Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Tuesday, 26 June 2012

PETUA KHUSYUK SOLAT.



Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-
yang bermaksud  
“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”
 [Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]. 
Firman-Nya lagi:-
"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. 
Firman Allah lagi:-
yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya.
Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." 
Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan"
Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. 
Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" 
 [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
 
sumber:  http://www.angelfire.com/pro/sembahyang/petua.html

Saturday, 23 June 2012

Beramal di bulan Syaaban.


Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu Syaaban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makhruf dan nafi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”

Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib)

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.

Wednesday, 13 June 2012

ISRAK MIKRAJ RASULULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM




Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan yang mulia dalam Islam. Dalam bulan ini telah mencatatkan satu sejarah penting bagi seluruh umat Islam iaitu berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada 27 Rejab. Oleh itu pada setiap menjelang hari tersebut, seluruh umat Islam meraikannya dengan rasa syukur dan gembira bagi mengingati peristiwa yang menakjubkan dan luar biasa tersebut. Ini termasuklah juga negara kita Brunei Darussalam yang meraikannya pada setiap tahun dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu dan keagamaan.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan anugerah Allah Subhanahu Wata'ala kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan anugerah ini merupakan antara mukjizat terbesar Baginda yang tidak pernah dikurniakan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya. Peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah satu peristiwa ghaib yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran manusia. Israk dan Mikraj ialah peristiwa dimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah diisrakkan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin dan telah dimikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul Muntaha dalam waktu yang singkat iaitu hanya sepertiga malam. Jika difikirkan jarak antara Masjidil Haram dengan Masjid Al-Aqsa adalah jauh, lebih-lebih lagi naik ke langit hingga ke langit yang ketujuh. Dalam peristiwa tersebut Baginda juga diperlihatkan pelbagai kejadian luar biasa antaranya nikmat syurga dan azab api neraka.

Namun sebagai umat Islam, kejadian luar biasa itu merupakan suatu yang tidak mustahil terjadi, ia berlaku dengan Kehendak dan Kekusaan Allah Subhanahu Wata'ala. Akan tetapi perkara inilah yang menjadi dugaan dan cabaran bila mana Baginda menceritakan pengalamannya itu kepada penduduk Mekah dengan harapan golongan kafir Quraisy akan beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh kerana peristiwa tersebut berlaku di luar logik akal dan luarbiasa, maka ada di antara penduduk Mekah yang tidak yakin dengan kebenaran peristiwa tersebut sehingga mereka mengatakan Baginda adalah seorang pendusta. Walau bagaimanapun terdapat juga di kalangan para sahabat yang tetap teguh imannya dan mempercayai apa jua yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, antaranya Sayidina Abu Bakar As Siddiq.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj telah disebut dalam Al-Quran dalam surah Al-Israa' ayat 1 tafsirnya :

"Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) pada malam hari daripada Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya Kekuasaan dan Kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".



Sebelumnya berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda benar-benar berada dalam kesedihan. Baginda kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat dikasihi iaitu isteri Baginda Sayidatina Khadijah dan bapa saudara Baginda iaitu Abu Talib. Wafatnya Sayidatina Khadijah bukan sekadar kehilangan seorang isteri yang telah menumpahkan taat setia, kasih sayang dan ketabahan yang luar biasa dalam menghadapi kepayahan dan penderitaan hidup bersama Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetapi Sayidatina Khadijah juga merupakan sumber kekuatan serta inspirasi dalam perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengembangkan dakwah Islam.

Demikian juga dengan kewafatan bapa saudara Baginda Abu Talib yang merupakan orang kuat yang melindungi dan membela Baginda daripada ancaman orang kafir Quraisy. Ini kerana kedudukan Abu Talib sebagai orang yang disegani di kalangan bangsa Arab sehingga orang kafir Quraisy tidak berani menganggu� Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam secara terang-terangan. Namun setelah kewafatannya, orang kafir Quraisy berani menganggu dan mengancam Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Setelah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merasakan pergerakan dakwah di Mekah semakin sempit, Baginda meluaskan dakwah ke Taif. Namun penduduk Taif bukan sahaja menolak dakwah Baginda bahkan melemparkan pelbagai cacian, penghinaan dan penganiayaan terhadap Baginda. Dalam keadaan kesedihan yang dihadapi, maka Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan Malaikat Jibril Alaihissalam membawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diisrak dan dimikrajkan.


Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, terdapat beberapa hikmat yang boleh dijadikan pengajaran yang amat berguna sekali untuk umat Islam antaranya ialah :

Pertama : Agar manusia sentiasa mewujudkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala, dikala senang dan susah. Ini kerana hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahajalah yang mampu memberi pertolongan dan menghilangkan rasa kesedihan dan kesusahan dalam diri manusia. Sebagaimana kita lihat sejarah sebelum terjadi Israk dan Mikraj, Baginda telah ditimpa musibah tetapi Baginda tetap meneruskan dakwah dalam menyebarkan agama Islam. Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi ketika menerima ujian yang berupa musibah dan kepayahan dan sebagainya.

Kedua : Peristiwa Israk dan Mikraj itu juga adalah untuk memperlihatkan akan kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala sebagai pencipta agar keyakinan terhadap Kekuasaan-Nya benar-benar tumbuh dalam jiwa manusia.

Ketiga : Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah dibawa melihat keadaan syurga dan neraka. Di dalam syurga Baginda melihat kenikmatan yang bakal diperolehi oleh hamba-hamba Allah yang beriman. Manakala di dalam neraka pula Baginda menyaksikan pelbagai bentuk penyeksaan yang amat dahsyat lagi mengerikan yang disediakan untuk orang-orang yang menlanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebenarnya Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia berdasarkan amal perbuatan yang dilakukan semasa hayat di dunia. Ada yang menerima kenikmatan di dalam syurga dan ada pula yang menerima penyeksaan di dalam neraka. Adapun antara kenikmatan di dalam syurga yang diperlihatkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah mengenai segolongan orang menanam benih padi, pada ketika itu juga ia akan membuahkan hasil dan kejadian itu akan berlaku secara berterusan. Itulah ganjaran yang bakal diperolehi oleh orang yang suka mengimpakkan (membelanjakan) harta bendanya di jalan Allah. Selain itu Baginda juga tercium bau yang sangat harum dan Jibril menjelaskan bahawa itu adalah bau Mashitah yang telah rela mengorbankan diri demi mempertahankan akidah dan keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala.

Manakala di dalam neraka pula, Baginda melihat banyak kejadian ngeri yang merupakan balasan bagi orang-orang yang membuat dosa, antaranya Baginda melihat segolongan orang yang memukul-mukul kepala mereka sendiri sehingga hancur, akan tetapi selepas itu, kepala itu akan bercantum semula dan kembali seperti sediakala. Kemudian mereka memukul kepala lagi hingga hancur dan kejadian itu akan terus berlaku secara berulang-ulang. Azab tersebut adalah bagi orang yang suka melengah-lengahkan sembahyang sehingga habis waktu sembahyang.

Selain itu Baginda juga menyaksikan segolongan lelaki dan wanita yang memotong satu potongan daging salah seorang daripada mereka, kemudian mereka meletakkan potongan daging tersebut pada mulut salah seorang daripada mereka itu dan berkata kepadanya, 'Makanlah sepertimana aku makan'. Itu adalah gambaran bagi orang yang mengumpat, pencela serta pengadu domba.

Sebenarnya Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia akibat dari perbuatan yang tidak mengikut dan mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Kalau difikirkan, semua kejadian yang telah diperlihatkan itu patut menjadi iktibar dan peringatan kepada kita supaya sentiasa berpegang kepada ajaran agama Islam. Tidak dinafikan kita tidak terlepas dari membuat kesilapan kerana itulah kita wajib bertaubat dan menginsafi apa jua perbuatan yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun kepada hamba-hamba-Nya.

Oleh itu marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari gambaran-gambaran yang diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu sebagai panduan dan pembimbing menuju kebaikan dan kesempurnaan, semoga dengan demikian kita selamat dari segala bencana dan malapetaka dunia dan selamat dari azab api neraka.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Israa' ayat 20 tafsirnya :

"Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan Ilmu-Nya dan Kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan demikian juga Kami jadikan pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau".

source:  http://www.religious-affairs.gov.bn