Ingatlah tidak ada arang batu yang menjadi intan tanpa melalui tekanan demi tekanan. Hidup yang melalui kesukaran dan dugaan adalah untuk menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami orang lain. Cuma hati yang pernah dilapah yang boleh merasa besarnya erti kasih dan sayang sesama manusia.

Monday 15 August 2011

Jennifer Memeluk Islam Setelah Melihat Umat Islam Dilayan Buruk

Jennifer Fayed

Jennifer (Sumayah) Fayed merasakan perkawinannya begitu hambar. Dia melihat suaminya tidak ada kesungguhan untuk mencari kerja, yang telah dinikahinya tiga tahun lalu. Dirinya disahkan hamil dan telah memiliki dua anak yang masih kecil.

Jennifer, yang berusia 21 tahun, merenung jauh tujuan hidupnya di dunia ini. Perkara ini mengganggu fikirannya, “Pasti ada sebab mengapa saya di sini.”

Kedua ibu bapanya baru saja berpindah ke Republik Dominican, sebuah negara kepulauan kecil di Carribean. Jennifer merasa sunyi meskipun mempunyai suami dan dua orang anak. Selama ini dia merasakan ibu bapanya lah yang menjadi sumber kekuatan hidupnya.

Ketika dia sedang tidur, dia mendapat panggilan telefon dari ibu mertuanya yang berteriak “Ada pesawat terhempas di Manhattan.” Jennifer yang kebingungan bertanya, “Apa yang ibu cakapkan ini?” Dia membuka televisyen dan melihat menara kedua World Trade Center (WTC) telah dirempuh oleh pesawat.

Detik yang membawa perubahan besar pada hidup Jennifer

“Saya begitu terkejut! Siapa yang melakukannya, siapa yang sanggup melakukan perkara keji ini?” marah Jennifer. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. “Adakah ini mimpi?” Dia berharap ini hanyalah sebuah lakonan dan filem semata-mata.

Dia baru saja mengunjungi WTC sehari sebelum tragedi ini berlaku. Dia percaya ini adalah bukti bahawa ajalnya belum sampai. Dia belum bersedia untuk mati kerana dia belum tahu tujuan hidupnya. Ini membuatkan Jennifer gelisah memikirkannya.

Penduduk Manhattan dilanda ketakutan. Jennifer tidak tahu bahawa hari itu menjadi titk permulaan perubahan drastik yang akan terjadi di dalam hidupnya.

Tidak lama setelah serangan 11 September, Jennifer berlepas menggunakan kapal terbang untuk melawat orang tuanya di Republik Dominica. Ketika itu usia kandungannya baru satu bulan. Suaminya telah mengetahui kehamilannya.

Dia mencari jalan bagaimana hendak memberi tahu berita kehamilan ini kepada orang tuanya. Maklum saja, anak pertamanya adalah hasil hubungan luar nikah. Mereka berkahwin sekadar untuk menutup aib. "Tak apalah saya akan memikirkannya di sana nanti", katanya dalam hati.

Jennifer berlepas menggunakan American Airlines dengan nombor penerbangan 587. Selepas tragedi 911, kawalan keselamatan di bandar dan lapangan terbang sangat ketat. Penumpang pesawat kelihatan sedang berdoa dan beberapa penumpang tidak henti-henti berdoa sepanjang penerbangan. “Saya ketawa di dalam hati. Jika kami akan mati, maka itu adalah takdir kami.”

Dalam penerbangannya, Jennifer terus memikirkan kehamilannya. Dia sebenarnya tidak mahu kehamilan ini. Selain tidak dirangcang, jennifer juga sengsara untuk menanggung dua orang anak, apalagi kalau tiga.

Sepanjang waktu bersama kedua ibu bapanya, Jennifer cuba memberitahu mereka tentang kehamilannya. Tetapi dia tidak sanggup melakukannya, takut untuk mengecewakan ibu bapanya.

Jennifer tertekan akan kehamilannya (gambar hiasan)

Disebabkan perkara itu, Jennifer memutuskan untuk melakukan pengguguran dan tidak perlu sesiapa tahu dirinya hamil. “Penyelesaian yang mudah,” fikirnya di dalam hati. Namun di sudut yang lain, sebagai seorang yang berasal dari keluarga Kristian yang taat, pengguguran di pandang sebagai perbuatan berdosa dan dilarang sama sekali.

Beberapa lama selepas itu, jennifer kembali ke New York dari Republik Dominica dan membuat temujanji dengan klinik Planned Parenthood untuk melakukan pengguguran. Jennifer berharap agar dapat menggugurkan kandungannya hanya dengan memakan pil.

Betapa kecewanya Jennifer bila mengetahui bahawa dirinya harus menjalani pengguguran penuh kerana tarikh tamat untuk melakukan pengguguran dengan memakan pil sudah terlewat satu minggu. Dia sangat tertekan. Dia berkata di dalam hati, "Oh Tuhan, mereka akan membuang bayi ini dari perut saya. Apa yang telah saya lakukan ini?” Jennifer tidak tahu adakah dia sanggup melalui semua ini.

Jennifer berdoa kepada Tuhan untuk menolongnya. Namun tidak seperti sebelumnya, dia tidak menggunakan tasbih atau pergi ke gereja. Buat pertama kalinya, Jennifer berdoa kepada Tuhan tanpa melalui perantaraan. Jennifer merasa Tuhan harus menolongnya. Tuhan adalah tempat terakhirnya untuk berserah.

