Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Friday 1 July 2011

AIR MATA Tidak Selamanya Abadi


Ke mana perginya hari-hari gelap itu? Hilangnya tidak disedari. Lesapnya tidak mengesankan lagi.
Alhamdulillah. Akhirnya, detik-detik hitam itu sudah berlalu.
Pasti. Semua orang pastinya pernah diuji dengan pelbagai jenis dugaan. Semua tak terkecuali.
Namun, tanda perhatian dan kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya ini seringkali disalah tafsirkan sebagai kemusnahan, disalah ertikan sebagai perhentian terakhir hidup bagi mereka yang lemah akal dan jiwanya.
Tidak, aku tidak akan sekali-kali menyalahkan mereka. Kelemahan adalah sebahagian 'anggota' manusia, ketidaksempurnaan pula ada 'nama timangan' mereka.
Dulu, ada satu kisah tentang rama-rama. Sering aku kisahkan cerita ini pada mereka yang dirundum kesedihan.
Dengan kisah ini jualah, terselit sekelumit harapan untuk menyisip secebis kekuatan buat mereka yang lemah.
Memang, aku tidak mampu menyanyikan lagu 'Semangat Yang Hilang' untuk mengobarkan kembali semangat mereka, aku juga tidak dapat memberi preskripsi ubat untuk menghilangkan ingatan-ingatan buruk itu, malah aku tidak akan mungkin punya kuasa ajaib untuk mengubah takdir jika bukan diri mereka sendiri yang ingin bangkit mengubah segalanya.

Rama-rama bagiku cukup simbolik. Ia lambang perjuangan hidup. Ia terbang mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata yang memandang.
Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas.
Ya, seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi.
Namun, kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor rama-rama yang cantik.
Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan rekayasa atau hikayat dongeng penuh fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik.
Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap rama-rama. Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama keluar dari kepompongnya.
Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk mengeluarkan diri.
Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus mencuba untuk keluar dari kepompong yang kecil itu.
Akhirnya, ia berhasil. Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah meraikan kebebasannya.
Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang lain.
Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya dengan menggunting kepompong tersebut.
Rama-rama ini berhasil 'di'keluarkan dengan mudahnya.
Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama ini?
Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan cacat seumur hidup.
Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu terbang seperti layaknya. Bukankah ini lebih malang?
Ternyata, segala kesukaran serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong itulah yang memberi kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang.
Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan kehidupan ini. Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak kenal cinta sebelum faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata pedih.
Kitaran hidup ini perlu didalami, jatuh bangunnya, turun naiknya, takdir dan karma. Tentu, kata–kata ini sering kita dengar di mana-mana, "setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya".
Ini bukan kata-kata kosong yang palsu. Bukan. Tetapi, jangan pula tanyakan padaku, bila dan bagaimana?
Tetapi bersabarlah. Airmata tidak abadi, kering suatu masa nanti. Percayalah, keajaiban itu pasti ada.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap yang berlaku.

