan terjadi." Hadits ini mempunyai penguat pada riwayat al-Hakim iaitu sebuah hadits marfu' dari Abu Hurairah : "Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, kiamat tidak akan terjadi hingga seseorang lelaki meniduri seorang wanita di jalanan. Orang yang paling baik saat itu, adalah orang yang berkata, "Hai, mengapa tidak kamu melakukan lakukan dibelakang tembok ini?" 


Hadits tersebut juga diperkuatkan dengan hadits an-Nawaas Ibn Sam'an dalam haditsnya yang panjang tentang Dajjal serta Yajuj Majuj. pada akhir hadits ini dikatakan, "Saat mereka dalam keadaan seperti itu, Allah mengirimkan angin yang sejuk yang berhembus di bawah ketiak mereka dan mengambil nyawa seluruh orang mukmin dan muslim. Tinggallah orang-orang jahat yang bersenggama seperti keldai. Pada merekalah kaimat terjadi. (HR Muslim, Ahmad, al-Hakim)


API YANG MENGHIMPUNKAN MANUSIA


Tanda terakhir yang terjadi sebelum hari kiamat adalah api yang keluar dari kawah Aden, yang mengiring manusia ke tempat mereka dihimpun. telah disebutkan hadits Rasulullah SAW yang menyebutkan bahawa ada sepuluh tanda kiamat. Baginda bersabda, "Akhir dari semua tanda itu adalah api yang keluar dari Yaman, mengiring manusia ke tempat mereka dihimpun."


Dalam Shahih al-Bukhari, dari Anas r.a disebutkan bahawa Abdullah Ibn Salam mengetahui kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah (Hijrah). Ia pun menemui Nabi SAW untuk menanyakan beberapa hal. dia berkata, "Saya akan menanyakan tiga masalah: apa tanda pertama kiamat?" Rasulullah SAW menjawap "Tanda pertamanya adalah api yang menghimpunkan manusia dari Timur ke Barat." 


Dalam Sunan at-Turmudzi, diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda "Sebelum kiamat akan keluar api dari Hadhramaut yang menghimpunkan manusia." Rapa sahabat bertanya, "Ya, Rasulullah, apa yang harus kami lakukan saat itu?" Jawap Baginda, "Jangan pergi ke Syam." 


Rasulullah SAW telah menceritakan bagaimana cara api itu mengumpulkan manusia. Dalam Shahih al-Bukhari, diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Manusia akan dihimpunkan dalam pelbagai keadaan: rindu, takut, dua orang menunggang satu unta, tiga orang menunggang satu unta, empat orang menunggang satu unta, sepuluh orang menunggang satu unta dan yang lain dihimpunkan oleh api yang duduk kalau mereka duduk, diam kalau mereka diam, berada di pagi hari kalau mereka berada di pagi hari, dan berada di sore hari kalau mereka berada di sore hari." 


Dalam Musnad Ahmad, Sunan at-Turmudzi dan Mustadrak al-Hakim diriwayatkan dengan sanad yang sahih Muawiyah Ibn Hidah bahawa Rasulullah SAw bersabda, "Kalian akan dihimpunkan dalam keadaan berjalan kaki atau berkenderaan atau ditarik dari muka-muka kalian di sini (sambil beliau menunjuk ke arah Syam).  


Yang terakhir dihimpunkan oleh api itu adalah dua orang gembala dari Muzayyanah. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda "Madinah akan tetap baik seperti sebelumnya, tidak diserang kecuali oleh yang ringan-ringan (dari binatang buas dan burung). Yang terakhir dihimpunkan adalah dua orang gembala dari Muzayyanah. Mereka dibangunkan oleh kambing mereka, kemudian mereka mendapatinya menjadi buas hingga setelah mereka sampai ke tengah bukit, mereka terkapar dengan muka ke tanah. 


Negeri yang menjadi tempat perhimpunan oleh api itu adalah Syam (Syria). Dalam kitab Fadha 'il asy-Syam karangan ar-Rab'i dririwayatkan dari Abu Dzar dengan sanad sahih bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Syam (Syria) adalah negeri perhimpunan dan penyebaran." Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad-nya, Ibn Majah dalam Sunan-nya dan ar-Rab'i dalam Fadha'il asy-Syam dari Maimunah binti Sa'd. 


Sebahagian ulama mengatakan bahawa perhimpunan ini terjadi di akhirat. Al-Qurthubi menisbahkan pendapat itu kepada al-Hulaimi dan Abu Hamid al-Ghazali. 


Al-Kithabi, ath-Thubi, al-Qadhi 'Iyadh, al-Qurthubi, Ibn Katsir dan Ibn Hajar berpendapat bahawa perhimpunan ini terjadi di akhir umur dunia, ketika api dibangkitkan dari kawah Aden dan manusia dihimpunkan ke negeri Syam (Syria). 


Ibn Katsir menghuraikan hadits-hadits ini :


Konteks hadits-hadits itu menunjukkan bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan orang-orang yang hidup diakhir umur dunia, dari luar tempat perhimpunan di daerah Syam (Syria). Mereka ada tiga golongan. Golongan pertama dihimpunkan sambil makan, berpakaian, dan berkenderaan. Golongan kedua  ada yang berjalan, dan ada juga berkenderaan. Mereka bergantian naik satu unta, sebagaimana telah disebutkan dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim : dua orang menunggang satu unta, tiga orang menunggang satu unta, empat orang menunggang satu unta, sepuluh orang menunggang satu unta. Ertinya, mereka naik bergantian kerana tempat yang sempit, sebagaimana telah dijelaskan dan ditafsirkan oleh hadits yang lain. Golongan ketiga dihimpunkan oleh api yang keluar dari kawah Aden yang mengepung manusia dari belakang mereka dan mengiring mereka dari semua arah ke tempat perhimpunan. Orang yang tertinggal akan dimakan oleh api tersebut.


Semua itu menunjukkan bahawa ini terjadi diakhir umur dunia, pada ketika masih ada makanan dan minuman, kenderaan dan lain-lain dan ketika orang-orang yang tertinggal rombongan dimakan oleh api itu. Jika ini terjadi setelah tiupan kebangkitan, maka tidak ada lagi kematian dan menaiki kenderaan di tanah keras. Tidak ada lagi makanan dan minuman mahupun berpakaian. Walau bagaimanapun, Abu Bakar al-Baihaqi setelah meriwayatkan kebanyakan hadits ini mentafsirkan keadaan ini berlaku dihari kiamat. Beliau menyokong pendapatnya dengan menggunakan dalil "Hari ketika Kami mengumpulkan orang-orang yang takwa menghadap Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat, dan Kami halau orang-orang yang derhaka ke neraka Jahanam dalam keadaan dahaga."


Bagaimana Abu Bakar al-Baihaqi dapat meyakini kebenaran pendapatnya dalam mentafsir ayat itu dengan hadits disebutkan "dua orang menunggang satu unta, tiga orang menunggang satu unta, empat orang menunggang satu unta, sepuluh orang menunggang satu unta," dan ada penegasan yang jelas ialah bahawa keemungkinan mereka mereka naik bergantian kerana tempat yang sempit. Pendapatnya tidak sesuai dengan fakta ini. Wallahu a'lam.

Dr Umar Sulaiman al-Asygar