“Saya menangis sambil terus memohon. Oh Tuhan tolonglah, saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Saya inginkan bayi ini, tetapi rumah tangga saya dalam masalah, dan kami tidak mempunyai wang untuk menanggung seorang lagi bayi ke dunia ini. Saya percaya sepenuhnya kepada Tuhan. Tolonglah, jika Tuhan menghendaki saya memiliki bayi ini, saya akan menerimanya. Dan, jika kehendak Tuhan untuk mengakhiri kehamilan ini, saya juga akan menerimanya.”

“Saya serahkan perkara ini kepada Tuhan. Tuhan yang saya sembah dengan cara saya sendiri, bukan dengan cara yang diajarkan kepada saya. Tuhan yang bagi saya tidak mempunyai pendamping dan tidak mempunyai anak, hanya seperkara yang saya tahu bahawa tuhan yang telah menciptakan saya,” kata Jennifer. Dia kebuntuan memikirkan kehamilannya.

Hari-hari berlalu, sedang Jennifer menonton televisyen, satu siaran berita menngganggu rancangan. “Oh tidak. serangan pengganas lagi,” katanya. Sebuah pesawat terhempas di New York, kali ini di kawasan Queen, daerah asal Jennifer. Dia khuatir ini adalah kerja pengganas. Jennifer terkejut mendengar nombor penerbangan dan destinasi pesawat tersebut. Pesawat American Airlines dengan nombor penerbangan 587 yang menuju ke Republik Dominica. Ya, pesawat yang dinaikinya minggu lalu. Tubuhnya terasa dingin setelah mendengarnya.

Penerbangan 587 terhempas di Queen

Jennifer terpaku. Dia membayangkan dirinya ada di dalam pesawat itu. Dia merasa ini adalah petanda dari Tuhan. Sudah 2 kali Jennifer begitu dekat dengan kematian. “Tuhan cuba memberitahu sesuatu.”

Seminggu selepas doanya kepada Tuhan, Jennifer mula merasakan perutnya kembang. Kembang ini berbeza dengan situasi kehamilannya yang pertama. tetapi Jennifer tidak memperdulikannya kerana ini bukanlah masalah yang besar baginya.

Tidak lama selepas itu, perutnya semakin kembang dengan teruk. Terjadinya pendarahan dan Jennifer amat takut. “Adakah saya keguguran?” Dia bergegas ke hospital dan menjalani pemeriksaan yang ketat.

Keadaan bertambah baik dan Jennifer dibenarkan pulang ke rumah. Di rumah, Jennifer masih perlu berehat di tempat tidur. Ketika tidur, dia merasakan sakit yang amat sangat. Dia merasakan sesuatu keluar. “Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Saya pergi ke bilik mandi dan segumpal daging keluar.” Jennifer keguguran pada usia kehamilan mencecah dua bulan. Pihak hospital mengesahkan bahawa Jennifer telah keguguran. Padahal keesokan harinya, dia dijadualkan oleh Planned Parenthood untuk menjalani proses pengguguran iaitu pada 15 Oktober 2001.

“Ini seolah-olah mimpi. Adakah ini keajaiban dari Tuhan? Adakah Tuhan menjawab doa saya. Saya merasa Tuhan ingin memberitahu saya bahawa kehidupan saya akan berubah. Akan berubah seperti apa? Saya tidak tahu. Yang saya tahu, saya harus menamatkan pengajian dan saya harus berpisah dengan suami yang tidak mempunyai cita-cita di dalam hidup.” Jennifer akhirnya memutuskan untuk bercerai dengan suaminya itu.

Di kawasan tempat tinggalnya, New York, Jennifer menyaksikan muslim dilayan sangat buruk. Kelakuan ini adalah kesan selepas serangan 11 September. “Sungguh mengerikan. Saya menyaksikan orang mengelak berjalan di kakilima seberang jalan hanya kerana melihat adanya muslim di situ. Perniagaan kaum Muslim sepi. Tidak ada yang ingin membeli di kedai yang dimiliki oleh orang Muslim. Di jalan, orang-orang berteriak kepada muslim, baliklah ke negaramu, pengganas, Taliban!!”

“Mengapa masyarakat melemparkan kata-kata ini kepada orang-orang yang tidak bersalah? Saya percaya orang yang melakukan serangan adalah orang yang kejam, tetapi kenapa hendak menyalahkan orang-orang yang tidak ada kaitan dengan serangan tersebut?”

Dari sinilah muncul daya penarik terhadap umat Islam. Jennifer mula ingin mengetahui apa yang diyakini oleh Muslim. Semakin hari, semakin besar keinginannya untuk mengetahui mengenai umat Islam. Dia mengambil langkah mendaftar diri untuk mengikuti satu kursus di kampus. Di sana Jennifer telah bertemu Muslim dan menanyakan berbagai persoalan mengenai Islam. “Mengapa memakai jilbab? Siapa yang anda yakini? Siapa itu Muhammad?” Itulah soalan yang pernah ditanyakannya.