Mencari ERTI Sebuah Perkahwinan



Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan.
Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa.
Ketika nabi Adam tinggal di syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan.
Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud "Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya."
Berkahwin Kerana Ibadah
Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama.
Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahawat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah.
Kerna itulah, setiap muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali.
Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah.
Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh.
Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah SAW. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku".
Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas.
Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan.
Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan Al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga.
Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.
Cinta Dan Kasih Sayang
Cinta dan kasih sayang adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam di antara suami isteri berpaksikan Islam.
Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila telah tiada di dunia nanti.
Justeru hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap baitul muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan.
Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerna firtah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang.
Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ar-Rum:30 :
"Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."
Tarbiyah Dan Pendidikan
Pendidikan adalah tema penting dalam sesebuah perkahwinan mithali.
Kecemerlangan dan kehebatan anak-anak yang menjadi tunjang dan penyeri sebuah keluarga bermula daripada pendidikan yang diberikan oleh ibubapa.
Haluan yang dipilih perlulah ditapis daripada elemen-elemen yang tidak sihat yang menjadi punca keruntuhan sebuah keluarga.
Perlu diingatkan bahawa anak-anak adalah aset yang mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.
Pentarbiyahan dan pendidikan yang diterapkan perlu berteraskan ketauhidan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul seterusnya menjunjung Al-Quran sebagai kalam Allah yang tidak ada keraguan baginya.
Ibu dan bapa yang prihatin akan sentiasa membentengi anaknya daripada kebejatan moral dan akhlak yang tenat pada mutakhir ini seperti vandalisme, hedonisme dan materialisme yang menatijahkan keruntuhan iman dan akhlak anak-anak mereka.
Begitu juga, pendidikan anak-anak bukan hanya terpikul di atas bahu ibu atau bapa sahaja, malah kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk keluarganya ke arah keluarga mithali yang hebat dan cemerlang.
Lelaki atau bapa merupakan ketua bagi setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 34 bermaksud:
"Kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan). Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar. Isteri pula perlu mengembelingkan segala potensi kelembutan, ketabahan dan kepekaannya untuk mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik.
Pendidikan anak akan menentukan keindahan dan kejayaan perkahwinan mithali untuk jangka masa yang panjang.
Kita melihat fenomena hari ini di mana anak-anak berselerak dan terbiar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak mithali.
Ibu bapa melepaskan tangan dalam perjuangan mendidik anak-anak.
Amat malang sekali sekiranya kita berbuih mulut bercakap tentang perjuangan Islam sedangkan anak-anak seperti itik yang terlepas dari kandang, terbiar dan membawa diri dalam dunia sendiri.
Sebelum berkahwin sepatutnya pasangan lelaki dan perempuan mendalami dan memfaqihkan diri tentang ilmu-ilmu selok belok rumahtangga. Paling penting kedua-dua pasangan perlu sembahyang dan taat kepada perintah Allah.
Ibu Bapa Mithali
Perkahwinan mithali bermula dari ibu dan bapa yang mithali.
Kita pasti berasa malu sekiranya pasangan suami isteri tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak dek kerana kejahilan tentang Islam yang disengajakan.
Kita tidak mahu ibu dan ayah hanya terkelu lidahnya apabila diminta anaknya mengajar tentang solat, doa-doa harian dan bacaan Al-Quran yang betul.
Contoh terunggul perkahwinan mithali tentunya datang dari junjungan mulia Rasulullah SAW.
Baginda Rasulullah selaku suri teladan sepanjang zaman telah meletakkan Khadijah binti Khuwailid sebagai wanita pertama yang bertakhta di hati baginda dan berjaya menakluki hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam.
Keindahan perkahwinan Baginda terungkap dalam pergaulannya dengan Khadijah dan isteri-isteri yang lain.
Kehadiran putera dan puteri serta cucu Baginda telah menyerikan lagi kehidupan keluarga Rasulullah.
Mengimpikan sebuah perkahwinan mithali, hanya tinggal mimpi jika kita tidak menyelak kembali sejarah hidup baginda sekeluarga yang amat indah itu.
Tegasnya perkahwinan mithali yang aman dan bahagia adalah impian pasangan suami isteri.
Namun bukan semua rumahtangga mampu melakar dan mengekalkan kebahgiaan.
Terdapat rumah tangga yang tergadah dengan kekusutan yang tiada jalan penyelesaian malah penceraian menjadi kemuncak pemilihan kerana kemurkaan terhadap hambanya.
Janganlah gelanggang perkahwinan hanya satu platform atau pentas untuk bersandiwara atau bercengkerama tanpa dihiasi dengan keilmuan dan amalan yang berterusan.
Perkahwinan bukan hanya satu testing ground tetapi ia adalah realiti yang perlu ditempuhi dengan kearifan, kesabaran dan kejituan iman.

Tidak Ku Meminta MAHAR yang Tinggi.