“Sebilanganya dapat memberikan jawapan, namun sebahagian besar tidak tahu bagaimana untuk menjawab pertanyaan saya. Kebanyakan wanita Muslim yang saya kenali tidak memakai jilbab dan mengatakan pemakaian ini hanyalah pilihan. Ada juga yang mengatakan mereka tidak memiliki pengetahuan yang dalam mengenai Islam.” Jennifer merasa tidak ada sesiapa yang mampu memberikannya jawapan yang memuaskan hatinya. Jennifer memutuskan untuk melayari internet untuk mencari jawapan. Dia banyak mengetahui tentang Islam melalui internet.

“Saya tidak percaya bahawa Tuhan mengutuskan nabi lain selepas Jesus. Saya tahu Tuhan tidak akan menciptakan saya dan semua orang di dunia tanpa jawapan atas pertanyaan-pertanyaan kami. Mengapa kami di sini? Mengapa orang-orang selalu mengatakan Tuhan itu tritunggal (trinity), dan ini hanya menguatkan apa yang saya percaya sejak saya berusia 14 tahun bahawa Tuhan itu satu tanpa pendamping bukan seperti konsep triniti di dalam Kristian.”

“Saya mencari kebenaran di atas semua pertanyaan saya dan Islam berjaya menjawab kesemuanya. Muhammad adalah nabi yang luar biasa. Beliau adalah nabi terakhir yang diutuskan Tuhan untuk menyampaikan pesanan terakhir-Nya kepada kita semua.”

Jennifer memutuskan untuk mengenali lebih jauh tentang Nabi Muhammad. “Adakah beliau benar-benar manusia? Adakah beliau benar-benar wujud?” Jennifer terkejut apabila mengetahui bahawa Nabi Muhammad adalah manusia biasa. Bukan saja Muhammad adalah seorang nabi yang menyampaikan wahyu, namun seluruh hidupnya telah dikisahkan. “Saya sangat kagum dan takjub dengan perkara ini, inilah agama saya,” fikirnya. “Kepercayaan dan jalan hidup yang saya cari selama bertahun-tahun adalah Islam,” katanya.

Jennifer mengikuti solat tarawih Ramadhan pada musim gugur 2002, walaupun ketika itu dia belum memeluk Islam. Ketika itu masjid penuh dengan jamaah. “Tidak seperti yang saya sangkakan sebelum ini, masjid hanya dihadiri satu bangsa. Kenyataan yang saya lihat, masjid dipenuhi dengan pelbagai bangsa. Mereka sangat akrab dan selalu memberikan salam Assalamualaikum,” Kata Jennifer terkenang waktu lalu. Ketika itu dia tidak tahu apa maksudnya salam. Dia hanya mengangguk malu.

“Ketika melaksanakan solat. Ini adalah solat pertama saya seperti seorang Muslim,” katanya. Dia sebenarnya tidak tahu apa yang jemaah lain lakukan. Namun, seorang temannya mengatakan ‘ikut saja apa yang mereka lakukan’. Jadi Jennifer hanya ikut perbuatan jemaah lain.

Jennifer terkumat-kamit meniru jamaah lain. Dia juga turut ikut bersujud, tanpa mengetahui maksud dan alasannya. “Saya menghayati pergerakan dan ketenteraman ketika solat. Saya kagum semua Muslim menghadap Kaabah pada setiap kali solat, walaupun dari mana mereka berasal. Berlainan sekali dengan Kristian, amat berlainan,” tegasnya.

Di masjid itu, Jennifer memakai jilbab untuk menghormati para jamaah. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk memakai jilbab. Jadi, dia membeli dua helai selendang (scarf) untuk dipakai. “Saya merasa cantik dan selesa ketika memakai jilbab. Saya boleh berjalan di kawasan awam tanpa diganggu oleh lelaki-lelaki di sekitarnya. Saya juga tidak peduli jika ada yang memandang serong terhadap saya.”

Pulang dari masjid pada hari itu, dia bertekad untuk terus memakai jilbab setiap masa. “Ada yang mengatakan bahawa saya tidak perlu memakai jilbab kerana saya bukanlah seorang Muslim. Saya hanya membalas ini adalah keputusan saya dan ini bukannya urusan mereka. Ketika memakai jilbab, ketenangan dapat dirasai, perasaan yang selesa di dalam hati, bahawa saya telah mengikut perintah Tuhan. Saya tidak peduli terhadap pandangan dan komen negatif dari orang lain.”

Jennifer merasakan belum cukup dengan sekadar berjilbab. Dia pun ikut berpuasa dalam beberapa hari di bulan Ramadan. Dia berfikir bagaimana untuk berterus terang kepada orang tuanya mengenai perubahan dirinya.

Ketika ibu bapanya datang ke New York dari Republik Dominica, Jennifer dalam keadaan untuk mempertimbangkan memeluk Islam. “Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk memberitahu keluarga saya, terutama ibu saya kerana dia sangat sensetif terhadap perubahan diri saya. Ketika itu saya telah biasa memakai jilbab, jadi saya tidak akan membuang jilbab hanya kerana memikirkan perasaan ibu saya, kerana kewajiban saya adalah kepada Allah, barulah kepada orang tua,” kata Jennifer.

Sebagai langkah awal, Jennifer memberitahu adiknya, Catherine, yang lima tahun lebih muda darinya. Jennifer ingin melihat reaksi Catherine, yang mungkin akan sama dengan reaksi orang tuanya. Jennifer memanggil Catherine dan berkata, “Catherine, saya telah lakukan sesuatu.”

Adiknya tidak terkejut. Ini disebabkan perangai Jennifer yang sering melakukan perkara yang diluar jangkaan. “Apa yang kamu lakukan kali ini Jennifer?”