Sayup-sayup kedengaran di luar sana. Kalau mahasiswa di Malaysia sibuk dengan pelbagai aktiviti. Ada yang sibuk bercuti dengan sahabat-sahabat, ada yang menziarahi sanak saudara, tidak kurang ada yang berprogram bersama kawan-kawan. Bercuti serata dunia.
Bagi yang ada kesedaran, ada yang mengikuti program "short sem" di pondok-pondok bertiangkan kayu jati bagi memperkukuhkan ilmu agama. Tidak rasa rugi dengan sedikit bayaran yang di kenakan. Sememangnya pondok-pondok di Malaysia sekarang sudah banyak upgrade dari segi sistemnya. Mereka mengetahui mahasiswa-mahasiswa perlukan mereka di kala cuti semester berlangsung.
Manakala bagi pelajar timur tengah mungkin sebahagiannya masih dalam peperangan exam yang belum selesai. Semoga Allah permudahkan semuanya.
Bujang Senang dan Bujang Belum Terlajak
Di hujung tahun sebegini sememangnya para 'bujang senang' mahupun 'bujang belum terlajak' mengambil kesempatan untuk mengadakan hari yang mungkin paling bahagia dalam sejarah hidup iaitu perkahwinan.
Mudah-mudahan dengan harapan sanak saudara dapat menjadi saksi akan pernikahan mereka disamping mengeratkan silaturrahim. Maklum lah masing-masing sibuk, menjadikan sanak saudara jarang bertemu. Setidak-tidaknya setahun sekali di kala hari raya. Itu pun seandainya ada cuti.
Walau bagaimanapun tidak ketinggalan masih ada yang tidak berkesempatan untuk meraikan hari bahagia tersebut dek kerana ketidakcukupan dana yang terkumpul untuk merealisasikannya. Mahu tidaknya sekarang semua barang naik. Kenapa barang naik? Saya tidak mahu jawab. Masing-masing tahu sebabnya. Masih belum terlambat untuk menurunkannya pada masa akan datang.
Kini mahar atau belanja perkahwinan menjadi bualan.
"Anak mak cik Limah tu SPM je, RM10k."
"Anak pak seman pulak RM1k je, murah kan. Tak patut betul ustaz tu."
"Anak saya kawin RM7k, tu pun dekat sepuluh kali minta diskaun."
Macam-macam orang cakap. Macam mahu jual barang. Hukum adat dan sifat berlumba-lumba di kalangan masyarakat hari ini semakin menjadi-jadi. Masing-masing ingin mengumumkan dan mengisytiharkan.
Anak Aku Paling Mahal
"Anak aku la paling "mahal" setakat ni dalam kampung kita, " dengan penuh bongkak dan takabur berbicara, tanpa menyedari hakikat mahar yang disyariatkan.
Masyarakat menjadikan Islam itu semakin sukar untuk diamalkan. Menyukarkan untuk melaksanakan tuntutan Islam sekali gus membuka pintu maksiat yang dilakukan oleh pasangan kerana sukar untuk berkahwin. Inilah barah yang kian melanda dewasa ini.
"Mak tak payah la letak mahal-mahal sangat, dia bukan keje tetap lagi," kata Lina.
"Hang gila ka apa? Aku bagi hang belajaq sampai MA, hang nak bagi kat dia RM2k jer. Baik hang cari orang lain yang lebih kaya kalau macam tu," balas Mak Andak pada Lina.
Anak hanya menunduk diam. Tidak berani membantah cakap ibu. Dikhuatiri akan terderhaka.
Kadang-kadang si anak memahami apa yang dikehendaki dengan perkahwianan, namun niat terhenti atas keinginan ibu bapa.
Macam-macam tanggapan masyarakat tentang belanja, mas kawin mahupun mahar. Terkadang seperti menjual anak pula. Kita lupa akan hakikat diri seorang insan yang bergelar wanita. Yang mana nilainya tidak ternilai dengan RM10k, RM100k dan sebagainya.
Martabat Wanita Di Sisi Agama
Sesungguhnya nilai seorang wanita itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Islam meletakkan martabat seorang wanita itu terlalu tinggi. Tidak dapat dibeli dengan segala jenis harta. Mahar yang diberikan hanyalah sebagai penghargaan dan kehormatan dari pihak lelaki kapada wanita tersebut kerana sudi menjadi teman hidupnya, berjanji berkongsi suka duka bersama hingga ke akhir hayat.
Mazhab Syafie dan sebahagian ulama tidak menetapkan kadar yang terendah dalam meletakkan nilai mahar. Selagi mana mempunyai nilai ia diterima sebagai mahar.
Kita kembali kepada sejarah yang mana Rasul s.a.w bertanya kepada sahabat yang ingin berkahwin berapakah mahar yang mampu diberikan kepada pihak perempuan. Kerana apa, kerana ia mengikut kemampuan si lelaki. Seandainya ditanya kepada pihak perempuan, sudah pasti ia akan menyukarkan pihak lelaki.
Suami Akan Lakukan Yang Terbaik
Kepada kaum muslimah tidak perlulah risau, kerana bakal suami anda akan memberikan yang terbaik untuk anda.
Pemberian yang lahir dengan penuh keikhlasan dalam hati lelakilah sebenarnya membawa keberkatan dan kebahagian dalam sesebuah keluarga.
Bilamana lelaki memberikan mahar yang diminta oleh pihak perempuan dalam keadaan tertekan, penuh bebanan dan sebagainya, inilah yang akan membawa kemudaratan di masa hadapan, nauzubillah min zalik.
Mungkin dengan mahar yang tinggi itu, si lelaki akan mengungkit itu dan ini di masa hadapan.
"Aku bayar sampai RM11k, ingtkan serba boleh. Goreng ikan pun tak masak betul, lipat baju pun tak pandai., masak kari pun masin dan bla bla bla...."
Pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.
Pesan Rasulullah s.a.w.
Kita lupa akan pesan Nabi s.a.w yang mana nabi menyebut,
"Pernikahan yang paling berkat adalah yang paling mudah perbelanjaannya."
"Sesungguhnya semulia-mulia perempuan itu ialah yang paling mudah urusan maharnya."
"Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah."
"Berilah mahar sekalipun sebentuk cincin daripada besi."
Ini menunjukkan Islam tidak mahu menyusahkan umatnya dalam melaksanakan syariat kerana dengan itu akan timbul pelbagai masalah yang lain.
Sedarlah kita bahawa kita perlu mengubah kembali persepsi masyarakat yang mengatakan, lagi tinggi harga mahar lagi tinggi darjat seseorang wanita. Ini salah sama sekali.

Ketenangan



"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." (Surah Ar-Rum: 36-37)

Terjemahan dari Surah Ar-Rum ayat 36-37 ini memang mengoncangkan jiwaku yang sedia kosong. Ini semua berlaku disebabkan kekurangan imanku ke atas Illahi. Hanya dengan ujian yang sangat sedikit bisa mengoyahkan jiwaku. Hanya dengan sedikit dugaan bisa merobos semua ketenanganku. Mana perginya ucapan agamaku. Mana perginya kekentalan diriku. Mana perginya sifar redhaku. Mana perginya sifat bersyukurku. Dengan sedikit ujian sahaja aku bisa menangis merintis nasib,aku bisa mengeluh seperti tidak pernah menerima sebarang nikmat. Apakah aku sudah lupa semua nikmat yang terdapat di tubuhku atau nikmat yang diberi di sekelilingku. Mana perginya ajaran islam dalam diriku. Mana perginya ucapan zikir memujimu. Dengan sekecil-kecil ujian pun aku sudah bisa patah hati. Dengan sekecil-kecil ujian ini juga sudah bisa membuatku putus asa. Pernah dulu aku bangga dengan selogan Iman diluar islam didalam. Apakah dengan kata-kata itu aku bisa berkata aku sudah beriman?. Sesungguhnya iman ku hanya kosong tanpa diisi sebarang isian. Aku hanya manusia yang memimjam perwatakan burung kakak tua. Aku hanya dapat mengajuk pelajaran yang diajar kepadaku tanpa sebarang kefahaman didalam diri. Ya Allah sudah lama aku mengetahui bahawa dunia ni adalah tempat yang fana dan akhirat jua yang kekal selamanya. Tapi mengapakah hatiku ini lebih risaukan kegagalan didunia dari kegagalan di akhirat. Adakah ini disebabkan imanku yang lebih nipis dari lapisan kulit bawang. Mungkin keluargaku dan juga kenalan-kenalanku dapat memberi sedikit hiburan kepadaku. Tetapi ketenangan abadi hanya dapat diperolehi dari Mu Ya Allah. 
Sekarang aku mulai sedar dan aku sangat-sangat berharap agak kesedaran aku ini berpanjangan hingga ke nafasku yang terakhir. Aku mulai sedar bahawa aku hanya mendapat ketenangan bila aku dekat dengannya.Aku juga mulai sedar bahawa wang ringgit tidak pernah memulihkan hatiku yang sedang sengsara. 
Sesungguhnya bila diperhatikan balik dari dimensi yang berbeza yakni dari dimensi akhirat. Ternampak sedikit perbedaan yang amat ketara. Sikap bersyukur kadang kala mulai timbul. Benar sungguh kata-kata pujangga dari seoranga ustaz yang aku kenal. Bila dirimu selalu diperhatikan Allah S.W.T kehidupan kamu di dunia seakan-akan penuh dengan cabaran, penuh dengan cobaan. Tapi percayalah kamu. Semua itu lebih baik dan bila kamu terimanya dengan rasa beryukur balasan kepada kamu ialah syurga diakhirat kelak. Tetapi bila dirimu tidak diperhatikan oleh Allah S.W.T, maka berhati-hatilah kamu kerana di akhirnya nanti nescaya binasa. Ini diibaratkan seperti perjalanan kamu ke sesuatu tempat dengan menaiki sebuah kereta. Apabila kamu melalui jalan kecik, kamu akan selalu terlihat bonggol-bonggol dan papan tanda menyuruh kamu memandu degan kadar perlahan. Tapi disebabkan itu peratus untuk kamu terlibat di dalam kemalangan amatlah tipis. Tetapi