Jennifer memberitahu bahawa dirinya sedang mempertimbangkan untuk memeluk agama Islam, dan dia kini telah memakai jilbab. Catherine tertawa kuat. Adiknya mengatakan kini saya benar-benar telah ‘melakukannya’ dan orang tua kami akan ‘membunuh’ saya. Adiknya juga seolah-olah tidak percaya bahawa saya tergolong dalam golongan teroris itu.”

Catherine menyambung lagi, “Kamu kakak saya dan saya amat sayangkan kamu. Saya tidak peduli kamu memeluk agama apa pun.” “Dia juga mengatakan bahawa orang tua kami akan mengamuk,” ujar Jennifer. Tidak terhenti di situ, Catherine segera menyambung perbualannya “Jangan beritahu ayah dan ibu tanpa saya ada di sana, sebab saya boleh ketawakan kamu.” Jennifer tahu adiknya hanya bergurau.

Jennifer akhirnya memberanikan diri untuk memberitahu orang tuanya. “Ayah saya boleh menerimanya. Saya beranggapan kebanyakan lelaki dapat menerimanya.”

Namun berlainan dengan ibunya, ibunya sangat marah dan terperanjat. “Dia terus meyakinkan saya bahawa saya telah tersalah langkah dan Islam bukan agama yang betul. Satu perkara yang yang paling membebankannya adalah saya wajib memakai jilbab.”

Ibunya mengambil masa selama 2 minggu untuk bertenang. “Tidak lama selepas itu, mereka ahirnya boleh menerima perubahan saya. Bagaimanapun ibu saya percaya ini hanyalah sementara dan saya akan kembali kepada Kristian,” kata Jennifer. Seminggu selepas itu, Jennifer akhirnya memutuskan untuk mengucap dua kalimah syahadat.

Hari yang ditunggu, Jennifer bangun pagi dengan perasaan bersemangat. Ini adalah harinya, hari dimana dia akan mengucapkan dua kalimah syahadat. Jennifer bersiap-siap dan memandu kereta ke masjid untuk mengucapkan  syahadat.

Di masjid, dia menemui imam dan mengatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Imam melihatnya dengan senyuman dan bertanya “Anda yakin ini yang benar-benar anda mahukan?” Dengan semangat Jennifer menjawab “Ya, ya, ini adalah keputusan saya.”

“Pada hari itu, disaksikan seluruh saudara seiman, lelaki dan perempuan, bersama-sama menyaksikan saya memeluk Islam,” kata Jennifer. “Hari itu, begitu ramai orang mengucap salam dan bertanyakan kepada saya jika saya memerlukan apa-apa bantuan, mereka akan membantu saya. Saya begitu terharu dan beruntung. Di sini lah saya akan bersama keluarga baru, sebuah keluarga yang datangnya dari seluruh pelusuk bumi.”

“Pada malam Jumaat itu saya tidur sebagai seorang Muslim, saya mengalami mimpi yang indah. Saya berada di sebuah lembah yang dipenuhi rumput yang hijau dan indah. Bukitannya begitu indah, tidak pernah saya lihat sepanjang hidup ini. Saya berjalan di sana dan menuju ke arah seorang lelaki yang berpakaian putih. Dia juga berjalan ke arah saya. Wajahnya samar, tidak sama dengan wajah manusia yang sebenarnya, namun terang seperti matahari. Saya dapat merasakan ketenangan. Dia memegang tangan saya dan kami berjalan bersama ke arah sebuah batu yang besar. Di batu itu dia duduk dan saya duduk di rumput. Dia kemudian berkata kepada saya ‘Selamat datang ke Islam’.”

Ketika terbangun, Jennifer merasakan perasaan yang begitu indah di dalam hatinya. “Saya fikir inilah Rasulullah. Dia datang untuk menyambut saya masuk Islam. Tetapi saya mendapati bahawa itu bukanlah Nabi Muhammad, tetapi itu adalah malaikat Allah, kerana malaikat tidak memiliki wajah manusia, namun wajahnya samar.”

Jennifer merasakan dirinya sangat istimewa semenjak hari itu. “Seorang malaikat, malaikat Allah datang untuk menyambut saya kepada agama Allah, agama saya. Agama yang begitu saya inginkan sejak kecil. Islam adalah agama yang sebenarnya.”

Jennifer Fayed kini menjadi penulis yang telah menetap di Carolina Utara, AS. Penulisannya telah memberikan inspirasi kepada orang ramai. Jennifer memiliki sarjana di bidang pemasaran, dan anggota aktif Muslimah Writers Alliance.


source: http://zharifalimin.blogspot.com/2011/06/jennifer-memeluk-islam-setelah-melihat.html

Ke Gereja Untuk ke Masjid




Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah!” saya melafazkan syahadah.


Laura mengulang bilah-bilah kesaksian itu dengan penuh kesungguhan.


“Alhamdulillah. Welcome back, sister!”, saya menadah tangan mengucap syukur.


Laura menangis.


Bukan sedih.


Tetapi riak wajahnya menampaknya suatu kelegaan yang besar.


Pagi itu Laura telah mengisytiharkan keIslamannya di hadapan saya dan beberapa warga masjid, termasuk beberapa muslimat yang saya jemput untuk meraikan Laura.


Thank you, Imam. I feel so blessed that no word can describe my feeling right now. I can’t believe that I am now a Muslim. Finally!” kata Laura.


Saya sendiri berasa sebak dan terharu.


Selepas beberapa kali berutus soal jawab melalui telefon, pagi itu Laura nekad untuk melafazkan syahadahnya. Saya mengalu-alukan ‘kepulangan’ beliau dengan ucapan ‘Welcome back‘, kerana mahu mengangkat hakikat yang diterangkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bahawa setiap insan itu dilahirkan fitrah.


Muslim by nature.


JALAN DATANG KEPADA ISLAM


“Izinkan saya bertanya, apakah yang mengundang nekad kamu untuk memeluk Islam pagi ini?” saya cuba mendapatkan cerita. Ia perkara biasa setiap kali ada saudara baru yang memeluk Islam. Saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia berguna untuk muhasabah dakwah saya.


“Imam pun tahu yang saya memang sudah agak lama cenderung kepada Islam, bukan?” tanya Laura kepada saya.


Saya mengangguk.


Semenjak lebih 6 bulan, Laura sudah berhubung dengan saya. Beliau merupakan pelajar Biologi di universiti berdekatan. Kajian-kajian Laura tentang hal-hal berkaitan evolusi membawa beliau dekat kepada Islam. Beliau terperangkap di antara peperangan Creationist Christian dan Evolutionist yang sering bernada Atheist.


Tetapi Laura tidak punya kekuatan untuk melakukan hijrah.


Banyak perkara yang dipertimbangkannya, terutamanya aspek sosial. Sanggupkan dirinya melakukan perubahan dan bagaimanakah penerimaan keluarga dan rakan… ini merupakan isu besar buat Laura.


Saya mengambil inisiatif menemukan Laura dengan Hannan, iaitu isteri kepada majikan saya yang juga merupakan seorang Irish Muslim. Lanjutan daripada itu, Laura ditemukan dengan beberapa orang lagi Irish Muslim, yang meyakinkan beliau bahawa beliau tidak bersendirian dengan hijrah yang bakal dilakukannya nanti.


“Tetapi, saya mendapat kekuatan itu akibat peristiwa malam tadi!” kata Laura.


“Apa yang berlaku?” saya ingin tahu.


“Malam tadi kami sekeluarga ke gereja untuk menghadiri mass bersempena dengan Hari Ibu. Ajaib sekali, ceramah yang disampaikan oleh paderi di gereja itu sungguh mengesankan. Saya asyik mendengarnya malah ahli gereja yang lain juga begitu mengaguminya” cerita Laura.


“Selepas selesai majlis, seperti biasa paderi berdiri di pintu gereja, bersalaman dengan kami semua. Apabila tiba giliran, saya mengucapkan tahniah kepadanya atas ceramah beliau yang sungguh hebat” sambung Laura.


“Wah bagus begitu. Jarang sekali Imam masjid menghargai mereka yang hadir ke masjid sedemikian rupa. Saya juga harus mengamalkannya!” saya mencelah.


Laura dan hadirin yang lain ketawa.


“Apa isi ceramahnya?” saya mahukan kepastian.


“Oh, ceramah malam tadi ialah tentang hubungan ibu dengan anak, dari kandungan hingga penyusuan dan kepentingan menyusukan anak sendiri” kata Laura.


Saya mengangguk. Jemaah yang lain juga khusyuk mendengar.


“Lalu saya beritahu paderi tersebut: tahniah, kerana ceramah awak yang sangat bagus. Cuma, saya ingin tahu, pernahkah tuan membaca apa-apa dari Quran, buku orang Islam, tentang tajuk yang dibentangkan tadi?” cerita Laura lagi.


Saya khusyuk mendengar cerita Laura. Beliau memang pengunjung setia gereja. Tetapi aturan Allah sedikit berbeza. Setiap kehadirannya ke gereja, menjadikan beliau semakin hampir kepada masjid.


“Paderi itu membisikkan ke telinga saya bahawa sebenarnya beliau mengambil keseluruhan inti ceramahnya daripada al-Quran! Beliau tidak bertemu dengan keterangan sebaik keterangan al-Quran tentang topik tersebut” tegas Laura.


“Allah!” saya mengurut dada.

alanaam114.jpg


“Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu” [Al-An'aam 6: 114]


“Saya sangat terkejut dengan statement beliau. Hampir rebah saya dibuatnya. Apabila saya kembali ke rumah, emak dan ayah masih lagi bercerita tentang kehebatan ceramah paderi di gereja tadi. Saya beritahu mereka apa yang paderi itu sendiri nyatakan kepada saya” sambung Laura.


“Bagaimana reaksi keluarga anda?” saya bertanya.


“Mereka sangat terkejut dan emak saya ketakutan kerana dia tahu kecenderungan saya kepada Islam” jawab Laura.


“Saya sudah lama meyakini kebenaran Islam. Kata-kata paderi itu malam tadi telah memberikan satu-satunya yang saya perlukan untuk menjadi Muslim, iaitu kekuatan. That’s it. I am now a Muslim and I will declare my faith tomorrow!” kata Laura dengan penuh yakin.


Beliau menganggap dirinya telah menjadi Muslim semenjak malam tadi. Tetapi beliau datang ke masjid agar keIslamannya disaksikan oleh pihak masjid untuk maslahah-maslahah yang sedia maklum.