cuba bayangkan apabila kamu melalui jalanan yang lurus dimana kamu boleh memandu dengan kadar yang laju tanpa sebarang peringatan dari papan-papan tanda, dan cuba bayangkan bila kamu terlelap dalam masa tiga saat. Bayangkan apa akan terjadi selepas itu. Nescaya kamu akan terlibat dalam satu kemalangan ngeri. Hebatkan kepada sesiapa yang selalu sahaja menilai setiap aspek dari dimensi akhirat. Mereka itulah yang beroleh ketenangan yang abadi. Mereka itulah yang selalu saja bersyukur dengan segala nikmat Illahi. Sesungguhnya aku amatlah berharap diberikan rahmat seperti mereka. Mereka diberikan pemikiran sedemikian kerana rahmat dari Illahi yang datang dari didikan agama dimana setiap kuncinya ialah ilmu. Ilmu yang sebenar-sebenarnya dicari hanya untuk lebih dekat dengan Illahi yang bukan hanya dipelajari untuk mencari untung di dunia ataupun untuk mendapat sanjungan. Itulah sebetulnya ilmu yang dituntut dan patut dicari. Dimana dengan ilmu itu keimanan akan terus bertambah dan bukan bertambah dari aspek keegoan ataupun kesombongan.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.รข€ (al-Baqarah: 155-157)

RAHMAT disebalik Bencana


Kehidupan manusia tidak sunyi dari melalui berbagai pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Tidak ada siapa yang ingin melalui pengalaman yang pahit dalam hidupnya tetapi kita tidak boleh lari dari takdir ini. Mahu atau tidak terpaksa diterima.

Begitulah juga dengan ajal dan maut Tiada siapa yang mahu menyaksikan keadaan maut yang mengerikan atau terlibat dalam keadaan yang ngeri ini. Tetapi begitulah, takdir Tuhan tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang dapat menjangkakan perkara ini akan berlaku.

Selalunya kita akan bersimpati dengan keluarga yang menemui ajal tersebut tetapi kita tidak berapa hendak mengetahui tentang keadaan orang yang bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian tersebut terutamanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana mereka dikatakan sebagai pihak yang 'bersalah'.

Pengalaman seorang pakcik yang sempat ditemui oleh kami jelas membayangkan peristiwa tersebut tidak mungkin dapat dilupakan walaupun telah setahun berlalu.

Kegembiraan yang diidamkan oleh Pakcik Ali dengan membawa keluarganya bercuti ke utara telah membawa kecelakaan dan pengalaman pahit yang amat menyayat hati.

"Pakcik tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita ini tetapi perasaan dan fikiran pakcik sentiasa teringatkan peristiwa tersebut. Hinggakan di dalam tidur peristiwa tersebut sering menjadi mimpi yang menakutkan," jelas beliau dengan nada yang agak sayu.

Pada pagi hari kejadian tersebut Pakcik Ali, isterinya dan dua orang anak mereka begitu gembira sekali, maklumlah peluang untuk bercuti ke utara bukannya mudah untuk diperolehi tambahan lagi Pakcik Ali merupakan seorang ahli perniagaan yang sentiasa sibuk dan peluang untuk bercuti bersama keluarga tidak mungkin dilepaskannya.