SECEBIS KISAH


Itulah kisah daripada siri peristiwa saya menguruskan proses menerima Islam oleh warga Ireland selama saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland.


Kebanyakan mereka yang memeluk Islam di Ireland, melakukannya hasil kajian dan pembacaan sendiri. Lazimnya, saya hanya membantu menyelesaikan beberapa isu berbaki sebelum mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam.


Sebagai seorang Muslim yang juga Imam di masjid tersebut, tentu sahaja saya bergembira dan bersyukur dengan perkembangan ini, khususnya selepas insiden 11 September 2001. Namun apa yang lebih menggembirakan saya, ialah hakikat integrasi, keterbukaan dan komitmen kepada dialog menjadikan usaha dakwah subur di bumi Eropah.


Saya yakin, jika umat Islam di negara ini memperbaiki identiti mereka agar lebih mudah didekati, bercakap dengan rasional tanpa dikaburkan oleh sentimen dan emosi, maka jalan untuk penyebaran Islam akan terbuka dengan lebih luas.


Kita tidak perlu terlalu terburu-buru mahu mengIslamkan sesiapa, sebaliknya harus banyak menumpukan perhatian kepada menerangkan tentang Islam secara baik kepada mereka yang mencari. Tumpuan kepada berhujah dan berdakwah untuk menyebarkan kebaikan serta kebenaran adalah lebih sejahtera daripada usaha mengIslamkan non Muslim secara tergesa-gesa seolah-olah urusan itu demi kepentingan kita, dan bukannya dia, dan ALLAH.


Malah kita juga harus memberi galakan agar masyarakat Kristian kembali ke gereja. Biar Buddha dan Hindu kembali rajin ke kuil mereka. Selain mengembalikan fungsi agama pada membaikkan manusia, menghargai agama, menjadikan mereka semua setapak lebih hampir kepada Islam. Materialisma yang menjadi anutan manusia hamba duit dan harta, sangat membutakan kehidupan seperti kisah Sahib al-Jannatain di dalam Surah al-Kahf ayat 32 hingga 46.


Jika mereka menerima Islam dan terbuka hatinya untuk memeluk Islam, maka setinggi-tinggi syukur kita lafazkan.

albaqarah256.jpg


“Tiada paksaan di dalam agama” [Al-Baqarah 2: 256]


Jika mereka tidak memeluk Islam, penerangan dan hujah yang disampaikan melalui dakwah dan pendidikan tetap berguna menjauhkan mereka daripada permusuhan membuta tuli terhadap Islam dan seterusnya lebih ‘dekat’ dengan kita, biar pun tidak atau belum bersama.


Kira-kira sebulan selepas memeluk Islam, Laura telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan Ali, seorang sahabat yang berasal dari Libya. Saya telah mengurus dan mengakadkan nikah mereka dengan nasihat agar Ali terus membimbing Laura dengan nasihat agama dan wasiat iman.


Berikan komitmen kepada dakwah, itu tugas yang kita warisi daripada Rasulullah..


Wa saLlallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘alaa aalihi wa sahbihi wa sallam. Walhamdu liLLaahi Rabb al-’Aalameen.

source: http://zharifalimin.blogspot.com/2010/04/ke-gereja-untuk-ke-masjid.html

Friday 12 August 2011

KISAH NABI SULAIMAN DENGAN SEORANG PEMUDA YANG BERBAKTI KEPADA IBU DAN BAPANYA.


Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud a.s Sejak kecil lagi Nabi Sulaiman sudah pandai memberi pendapat yang adil dalam satu-satu hal.Dalam al_Quran pada ayat 78 hingga ke ayat 82 ada menyebut tentang kelebihan Nabi Sulaiman.Pada suatu hari Nabi Daud bersama anaknya Nabi Sulaiman sedang duduk di serambi mahligainya, kemudian datang seorang petani membuat pengaduan bahawa tanam-tanamannya telah dimusnahkan kambing seorang gembala, setelah Nabi Daud meneliti dengan teliti akan keputusan yang hendak dibuatnya, maka ia pun memberitahu petani tersebut katanya:"Orang yang mengembala kambing itu hendaklah memberikan kambing tersebut kepada kamu sebagai gantirugi".Apabila Nabi Sulaiman mendengar keputusan bapanya, maka Nabi Sulaiman berkata:"Hukuman yang dibuat oleh ayahanda adalah kurang tepat." Nabi Daud berkata:"Kalau kurang tepat apakah hukuman yang lebih baik dari ini?".

Nabi Sulaiman yang baru berusaha 11 tahun pun berkata:"Yang baiknya pada pendapat anakanda ialah, pengembala kambing hendaklah memberikan kambingnya kepada petani ini buat sementara waktu saja, dengan ini petani dapat mengambil susu dan bulunya, dan dalam pada itu pengembala kambing itu hendaklah memperbaiki semula tanaman petani ini.Setelah tanaman itu kembali seperti asalnya, maka petani ini hendaklah memulangkan semula kambing tersebut kepada tuannya."Kagum Nabi Daud mendengar kata-kata yang diucapkan oleh anaknya yang masih mentah itu, maka ia pun berkata:"Hukuman anakanda itu lebih baik dan adil."

Allah swt. Telah meganugerahkan buah fikiran yang baik kepada Nabi Sulaiman dan Allah swt. Juga telah memudahkan angin untuk berkhidmat kepada Nabi Sulaiman a.s. Menurut riwayat, ahli tafsir mengatakan Nabi Sulaiman menggunakan angin untuk menuju ke suatu tempat, seperti mengguna kapalterbang di masa sekarang.Ia duduk diatas tikarnya atau kursinya, lalu angin menerbangkannya ke negeri yang dikehendakinya. Selain daripada itu Allah swt. Juga telah menundukkan syaitan-syaitan kepada Nabi Sulaiman sebagai kuli untuk menyelam ke dalam laut untuk mengambil mutiara-mutiara dan begitu juga untuk membuat kerja-kerja lain, seperti membuat kota, mahligai dan sebagainya.

Setelah wafatnya Nabi Daud, Nabi Sulaiman membesarkan kerajaan dibawah pimpinannya. Pada suatu hari Nabi Sulaiman mengadakan perjalanan bersama rombongannya yang terdiri dari Manusia dan Jin, Nabi Sulaiman mempunyai banyak mukjizat, tujuan Nabi Sulaiman mengaturkan perjalanan ini ialah untuk mengembara ke tepi laut dan untuk mengetahui kebesaran Allah swt.

Setelah sampai ditepi laut, tiba-tiba Nabi Sulaiman terpandang kedalam laut sesuatu benda yang menakjubkan.Ia memerintahkan pada Jin Iprit:"Wahai Ifrit, cuba kamu lihat kedalam laut, ada suatu benda yang menakjubkan aku, oleh itu kamu bawakan ia ke mari!".Jin Ifrit tidak banyak bercakap sebab ia takut akan murka Nabi Sulaiman maka ia pun turun ke laut, setelah Jin Ifrit menyelam begitu dalam ke dalam laut ia pon kembali dengan tangan kosong sambil berkata:"Tuanku, hamba telah menyelam sampai begitu dalam ke dalam laut, tapi hamba tidak berjumpa dengan barang yang tuanku katakan."

Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh Jin yang lain menyelam ke dalam laut untuk mendapatkan benda ajaib yang dikatakan oleh Nabi Sulaiman, tapi malangnya Jin yang ditugaskan itu pun gagal mendapatkan benda tersebut.Setelah mendapatkan penjelasan dari jin-jin tersebut maka Nabi Sulaiman pun berkata kepada Ashif bin Barkhiya yakni orang yang mendapat ilmu terus dari Allah swt." Sekarang aku perintahkan kepadamu, pergilah kamu ke dalam laut dan bawakan benda ajaib yang kukatakan" Ashif bin Barkhiya pun menyelam kedalam laut, apabila ia sampai pada dasar laut maka ia pun terpandang suatu benda yang berupa Kubah yang diperbuat dari kapur putih dan mempunyai pintu, lalu ia berkata didalam hatinya:" Wah, benda apakah ini, bersinar-sinar pula, aku mesti mengeluarkan dengan segera," Ashif ialah seorang manusia yang mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Ashif dapat membawa benda tersebut naik keatas dan mempersembahkan kepada Nabi Sulaiman, apabila Nabi Sulaiman melihat akan benda tersebut ia pun berkata:"Wah, alangkah indahnya benda ini, tapi mengapakah aku tidak dapat melihat isi kandungan benda ini, padahal Allah swt. Telah memberi aku mukjizat yang mana pengelihatanku dapat menembusi segala sesuatu."

Kemudian Nabi Sulaiman berdoa kepada Allah swt. Supaya ia dapat melihat isi dalam benda yang berbentuk Kubah tersebut. Doa Nabi Sulaiman pun diperkenankan oleh Allah swt. Dan terbukalah Kubah tersebut.Apabila Kubah tersebut terbuka maka terlihatlah oleh Nabi Sulaiman seorang pemuda yang sedang sujud dan bertasbih memuji-muji Allah swt. Lalu Nabi Sulaiman berkata:" Maha Suci Allah lagi Maha Besar."Mendengar seruan Nabi Sulaiman maka pemuda itu pun bangun dari sujud lalu memberi salam.

Nabi Sulaiman memulakan pertanyaan kepada pemuda tersebut:"Siapakah kamu wahai pemuda! Adakah kamu Malaikat, Jin atau Manusia."Jawab pemuda itu:" Aku hanyalah seorang manusia biasa." Nabi Sulaiman bertanyakan lagi:"Apakah yang membuat engkau memperolehi kemuliaan sedemikian rupa, apakah amal yang pernah kamu lakukan sehingga Allah swt. Menurunkan rahmat dan berkah yang tak ternilai ini kepada kamu?.Berkatalah pemuda itu:" Saya berbakti kepada kedua ayah dan ibuku". Nabi Sulaiman bertanya lagi:" Bagaimanakah kamu berbakti kepada kedua orang tuamu?" Berkata pemuda tersebut:" Saya memelihara mereka berdua sehingga lanjut usia mereka."

Akhirnya pemuda tersebut pun menceritakan perihalnya, kata pemuda tersebut:" Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang salih, mereka sangat takut dan sangat taat kepada Allah swt. Sejak masih kecil hingga dewasa mereka melihara saya dengan baik sekali, mereka juga mendoakan saya, agar saya menjadi orang yang salih.Bapa saya meninggal dunia dalam usia yang lanjut dalam peliharaan saya dan yang tinggal ialah ibu yang sudah tua, sangat lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh. Sayalah satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya, saya selalu mengangkatnya untuk mandi dan saya yang memandikannya."