"Sebaik sahaja kereta pakcik hendak keluar dari daerah Selangor untuk menuju ke utara, tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak yang pakcik tidak tahu dari mana datangnya, berlari melintas di hadapan kereta pakcik yang sedang bergerak laju," sambung Pakcik Ali lagi.

"Pakcik tak tahu apa yang hendak pakcik gambarkan ketika perkara ini berlaku. Apa yang pakcik nampak adalah kanak-kanak tersebut melambung ke bahagian hadapan kereta pakcik dan kemudiannya jatuh ke atas jalan," ujar Pakcik Ali dengan wajah yang sedih, mungkin peristiwa setahun yang lalu semakin jelas terbayang di otak kepala-nya.

Jeritan isteri dan anak-anak yang duduk di belakang juga tidak didengari oleh Pakcik Ali ketika peristiwa ini berlaku kerana ingatannya hanya tertumpu kepada kanak-kanak yang telah dilanggarnya tadi. "Bermacam perasaan bercampur aduk dalam fikiran pakcik ketika itu. Perasaan gementar, takut, terkejut dan berbagai lagi perasaan bermain di dalam kepala. Tetapi nasib baiklah pakcik dapat mengawal keadaan kereta.

Kalau tidak mungkin pakcik tidak dapat menceritakan pengalaman ini dan keluarga pakcik juga hanya tinggal nama sahaja," ujar beliau lagi.
Dalam sekelip mata sahaja tempat kejadian dikerumuni oleh penduduk kampung berhampiran yang ingin menyaksikan kejadian apakah yang telah berlaku. Walaupun Pakcik Ali boleh dikatakan masih berada di dalam keadaan yang 'bingung' tetapi beliau tidak membenarkan anak dan isterinya untuk keluar menyaksikan bagaimanakah keadaan kanak-kanak yang telah dilanggarnya tadi.

Pakcik All membayangkan berbagai keadaan yang lebih buruk boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja iaitu sama ada keluarganya akan dipukul oleh masyarakat kampung kerana telah banyak cerita yang didengar oleh telinganya ramai pemandu-pemandu yang terlanggar binatang ternakan ataupun manusia di kawasan kampung berkenaan enggan berhenti dan terus melarikan diri kerana takut 'dipukul' oleh penduduk kampung tersebut.

Tetapi Pakcik Ali tidak sampai hati untuk meninggalkan keadaan tersebut begitu sahaja walaupun ia boleh berbuat demikian. Perasaan tanggungjawab di dalam dirinya membuatkan beliau pergi melihat keadaan kanak-kanak tersebut walaupun hatinya merasa takut.

"Pakcik berserah sahaja kepada takdir apa yang akan berlaku. Tetapi pakcik tidak benarkan isteri dan anak pakcik keluar dari dalam kereta. Jikalau mereka hendak buat sesuatu pun, biar-lah pakcik sahaja yang menerima akibatnya kerana pakcik yang terlanggar kanak-kanak tersebut, bukannya isteri atau anak-anak pakcik," ujar Pakcik Ali seterusnya. Tetapi nasib yang baik menyebelahi Pakcik Ali. Bak kata orang jikalau niat kita suci dan ikhlas, Allah akan sentiasa melindungi hamba-Nya. Masyarakat kampung tersebut malahan menolong Pakcik Ali untuk membawa kanak-kanak yang telah dilanggarnya ke hospital. Tetapi malangnya kanak-kanak tersebut mati dalam perjalanan akibat pendarahan di bahagian badan yang agak parah.

Keadaan tersebut sememangnya mengharukan perasaan Pakcik Ali sekeluarga tetapi yang paling menyayat perasaan beliau adalah apabila melihatkan ketenangan bapa kanak-kanak tersebut apabila terserempak dengannya sewaktu membuat laporan di balai polis. "Waktu itu pakcik berada di balai polis untuk membuat laporan tentang kemalangan yang terjadi kerana ianya telah menjadi kes polis," menurut Pakcik Ali lagi.

"Perasaan pakcik menjadi terharu apabila mengetahui lelaki yang kebetulan duduk di sebelah pakcik dan dikenali sebagai ustaz oleh anggota polis di situ adalah bapa, kepada kanak-kanak yang telah dilanggar oleh pakcik," ujar Pakcik Ali seterusnya.

Walaupun Pakcik Ali tahu kemalangan tersebut bukan berpunca darinya tetapi perasaan halusnya tetap terusik apabila terpandangkan wajah bapa kanak-kanak tersebut. Tanpa mempedulikan orang yang berada di sekeliling dan seolah-olah hilang perasaan malu yang ada pada diri Pakcik Ali ketika itu, beliau telah menangis teresak-esak kerana menyesali kejadian yang telah berlaku. Beliau sanggup menerima apa sahaja caci-maki yang mungkin dilemparkan oleh ustaz tersebut.

Tetapi sebaliknya perkara yang tidak terduga oleh beliau yang berlaku, ustaz tersebut telah menyabarkan dirinya dan mengatakan bahawa apa yang terjadi adalah kehendak Tuhan dan manusia tidak boleh mengelak dari menerima sesuatu kejadian yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Malahan ustaz tersebut turut menasihatkan dirinya agar bersabar dan bertawakal kepada Allah sahaja. Pakcik Ali terkejut mendengarkan kata-kata yang diluahkan oleh ustaz tersebut. "Ketenangan dan kesabaran pada wajah ustaz tersebut walaupun ia sedang berhadapan dengan orang yang telah melanggar anaknya seolah-olah mengejutkan pakcik dari mimpi," ujar Pakcik Ali lagi.

"Selama pakcik hidup, pakcik belum pernah lagi melihat orang yang setenang dan sesabar ustaz tersebut walaupun dirinya sedang berada di dalam kesedihan yang amat sangat akibat kehilangan anak yang disayangi," tambah Pakcik Ali dengan tenang.

"Setitis air mata pun tidak tergenang di kelopak mata ustaz itu, walaupun wajahnya menampakkan kesedihan. Tetapi kelembutan kata-kata yang dikeluarkan benar-benar membuatkan hati pakcik semakin sayu," ujar Pakcik Ali seterusnya.

Allah itu Maha Kaya, setiap kesedihan yang menimpa hambaNya, terdapat kenikmatan di sebaliknya itu. Walaupun kematian kanak-kanak tersebut menjadi suatu 'mimpi' yang buruk dan menakutkan bagi Pakcik Ali, tetapi ketenangan dan kesabaran bapa kanak-kanak tersebut dapat menginsafkan beliau.

Kalau dahulu Pakcik Ali sering marah-marah apabila berhadapan dengan masalah ketika menjalankan urusan perniagaannya, tetapi kini sifat sabar dalam dirinya mula kelihatan.

"Ramai rakan-rakan niaga pakcik merasa hairan dengan perubahan sikap pakcik. Ada di antara mereka yang mengetahui mengapa pakcik mula berubah perangai tetapi ada yang tidak tahu," ujar beliau lagi.

"Tetapi pakcik tak kisah sama ada mereka mengetahui ataupun tidak kerana apa yang penting kepada pakcik kini adalah sikap sabar, jujur dan ikhlas adalah penting dalam diri untuk dijadikan pegangan hidup dan menentukan kejayaan kita," tambah Pakcik Ali penuh keyakinan.

"Dahulu pakcik berjaya dalam bidang perniagaan dengan sifat pakcik yang tidak sabar tetapi kini pakcik lebih berjaya lagi dalam bidang ini dengan sifat sabar yang pakcik tanamkan sedikit demi sedikit di dalam diri," menurut Pakcik Ali lagi.

"Kalau kita ada wang sekalipun tetapi budi pekerti tidak seindah mana, memang pakcik tidak nafikan ramai orang yang akan berkawan dengan kita tetapi tidak lama dan kita mungkin tidak akan mendapat kawan setia. Orang tidak akan mengingati diri kita," tambah Pakcik Ali lagi penuh keinsafan.

"Pakcik menasihatkan berbuat baiklah sementara kita masih hidup. Sungguhpun manusia zaman ini tidak ramai yang mementingkan kebaikan orang lain, tetapi jikalau kita masih berpegang kepada budi pekerti yang baik, orang akan sentiasa mengingati kita," ujar Pakcik Ali seterusnya mengakhiri perbualan di antara kami.