Berkata pemuda itu lagi:" Segala urusan makan dan minumnya saya uruskan dan sayalah yang menyuapkan makanannya, sebagaimana ia menyuapkan saya di waktu saya kecil. Saya selalu memohon kepada Allah swt. Dan ibu saya juga selalu berdoa supaya saya dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup saya serta memberikan kepada saya setelah, wafatnya sebuah tempat yang bukan didunia atau pun dilangit.Setelah ibu saya wafat, saya berputar-putar ditepi laut ini, tiba-tiba saya lihat ada suatu Kubah dari mutiara. Saya mendekati Kubah tersebut, ia pintu Kubah terbuka. Apabila saya masuk kedalam, pintu Kubah ini tertutup, maka tidaklah saya ketahui samaada saya berada di bumi atau di langit."

Nabi Sulaiman bertanya lagi:" Kamu hidup di zaman mana?. Pemuda itu menjawab:" Saya hidup di zaman Nabi Ibrahim a.s. " Nabi Sulaiman mengira umur pemuda itu tersebut, dalam kiraannya umur pemuda itu telah mencapai 1.4000 tahun, tetapi tidak ada satu pun uban pada rambutnya. Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu:"Apakah tuan merasakan nikmat Allah swt.? Bagaimana Allah swt.memberikan rezeki pada mu dalam Kubah ini?. Pemuda itu berkata: "Setelah saya berada dalam Kubah ini , maka tahulah saya bahawa Allah swt. Telah menciptakan syurga khusus untuk saya didalam Kubah ini." Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu lagi untuk melihat syurga yang dikatakan oleh pemuda tersebut:" Tunjukkanlah kepadaku bagaimanakah keadaan syurgamu itu.". Pemuda itu berdoa kepada Allah swt. Lalu suasana dalam Kubah itu yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. Terkejut Nabi Sulaiman sambil berkata:"Maha Suci Allah seruan sekalian alam."

Suatu pemandangan yang tiada didunia ini terpampang di hadapan Nabi Sulaiman dan rombongannya, dimana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu, madu dan suara-suara yang merdu. Melihat akan hal ini maka Nabi Sulaiman pun berkata:" Wahai pemuda, ini syurga, demi Allah sesungguhnya kamu telah mendapat kurnia Allah swt. Yang tiada bandingannya". Maka berkata pemuda tersebut:"Memang benar, ini syuarga saya untuk didunia ini, sebagai ganjaran dari Allah swt. Terhadap amal bakti yang saya buat. Kalau saya lapar, saya makan bermacam-macam buah-buahan yang berbagai macam citarasanya, semua jenis makanan yang saya ingin akan tersedia , dan kalau saya haus akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat."

Nabi Sulaiman bertanya lagi:"Bagaimana kamu dapat mengetahui siang atu malam". Jawab pemuda itu:" Apabila terbit fajar maka Kubah ini akan menjadi putih, ini menandakan hari telah siang, dan apabila matahari terbenam Kubah ini menjadi gelap, maka tandanya hari sudah gelap". Pemuda itu berkata lagi:"Cukuplah, sebab saat ini saya harus menghadap kepada Allah swt. Untuk solat dan zikir, bertasbih dan mensucikan dan memuji kebesarannya."Kemudian Nabi Sulaiman pun berkata:" Baiklah wahai pemuda, aku akan segera pergi ke tempat kamu ini."

Kemudian Nabi Sulaiman berserta dengan rombongannya pun keluar dari Kubah tersebut, maka pemuda itu pon berdoa kepada Allah swt. Lalu tertutuplah kembali Kubah tersebut.Nabi Sulaiman termenung sejenak memikirkan peristiwa yang dilihatnya sebentar tadi, dan ia pun mengarahkan Ashif bin Barkhiya supaya menghantarkan kembali Kubah tersebut ke tempat asalnya. Ashif terus membawa Kubah tersebut ke dalam laut dan meletakkan di tempat asalnya.

Setelah itu Nabi Sulaiman pun berkata kepada rombonganya:"Untuk pertama kalinya aku menjumpai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah swt. Aku bersyukur kepada Allah swt. Dan semuga bertambah iman dalam sanubariku, dengan ini juga bertambah pula hikmah dan pel;ajaran yang dikurniakan oleh Allah swt. Terhadapku.Maha suci Allah dan segala puji bagi Allah dan sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya dan kekuatan apa-apapun di dunia ini melainkan dengan kehendak Allah swt." Kemudian kembalilah Nabi Sulaiman bersama rombongannya menuju ke Istana kerajaannya.

Kasihlah kepada kedua ibu bapa kita sebagaimana kasihnya mereka kepada kita, hanya seorang ibu saja yang tahu betapa susah payahnya ia mengandong selama 9 bulan, dan setelah lahir anak itu, kiranya ia sakit hanya ibu dan bapalah yang tahu akan sedihnya mereka kepada anak mereka itu. Apa sumbangan yang harus kita buat terhadap orang yang menjaga kita. Dalam al-Quran Allah swt. Berulang-ulang kali memberitahu kita, supaya kita taat kepada kedua orang tua kita, layanilah dan hormatilah mereka dan jangan sampai mereka marah kepada kita, sebab doa merekalah yang paling mujarab di sisi Allah swt.

SEKIAN
 
Source: google.com