Begitulah keajaiban kekuasaan Allah s.a.w. Dalam terpaksa menempuh suatu peristiwa yang sedih dan berat untuk ditanggung, terselit nikmat yang tidak ternilai harganya..

Mengapa "Piring ASTRO Menghadap ke Kiblat (Kaabah)" ???

Jelas, Kaabah bukan sekadar kiblat tetapi juga sebagai pusat tumpuan manusia dalam urusan dunia atau kehidupan. Contoh yang paling mudah sekali, tentu anda ada stesen televisyen berbayar iaitu Astro. Pastinya setiap Astro ada 'piring para bola' untuk menerima maklumat yang dipancarkan dari satelit. Untuk mendapatkan siaran yang jelas, piring itu akan dihalakan ke arah Kiblat atau Kaabah. Kalau tidak percaya cuba tengok balik piring Astro di bumbung anda menghadap ke mana???


KENAPA BEGITU? Mudah saja jawapannya Mekah adalah pusat bumi. Sama ada percaya atau tidak jawapannya mudah ditemui semasa kali pertama Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969. Di dalam satu temu bual di stesen TV Al Majid, Arab Saudi, Dr. Abd Al-Baset Al-Sayyed dari pusat Penyelidikan Kebangsaan Mesir mengulas, angkawasan pertama itu telah membuktikan, Mekah adalah pusat bumi.

Katanya ia telah dibuktikan secara saintifik semasa Neil Armstrong di dalam perjalanan ke bulan. Ketika itu dia berjaya mengesan satu radiasi yang dipancarkan dari bumi. Radiasi itu di dalam gelombang pendek. Situasi itu sesuatu yang pelik dan mereka cuba mencari jawapan dan membuat penelitian. Akhirnya mereka berjaya mengesan bahawa radiasi itu dipancarkan dari Mekah atau secara tepatnya dari Kaabah.

"Yang paling mengejutkan radiasi itu bersifat infiniti (tidak berpenghujung). Apabila Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, radiasi itu masih boleh dikesan. Radiasi itu mempunyai sifat yang istimewa dan paling penting ia infiniti. Saya percaya inilah yang menhubungkan Kaabah di bumi dengan Kaabah di alam akhirat.

"Bayangkan anda berada di kutub utara dan saya berada di kutub selatan,di tengah-tengah adalah zon keseimbagan magnet atau zon magnetisme sifar dan itulah Mekah. Kalau hendak dibuktikan boleh. bawa kompas ke Kaabah dan anda dapati jarum kompas itu tidak akan bergerak. Ini bermakna Kaabah adalah zon magnetisme sifar. Tarikan untuk ke dua-dua medan adalah sama kuat...


Hal sedemikian katanya, turut memberi kesan pada kesihatan dan umur seseorang. Sebab itulah orang yang tinggal di Mekah lebih sihat dan panjang umur. Tekanan graviti yang tertumpu di kawasan itu memberi kesan pada peredaran darah dan pergerakan biologi kehidupan.

"Ini telah dibuktikan bahawa ia boleh memberi kesan pada hemoglobin untuk membawa darah yang mengandungi oksigen ke seluruh tusi badan. Bermakna bila anda berada di Mekah, keupayaan darah untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan secara semula jadi jauh lebih baik berbanding tempat lain di dunia ini," jelasnya

Pelbagai bukti saintifik dari kajian para saintis juga telah membuktikan bahawa Kaabah berada di "Centre of the earth". Jika anda berkesempatan ke Mekah Al-Mukaramah cuba bawa kompas ke arah Kaabah dan lihat jarum kompas tersebut tidak akan menunjuk mana-mana arah sama Barat, Timur, Selatan atau ke mana-mana arah kerana Kaabah sememangnya berada di pusat atau ditengah-tengah bumi. Neil Amstrong juga mengesahkan fakta ini.

Maha Kaya Allah, dengan hanya melakukan Tawaf kesihatan kita akan bertambah baik. Tidak hairanlah jika ramai yang mengetahui rahsia ini sentiasa merindui untuk ke Mekah... Bagi yang bukan Islam kaji-kajilah fakta ini dan anda pasti akan mendapat kebenaran-Nya. Marilah kita belajar ilmu dan mengkaji Islam yang amat indah ini...